IPOH, PERAK – 6 MAC 2025: 30 orang petani di Kuala Bikam, Bidor, Perak, menang dalam kes mereka di mahkamah untuk kali kedua terhadap syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd yang cuba mengusir mereka. Penghakiman ini disampaikan semasa sesi mahkamah dalam talian pada hari ini.

Petani-petani berkenaan telah mengusahakan aktiviti pertanian selama lebih 30 tahun, dengan tanaman yang kebanyakannya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijadikan makanan, seperti terung, cili, sengkuang, ubi kayu, ubi keledek, pisang, mangga dan sebagainya, sementara juga adanya yang mengusahakan penternakan ikan air tawar dan sedikit tanaman kelapa sawit.

Petani-petani di Kuala Bikam mula mendapat gangguan pada bulan Oktober 2018 daripada syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd, anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), yang mendakwa bahawa ia sudah mendapat kelulusan untuk mengambil pasir dari tanah seluas 190 ekar yang diusahakan oleh petani-petani di situ.

Pada bulan November 2018, petani-petani Kuala Bikam yang diganggu oleh syarikat perlombongan pasir itu mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Tapah untuk menghalang tindakan syarikat yang mengganggu mereka. Pada bulan April 2019, petani-petani ini mendapat perintah mahkamah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan mereka kekal berada di atas tanah tersebut sehingga tanah berkenaan dilupuskan melalui tindakan sivil.

Pada bulan September 2019, syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd mengambil tindakan writ saman terhadap 30 orang petani Kuala Bikam untuk perintah milikan kosong dan injunksi yang menghalang petani-petani daripada mengakses tanah tersebut. Selepas perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Ipoh, petani-petani Kuala Bikam menang kes apabila hakim Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan pada 23 Julai 2021 untuk menolak permohonan pihak syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd kerana syarikat itu bukan pemilik tanah dan tiada hak ke atas tanah tersebut.

Namun, syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd yang masih berdegil untuk mengusir petani-petani Kuala Bikam itu mengambil satu lagi tindakan writ saman terhadap 30 orang petani yang sama di Mahkamah Tinggi Ipoh pada bulan November 2021.

Selepas kes berjalan lebih 3 tahun, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd sebagai pihak plaintif tiada locus standi dalam kes ini, kerana ia bukan pemilik tanah dan tiada lesen mineral untuk keseluruhan 190 ekar tanah tersebut. Mahkamah juga menyatakan bahawa pihak syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd telah menyalahgunakan proses mahkamah dengan mengulangi tindakan writ saman yang sama (res judicata). Oleh itu, kes yang difailkan oleh pihak syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd terhadap 30 orang petani Kuala Bikam ditolak dengan kos.

Kes ini telah didengar di hadapan Hakim Moses Susayan. Petani-petani Kuala Bikam diwakili oleh peguam Bawani KS, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *