
KUALA LUMPUR – 19 MAC 2024: Gabungan Iklim Darurat Malaysia (GDIMY), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Greenpeace Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang prihatin pada isu alam sekitar menggesa Dewan Negara supaya jangan terburu-buru dalam meluluskan Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) yang hanya membawa penyelesaian palsu kepada krisis iklim dan merugikan masyarakat.
Aktivis-aktivis daripada pelbagai organisasi masyarakat dan PSM berprotes pada hari ini di hadapan Parlimen bersempena persidangan Dewan Negara, dengan seruan tegas bahawa jangan menjadikan Malaysia tapak pembuangan karbon dioksida.
RUU CCUS telah dibaca pada 4 Mac 2025 dan diluluskan pada 6 Mac 2025 di Dewan Rakyat secara tergesa-gesa. Walaupun terdapat beberapa orang Ahli Parlimen membangkitkan kebimbangan semasa perbahasan RUU itu, ia telah diluluskan dalam keadaan tanpa konsultasi awam yang mencukupi dan penelitian yang mendalam. RUU CCUS kini telah dibawa ke Dewan Negara untuk perbahasan dan kelulusan.
“Kelulusan RUU CCUS di Dewan Rakyat merupakan satu keputusan tergesa-gesa yang lebih mengutamakan kepentingan ekonomi berbanding tindakan iklim dan perlindungan alam sekitar yang sebenar. RUU ini menimbulkan persoalan serius mengenai kesan jangka panjangnya terhadap alam sekitar dan masyarakat,” kata Suresh Balasubramaniam, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM. “Penglibatan pihak berkepentingan secara menyeluruh amat penting sebelum melaksanakan undang-undang yang memberi kesan besar kepada alam sekitar dan masyarakat, tetapi nampaknya ini tidak berlaku dalam kelulusan RUU CCUS.”
“Penyelenggaraan kemudahan penyimpanan karbon dioksida mungkin mengambil masa ratusan tahun. Siapa yang akan bertanggungjawab untuk kos ini? Sekiranya berlaku kemalangan, siapa yang akan menanggung kos tersembunyi dan penderitaan ini?” ulas Suresh.

“Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon” (Carbon Capture, Utilisation, and Storage, CCUS) ialah teknologi untuk memerangkap karbon dioksida daripada aktiviti manusia, seperti penjanaan elektrik, dan seterusnya memindahkannya ke kemudahan untuk disimpan atau digunakan dalam industri lain, seperti pengekstrakan petroleum. Namun, penggunaan karbon dioksida untuk mengekstrak lebih banyak petroleum melalui teknik yang dikenali sebagai “peningkatan kadar pengeluaran minyak” (Enhanced Oil Recovery, EOR) mungkin akan memburukkan lagi krisis iklim global. Tambahan pula, CCUS bukan teknologi yang sudah matang dan ia membawa risiko yang besar, seperti boleh mengakibatkan gempa bumi, kebocoran karbon dioksida dan pengasidan laut. Karbon dioksida yang dimampatkan boleh menjadi sangat berbahaya apabila ia dilepaskan dan mengakibatkan kesesakan nafas pada manusia serta haiwan. Selain itu, kos untuk membina dan menyelenggara kemudahan CCUS sangat tinggi.
Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi menyasarkan pelaksanaan Akta CCUS pada 31 Mac 2025, atas alasan untuk mengambil peluang ekonomi daripada pengimportan karbon dioksida. Namun, tindakan ini seolah-olah menjadikan Malaysia, sebuah negara sedang membangun, tapak pembuangan karbon dioksida yang dilepaskan dari negara-negara maju. Ini menjadikan negara kita mangsa ekonomi global yang hanya mengutamakan keuntungan tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap rakyat dan alam sekitar.
Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, organisasi-organisasi alam sekitar dan PSM membantah kerajaan menjadikan negara kita tapak pembuangan karbon dioksida dari luar. Mereka berpandangan bahawa teknologi penangkapan karbon merupakan penyelesaian yang palsu untuk masalah krisis iklim, yang hanya memanjangkan hayat industri bahan api fosil. CCUS adalah mahal, tidak berkesan, membazir tenaga dan berkemungkinan meningkatkan pelepasan karbon dioksida bukan mengurangkannya. Kerajaan harus menumpukan sumber dan usaha dalam penyelesaian sebenar dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat umum, bukannya penyelesaian palsu yang mengutamakan keuntungan korporat.
Masyarakat sivil juga menegaskan bahawa proses penglibatan dan perundingan dengan masyarakat umum adalah amat penting dalam sebarang rancangan yang melibatkan teknologi yang berisiko seperti penangkapan karbon. Pembentukan mekanisme yang telus untuk penilaian dan pemantauan oleh masyarakat awam adalah penting dalam memastikan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap projek-projek yang dicadangkan.
2 thoughts on “Jangan tergesa-gesa luluskan RUU CCUS”