PUTRAJAYA – 21 JANUARI 2025: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama wakil-wakil daripada masyarakat sivil menyerahkan sebuah memorandum pada hari ini kepada Pejabat Menteri dengan gesaan kepada Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk memainkan peranan kepimpinan yang aktif dalam menyumbang kepada pembangunan ASEAN ke arah yang memanfaatkan semua penduduk di rantau Asia Tenggara.

“Perlumbaan antara negara-negara ASEAN untuk menarik pelabur asing, seperti bersaing untuk mengurangkan korporat cukai dan menekan gaji pekerja pada paras yang rendah, bukan sahaja membantutkan pembangunan pasaran dalaman rantau ini, ia juga menyekat kelonggaran fiskal untuk kerajaan melaksanakan program-program yang membantu rakyat biasa dan melindungi alam sekitar, serta meningkatkan hutang negara di hampir semua negara ASEAN,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, semasa menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

“Sudah tiba masanya kita mengembalikan semangat Bandung yang menekankan kerjasama serantau untuk memakmurkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat,” ulas Dr. Jeyakumar. “Kami berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil berat tentang idea-idea yang dikemukakan dalam memorandum yang diserahkan ini. Kami bersedia untuk berjumpa dengan kerajaan supaya membincangkan isu-isu yang dibangkitkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam memorandum ini secara mendalam.”

Memorandum dengan tema “Ke Arah ASEAN yang Makmur dan Inklusif” ini mengemukakan 9 cadangan utama:

  1. Membangunkan pasaran dalaman Asia Tenggara untuk mengurangkan kebergantungan pada pasaran di luar rantau ini seperti Eropah dan Amerika Syarikat, di samping menjana pekerjaan baharu, meningkatkan kutipan cukai dan memperluaskan pasaran bagi barangan keluaran peniaga-peniaga kecil tempatan.
  2. Membangunkan strategi untuk meningkatkan gaji minimum di negara-negara ASEAN secara bersama, serentak dan bersesuaian dengan tahap sara hidup.
  3. Hentikan perlumbaan antara negara-negara ASEAN dalam mengurangkan kadar cukai korporat, sebaliknya bekerjasama dalam mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur dan serentak di rantau Asia Tenggara supaya mencapai satu tahap yang lebih tinggi.
  4. Perkenalkan kadar cukai karbon yang sama dan berkesan untuk mengawal pelepasan karbon di semua negara ASEAN.
  5. Mengambil langkah-langkah konkrit untuk menangani masalah pengangguran anak muda dengan cara seperti mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam sektor awam (seperti kesihatan, kebajikan dan pemuliharaan alam sekitar) serta ekonomi kitaran, di samping memastikan sektor swasta mengeluarkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan rakyat serantau.
  6. Mengadakan usahasama untuk mempelopori industri hijau baharu.
  7. Melindungi hak asasi orang pelarian, seperti hak mereka untuk bekerja.
  8. Mewujudkan proses semak-dan-imbang yang telus untuk ekstradisi (penghantaran pulang orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa negara masing-masing) antara negara-negara ASEAN, untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan ekstradisi oleh sesetengah kerajaan dalam menindas golongan pengkritik.
  9. Menganjurkan program-program yang benar-benar dapat mengeratkan hubungan antara rakyat biasa di negara-negara ASEAN.

Memorandum ini telah disokong oleh 55 buah organisasi, termasuk PSM, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Gabungan Darurat Iklim (GDI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan banyak lagi.

Memorandum ini telah diterima oleh Hiew Kim Boon, Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, yang berjanji akan menyerahkan kepada Perdana Menteri sendiri. Turut hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini termasuk Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM, Choo Chon Kai selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Jayanath Appudurai daripada Saya Anak Bangsa Malaysia, Mageswari Sangaralingam daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Muhammad Sha’ani Abdullah daripada Persatuan Pengguna Pahang.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam memorandum ini berkaitan rapat dengan usaha memajukan kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia,” kata Choo Chon Kai, selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Antarabangsa PSM. “Kerajaan Malaysia harus mengambil peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memainkan peranan kepimpinan serantau yang berkesan dan meMADANIkan Asia Tenggara dengan usaha-usaha kerjasama konkrit yang benar-benar menjamin serta memajukan kesejahteraan rakyat terbanyak.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *