Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 19 Mei 2025. Memorandum ini juga disokong oleh Gabungan Marhaen, North South Initiative dan Tenaganita.

Latar belakang

Sejak satu tahun kebelakangan ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dikenakan empat saman fitnah yang kami mendakwa bahawa sebenarnya merupakan penyalahgunaan undang-undang saman fitnah (Akta Fitnah 1957). Saman fitnah bertujuan untuk melindungi reputasi seseorang daripada difitnah (slander and libel). Saman-saman fitnah terhadap PSM adalah lebih merupakan  “litigasi strategik terhadap penyertaan awam” atau “Strategic Litigation Against Public Participation” (SLAPP) dan jelas kelihatan bertujuan untuk menghukum, mengugut dan menakutkan masyarakat marhaen, aktivis parti dan pihak media yang mendedahkan sesuatu ketidakadilan atau pencabulan hak.

Selain itu, apa yang penting untuk difahami dalam konteks SLAPP adalah bahawa, wujudnya ketidakseimbangan kuasa antara Plaintif dan Defenden. Kes-kes yang dirujuk di bawah jelas menunjukkan kes-kes saman ini dibawa oleh ahli politik, agensi atau penguatkuasa kerajaan dan syarikat perniagaan korporat. Mereka mempunyai sumber kewangan yang besar dan mempunyai pengaruh politik. Manakala Defenden dalam kes-kes ini adalah sama ada media, wartawan, petani, penternak, pekerja sekuriti ataupun aktivis masyarakat yang tidak mempunyai sumber kewangan ataupun pengaruh politik.

I. Empat isu yang menjadi asas saman fitnah

1. Pengawal-pengawal keselamatan dibuang kerja secara tidak sah

i. Plaintif dalam kes ini adalah United Security Services Sdn Bhd (USS), iaitu kontraktor yang dilantik oleh  Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk tempoh 2 September 2021 hingga 1 September 2023. USS mengupah hampir 200 orang pengawal keselamatan di lokasi tersebut. Defendan adalah 4 orang pengawal keselamatan (PK) kontrak di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

ii. Pada Ogos 2022, 4 orang PK ini, dengan bantuan aktivis PSM, membuat aduan dan tuntutan terhadap USS di Jabatan Tenaga Kerja Ipoh (JTK). Mereka mengadu bahawa mereka telah ditipu oleh USS dan menuntut:

  • Perbezaan dalam bayaran kerja lebih masa (OT) yang diterima dan yang sepatutnya;
  • Tunggakan gaji minimum dua bulan ;
  • Pemulangan potongan gaji tidak sah.

iii. Selepas memfailkan tuntutan, 4 orang PK ini memberi kenyataan kepada media. Rencana mengenai isu ini telah disiarkan dalam halaman facebook Utusan Malaysia, dengan tajuk “Majikan cekik darah 200 pengawal keselamatan”.

iv. Pada hari keesokannya, mereka tidak dibenarkan masuk pos untuk bekerja. Seterusnya mereka telah membuat tuntutan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Ipoh untuk pemulihan kerja. Selepas tiga bulan, satu memorandum persefahaman (MOU) dipersetujui antara 4 orang PK dan USS untuk pemulihan kerja tanpa sebarang perubahan dalam terma kerja. Tetapi USS melanggari MOU dengan membuat pertukaran kerja ke Putrajaya untuk 4 orang PK tersebut. PK mengadu kepada Kementerian Kesihatan dan membantah tindakan USS; selepas itu, USS diarahkan untuk mematuhi MOU.  

v. 4 orang PK mula kerja semula. Pada bulan Jun 2023, mereka telah menang kes di JTK. USS membuat rayuan di Mahkamah Tinggi, di mana 4 orang PK menang sekali lagi dan telah menerima bayaran berkaitan ketiga-tiga tuntutan mereka daripada USS.   

vi.Tiba-tiba USS menghantar notis saman fitnah untuk RM10 juta terhadap 4 orang PK, wartawan dan Utusan Malaysia. USS mendakwa bahawa 4 orang PK telah membuat kenyataan salah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.

Status terkini: Pengurusan kes telah selesai pada 13 Mei 2025, dan perbicaraan seterusnya ditetapkan untuk bulan Julai 2025. Pekerja diwakili oleh peguam Balakrishnan Balaravi.

2. Petani Kanthan dihalau dan kebun diroboh

i. Petani yang mengusahakan tanah di Kanthan sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua telah meneruskan kegiatan pertanian, tetapi permohonan mereka untuk pajakan atau geran tidak pernah diluluskan. Walau apapun mereka dibiarkan dan tidak dihalau. Pada tahun 2020, terdapat kira-kira 150 orang petani di kawasan Kanthan yang mengeluarkan sayur-sayuran dan buah-buah, si samping menternak itik dan ikan. Mereka merupakan pengeluar sayur-sayuran terbesar di Perak.

ii. Sekitar tahun 2010, kira-kira 1500 ekar tanah di Kanthan diberi milik kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Perak dengan Menteri Besar sebagai Pengerusi. Pada mulanya, PKNP menawarkan untuk memajakkan tanah ini kepada petani untuk tempoh 30 tahun. Terma-terma telah disediakan. Ramai petani bersetuju, dan menandatangani borang, dan ada yang membuat pembayaran, tetapi rancangan ini tidak pernah dilaksanakan.

iii. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, PKNP memeterai perjanjian dengan anak syarikatnya, Perak Corporation Berhad (PCB). Tujuan PCB adalah untuk membangunkan sebahagian tanah di mana terletaknya 6 buah kebun.

iv. Pada bulan Oktober 2023, Pentadbir Tanah Kinta telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada petani untuk mengosongkan tanah kebun mereka dalam tempoh 7 hari. Seminggu kemudian, pihak berkuasa negeri mula mengusir petani, dan merobohkan kebun-kebun mereka; empat orang kena tangkap dan seorang aktivis wanita PSM telah dicederakan. Para petani yang terjejas memfailkan semakan kehakiman (JR) di Mahkamah Tinggi dengan permohonan:

  • Perintah untuk membatalkan Notis Seksyen 425, dan untuk menangguhkan semua tindakan responden yang meneruskan Notis Seksyen 425;
  • Tindakan susulan atas surat tawaran PKNP kepada petani pada tahun 2012.

v. Para petani telah berjaya mendapat perintah interim daripada Mahkamah Tinggi Ipoh, untuk menangguhkan semua tindakan Pengarah Tanah dan Galian dan PKNP sehingga pelupusan JR.

vi. Tiba-tiba PKNP menukar peguam. Peguam baharu telah memberikan tafsiran undang-undang yang berbeza, yang menyebabkan PKNP untuk meneruskan perobohan kebun-kebun. Dalam keadaan ini, Dr. Jeyakumar, yang merupakan aktivis yang membantu golongan petani ini, membuat aduan polis dan selepas itu, mengeluarkan kenyataan bahawa PKNP menghina perintah mahkamah, dan tidak mengendahkan perintah penangguhan (stay) dengan terus memusnahkan kebun secara kejam. Kenyataan ini dirakam dan dikeluarkan dalam media sosial TikTok.   

vii. PKNP menghantar saman fitnah yang mendakwa bahawa kenyataan Dr. Jeyakumar tidak benar dan berniat jahat untuk memalukan PKNP, dan menyebabkan kerosakan kepada reputasinya.

Status terkini:  Pengurusan kes selesai. Perbicaraan pada bulan November 2025.  Defenden diwakili oleh peguam Latheefah Koya.

3. Mangsa pemerdagangan manusia Bangladesh yang dibiar tanpa kerja dan gaji untuk 7 bulan

i. Sejak awal tahun 2024, PSM telah membantu sekumpulan pekerja migran dari Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia oleh sindikat yang terlibat dalam skandal penipuan kuota dengan menyalahgunakan sistem rekrutmen rasmi. Mangsa-mangsa pemerdagangan manusia yang dibantu oleh PSM ini telah menandatangani kontrak pekerjaan dengan salah satu antara dua buah syarikat – Beaks Construction Sdn Bhd dan Suria Harmoni Resources Sdn Bhd (kedua-duanya mempunyai CEO yang sama).

ii. Kontrak tersebut menjamin kerja dengan gaji bulanan RM1,500, tetapi 7 bulan selepas tiba di Malaysia,  mereka masih dibiar tanpa pekerjaan dan gaji. Ramai daripada mereka telah meminjam wang dan menjual harta untuk membayar yuran rekrutmen yang tinggi, iaitu RM20,000 ke atas. Pasport pekerja juga ditahan oleh majikan mereka.  

iii. Pada awal bulan Januari 2024, PSM telah membawa isu ini kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM). Kami telah mencadangkan supaya KSM menangani krisis penipuan ini dengan mewujudkan SOP baharu dan menggunakan agensinya (JTK) di seluruh negara untuk mengkoordinasi satu proses pembelaan yang berkesan dan melindungi pekerja yang membuat aduan. Tetapi KSM enggan berbuat demikian, dan menasihati kami untuk mengikut saluran sedia ada. Berasaskan nasihat KSM dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), PSM telah membantu pekerja-pekerja membuat aduan polis untuk mendapat balik pasport, dan membuat tuntutan gaji yang belum dibayar di JTK Subang Jaya, dan seterusnya di JTK Kuala Lumpur.  

iv. Tindakan-tindakan ini telah mencetuskan tindak balas yang agresif daripada Beaks dan Suria Harmoni  terhadap pekerja migran yang terlibat dalam tindakan-tindakan ini, dan mereka telah dimangsakan. Pada 23 Mac 2024, tiga orang pekerja ditangkap oleh polis di Dang Wangi, direman selama 4 hari, dan dihalau keluar dari asrama pekerja selepas dibebaskan.

v. Pada hari yang sama, Malaysiakini telah menyiarkan satu rencana bertajuk “Pekerja asing terkandas ditahan lepas adukan majikan ke polis”.  Pada 24 Mac 2024, Sivaranjani (kini Setiausaha Agung PSM) telah membuat satu hantaran Facebook yang bertajuk “Released Bangladeshi Workers Seek Protection and Reveal Serious Attempts to Their Safety”.

vii. Pada hujung bulan Mac 2024, Beaks dan Suria Harmoni telah memulakan kes saman fitnah ke atas portal berita Malaysiakini,  Sivaranjani dan PSM kerana “memburukkan nama baik Plaintif-Plaintif secara berterusan di mana Plaintif-Plaintif telah mengalami kerugian”.

Status terkini: Tarikh perbicaraan ditetapkan untuk 2730 Oktober 2025. Defenden-defenden diwakili oleh Edmond Bon dan Siew Mei.

4. Pengusiran penternak lembu dari ladang-ladang SD Guthrie

i. Penternakan lembu di atas tanah ladang oleh pekerja ladang yang masih bekerja dan yang sudah bersara sebagai mata pencarian tambahan telah dibenarkan sejak 50 tahun dahulu oleh pihak pengurusan. Beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat SD Guthrie telah membuat dasar “zero-cattle” (lembu sifar). Sejak tahun lepas, SD Guthrie bertindak untuk melaksanakan dasar ini di beberapa ladang dengan menggunakan polis.

ii. Penternak-penternak lembu di beberapa buah ladang di Perak, Selangor, Negri Sembilan, Melaka dan Johor telah menerima notis pengusiran paksa daripada pihak pengurusan, dan mereka telah menghubungi PSM. Satu jaringan penternak ditubuh untuk mempertahankan aktiviti penternakan lembu di ladang-ladang atas dasar:

  • Kekurangan tanah ragut alternatif di luar ladang;
  • Keterjaminan makanan dalam keadaan di mana tahap sara diri untuk daging lembu dan susu lembu adalah sangat rendah;
  • Pertanian bersepadu (integrated farming) memang meningkatkan hasil buah sawit,  menurut pakar agrosains, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

iii. Para penternak telah dan sedang mengambil tindakan untuk mengatasi masalah mereka, antaranya, menghubungi SD Guthrie untuk berbincang dan mencari penyelesaian. Tetapi SD Guthrie tidak melayan mereka. Pada bulan Oktober 2024 mereka telah dipanggil untuk berdialog oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. SD Guthrie juga hadir bersama. Konsep Pertanian Bersepadu dibincang, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menjemput SD Guthrie untuk bersama-sama menyediakan SOP berkaitan pertanian bersepadu.

iv. Dalam keadaan ini, pada 12 Februari 2025, dua orang penternak lembu ditangkap di sebuah ladang di Sabak Bernam atas kesalahan pencerobohan jenayah.

v. Pada 1 Mei 2024, dalam satu majlis awam, Sivanesan, ADUN dan Exco Negeri Perak untuk sumber Manusia, kesihatan, hal ehwal masyarakat India dan integrasi nasional, telah mengumumkan bahawa pekerja ladang yang sudah bersara harus mengosongkan rumah kuarters dan keluar dari ladang, dan mengambil keluar penternakan mereka.

vi. Pada 3 Mei 2024, wakil Jaringan Penternak dan aktivis PSM, Sukumaran telah mengeluarkan video “Is YB Sivanesan Willing To Meet And Listen To The Problems Of The Breeder? yang mengkritik kenyataan Sivanesan, dan menyoalkan peranannya sebagai seorang wakil rakyat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Sukumaran menyoalkan mengapa Sivanesan tidak turun ke ladang dan mendengar keluhan penternak yang terjejas.

vii. Pada 14 Mei 2024 , Sivanesan memfailkan saman fitnah terhadap Sukumaran dan PSM.

Status kes: Pengurusan kes sudah dibuat. Seterusnya perbicaraan pada bulan Julai 2025. Penternak diwakili oleh Ragunath Kesavan.

II. Saman fitnah atau SLAPP?

Dalam keempat-empat kes ini, dakwaan Plaintif adalah bahawa Defendan berkenaan telah membuat kenyataan yang tidak benar, tidak berasaskan fakta, berunsur fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi, dan merugikan plaintif dan perniagaannya. Kami amat tidak setuju dan menegaskan bahawa:

i. Semua kenyataan yang dibuat dan disiarkan adalah benar dan berasas  

Semua kenyataan yang didakwa fitnah adalah benar dari segi fakta, dan diutarakan melalui ruang-ruang yang sah dan rasmi, dan boleh dibuktikan dengan surat/aduan/ memorandum kepada agensi kerajaan atau laporan polis atau dokumen lain. Bercakap dan menyuarakan apa yang benar adalah hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

ii. Kerosakan reputasi dan kerugian bukan akibat kenyataan palsu defendan

Dalam 4 kes ini, semua kenyataan yang dibuat adalah mengenai penindasan atau dasar dan sikap tidak adil atau pencabulan undang-undang oleh Plaintif, yang telah menyebabkan penderitaan dalam kalangan defendan. Kesemuanya adalah fakta, tidak ada tokok tambah. Maka kerosakan reputasi dan kerugian adalah bukan sebab kenyataan tidak benar, sebaliknya adalah akibat pendedahan penindasan oleh plaintif.  

iii. Media/Media sosial adalah ruang yang sah di sisi undang

Media sering dipakai oleh masyarakat tertindas untuk mendapat perhatian pihak berkuasa dan memberi tekanan kepada pihak yang menindas dengan niat untuk mencari penyelesaian yang adil kepada masalah yang dihadapi.  Dalam keempat-empat kes ini, masyarakat marhaen terbabit, iaitu pekerja kontrak, penternak lembu, petani dan pekerja migran yang menghadapi penindasan berterusan oleh pihak yang berkuasa dan golongan kaya raya, memilih untuk mendedahkan masalah mereka melalui media.

III. Impak penyalahgunaan saman fitnah

Penyalahgunaan saman fitnah yang lebih merupakan SLAPP adalah serius, dan membawa beberapa implikasi negatif, seperti:

i. Proses yang panjang dan mahal, sama seperti sudah dijatuhi hukuman

  •  Proses undang-undang ini yang mahal dan berpanjangan adalah seperti defenden sudahpun dijatuhkan hukuman.
  • Sepanjang masa ini, defendan perlu mendapatkan khidmat peguam, dan melaburkan masa dan sumber dalam mempertahankan kes daripada dibelanjakan kehidupan harian mereka.

ii. Kesan buruk SLAPP terhadap golongan marhaen

  • Mengintimidasi mereka yang mendedahkan masalah, seperti dalam kes pengawal keselamatan yang disaman untuk RM10 juta.
  • Mengekalkan dan memburukan lagi budaya takut mempertahankan hak dalam kalangan rakyat marhaen secara amnya. Dalam konteks kes 4 orang pengawal keselamatan, keseluruhan pengawal keselamatan (hampir 200 orang) di tempat kerja melihat episod ini sebagai bukti lanjut bahawa adalah paling selamat untuk tidak bersuara.

iii. Impak terhadap aktivis dan masyarakat sivil

  • Mengintimidasi dari segi tuntutan wang dan kos guaman, membazirkan masa dan tenaga untuk aktivis dan NGO, dan menjadi penghalang kepada kerja membantu rakyat miskin.  

iv. Impak terhadap Kebebasan media untuk melaporkan kebenaran

  • Mengintimidasi media tempatan, wartawan, dan mencabuli kebebasan media untuk membuat laporan media yang benar dan bebas. Ini akan mendorong media untuk tidak atau kurang memberi liputan kepada masalah yang dihadapi rakyat marhae tentang penindasan oleh pihak yang kaya dan berkuasa, kerana takut dengan risiko bebanan kewangan dan proses mahkamah yang berpanjangan.
  • Masyarakat Marhaen hilang satu ruang yang penting dan berkesan untuk mengutarakan isu-isu mereka demi mendapat satu resolusi yang adil.

v. Impak terhadap demokrasi

  • Menjejaskan demokrasi dalam kalangan masyarakat di mana mahkamah digunakan untuk mendiamkan kritikan yang benar dan berasas demi melindung pihak yang kaya dan berkuasa.
  • Dalam kes penternak lembu, seorang ahli politik yang dipilih sebagai wakil rakyat menggunakan mahkamah untuk menyekat kritikan rakyat walaupun wujud saluran lain.
  • Budaya buli oleh mereka yang mempunyai kuasa dan sumber kewangan untuk mendiamkan suara mengenai pencabulan hak asasi, lama-kelamaan akan melahirkan masyarakat yang tidak mahu bertanya dan berjuang untuk hak mereka.
  • Ini dapat dilihat dalam kes penternak lembu, seorang ahli politik dan wakil rakyat menggunakan pengaruh dan mahkamah untuk menghentikan kritikan rakyat walaupun wujud saluran lain.

IV. Cadangan

Penyalahgunaan saman fitnah sebagai senjata untuk menghalang orang awam daripada melawan pencabulan hak dan penindasan, atau SLAPP tidak harus dibiarkan. Ini adalah sebab ia melemahkan lagi (disempower) rakyat biasa dan pembela hak asasi manusia, dan melebarkan lagi jurang ketidaksamarataan antara rakyat biasa dan mereka yang kaya raya serta berkuasa.

Cadangan kami adalah supaya:

1. SUHAKAM harus membuat kajian dan cadangan kepada kerajaan untuk meminda undang-undang saman fitnah supaya penyalahgunaan undang-undang tersebut sebagai SLAPP ditangani dengan sewajarnya. Undang-undang anti-SLAPP memang wujud di beberapa buah negara Eropah dan di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat. Antara peruntukan dalam undang-undang anti-SLAPP yang boleh dimasukkan dalam pindaan Akta Saman Fitnah:

  • Defenden berhak membatalkan saman SLAPP dengan memberi alasan-alasan kukuh;
  • Defenden yang berjaya boleh menuntut kos guaman dan kos-kos lain daripada plaintif;
  • Defenden berhak memfailkan balik saman terhadap penuntut untuk kerugian kerana menyalahgunakan proses mahkamah

2. Masyarakat marhaen yang kena SLAPP diberi sokongan guaman percuma melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) di mana sekarang YBGK hanya mengambil kes-kes jenayah sahaja.

3. SUHAKAM harus mencampur tangan melalui amicus curae atau pemantauan kes-kes pencabulan SLAPP.  

  • SUHAKAM menganjurkan satu forum atau persidangan meja bulat dengan pihak-pihak kepentingan, termasuk media, supaya kebebasan media dan hak asasi dapat dilindungi.
  • SUHAKAM membuat latihan hak asasi dan kesedaran SLAPP kepada semua hakim mahkamah bagi membantu mengiktiraf pencabulan SLAPP dan mengenai piawaian hak asasi manusia dari segi undang-undang hak asasi antarabangsa.

One thought on “Undang-undang saman fitnah disalahgunakan untuk nafikan kebebasan bersuara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *