Deklarasi 1 Mei 2025

Pekerja tiang seri negara: Naikkan gaji, bukan bebanan

Kos hidup semakin meningkat, namun gaji masih tidak naik. Majikan pecat pekerja dan syarikat untung besar, namun gaji masih tidak naik. Kerajaan mengumumkan peningkatan KDNK setiap tahun, namun gaji masih tidak naik.

Ke mana curahnya keringat dan usaha yang pekerja Malaysia dalam pembinaan ekonomi negara?

Tahun ini, warga pekerja bersatu mengutarakan “Pekerja Tiang Seri Negara: Naikkan Gaji Bukan Bebanan” sebagai Deklarasi Hari Pekerja 2025!

Sistem gaji minimum Malaysia tidak mempunyai mekanisme pelarasan automatik (automated minimum wage indexation) yang digunakan di negara lain, menyebabkan gaji benar gagal meningkat seiring dengan inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

Takkan kerajaan tak dengar keluhan dan terasa keperitan rakyat tentang kos hidup yang semakin menghimpit?

Antara tahun 2020 dan 2023, gaji minimum masih kekal pada RM1,200. Berikutan tekanan awam dan pertimbangan ekonomi, pihak kerajaan meningkatkan gaji minimum sehingga ke RM 1,700 sebulan pada 2025, tetapi peningkatan ini amat rendah dan perlahan berbanding dengan peningkatan kos sara hidup yang drastik. Tambahan pula, bukan semua pekerja berjaya mendapat gaji minimum.

Dari kelas menengah sehingga ke kelas bawahan, rakyat Malaysia terjejas teruk akibat kos sara hidup yang meningkat secara mendadak, terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar, pekerja bukan formal dan penganggur.

Menurut kajian yang baru diterbit oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, seorang pekerja bergaji minimum di Belanda hanya perlu bekerja 4 minit untuk membeli satu liter susu, tetapi pekerja Malaysia perlu bekerja hampir satu jam untuk membeli barang yang sama.

Kenapa begitu rendahnya gaji rakyat Malaysia?

Antara punca-puncanya ialah:

  • kapitalis antarabangsa yang memeras sumber alam dan pekerja di negara-negara sedang membangun;
  • kapitalis tempatan yang mendesak kerajaan kekalkan gaji minimum yang rendah, mengeksploitasi pekerja migran dan menekan pekerja tempatan demi untung; 
  • budaya kesatuan pekerja di Malaysia yang lemah mempertahankan hak pekerja dan menuntut kenaikan gaji;
  • kekurangan solusi pihak kerajaan untuk mengatasi isu gaji graduan yang berada pada paras lingkungan RM2,000; dan
  • proses komodifikasi keperluan dan perkhidmatan asas seperti perumahan, pengangkutan awam dan pendidikan yang menambahkan beban rakyat.

Para pekerja sekalian, kita perlu sedar bahawa sistem kapitalis ini tidak berpihak kepada kita! Sistem ini mengumpul kekayaan dalam tangan golongan kapitalis dan elit dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat jelata, keamanan negara dan dunia, kelestarian alam sekitar dan lain-lain lagi.

Sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2025, kami, para pekerja negara Malaysia, mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut:

A. Hak pekerja

  1. Laksanakan Gaji untuk Hidup dan meningkatkan Gaji Minimum ke RM 2,000 supaya semua pekerja mampu tanggung kos keperluan asas. Keperluan asas ditakrifkan sebagai: “tahap standard pemakanan, perumahan, pengangkutan, tenaga, penjagaan kesihatan, penjagaan kanak-kanak, pendidikan dan simpanan dalam waktu kerja yang dikawal.”
  2. Laksanakan Pengindeksan Gaji Minimum Automatik supaya mempunyai mekanisme berstruktur yang memastikan gaji seiring dengan kos sara hidup. Di negara lain, gaji diindeks kepada inflasi dan disemak setiap tahun untuk mengekalkan kestabilan pendapatan.
  3. Laksanakan Skim Jaminan Pendapatan Asas (Universal Basic Income) sebanyak RM1,000 sebulan bagi pekerja di sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil dan peniaga bersifat mikro yang tercicir dari sektor formal dan tiada berpendapatan tetap atau berpendapatan kurang dari gaji minimum.
  4. Jaminan kerja untuk semua. Hapuskan sistem kontrak dan serapkan kembali pekerja kontrak di premis kerajaan sebagai pekerja formal.
  5. Mewujudkan Akta Pekerja Gig demi menjamin kelestarian, kemapanan dan kebajikan Penggiat Industri Gig dengan penetapan kadar upah yang adil, memberi perlindungan keselamatan sosial yang setara atau yang lebih baik, seperti I-Saraan KWSP, SKSPS PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan caruman diwajibkan untuk penggiat, syarikat dan kerajaan melalui kebersamaan tanggungan caruman.
  6. Luaskan skop liputan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan hapuskan syarat-syarat yang tidak adil seperti pekerja kontrak dan pekerja yang memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dinafikan faedah, dan lain-lain.
  7. Laksanakan Skin Pencen Warga Emas untuk memastikan rakyat Malaysia boleh bersara secara bermaruah.
  8. Laksanakan Skim Pencen Ilat untuk semua petani, penjaja dan peniaga kecil dalam sektor tidak formal.
  9. Luaskan liputan PERKESO kepada 24 jam/7 hari seminggu dan bukan terhad pada waktu kerja sahaja.
  10. Hak Kesatuan Sekerja – Pembentukan kesatuan sekerja harus diutamakan, dilindungi dan digalakkan oleh Kerajaan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja. Kesatuan harus diberi pengiktirafan secara automatik. 
  11. Hak Orang Kurang Upaya (OKU) – Jamin hak bekerja OKU dengan meluaskan skim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

B. Kesihatan

  1. Kerajaan harus memperkasakan sektor kesihatan awam dengan meningkatkan belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia daripada 2.3% KDNK kepada 5% KDNK secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun akan datang. 
  2. Kerajaan juga harus membuat kajian untuk memiliknegarakan hospital kesihatan swasta untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan memadai.
  3. Kerajaan harus menumpukan usaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dengan cara-cara seperti membina lebih banyak hospital kerajaan dengan kemudahan lengkap di bandar-bandar utama, menambahkan bilangan kakitangan kesihatan awam, mewujudkan struktur gaji yang setimpal dan keadaan kerja yang lebih baik untuk semua kakitangan kesihatan awam supaya mereka dapat terus berkhidmat dengan bersemangat, dan sebagainya.
  4. Kerajaan harus menghentikan perluasan sektor kesihatan swasta, dengan langkah pertamanya adalah membekukan pembinaan hospital swasta yang bermotifkan keuntungan.

C. Perumahan

  1. Laksanakan polisi perumahan mampu milik atau penyewaan pada harga berpatutan, di lokasi strategik dan selesa didiami.
  2. Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhaen termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang dan memastikan ada perumahan alternatif sebelum pemindahan secara sukarela.
  3. Kurangkan harga rumah dan keluarkan rumah pertama rakyat daripada pasaran swasta.
  4. Tawarkan penstrukturan semula pembayaran dan hentikan lelong rumah marhaen.
  5. Iktiraf golongan peneroka bandar dan gubal Akta Skim Perumahan Ladang.
  6. Majlis Perbandaran Tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.

D. Pekerja migran dan pelarian

  1. Hentikan penahanan terhadap pelarian dan pekerja tidak berdokumen. Manusia bukan jenayah.
  2. Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan yang komprehensif. Hentikan eksploitasi seperti keadaan bekerja yang tidak selamat, waktu kerja yang panjang, tiada latihan peningkatan kemahiran, hak kesihatan tidak terjamin serta tiada perwakilan kesatuan sekerja.
  3. Iktiraf hak semua pekerja tanpa mengira status imigresen untuk menyertai atau membentuk kesatuan sekerja, demi memperjuangkan hak mereka sendiri.
  4. Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak-kanak migran dan pelarian supaya mereka boleh mengubah kehidupan mereka.
  5. Lindungi pekerja wanita migran daripada keganasan berasaskan gender, termasuk pekerja domestik. Wujudkan sistem perlindungan yang tidak hanya sekadar melindungi tetapi menentang secara tegas setiap bentuk penindasan dan kekerasan berasaskan gender.
  6. Pekerja migran tidak seharusnya menanggung beban kos pengambilan. Hapuskan sistem ejen dan pihak ketiga yang membuka ruang kepada eksploitasi, korupsi dan pemerdagangan orang.

E. Hak asasi manusia

  1. Mansuhkan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara dan segala undang-undang  yang mencabul dan menindas hak asasi  rakyat.
  2. Media utama dan alternatif perlu diberi kebebasan untuk memberi maklumat kepada rakyat, oleh itu, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak perlu dimansuhkan. Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyekat kebebasan rakyat bersuara juga perlu dibatalkan. Akta Majlis Media Malaysia yang diluluskan baru-baru ini harus bebas daripada sebarang campur tangan politik. 
  3. Hak pelajar – Mansuhkan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa. 
  4. Hak pekerja wanita – Hentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual di tempat kerja. Mansuhkan undang-undang, dasar dan tindakan yang mengakibatkan diskriminasi sedemikian. Gubal Akta Kesamarataan Gender (Gender Equality Act).
  5. Hak kanak-kanak – Lindungi dan tunaikan hak kanak-kanak mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia (CRC). 
  6. Bersolidariti bersama negara Palestin dan bantah keras penjajahan dan kekejaman genosida Israel di Gaza.

G. Penswastaan

  1. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas – Air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Ianya satu perkhidmatan asas yang harus disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya.
  2. Perumahan, seperti keperluan asas lain, adalah hak rakyat. Kerajaan harus membina lebih banyak rumah mampu milik dan menggubal undang-undang untuk mengehadkan perumahan dijadikan sebagai alat mengaut keuntungan dan melindungi hak penyewa.

H. Orang Asli/Asal

  1. Mengiktirafkan Wilayah Adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta berikan hak milik kekal. 
  2. Kukuhkan status tanah rizab Orang Asal di Sabah & Sarawak. 
  3. Rancangan pembangunan di Wilayah Adat Orang Asli/Asal hendaklah berasaskan prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas dan Telus (Free, Prior and Informed Consent – FPIC) dan aspirasi Orang Asli/Asal.

I. Alam sekitar

  1. Isytihar Darurat Iklim dan segerakan pembentukan Pelan Adaptasi Nasional. Sediakan peruntukan untuk tingkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama untuk komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, gelombang haba dan lain-lain lagi.
  2. Hentikan projek-projek yang memudaratkan alam sekitar serta kesihatan rakyat Malaysia seperti perlombongan bauksit, perlombongan nadir bumi, pembinaan insinerator, loji tenaga nuklear dan lain-lain. Hentikan penambakan laut, penebangan hutan, projek-projek di kawasan sensitif alam sekitar dan pembangunan di lereng bukit.
  3. Hentikan pengimportan sisa yang akhirnya dibuang atau dibakar secara terbuka, dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta menjejaskan kesihatan awam. Utamakan kawalan dan pencegahan pencemaran.
  4. Hentikan pembakaran tanah perladangan dan pembalakan.
  5. Tingkatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, paya bakau, pengurusan sungai, pencegahan dan penebatan banjir, dan pastikan bekalan air yang bersih dan mencukupi.
  6. Gunakan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui, yang bersih dan murah.
  7. Membantah solusi iklim yang palsu seperti Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang tidak efektif untuk mengurangi pelepasan karbon, malah merampas hak tanah komuniti tempatan. 
  8. Iktiraf dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan terutamanya makanan ruji rakyat Malaysia yang akan menjamin kelangsungan makanan kita.

J. Kerja penjagaan (care work)

  1. Kerja penjagaan yang dilakukan oleh wanita, keluarga, dan komuniti harus diiktiraf sebagai sebahagian daripada sumbangan ekonomi dan sosial negara. 
  2. Meningkatkan sokongan untuk keluarga yang menjalankan tugas penjagaan melalui subsidi penjagaan dan pemberian bantuan kewangan untuk meringankan beban ekonomi yang dihadapi, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan.

K. Penggunaan AI

  1. Keselamatan Pekerjaan dalam Era Kecerdasan Buatan (AI), kerajaan perlu memperkasakan keselamatan kerja. Ini termasuk menyediakan latihan semula (reskilling) kepada pekerja yang terlibat dalam industri yang terjejas serta membangunkan sistem perlindungan sosial.
  2. Keterjaminan Kerja dan Hak Cipta. Kerajaan perlu menjamin hasil kerja dan hak cipta tidak disalah guna oleh teknologi AI. Suatu pemindaan dalam akta berkenaan hak cipta perlu wujud untuk membela nasib para karyawan sekiranya syarikat AI tempatan dan global disyaki menggunakan karya mereka tanpa persetujuan sebagai data latihan (training model) algorithm Large Learning Machine (LLM) dan sebagainya.
  3. Kerajaan juga perlu memainkan peranan menyediakan pekerjaan dengan gaji setimpal untuk rakyat dalam sektor yang sukar untuk diautomasi serta penting untuk pembangunan negara seperti:
  • Penjanaan pekerjaan hijau (peralihan daripada tenaga fosil ke tenaga hijau)
  • Penambahan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian
  • Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur kesihatan
  • Pemulihan infrastruktur dan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Penambahan pekerja sosial
  • Pekerjaan dalam sektor pengasuhan kanak-kanak dan pendidikan awal

Senarai organisasi yang menyokong deklarasi ini:

  1. Federasi Pemuda Kebangsaan (FEDERASI)
  2. Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM)
  3. Pro-siswa Kolej Komuniti Malaysia (PRO-SISWA KK)
  4. Harrish Panicker (MUDA N9)
  5. MANDIRI-PUSAT PEMBANGUNAN RAKYAT (MANDIRI)
  6. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
  7. TEROKA
  8. Greenpeace Malaysia
  9. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  10. Mahasiswa Demokratik Malaysia (MDM)
  11. Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY)
  12. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  13. Pemuda Sosialis
  14. Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO)
  15. Hand in Hand Batu Arang
  16. Suara Siswa UiTM
  17. Kelab Sosialis UKM
  18. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
  19. Gegar Amerika (GEGAR)
  20. HAYAT
  21. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
  22. All Women’s Action Society (AWAM)
  23. Gabungan MARHAEN
  24. KLSCAH Youth
  25. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  26. North South Initiative (NSI)
  27. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  28. JENTAYU
  29. enaganita
  30. EMPOWER
  31. Aliran
  32. Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah
  33. Liga Rakyat Demokratik (LRD)
  34. Kesatuan Pekerja Sokongan Swasta di Hospital dan Jabatan Kerajaan
  35. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
  36. Borneo Komrad
  37. Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM)
  38. Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia
  39. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
  40. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML)
  41. Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA)
  42. Klima Action Malaysia (KAMY)
  43. Gabungan Peneroka Bandar Marhaen
  44. Gabungan Petani Perak Marhaen
  45. Gabungan Penternak Marhaen
  46. Gabungan Orang Asli Marhaen
  47. Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen
  48. Persatuan Kebajikan Tanah Perkuburan Tamil Paling Jaya Semenyih
  49. Ruang Komuniti P320
  50. Plantation Resources Centre (PRC)
  51. Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URAMAI)
  52. Yayasan Tamilar Kural Malaysia
  53. Malaysian Deaf Advocacy and Wellbeing Organization (DAWN)
  54. Pertubuhan Mahasiswa Kongres Gombak (CONGRESS)
  55. Idealis Mahasiswa UTHM
  56. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
  57. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  58. Demokrat UKM
  59. Students Against Genocide Malaysia (SAGM)
  60. Liga Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin
  61. Liga Mahasiswa Universiti Sains Malaysia
  62. Liga Mahasiswa Malaysia
  63. Gerakan Perempuan Melawan
  64. Agora Society

2 thoughts on “Deklarasi 1 Mei 2025: Pekerja tiang seri negara – Naikkan gaji, bukan bebanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *