KUALA LUMPUR – 26 NOVEMBER 2025: Kunjungan Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS), ke Kuala Lumpur untuk menghadiri persidangan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), telah “disambut meriah” dengan protes dan laungan slogan-slogan seperti “Bebas Palestin!”, “Hancur imperialis!” dan “Trump, you’re not welcome!” (Trump, kamu tidak dialu-alukan!).

Satu himpunan diadakan di Dataran Merdeka pada pagi tadi untuk menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap kunjungan Trump, selaku pemimpin kerajaan imperialis AS yang merupakan pendukung utama rejim genosid Zionis Israel. Himpunan ini dianjurkan oleh gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang menolak kunjungan Trump, termasuk Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pusat Pembangunan Rakyat (MANDIRI), SEJAGAT dan sebagainya. Parti-parti politik seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Antara pemimpin PSM yang hadir ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), M. Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM) dan Amanda Louis (Ketua Pemuda Sosialis PSM).

Perhimpunan yang sepatutnya diadakan di Ampang Park pagi ini terpaksa dipindahkan lokasinya kerana stesen LRT di sekitar kawasan KLCC termasuk stesen Ampang Park ditutup sementara atas alasan “keselamatan”. Tian Chua, aktivis Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) yang merupakan salah seorang penggerak perhimpunan ini, menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan polis yang menghalang orang ramai berhimpun secara aman untuk membantah kunjungan Trump yang tidak dialu-alukan rakyat Malaysia.

Menurut Tian Chua, pihak penganjur perhimpunan telah memberi makluman awal kepada pihak polis dan bertemu dengan kepimpinan polis. Namun, pihak polis telah melarang orang ramai daripada berhimpun di Ampang Park sehari sebelum perhimpunan. “Kami berhimpun di sini bukannya untuk menentang kerajaan Malaysia, tetapi untuk menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan Kerajaan AS yang menyokong rejim Zionis Israel yang menindas rakyat Palestin dan dasar luar negara AS yang membuli negara-negara Dunia Ketiga. Dasar yang diamalkan oleh kerajaan AS bertentangan dengan semangat ASEAN!”

“Kami berhimpun di sini untuk bersolidariti dengan rakyat di banyak negara yang dianiayai dan dibuli oleh kerajaan AS. Kami ingin memberitahu kepada Trump bahawa dasar kerajaan AS telah membawa pelbagai konflik, bencana dan penderitaan kepada rakyat sedunia,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, semasa memberi ucapan dalam perhimpunan bantah Trump hari ini. “Kami membantah tindakan kerajaan AS pimpinan Trump yang masih menyokong rejim Zionis Israel dengan membekalkan senjata yang membolehkannya terus menzalimi rakyat Palestin.”

“Kami membantah tindakan kerajaan AS yang mengenakan sekatan sehala terhadap negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingan kapitalis AS, seperti Kuba, Venezuela, Iran dan sebagainya,” tambah Dr. Jeyakumar. “Kami juga menolak campur tangan kerajaan AS di rantau ini dan di Laut China Selatan. Negara-negara di Asia Tenggara memang tidak bersetuju dengan tuntutan ‘sembilan garis terputus-putus’ yang dikemukakan oleh China, tetapi kita boleh menangani pertikaian ini secara sendiri tanpa perlunya campur tangan AS. Kerajaan AS tidak patut mencampur tangan di rantau ini!”

2 thoughts on “Kunjungan Trump ke Malaysia disambut protes rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *