
oleh Rani Rasiah
4 orang pekerja kawalan keselamatan mengalami kejutan dalam hidup mereka apabila mereka menerima notis guaman yang menyaman mereka dengan tuntutan RM10 juta atas pertuduhan memfitnah bekas majikan mereka. Sebelum itu, mereka telah melalui satu perjuangan yang berpanjangan dan penuh kesukaran untuk memulihkan kerja mereka, dan mendapatkan semula gaji tertunggak yang sepatutnya dibayar kepada mereka. Mereka telah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Besar Ipoh yang diupah oleh kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan, United Security Services Sdn Bhd, dengan kontrak dua tahun. Kontraktor itu tidak membayar gaji mereka mengikut Akta Kerja, dan memecat mereka selepas mereka mengadu tentang masalah itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Apabila media melaporkan kisah mereka, pihak majikan mendakwa bahawa reputasinya telah dicemari secara tidak adil.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) kini berhadapan dengan empat saman fitnah yang berkaitan dengan kerjanya bersama beberapa sektor masyarakat akar umbi. Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, telah disaman oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) atas kenyataan akhbarnya yang dibuat semasa pengusiran petani-petani sayur dari plot-plot tanah yang diusahakan mereka bergenerasi lamanya di kawasan Kanthan. PKNP telah memutuskan untuk menjualkan plot-plot yang produktif itu untuk pembangunan dan bukannya memajakkannya kepada petani-petani.
M. Sukumaran, penyelaras Jaringan Penternak Lembu Marhaen dan juga ahli PSM Sungai Siput, telah disaman oleh A. Sivanesan, ADUN kawasan Sungkai dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak. Sukumaran dan penternak-penternak lembu (yang merupakan pekerja-pekerja ladang menjalankan penternakan untuk pendapatan sampingan) telah mengkritik Ahli Exco itu kerana dia meminta penternak-penternak untuk meninggalkan kawasan ladang selepas persaraan. Penternak-penternak lembu telah menggesa Sivanesan untuk melawat mereka supaya memahami keadaan. Ahli Exco itu membalas dalam media dengan kenyataan berpihak pada pihak syarikat ladang SD Guthrie, selaras dengan dasar “sifat lembu” syarikat itu, untuk mengusir penternak-penternak lembu dari kawasan ragut tradisional mereka di dalam ladang kelapa sawit. PSM telah menyokong penternak-penternak lembu atas dasar keterjaminan makanan, yang disokong dengan bukti-bukti penemuan ahli-ahli agro-sains mengenai kelebihan penternakan bersepadu yang melibatkan penternakan lembu di dalam ladang kelapa sawit.
Dan kemudiannya, Pengerusi Nasional PSM sekali lagi, bersama dengan M. Sivaranjani, Setiausaha Agung PSM, telah dinamakan sebagai defendan dalam satu lagi saman fitnah yang difailkan oleh sebuah syarikat pembinaan besar, Beaks Construction Sdn Bhd. Pada tahun lepas, pekerja-pekerja migran yang merupakan mangsa skandal penipuan kuota pekerja migran, dengan bantuan daripada aktivis-aktivis PSM, telah memfailkan aduan tentang penyelewengan yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia dan perhambaan zaman moden. Mereka telah dijanjikan pekerjaan, tetapi selepas tiba di Malaysia, mereka terus ditanggalkan tanpa pekerjaan dan pendapatan selama berbulan-bulan. Mereka telah memfailkan tuntutan di JTK dan kisah mereka telah dilaporkan dalam media. Majikan mereka mengatakan bahawa pekerja-pekerja itu telah memfitnahnya dengan tuntutan “palsu” mereka untuk ganti rugi.
Saman keempat ialah kes yang sedang dihadapi oleh pekerja-pekerja kawalan keselamatan yang disebut di atas.
Orang biasa boleh memahami konsep tentang saman fitnah sebagai tindakan undang-undang bagi seseorang yang telah difitnah secara salah dan berniat jahat. Namun, keempat-empat saman di atas benar-benar membingungkan komuniti yang terkesan dan tidak sepadan dengan konsep ini. Ini kerana isi untuk saman fitnah ialah rungutan tentang ketidakadilan yang dialami di pihak plaintif, dan dikemukakan oleh komuniti yang disakiti untuk mendapatkan ganti rugi kepada agensi-agensi kerajaan dan mahkamah, di samping dilaporkan oleh media. Asas tuntutan yang dikemukakan dalam saman fitnah yang disebut di atas bertentangan dengan logik dan mencerminkan tahap kepalsuan yang telah diselinap ke dalam litigasi sivil.
Mengambil contoh 4 orang pengawal keselamatan kontrak itu, mereka semuanya wanita yang berumur 50-an, termasuk dua orang ibu tunggal. Mereka telah memfailkan tuntutan di JTK Ipoh pada bulan Ogos 2022 berkenaan dengan perkara berikut:
- Pengiraan bayaran kerja lebih masa (OT) yang salah sejak kontrak bermula pada bulan September 2021;
- Gaji minimum yang belum dibayar untuk bulan-bulan awal apabila Perintah Gaji Minimum RM1,500 berkuat kuasa, dan tiada peningkatan dalam caruman KWSP serta PERKESO yang sewajarnya;
- Pelbagai pemotongan gaji yang salah berkenaan tidak hadir kerja (RM150 dipotong kerana tidak hadir kerja sehari), dan sebagainya;
- Isu cuti tahunan.
Sehari selepas memfailkan tuntutan di JTK, semua pekerja itu dibuang kerja. Mereka kemudiannya memfailkan kes pemulihan kerja di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atas sebab pemberhentian kerja tidak sah.
Dua bulan kemudian, satu penyelesaian dicapai semasa sesi rundingan damai di JPP. Kedua-dua pihak menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bahawa pekerja-pekerja akan dipulihkan kerja kepada jawatan asal mereka, perkhidmatan dikekalkan. Ini memberikan kelegaan besar kepada pekerja-pekerja wanita yang mengalami kesusahan teruk dan terpaksa berjuang untuk hak mereka. Namun, mereka dikecewakan lagi, dan aktivis-aktivis PSM turut tertanya-tanya, apabila pihak majikan dengan beraninya mengingkari MOU yang ditandatanganinya, sehingga memanjangkan lagi penderitaan pekerja-pekerja. Pekerja-pekerja itu membuat rayuan kepada JPP; proses rayuan mengambil masa lama dan pekerja-pekerja semakin runsing. Mereka menyedari bahawa apabila JPP membuat keputusan, kontrak majikan itu akan tamat, dan penghakiman yang berpihak pada mereka itu hanya semata-mata keputusan atas kertas.
Hanya apabila aksi protes duduk bantah oleh pekerja-pekerja dan aktivis-aktivis diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, Kementerian mencampur tangan dan mengarahkan kontraktor untuk mematuhi MOU. Pekerja-pekerja itu akhirnya dipulihkan kerja, dan beberapa bulan kemudian, mereka memenangi tuntutan mereka di Mahkamah Buruh. Namun, pihak majikan membuat rayuan terhadap perintah JTK, dan akhirnya Mahkamah Tinggi menolak rayuan majikan dengan kos. Pekerja-pekerja telah dibayar apa yang dituntut mereka (tetapi kos yang dikenakan mahkamah masih belum dibayar), dan pekerja-pekerja itu sudah beralih dari situ. Akan tetapi, sekarang ini mereka dikenakan saman fitnah secara tiba-tiba dan tidak masuk akal.
Saman terhadap pekerja-pekerja kawalan keselamatan itu adalah berasaskan sebuah rencana yang disiarkan dalam media, di mana pekerja-pekerja itu bersuara selepas memfailkan tuntutan mereka di JTK. Rencana itu melaporkan secara terperinci tuntutan yang dikemukakan oleh mereka – untuk baki pembayaran OT mengikut kadar yang termaktub dalam Akta Kerja, waktu tengah hari dimasukkan sebagai OT kerana tiadanya waktu rehat yang jelas, gaji minimum yang belum dibayar, pemulangan pemotongan gaji yang salah dan sebagainya. Rencana itu menyiarkan komen pekerja mengenai kesan pelanggaran undang-undang itu terhadap keadaan kewangan mereka.
Saman RM10 juta itu mendakwa bahawa semua kenyataan dalam rencana media itu adalah palsu, fitnah dan berniat jahat, di samping menggambarkan secara palsu plaintif sebagai majikan yang tidak bertanggungjawab, tidak prihatin dan melanggar undang-undang. Oleh itu, kenyataan itu merosakkan reputasi dan prospek perniagaannya.
Tiga saman yang lain adalah serupa. Kenyataan dan komen yang berasaskan perjuangan komuniti yang sebenar dalam menentang penindasan itu dijadikan subjek saman fitnah, dengan plaintif berpura-pura tidak bersalah sepenuhnya di pihak mereka.
Saman yang remeh dengan tuntutan karut mereka ini dikenali sebagai saman “litigasi strategik terhadap penyertaan awam” (SLAPP) atau saman ugutan. Saman ugutan sebegini bertujuan untuk mengintimidasi golongan marhaen dan komuniti miskin, menghalang wartawan dan media, membazirkan sumber-sumber aktivis, dan membuang masa mahkamah. Tindakan sebegini cuba menyekat rakyat yang hak mereka telah dicabuli itu daripada tampil ke hadapan untuk mendapatkan keadilan dan menggunakan media.
Undang-undang saman fitnah mempunyai kepentingannya dalam masyarakat, tetapi apabila syarikat (serta individu) yang kaya dan berkuasa itu menyalahgunakannya untuk mengintimidasi rakyat biasa dan aktivis, kritikan sah akan didiamkan dan demokrasi yang menderita. Mahkamah harus diberi kuasa – oleh perundangan yang baharu jika perlu – untuk mengenakan penalti yang berat ke atas pihak-pihak yang menyalahgunakan peruntukan saman fitnah itu untuk membuli sehingga mendiamkan orang.
==========
Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).