Dari peperangan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh jentera perang yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis sehingga krisis iklim yang terus mengancam kewujudan umat manusia di muka bumi, dunia kita terus berada dalam krisis sepanjang tahun 2023.
Kerajaan-kerajaan yang anti-demokratik di seluruh dunia terus menggunakan pendekatan yang lebih bersifat autoritarian untuk menindas rakyat dan mengekalkan kekuasaan mereka, sementara golongan pelampau kanan yang konservatif dan tidak bertoleransi terus mengembangkan pengaruh mereka untuk memecah-belahkan rakyat demi melindungi kepentingan segelintir golongan elit pemerintah.
Namun begitu, gerakan perjuangan rakyat yang berorganisasi dan bermobilisasi dari bawah masih terus menentang segala bentuk ketidakadilan dan penindasan. Perjuangan masyarakat di seluruh dunia sudah pasti akan diteruskan pada tahun 2024.
Marilah kita imbas kembali beberapa peristiwa pergolakan politik dan perjuangan rakyat yang penting di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2023:
1. Pembantaian Gaza dan gelombang aksi solidariti bersama rakyat Palestin
Rejim Zionis Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza yang sudah pun dikenakan sekatan selama 16 tahun sebagai reaksi ganas terhadap “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023. Pengeboman yang berterusan dan pencerobohan darat secara besar-besaran ke atas Gaza oleh tentera Israel telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 21,100 orang warga Palestin di Gaza setakat penghujung tahun 2023, termasuk lebih 8,500 orang kanak-kanak dan lebih 6,300 orang wanita. 1.9 juta orang penduduk Gaza kehilangan tempat kerana serangan keganasan tentera Israel. Sementara itu, lebih 320 orang warga Palestin turut dibunuh oleh rejim Zionis Israel di Tebing Barat. Rakyat Palestin masih terpaksa berhadapan dengan Nakba yang telah berlarutan selama 75 tahun.
Serangan ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dan penindasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin telah mencetuskan gelombang protes di seluruh dunia yang bersolidariti dengan rakyat Palestin, dengan tuntutan gencatan senjata segera dan penamatan penindasan terhadap rakyat Palestin.
2. Perang di Sudan
Peperangan baharu tercetus di Sudan apabila dua puak dalam kerajaan tentera, Angkatan Tentera Sudan (SAF) yang dipimpin oleh Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Cepat (RSF) yang dipimpin oleh Mohamed Hamdan Dagalo, bertempur dalam pergelutan untuk kekuasaan. Peperangan yang berlaku sejak 15 April 2023 ini telah mengorbankan nyawa 10,000 orang dan menyebabkan hampir 7 juta orang menjadi pelarian.
3. Rampasan kuasa tentera di Niger
Rampasan kuasa tentera yang dipimpin oleh Abdourahamane Tchiani menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Mohamed Bazoum pada 26 Julai 2023. Kerajaan tentera baharu yang berkuasa membatalkan kerjasama ketenteraan dengan Perancis dan menuntut tentera Perancis untuk berundur keluar dari negara itu, di mana tindakan tersebut mendapat sokongan hebat daripada rakyat Niger. Atas tekanan yang hebat, tentera Perancis berundur keluar dari Niger dengan sepenuhnya pada 22 Disember 2023.
4. Thailand: Pihak tentera sekat calon PM pilihan rakyat daripada bentuk kerajaan
Walaupun Parti Langkah Jauh (MFP) yang anti-tentera memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei 2023, puak penyokong tentera yang menguasai Dewan Senat menyekat pemimpin MFP Pita Limjaroenrat daripada dilantik sebagai Perdana Menteri. Selepas Parti Pheu Thai meninggalkan gabungan parti anti-tentera yang diterajui oleh MFP dan menjalin kerjasama dengan parti-parti politik yang pro-tentera, Srettha Thavisin daripada Parti Pheu Thai dilantik sebagai Perdana Menteri Thailang yang baharu pada 22 Ogos 2023.
5. Perancis: Mogok menentang serangan terhadap pencen
Pekerja-pekerja Perancis melancarkan aksi protes dan mogok besar-besaran pada 19 Januari 2023 untuk membantah rancangan Presiden Emmanuel Macron yang hendak meningkatkan umur persaraan di negara itu dari 62 tahun kepada 64 tahun. Lebih banyak aksi protes berlaku lagi selepas kerajaan meluluskan rang undang-undang “pembaharuan” pencen yang meningkatkan umur persaraan itu tanpa melalui pengundian dalam Perhimpunan Kebangsaan.
6. Azerbaijan menyerang dan menguasai Nagorno-Karabakh
Azerbaijan melanggar Perjanjian Gencatan Senjata Nagorno-Karabakh 2020 dan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Republik Artsakh pada 19-20 September 2023. Kerajaan Republik Artsakh yang mentadbir wilayah Nagorno-Karabakh dipaksa untuk membubarkan dirinya dalam perjanjian gencatan senjata yang tercapai di bawah pengantaraan pasukan pengaman Rusia pada 20 September 2023. Kebimbangan terhadap pembersihan kaum yang bakal dilakukan oleh kerajaan Azerbaijan yang menguasai Nagorno-Karabakh, menyebabkan lebih 100,000 orang penduduk beretnik Armenia di wilayah itu meninggalkan kampung halaman mereka pada penghujung bulan September 2023. Gelombang protes tercetus di Armenia berikutan serangan tentera Azerbaijan ke atas Nagorno-Karabakh, dengan para demonstran menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan Armenia pimpinan Perdana Menteri Nikol Pashinyan yang gagal mempertahankan Republik Artsakh.
7. AS: Mogok pekerja automobil
Kesatuan buruh United Auto Workers (UAW) mengadakan aksi mogok terhadap 3 buah syarikat pembuat kereta yang besar di Amerika Syarikat (AS) – Ford Motor Company, General Motor dan Stellantis, pada 15 September 2023 dan berlarutan sehingga 30 Oktober 2023. Aksi mogok ini berjaya mencapai perjanjian yang merangkumpi perkara seperti peningkatan gaji pekerja, pelarasan kos sara hidup, penamatan sistem pengupahan dua peringkat, peningkatan dalam faedah kerja lebih masa dan persaraan.
8. Georgia: Protes bantah undang-undang ejen asing
Protes jalanan besar-besaran tercetus di Georgia pada 6 Mac 2023. apabila parlimen bercadang untuk meluluskan rang undang-undang mengenai ejen asing yang dianggap sebagai satu cara untuk mengehadkan ruang demokratik masyarakat sivil di negara itu seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan Rusia. Hasil daripada aksi protes yang hebat, Parlimen Georgia menarik balik rang undang-undang tersebut pada 10 Mac 2023.
9. Jerman: Pekerja pengangkutan awam bermogok
Lebih 400,000 orang pekerja pengangkutan di Jerman mengadakan aksi mogok di seluruh negara itu pada 27 Mac 2023 untuk menuntut peningkatan gaji sebanyak 10.5% bagi pekerja-pekerja pengangkutan supaya mengimbangi kenaikan kos tenaga dan makanan di negara itu. Ini merupakan aksi mogok pekerja pengangkutan yang terbesar di Jerman sejak tahun 1990-an.
10. Greece: Tragedi pelanggaran kereta api mencetuskan gelombang protes
Peristiwa pelanggaran dua buah kereta api yang meragut nyawa 57 orang di selatan Lembah Tempe, Larissa, Greece, pada 28 Februari 2023, mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara itu selama 3 minggu. Aksi protes yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kegagalan kerajaan Greece dalam memodenkan sistem kereta api demi keselamatan rakyat ini merupakan protes yang terbesar sejak tahun 2011.