Gelombang protes dan mogok pekerja di Perancis semakin hebat apabila Emmanuel Macron, Presiden Perancis, dan kerajaannya berdegil untuk meneruskan serangan ke atas sistem pencen di negara itu, iaitu meningkatkan umur persaraan dari 62 tahun ke 64 tahun.
Walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Élisabeth Borne di bawah Presiden Macron meluluskan rang undang-undang “pembaharuan” pencen yang meningkatkan umur persaraan itu tanpa melalui pengundian dalam Perhimpunan Kebangsaan baru-baru ini, pekerja-pekerja di Perancis masih lantang bersuara membantahnya, malah bermobilisasi dalam jumlah yang lebih besar lagi.
Pada 23 Mac 2023, kesatuan-kesatuan pekerja di Perancis melancarkan satu lagi pusingan aksi mogok dan protes besar-besaran di seluruh negara itu untuk membantah rang undang-undang “pembaharuan” pencen yang memangsakan pekerja itu. Menurut Konfederasi Umum Buruh (CGT), sebanyak 3.5 juta orang turun berprotes di jalanan di seluruh negara, dengan 800,000 orang berdemonstrasi di Paris, ibu negara Perancis. Menurut anggaran kesatuan pekerja juga, 250,000 orang beraksi di Marseille, 110,000 orang di Bordeaux, 55,000 orang di Lyon, 50,000 orang di Clermont-Ferrand, 40,000 orang di Nice, 30,000 orang di Avignon, 30,000 orang di Toulon, 24,000 orang di Bayonne, 24,000 orang di Tarbes, 15 orang di Le Puy-en-Velay, dan sebagainya. Pihak berkuasa pula memberi angka yang jauh lebih rendah, iaitu 1 juta orang berprotes di seluruh negara, dan 119,000 orang berdemonstrasi di Paris. Walau bagaimanapun, jumlah demonstran yang turun beraksi adalah sangat besar jika bukannya yang terbesar pun.
Demonstrasi yang sporadik sudah pun tercetus di Paris dan bandar-bandar lain selepas kerajaan Perancis meluluskan rang undang-undang yang ditentang hebat oleh golongan pekerja itu pada 16 Mac 2023 tanpa membenarkan pengundian dalam Perhimpunan Kebangsaan Perancis. Aksi mogok dan protes pada 24 Mac 2023 ialah aksi besar-besaran pertama yang diselaraskan oleh kesatuan-kesatuan pekerja selepas rang undang-undang yang kontroversi itu diluluskan. Ia juga merupakan hari aksi mogok yang kesembilan sejak kerajaan Perancis memperkenalkan rang undang-undang tersebut pada bulan Januari 2023.
Aksi mogok pada 23 Mac 2023 telah mengganggu rangkaian pengangkutan, loji penapisan minyak, perkhidmatan perbandaran (seperti pengumpulan sampah) dan sekolah-sekolah di seluruh negara Perancis. Hanya 2 daripada 14 laluan metro di Perancis masih beroperasi seperti biasa, sementara hanya separuh daripada kereta api kelajuan tinggi TGV masih berjalan. Sampah sarap bertimbunan seperti gunung di Perancis kerana mogok pekerja pengumpul sampah. Pihak berkuasa pula bertindak ganas terhadap pekerja-pekerja yang berprotes.
Kerajaan Perancis cuba membawa “pembaharuan” pencen yang meningkatkan umur persaraan pada penghujung tahun 2019, tetapi telah ditentang hebat dengan gelombang protes pekerja besar-besaran pada masa itu, dan Presiden Macron menangguhkan rancangan “pembaharuan” pencen buat sementara untuk meredakan kemarahan rakyat pada masa itu. Rancangan “pembaharuan” pencen tergendala semasa pandemik COVID-19; tetapi selepas Macron berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Perancis dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2022, kerajaannya memperkenalkan semula rancangan “pembaharuan” pencen yang merupakan serangan ke atas golongan pekerja. Kali ini, Macron telah mengambil pendirian yang lebih keras kepala walaupun berdepan dengan gelombang protes yang lebih besar sejak bulan Januari 2023. Macron nampaknya amat terdesak untuk melaksanakan “pembaharuan” yang anti-pekerja ini sehingga menggunakan pendekatan yang anti-demokratik.
Pada 16 Mac 2023, selepas Dewan Senat Perancis meluluskan rang undang-undang “pembaharuan” pencen yang dicadangkan oleh kerajaan itu dengan undian 193-114, kerajaan pimpinan Élisabeth Borne menggunakan Perkara 49.3 Perlembagaan Perancis yang membenarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang serta-merta tanpa melalui sebarang pengundian dalam Perhimpunan Kebangsaan (iaitu dewan rakyat dalam Parlimen Perancis). Kerajaan pimpinan Borne di bawah Presiden Macron berbuat demikian kerana memang bimbang bahawa rang undang-undang tersebut tidak mendapat sokongan yang mencukupi dalam Perhimpunan Kebangsaan di mana gabungan parti yang menyokong Macron ialah minoriti. Berikutan penggunaan Perkara 49.3 Perlembagaan Perancis untuk meluluskan rang undang-undang “pembaharuan” pencen, dua usul undi tidak percaya telah dikemukakan oleh parti-parti pembangkang, tetapi kedua-duanya telah ditolak dalam pengundian. Usul undi tidak percaya yang dibawa oleh perikatan merentasi gabungan parti politik yang termasuk Kesatuan Ekologi dan Sosial Rakyat Baharu (NUPES) yang berhaluan kiri, telah ditolak dengan undian yang sengit, iaitu 278 undi sokong dan 295 undi tolak.
Dengan badan perundangan gagal menghalang kerajaan Perancis daripada membawa rang undang-undang yang anti-pekerja, sekarang perjuangan melawan serangan ke atas kelas pekerja ini tertumpu semula dalam mobilisasi massa yang lebih hebat lagi. Api kemarahan rakyat pekerja Perancis sedang merebak dengan hebatnya. Sekiranya Presiden Macron dan kerajaan di bawahnya masih berpegang teguh dengan pendirian mereka yang anti-pekerja, sudah pasti penentangan daripada gerakan pekerja akan lebih hebat lagi…
One thought on “Perancis: Api kemarahan pekerja bersemarak terhadap Macron yang serang sistem pencen”