Bulan Mei 2023 menandakan ulang tahun ke-75 Nakba – malapetaka yang melanda rakyat Palestin apabila mereka diusir keluar secara ganas dari kampung halaman mereka oleh kerajaan Zionis Israel yang mengamalkan dasar apartheid sejak tahun 1948.

Penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948 merupakan usaha politik yang didorong oleh fahaman Zionis yang bersifat perkauman dan mendapat restu daripada kuasa imperialis Barat. Zionisme ialah sejenis ideologi nasionalis sempit yang hendak mewujudkan “tanah air Yahudi” di kawasan “Tanah Dijanjikan”. Pembentukan Israel yang berasaskan perampasan tanah secara ganas oleh kumpulan bersenjata Zionis terhadap tanah yang dihuni oleh warga Arab di Palestin, telah mengundang bencana kemanusiaan yang hebat kepada warga Arab yang tinggal di bumi Palestin.

Lebih 750,000 orang rakyat Palestin telah diusir keluar secara paksa dari kampung halaman mereka oleh kumpulan militia Zionis dalam satu kempen pembersihan etnik besar-besaran di tanah Palestin untuk mewujudkan negara Israel. Lebih 450 buah kampung dan pekan yang dihuni oleh warga Palestin telah dimusnahkan semasa Nakba. Angkatan bersenjata Zionis telah melakukan kekejaman besar-besaran semasa pengusiran terhadap warga Palestin, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin dan Tantura.

Sepanjang tahun 1948, lebih kurang tiga perempat daripada seluruh warga Palestin telah kehilangan tempat tinggal, tanah, mata pencarian, dan malah nyawa mereka. Rakyat Palestin yang diusir keluar dari tanah air mereka itu terpaksa hidup di dalam kem-kem pelarian yang berselerak di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Baitulmuqaddis dan negara-negara yang berjiranan dengan Palestin.

Siri peristiwa yang menafikan warga Palestin kampung halaman di tanah air mereka pada tahun 1948 ini dikenali sebagai “Nakba”. “Nakba” bermaksud malapetaka dalam Bahasa Arab.

Nakba yang menimpa rakyat Palestin tidak berakhir pada tahun 1948. Sejak tahun 1948, rakyat Palestin telah kehilangan lebih 85% tanah mereka kepada negara Israel dalam proses perluasan dan penjajahan peneroka Zionis yang berterusan. Pengambilan tanah, pengusiran paksa dan perobohan secara besar-besaran terhadap rumah kediaman warga Palestin yang masih berterusan di Baitulmuqaddis, Masafer Yatta dan padang pasir Naqab, dilakukan dengan cara ugutan dan gangguan oleh tentera Israel dan peneroka Zionis yang menjadikan kehidupan rakyat Palestin lebih susah lagi untuk ditanggung.

Keganasan peneroka Israel terhadap warga Palestin telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tindakan keganasan peneroka Israel telah mendapat sokongan daripada rejim Israel yang sekarang ini juga merangkumi golongan pelampau kanan fasis.

Negara Israel ialah sebuah projek Zionis yang berasaskan kolonialisme peneroka, rasisme, apartheid dan penindasan terhadap rakyat Palestin, di samping bersubahat dengan kekuasaan imperialis untuk melindungi kepentingan geopolitik imperialis Amerika Syarikat (AS) di rantau Timur Tengah.

Nakba dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin ialah lanjutan warisan penjajahan Eropah (khususnya Britain) di rantau Timur Tengah yang diteruskan dengan pendudukan rejim Zionis yang merupakan sekutu rapat kepada kuasa imperialis AS. Rakyat Palestin telah melakukan perjuangan berterusan untuk membebaskan diri mereka daripada penjajahan dan penindasan oleh rejim Zionis Israel.

Perjuangan rakyat Palestin untuk menentang kezaliman rejim Zionis Israel ialah satu perjuangan untuk pembebasan masyarakat, anti-kolonialisme dan anti-imperialisme yang masih belum selesai. Rakyat seluruh dunia yang mendukung keadilan sosial harus terusmenyokong perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan sebenar.

Baca lebih lanjut mengenai Nakba dan perjuangan pembebasan rakyat Palestin di sini.

3 thoughts on “Nakba 75 tahun: Penderitaan rakyat Palestin yang berterusan dan perjuangan pembebasan nasional yang belum selesai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *