oleh Sivarajan Arumugam

PSM menyangkal kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang mengatakan bahawa pilihan raya majlis tempatan bukannya keutamaan kerajaan buat masa ini. Kami ingin mengingatkan Menteri bahawa dia patut menetapkan keutamaan mengikut tuntutan rakyat dan bukan sebaliknya.

Pendahulunya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini, pernah yakin bahawa pilihan raya majlis tempatan boleh diadakan dalam masa 3 tahun akan datang. Dia berkata dalam Dewan Rakyat pada tahun 2020 bahawa beberapa kajian kebolehlaksanaan mengenai pilihan raya tempatan telah diadakan antara tahun 2018 dan 2019. Dia menambah lagi bahawa sebuah jawatankuasa operasi, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin NGO dan komuniti, telah ditugaskan untuk menyediakan kertas-kertas mengenai persepsi awam terhadap pilihan raya majlis tempatan dan mencadangkan program kesedaran supaya orang awam memahami peranan pilihan raya majlis tempatan.

Kami menggesa Menteri Nga Kor Ming untuk mendedahkan hasil kajian ini supaya kita boleh membuat penilaian yang objektif terhadap kebaikan dan keburukan pilihan raya tempatan.

Pada masa ini, wang pembayar cukai telah digunakan untuk membayar Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan malah Menteri-menteri untuk menyelesaikan isu di bawah majlis tempatan. Kenapa kita membayar gaji Menteri kepada Nga Kor Ming untuk menjaga kemudahan tandas awam? Ini adalah kerja untuk ahli-ahli majlis tempatan! Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan sepatutnya menggubal dasar untuk menangani harga rumah yang semakin meningkat, bukannya membuat pemeriksaan mengejut di tandas! Ini sungguh membazirkan sumber!

Jelasnya, kedua-dua PAS dan DAP tidak berminat untuk menangani masalah orang awam, tetapi hanya melihat kepada kawalan mereka terhadap kuasa politik. PAS takut bahawa lebih banyak wakil rakyat DAP akan dipilih, kerana DAP biasanya mempunyai sokongan kuat di kawasan bandar sementara PAS berpengaruh di kawasan luar bandar. PAS telah begitu terdesak merendahkan martabatnya sehingga berhujah bahawa pilihan raya majlis tempatan hanya hanya akan menimbulkan ketegangan kaum, tanpa sebarang asas.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, pemimpin PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Al-Fadhil Ustaz Azhar secara terang-terangan berkata bahawa tidak perlu adanya perbincangan lanjut mengenai isu pilihan raya majlis tempatan. Adakah mereka takut bahawa rakyat akan menyedari tentang pembohongan penyebaran ketakutan mereka yang tidak berasas? Tanpa sebarang kajian atau data yang menyokong dakwaan mereka bahawa orang Melayu akan kehilangan penguasaan terhadap majlis tempatan sekiranya pilihan raya diadakan, adalah jelas bahawa PAS sendiri merupakan punca yang berniat untuk mencetuskan ketidakharmonian kaum.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, majlis tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Majlis tempatan tidak boleh bertindak sesuka hati! Mereka perlu mematahui semua dasar kerajaan negeri mengenai pelesenan arak dan lesen hiburan. Adakah PAS tidak yakin bahawa dewan-dewan undangan negeri dengan majoriti Melayu-Muslim akan dapat mengawal selia majlis-majlis tempatan secara berkesan? Tidakkah mereka mempunyai kepercayaan pada kakitangan majlis tempatan, yang kebanyakannya Melayu Muslim, untuk melaksanakan dasar-dasar mengikut kesensitifan agama?

Pilihan raya majlis tempatan merupakan komponen yang penting untuk sebuah demokrasi yang berfungsi, supaya setiap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli majlis tempatan yang dipilih dapat menjalankan tugas mereka yang jelas digariskan dan tidak bertindih antara satu sama lain.

Oleh itu, PSM berpandangan bahawa pilihan raya majlis tempatan merupakan keutamaan rakyat dan kerajaan tidak patut menyerah kalah kepada ketakutan berdasarkan hujah-hujah perkauman yang tidak berasas. Jika kerajaan mula mengusahakannya sekarang, kami percaya bahawa pilihan raya majlis tempatan (sekurang-kurangnya di negeri-negeri tertentu) boleh dilaksanakan secara bersama dengan Pilihan Raya Umum pada tahun 2027-2028.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *