Kumpulan-kumpulan pejuang Palestin melancarkan serangan mengejut secara besar-besaran terhadap Israel dari Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023. Golongan pejuang Palestin yang melancarkan serangan terbaru ini diterajui oleh kumpulan Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza sejak tahun 2006. Kumpulan-kumpulan lain seperti Barisan Pembebasan Rakyat Palestin (PFLP) dan Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin (DFLP) turut mengambil bahagian dalam penyerangan ke atas kawasan yang diduduki oleh Israel, sementara kumpulan Hizbullah di Lubnan juga melancarkan serangan roket ke atas Israel.
Hamas menggelar serangan ini sebagai “Operasi Taufan al-Aqsa”. Kira-kira 5,000 roket telah ditembak ke dalam kawasan yang dikuasai Israel. Kumpulan pejuang penentang Palestin berjaya menembusi halangan yang didirikan oleh kerajaan Israel di sekeliling Semenanjung Gaza, dan memasuki kawasan yang diduduki oleh pihak berkuasa Israel. Adanya orang menggelar pergolakan terbaru ini sebagai “Intidadah Ketiga” bagi rakyat Palestin.
Adalah dilaporkan lebih 700 orang terbunuh dalam operasi penyerangan ke atas Israel. Kerajaan Israel bertindak balas dengan mengisytihar perang dan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza, dengan membunuh sekurang-kurangnya 400 orang setakat ini.
Serangan mengejut oleh kumpulan pejuang Palestin terhadap Israel bukannya sesuatu yang “mengejut” kerana rakyat Palestin telah hidup di bawah penindasan zalim oleh kerajaan Zionis Israel berdekad-dekad lamanya. Peningkatan penentangan rakyat Palestin yang terbaru ini hanyalah kemuncak usaha perjuangan rakyat Palestin yang baharu untuk menentukan nasib sendiri dan membebaskan diri daripada belenggu penindasan oleh Israel.
Rakyat Palestin telah dizalimi dengan teruknya sejak pembentukan negara Israel pada tahun 1948. Negara Israel ialah sebuah projek Zionis yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan berasaskan kolonialisme, rasisme, apartheid serta penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin. Perluasan dan penjajahan peneroka Zionis Israel yang berterusan di atas bumi Palestin telah menyebabkan kebanyakan rakyat Palestin kehilangan tanah dan tempat tinggal mereka sehingga terpaksa menjadi pelarian.
Selepas pengunduran Israel keluar dari Semenanjung Gaza pada tahun 2005 dan Hamas menguasai Semenanjung Gaza pada tahun 2006, kerajaan Israel mengenakan sekatan terhadap Semenanjung Gaza sejak 2007. Sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel telah menjadikan jalur tanah seluas 365 km persegi itu menjadi “penjara terbuka” yang terbesar di dunia, dengan lebih 2 juta orang warga Palestin terperangkap di dalamnya tanpa bekalan hidup yang mencukupi. Lebih-lebih lagi, tentera Israel sering melancarkan serangan terhadap Semenajung Gaza yang sudah meragut nyawa beribu-ribu orang warga Palestin sepanjang 17 tahun yang lalu. Kesusahan hidup yang disebabkan oleh sekatan daripada Israel inilah merupakan salah satu pencetus kemarahan rakyat Palestin sehingga melancarkan penentangan yang lebih hebat seperti serangan terbaru ini.
Tambahan pula, keganasan golongan pelampau Zionis Israel terhadap warga Palestin juga semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Konflik di Timur Tengah yang melibatkan Palestin ini akan menjadi lebih meruncing lagi dengan peningkatan keganasan berikutan penentangan rakyat Palestin yang memuncak dan serangan ketenteraan Israel yang lebih hebat terhadap rakyat Palestin.
Masyarakat antarabangsa sekali lagi bergelut untuk mencari keamanan di rantau Timur Tengah. Namun, keamanan yang berkekalan hanya berkemungkinan di rantau Timur Tengah apabila rakyat Palestin dapat menentukan nasib mereka sendiri dan membebaskan diri daripada pendudukan Israel.
7 thoughts on “Palestin: Penentangan terhadap penjajahan Israel sedang memuncak”