(foto: ActuNiger)

Pada 24 September 2023, Emmanuel Macron, Presiden Perancis, berkata bahawa kerajaan Perancis telah memutuskan untuk memanggil balik dutanya di Niger dan mengundurkan tentera Perancis yang ditempatkan di negara Afrika Barat itu. Pengunduran keluar 1,500 orang tentera Perancis dari Niger akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan sehingga penghujung tahun ini.

Pengumuman oleh kerajaan Perancis ini dibuat selepas desakan yang hebat selama hampir dua bulan daripada rakyat Niger yang berprotes di jalanan dan kerajaan tentera di Niger yang mengambil alih kuasa sejak 26 Julai 2023. Kerajaan Perancis pada asalnya enggan mengundurkan tenteranya di Niger, tetapi sekarang terpaksa akur pada kehendak rakyat Niger yang marah dengan kehadiran tentera bekas penjajahnya.

“Majlis Kebangsaan untuk Perlindungan Tanah Air” (CNSP), iaitu kerajaan tentera yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Mohamed Bazoum pada 26 Julai 2023, telah mengemukakan tuntutan untuk menamatkan dominasi ekonomi, ketenteraan dan politik Perancis ke atas Niger, di mana ia telah mendapat sambutan dan sokongan yang hebat daripada rakyat Niger. Gelombang protes besar-besaran yang menyokong kerajaan tentera dan mendesak pengunduran keluar tentera Perancis telah tercetus di jalanan Niger sepanjang hampir dua bulan yang lepas.

Pengunduran keluar Perancis dari Niger merupakan satu kemenangan bersejarah bagi rakyat Niger yang tegas dengan keazaman mereka dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada campur tangan kuasa imperialis yang berterusan. Perancis pernah menjajah negara Niger. Walaupun Niger telah mencapai kemerdekaan secara rasminya pada tahun 1960, Perancis masih mempunyai pengaruh yang mendominasi ke atas Niger. Dalam satu dekad kebelakangan ini, Perancis mengerahkan tenteranya ke rantau Sahel, termasuk Niger, atas nama memerangi kumpulan pengganas di situ, tetapi keganasan telah bertambah lagi dengan kehadiran tentera Perancis.

Walaupun telah mengumumkan pengunduran keluar tentera dan memanggil balik dutanya, kerajaan Perancis pimpinan Macron masih enggan mengiktiraf CNSP sebagai kerajaan baharu Niger.

Kesatuan serantau “Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat” (ECOWAS) yang disokong oleh Perancis cuba untuk melakukan campur tangan ketenteraan ke atas Niger, tetapi ramai rakyat di negara-negara dalam blok ECOWAS membantahnya, khususnya Nigeria dengan kuasa tentera terbesar dalam ECOWAS di mana Dewan Senat Nigeria sendiri mengundi untuk tidak menyokong pengerahan tenteranya ke Niger. Kesatuan Afrika juga enggan menyokong campur tangan tentera oleh ECOWAS yang disokong oleh Perancis.

Sementara itu, kerajaan baharu CNSP di Niger telah diberi jaminan sokongan ketenteraan oleh Mali dan Burkina Faso dengan pembentukan Perikatan Negara-negara Sahel (AES) pada 16 September 2023. AES yang dianggotai oleh Mali, Burkina Faso dan Niger merupakan kerjasama pertahanan untuk melindungi ketiga-tiga buah negara yang telah melalui kudeta tentera itu daripada ancaman pemberontakan bersenjata atau pencerobohan kuasa asing, dengan menekankan bahawa “sebarang serangan ke atas kedaulatan dan keutuhan wilayah satu atau lebih daripada pihak yang berkontrak akan dianggap sebagai serangan ke atas pihak lain”.

Perancis mula menempatkan tenteranya di rantau Sahel pada tahun 2014 melalui apa yang dikenali sebagai Operasi Barkhane, dengan tujuan menewaskan pemberontakan kumpulan Islamis yang merebak di seluruh rantau itu berikutan kemusnahan Libya yang disebabkan oleh peperangan, di mana Perancis merupakan peserta utama dalam campur tangan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di situ. Pada kemuncaknya, Perancis telah mengerahkan sebanyak 5,500 orang tentera di negara-negara G5 Sahel, iaitu Mali, Burkina Faso, Niger dan Chad, di mana wujudkan pangkalan tentera Perancis yang tetap, serta Mauritania.

Tentera Perancis telah berundur keluar dari Mali dan Burkina Faso sebelum ini selepas kedua-dua buah negara itu mengalami kudeta tentera dan kerajaan baharu tidak lagi mengalu-alukan kehadiran tentera Perancis. Sekarang ini dengan tentera Perancis dalam perjalanannya keluar dari Niger, hanya tinggal Chad sebagai negara G5 Sahel yang masih mempunyai pangkalan tentera tetap Perancis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *