Pita Limjaroenrat (kanan duduk) gagal mendapat sokongan majoriti dalam sesi bersama Dewan Perwakilan dan Dewan Senat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. (foto: AP Photo/Sakchai Lalit)

Calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Parti Langkah Jauh (Move Forward Party) yang memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Thailand 2023 gagal membentuk kerajaan apabila kebanyakan Senator yang bukannya dipilih secara demokratik mengundi untuk menolaknya! Ini bagaikan satu kudeta sebelum kerajaan dibentuk dan membelakangkan pilihan demokratik rakyat di Thailand.

Parlimen Thailand mengadakan sesi bersama Dewan Perwakilan dan Dewan Senat pada 19 Julai 2023 untuk memilih Perdana Menteri Thailand baharu buat kali kedua selepas pengundian sesi bersama dua dewan tersebut pada 13 Julai 2023 menggagalkan pembentukan kerajaan yang diterajui oleh Parti Langkah Jauh.

Gabungan 8 buah parti politik yang menyokong pencalonan Pita Limjaroenrat, pemimpin Parti Langkah Jauh, gagal memperoleh 375 undi yang diperlukan dalam Parlimen untuk membentuk kerajaan, walaupun ia menguasai lebih 60% kerusi Dewan Perwakilan yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum pada bulan Mei 2023. Parti Langkah Jauh, sebuah parti progresif yang anti-tentera dan merupakan pengganti kepada Parti Maju Masa Depan (Future Forward Party) yang dibubarkan oleh mahkamah pada tahun 2020 (tetapi mencetuskan gelombang protes pro-demokrasi yang hebat), memenangi 151 daripada 500 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum; sementara Parti Pheu Thai, sebuah lagi parti anti-tentera yang menjadi parti kedua besar dalam Dewan Perwakilan, memenangi 141 kerusi. Kedua-dua parti anti-tentera yang utama telah bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama dengan parti-parti kecil yang lain. Jika dalam mana-mana negara demokratik yang biasa, sepatutnya kerajaan sudah dapat dibentuk apabila sesebuah parti politik atau gabungan parti politik menguasai lebih daripada separuh kerusi dalam parlimen, tetapi perkara ini tidak wujud di negara Thailand akibat daripada kesan rampasan kuasa tentera yang berlaku pada tahun 2014.

Mengikut Perlembagaan Thailand yang diluluskan pada tahun 2017 selepas rampasan kuasa tentera di bawah kepimpinan Jeneral Prayut Chan-o-cha pada tahun 2014, Perdana Menteri Thailand harus dipilih dalam pengundian sesi bersama Dewan Perwakilan (yang terdiri daripada 500 orang Ahli Parlimen yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum) dan Dewan Senat (yang terdiri daripada 250 orang Senator yang semuanya dilantik oleh junta tentera). Ini bermakna bahawa mana-mana parti politik yang memperoleh undi majoriti dan kerusi majoriti dalam pilihan raya tidak akan dapat membentuk kerajaan tanpa persetujuan daripada pihak tentera.

Parti-parti politik yang pro-tentera telah menerima kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Thailand 2023. Parti politik yang dipimpin oleh Prayut yang menyandang jawatan Perdana Menteri sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 2014, hanya mendapat 36 kerusi, jauh di belakang parti-parti yang anti-tentera. Namun, golongan ahli politik yang pro-tentera masih dapat menyekat calon Perdana Menteri yang anti-tentera daripada membentuk kerajaan kerana mereka menguasai semua kerusi dalam Dewan Senat yang dilantik dengan cara yang tidak demokratik langsung.

Dalam sesi bersama Dewan Perwakilan dan Dewan Senat pada 13 Julai 2023, pencalonan Pita Limjaroenrat sebagai Perdana Menteri mendapat undi sokongan daripada 324 orang Ahli Parlimen, manakala 182 orang menolak dan 199 orang mengundi untuk berkecuali. 44 orang Ahli Parlimen tidak hadir dalam sesi tersebut. Hanya 13 orang Senator yang mengundi untuk menyokong Pita Limjaroenrat sebagai Perdana Menteri, sementara Senator lain yang bukannya dipilih secara demokratik enggan menyokong Pita Limjaroenrat. Oleh sebab gagal mengundi Perdana Menteri baharu pada masa itu, sesi bersama Parlimen ditangguhkan ke 19 Julai 2023 untuk pengundian kali kedua.

Sebelum sesi bersama Dewan Perwakilan dan Dewan Senat mengundi untuk Perdana Menteri baharu pada 19 Julai 2023, Pita Limjaroenrat telah digantung daripada tugasannya sebagai Ahli Parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand. Pada hari yang sama dengan hari Parlimen mengundi untuk Perdana Menteri baharu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan untuk menerima aduan terhadap Pita Limjaroenrat berkaitan pegangan sahamnya dalam syarikat media iTV Plc yang sudah tidak berfungsi lagi. Perlembagaan Thailand melarang Ahli Parlimen daripada memegang saham dalam organisasi media. Pegangan saham Pita Limjaroenrat dalam iTV Plc yang sudah tidak berfungsi lagi itu adalah diwarisi daripada bapanya yang meninggal dunia, dan Pita Limjaroenrat menyatakan bahawa pegangan saham tersebut telah dipindahkan kepada saudara mara. Mahkamah Perlembagaan juga memutuskan untuk menggantung jawatan Ahli Parlimen Pita Limjaroenrat sehingga kes diselesaikan, tetapi keputusan tersebut tidak menghalang Pita Limjaroenrat daripada dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Mahkamah Perlembagaan telah digunakan oleh junta tentera sebagai alat untuk mematahkan gerakan pro-demokrasi yang mengancam kekuasaan tentera, di mana salah satu contohnya ialah keputusan untuk membubarkan Parti Maju Masa Depan pada tahun 2020.

Dalam pengundian kali kedua dalam Parlimen pada 19 Julai 2023, pencalonan Pita Limjaroenrat sebagai Perdana Menteri mendapat 312 undi sokongan dan 394 undi bantahan daripada 715 orang Ahli Parlimen yang hadir, di mana kebanyakan orang yang mengundi untuk menolak ialah Senator yang tidak dipilih secara demokratik. 8 orang lagi mengundi untuk berkecuali dan seorang tidak mengundi langsung.

Cubaan seterusnya untuk mengundi Perdana Menteri Thailand baharu telah dijadualkan pada 27 Julai 2023. Parti Pheu Thai, rakan kerjasama utama Parti Langkah Jauh dalam gabungan 8-parti yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2023, dijangka akan mengemukakan calonnya. Besar kemungkinan Parti Pheu Thai akan mencalonkan Srettha Thavisin, seorang ahli perniagaan yang berpengaruh. Namun, komposisi gabungan parti politik yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Thailand 2023 mungkin berubah sekiranya calon daripada Parti Pheu Thai hendak mendapat sokongan daripada Senator yang pro-tentera.

Kehadiran Parti Langkah Jauh dalam gabungan 8-parti yang turut disertai Parti Pheu Thai masih tidak disenangi oleh ramai Senator yang pro-tentera. Parti Langkah Jauh berpendirian tegas dalam usaha meminda undang-undang lèse-majesté yang ketat di Thailand. Undang-undang lèse-majesté sering digunakan oleh golongan berkuasa di Thailand, khususnya pihak tentera, untuk melenyapkan suara pengkritik dengan pertuduhan yang berkaitan memfitnah, menghina atau mengancam kerabat diraja Thailand. Srettha Thavisin yang berkemungkinan besar dicalonkan oleh Parti Pheu Thai telah menyatakan bahawa gabungan parti politik yang diterajui Parti Pheu Thai tidak akan meminda undang-undang lèse-majesté sekiranya ia membentuk kerajaan baharu.

(foto: Prachatai)

Tindakan mahkamah dan Dewan Senat yang tidak dipilih secara demokratik menghalang Pita Limjaroenrat daripada dilantik sebagai Perdana Menteri baharu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Thailand. Mereka yang marah bukannya hanya penyokong Parti Langkah Jauh yang dinafikan hak untuk membentuk kerajaan sebagai parti yang menang paling banyak kerusi, malah penyokong Parti Pheu Thai dan pengundi-pengundi lain yang menyedari bahawa pilihan rakyat dalam peti undi tidak dihormati oleh Senator yang bukannya dipilih secara demokratik.

Gelombang protes telah kembali di jalanan Bangkok. Gerakan massa pro-demokrasi yang hebat pernah tercetus pada tahun 2020, apabila Parti Maju Masa Depan (pendahulu kepada Parti Langkah Jauh) dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan, dan kemudiannya mewujudkan momentum politik yang memenangkan Parti Langkah Jauh dalam Pilihan Raya Umum pada bulan Mei 2023. Sejauh mana kemarahan rakyat terhadap sistem politik yang tidak demokratik di Thailand sekarang ini menjelma ke dalam aksi massa, akan menentukan sejauh mana perubahan yang dapat dibawa oleh mana-mana kerajaan yang bakal dibentuk.

One thought on “Thailand: Calon PM pilihan rakyat disekat daripada membentuk kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *