Gelombang protes dan mogok melanda Perancis lagi pada 31 Januari 2023 untuk membantah rancangan Presiden Emmanuel Macron yang hendak meningkatkan umur persaraan dari 62 tahun kepada 64 tahun.
Jumlah demonstran yang berprotes di jalanan Perancis pada 31 Januari 2023 adalah lebih besar berbanding aksi protes pada 19 Januari 2023. 8 gabungan kesatuan pekerja yang utama di negara itu mengambil bahagian dalam aksi mogok, dengan operasi sekolah, pengangkutan awam dan loji penapisan minyak terganggu. Konfederasi Umum Buruh (CGT) menganggarkan sebanyak 2.8 juta orang berprotes di seluruh negara Perancis, sementara pihak polis Perancis memberikan anggaran lebih 1.2 juta orang, satu angka yang lebih besar berbanding 19 Januari 2023.
Menurut CGT, seramai 500,000 orang berprotes di Paris pada 31 Januari 2023. Aksi protes diadakan di lebih 200 buah bandar di seluruh Perancis. 200,000 orang turun berprotes di jalanan Marseille; 65,000 orang beraksi di Nantes. Konfederasi Buruh Demokratik Perancis (CFDT), gabungan kesatuan sekerja yang terbesar di Perancis yang berpendirian politik moderat, telah menyertai aksi mogok selepas enggan bertindak sebelum ini.
Kerajaan Perancis telah mengerahkan sebanyak 11,000 orang polis untuk berhadapan dengan aksi demonstrasi pekerja ini. Berlakunya pertembungan antara polis dan demonstran di Paris, dan 30 orang ditangkap. Namun, rata-ratanya aksi protes masih berjalan secara aman.
Tinjauan pandangan di Perancis baru-baru ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Perancis membantah langkah Presiden Macron untuk melakukan “pembaharuan” pencen (yang meningkatkan umur persaraan dari 62 tahun kepada 64 tahun). Macron cuba memperkenalkan “pembaharuan” pencen tersebut pada tahun 2019, tetapi ditentang oleh kesatuan-kesatuan pekerja yang melancarkan mogok besar-besaran. Rancangan untuk “pembaharuan” pencen itu ditangguhkan dan dihidupkan semula apabila Macron berjaya mempertahankan jawatan Presidennya dalam Pilihan Raya pada bulan April 2022. Macron berdegil untuk meneruskan rancangannya walaupun mendapat tentangan hebat daripada kesatuan-kesatuan pekerja. Ini jelas menunjukkan sifatnya yang pro-kapitalis dan sanggup mengorbankan pekerja demi kepentingan pemodal. Oleh sebab parti yang menyokong Macron tidak menguasai majoriti dalam Parlimen Perancis, maka kerajaan Macron perlu bergantung pada sokongan parti berhaluan kanan, Les Républicains, untuk meluluskan rang undang-undang “pembaharuan” pencen yang anti-pekerja itu.
Sekiranya Macron masih berdegil untuk melaksanakan dasar yang anti-pekerja, sudah pasti gerakan perjuangan pekerja akan memuncak lagi di Perancis.