(foto: ActuNiger)

Rampasan kuasa tentera yang dipimpin oleh Abdourahamane Tchiani, komander pengawal presiden Niger, pada 26 Julai 2023, telah menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Mohamed Bazoum di Republik Niger, sebuah negara dikelilingi daratan di Afrika Barat. Sejak kudeta tersebut, kerajaan tentera di Niger telah mendapat sokongan rakyat, dengan ribuan orang berdemonstrasi di jalanan untuk menyokong junta tentera yang dikenali sebagai “Majlis Kebangsaan untuk Perlindungan Tanah Air” (CNSP) dan tuntutannya untuk menamatkan dominasi ekonomi, ketenteraan dan politik Perancis ke atas negara itu, serta membantah campur tangan tentera asing.

Niger ialah negara yang keempat di rantau Sahel (satu rantau di utara benua Afrika yang terletak antara Sahara ke utara dan savana Sudan ke Selatan) yang menyaksikan rampasan kuasa tentera yang berpunca daripada sentimen anti-Barat, selepas Mali (Mei 2021), Guinea (September 2021) dan Burkina Faso (Januari dan September 2022). Setiap kudeta ini dipimpin oleh pegawai-pegawai tentera yang tidak senang hati dengan kehadiran tentera Perancis dan Amerika Syarikat, di samping krisis ekonomi yang melanda negara-negara itu.

Sejurus selepas berkuasa, kerajaan tentera di Niger telah mengumumkan bahawa ia tidak akan lagi membenarkan Perancis untuk menggondol sumber uranium di Niger. Satu daripada tiga biji mentol lampu di Perancis dinyalakan oleh kuasa yang dijana daripada uranium yang datang dari lombong di Arlit yang terletak di utara-tengah Niger.

CNSP telah mengemukakan rancangannya untuk peralihan bagi Niger dalam tempoh 3 tahun dan mengadakan “Dialog Kebangsaan Inklusif” bersama rakyat untuk menentukan prinsip-prinsip asas yang harus diamalkan semasa tempoh peralihan dan keutamaan negara dalam tempoh tersebut.  

CNSP yang dipimpin oleh Tchiani juga mengumumkan pada 3 Ogos 2023 bahawa Niger membatalkan kerjasama ketenteraan dengan Perancis, dan menggesa tentera Perancis untuk berundur keluar dari negara itu, seperti yang sudah berlaku di Burkina Faso dan Mali. Namun, negara Perancis enggan mengundurkan tenteranya di Niger atas alasan ia tidak mengiktiraf kerajaan tentera Niger. Pangkalan tentera yang menempatkan 1,500 orang tentera Perancis di Niamey, ibu negara Niger, telah menjadi tempat tumpuan protes baru-baru ini, dengan para demonstran menuntut pengunduran tentera Perancis keluar dari Niger.

Pada 25 Ogos 2023, kerajaan tentera Niger mengarahkan Duta Perancis untuk keluar dari negara itu. Berapa jam kemudian, tercetusnya protes jalanan di Niamey, ibu negara Niger, yang melaungkan slogan anti-Perancis dan mengancam untuk menceroboh pangkalan tentera Perancis sekiranya tentera Perancis tidak meninggalkan Niger. Pada 27 Ogos 2023, ribuan orang telah berhimpun di luar pangkalan tentera Perancis di Niamey, dengan tuntutan supaya duta dan tentera Perancis meninggalkan negara itu.

“Niger bukan kepunyaan Perancis. Kami suruh Perancis untuk berambus, tetapi mereka kata ‘tidak’,” kata seorang demonstran yang berprotes di luar pangkalan tentera Perancis di Niamey apabila ditemu bual oleh Al Jazeera. “Sebagai warga (Niger), kami tidak mahu Perancis di sini. Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu di Perancis, tetapi bukannya di sini.” Protes anti-Perancis masih berterusan di Niger.

Sentimen rakyat yang membantah kehadiran tentera Perancis di Niger telah ditunjukkan dalam beberapa aksi demonstrasi besar-besaran dalam dua tahun yang lalu. Mohamed Bazoum yang dipilih sebagai Presiden Niger selepas menang dalam pilihan raya pada bulan Februari 2021, telah menggunakan kekerasan untuk mematahkan gerakan anti-Perancis. Tindakan Bazoum mengundang lebih banyak tentera Perancis yang berundur keluar dari negara jirannya Mali untuk masuk ke dalam negara itu pada tahun 2022, telah memperkukuhkan pandangan umum tentangnya sebagai boneka Perancis.

Penggulingan Bazoum dalam kudeta tentera pada 26 Julai 2023 telah mendapat sambutan baik daripada ramai rakyat Niger, dengan ribuan orang turun beraksi secara berulang di jalanan untuk menyatakan sokongan kepada CNSP yang mengambil alih kuasa di samping mengulangi tuntutan untuk pengunduran tentera Perancis. CNSP telah mengambil kesempatan sentimen anti-Perancis yang semakin hebat dalam kalangan rakyat di Niger untuk menyeru supaya rakyat meneruskan aksi protes.

(foto: ActuNiger)

Kehadiran tentera Perancis di Niger melambangkan penjajahan kuasa imperialis Barat ke atas negara itu masih belum dihapuskan sepenuhnya. Perancis mula menjajah Niger pada awal abad ke-20 dan dimasukkan ke dalam jajahan Perancis Afrika Barat. Walaupun Niger telah mencapai kemerdekaan secara rasminya pada tahun 1960, Perancis masih mempunyai pengaruh yang mendominasi ke atas Niger.

Selepas kudeta tentera yang menjatuhkan Bazoum, Presiden Perancis Emmanuel Macron bukan sahaja enggan mengiktiraf kerajaan baharu di Niger, malah menyatakan sokongannya terhadap campur tangan tentera ke atas Niger oleh kesatuan serantau “Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat” (ECOWAS).

Ancaman campur tangan tentera asing

ECOWAS ialah sebuah kesatuan politik dan ekonomi yang terdiri daripada 15 buah negara di rantau Afrika Barat, dengan Mali, Guinea, Burkina Faso dan Niger telah digantung keanggotaan mereka berikutan kudeta tentera di negara masing-masing sejak kebelakangan ini.

ECOWAS telah menyatakan kecamannya terhadap kudeta tentera di Niger dan menggesa supaya mengembalikan kuasa kepada Bazoum. ECOWAS mengumumkan untuk menutup sempadan negara-negara anggotanya dengan Niger, dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Niger. ECOWAS juga mengarahkan pengaktifan campur tangan ketenteraan yang mendapat sokongan daripada kuasa besar Barat seperti Perancis, tetapi menyatakan bahawa ia masih cuba menyelesaikan krisis di Niger secara aman. Selepas satu pertemuan antara ketua-ketua tentera negara anggota ECOWAS pada 17-18 Ogos 2023 di Accra, ibu negara Ghana, Abdel-Fatau Musah, Pesuruhjaya ECOWAS bagi Hal Ehwal Politik, Keamanan dan Keselamatan, menyatakan bahawa tentera ECOWAS telah bersiap sedia untuk melancarkan campur tangan ketenteraan ke atas Niger bila-bila masa.

Namun begitu, Pengerusi ECOWAS pada masa ini, Bola Tinubu yang merupakan Presiden Nigeria, telah mengurangkan retoriknya yang agresif terhadap Niger selepas berhadapan dengan protes anti-perang di dalam negaranya sendiri. Tinubu mengatakan pada 26 Ogos 2023 bahawa dia akan menahan ECOWAS daripada mengerahkan tenteranya untuk cuba menyelesaikan masalah di Niger secara aman. Dewan Senat Nigeria juga menolak cadangan untuk menyokong tindakan ketenteraan ke atas Niger. Tanpa penyertaan Nigeria – negara dengan ekonomi terbesar di Afrika yang berjumlah lebih kurang 67% daripada KDNK ECOWAS dan mempunyai tentera terbesar di rantau Afrika Barat, keupayaan untuk ECOWAS melakukan campur tangan tentera sudah pastinya akan merosot dengan hebatnya.

Lebih-lebih lagi, kerajaan tentera di Mali, Guinea dan Burkina Faso telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan tentera di Niger. Kerajaan tentera di Mali dan Burkina Faso telah berjaya mengarahkan tentera Perancis untuk berundur keluar dari negara mereka masing-masing, dan sekarang ini telah memberikan komitmen untuk mengerahkan tentera mereka untuk mempertahankan Niger sekiranya diserang oleh tentera ECOWAS. Satu peperangan pada skala yang besar tidak akan dapat dielakkan sekiranya ECOWAS berdegil untuk menceroboh Niger dengan tenteranya, dan ini akan membawa malapetaka besar kepada rakyat Niger.

Kerajaan tentera yang mengambil alih kuasa melalui kudeta di Niger, tidak semestinya sebuah kerajaan revolusioner yang dapat membawa perubahan radikal kepada rakyat Niger, tetapi ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat Niger terhadap dominasi bekas penjajah Perancis yang berterusan di negara itu telah membara dengan lebih hebat dengan berlakunya kudeta tentera yang terbaru. Kudeta tentera dan mobilisasi massa menentang kehadiran tentera Perancis di Niger merupakan sebahagian daripada gelombang anti-Perancis yang sedang menular di rantau Sahel sejak dua tahun kebelakangan ini. Kuasa imperialis Barat sedang digugat di rantau Sahel. Rakyat di Niger dan rantau Sahel sedang berjuang untuk menentukan nasib mereka sendiri dengan mempertahankan kedaulatan negara daripada dominasi kuasa besar Barat. Ancaman campur tangan tentera asing oleh ECOWAS yang disokong oleh kuasa besar Barat adalah bertentangan dengan kehendak dan kepentingan rakyat tempatan di Niger.

One thought on “Niger: Protes terhadap tentera Perancis semakin hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *