(foto: Maram Al Awadi / Twitter)

Sudan dilanda krisis terbaru dengan tercetusnya pertempuran berdarah antara dua puak dalam pasukan keselamatan Sudan sejak 15 April 2023. Setakat 20 April 2023, lebih kurang 300 orang telah terbunuh dan lebih 3,000 orang cedera dalam pertempuran bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Cepat (RSF).

Pasukan Sokongan Cepat (RSF) yang diketuai oleh Mohamed Hamdan Dagalo (yang juga dikenali sebagai Hemeti) yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Kedaulatan Peralihan (iaitu junta tentera yang memerintah Sudan sejak perampasan kuasa tentera pada bulan Oktober 2021) melancarkan serangan mengecut ke atas beberapa pangkalan tentera di seluruh negara Sudan. RSF juga cuba menawan Istana Presiden, Markas SAF, lapangan terbang dan beberapa kawasan penting di Khartoum, ibu negara Sudan. RSF ialah pasukan separa tentera yang ditubuhkan pada tahun 2013 dan terdiri daripada kumpulan militia Janjaweed untuk bertempur bagi pihak kerajaan Sudan semasa Perang Darfur (2003-2020) dan melakukan banyak kekejaman terhadap orang awam.

Angkatan Tentera Sudan (SAF) yang dipimpin oleh Abdel Fattah al-Burhan pula melancarkan serangan balas ke atas RSF. Abdel Fattah al-Burhan ialah Pengerusi Majlis Kedaulatan Peralihan dan merupakan pemerintah de facto Sudan selepas kejatuhan pemerintahan diktator Omar al-Bashir pada tahun 2019.

Konflik bersenjara terbaru di Sudan ialah pertempuan antara dua puak dalam kalangan golongan pemerintah yang reaksioner untuk menentukan kumpulan samseng yang mana satu akan memiliki kuasa supaya dapat terus merompak negara Sudan. Konflik ini merupakan akibat tragik kegagalan massa rakyat mengambil alih kuasa politik selepas Revolusi Sudan 2018-2019.

Kebangkitan rakyat yang hebat pada bulan Disember 2018 telah berjaya menjatuhkan pemerintahan Omar al-Bashir pada 11 April 2019. Oleh sebab takut pada kebangkitan rakyat yang akhirnya akan menggugat keseluruhan kelas pemerintah Sudan, pihak tentera Sudan terpaksa mengambil keputusan untuk melucutkan kuasa Omar al-Bashir dan menubuhkan junta tentera untuk meneruskan pemerintahannya. Sejak itu, gerakan rakyat revolusioner yang menjatuhkan Omar al-Bashir terpaksa bergelut untuk mengambil alih kuasa politik daripada junta tentera yang dipimpin oleh kedua-dua Abdel Fattah al-Burhan dan Hemeti.

RSF yang dipimpin oleh Hemeti telah membunuh lebih 100 orang demonstran pada 3 Jun 2019 apabila ia cuba menyuraikan demonstrasi di hadapan markas SAF di Khartoum yang menggesa peralihan kuasa daripada junta tentera kepada kerajaan orang awam. Junta tentera kemudiannya berkongsi kuasa dengan sesetengah parti politik berhaluan kanan dalam gabungan politik yang dikenali sebagai “Kuasa Kebebasan dan Perubahan” (FFC) untuk satu tempoh yang singkat dari bulan Ogos 2019 hingga Oktober 2021. Junta tentera yang diterajui oleh kedua-dua Abdel Fattah al-Burhan dan Hemeti melancarkan rampasan kuasa pada bulan Oktober 2021 untuk melucutkan jawatan Perdana Menteri Abdalla Hamdok pada masa itu. Protes jalanan besar-besaran tercetus selepas berlakunya kudeta tentera. Walaupun Abdalla Hamdok dipulihkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada bulan November 2021, tetapi junta tentera masih memegang kuasa yang utama dan protes menentang kekuasaan tentera berterusan.

Sejak rampasan kuasa pada bulan Oktober 2021, kedua-dua orang jeneral yang memimpin junta tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan Hemeti, cuba merebut kuasa lagi dalam kalangan mereka untuk kepentingan masing-masing. Salah satu batu api yang mencetuskan perbalahan antara Abdel Fattah al-Burhan dan Hemeti ialah isu mengenai integrasi RSF ke dalam SAF. Hemeti selaku komander RSF menuntut tempoh 10 tahun untuk integrasi tersebut yang akan menghilangkan kuasa autonomi RSF; sementara Abdel Fattah al-Burhan yang merupakan Ketua Komander SAF pula bertegas untuk menyempurnakan integrasi tersebut dalam tempoh 2 tahun. Perbalahan kerana tiada dapat mencapat persetujuan dalam perkongsian sesama sendiri, akhirnya mencetuskan konflik bersenjata antara puak yang berbeza dalam golongan pemerintah yang reaksioner.

Satu jaringan masyarakat yang terdiri daripada lebih 5,000 Jawatankuasa Penentangan di kawasan kejiranan yang memainkan peranan dalam aksi protes massa sejak kudeta pada bulan Oktober 2021, dengan slogannya “Tiada Rundingan, Tiada Kompromi, Tiada Perkongsian” dengan pihak tentera, telah mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya untuk menyokong mana-mana puak yang bertempur pada masa ini. Jaringan gerakan perjuangan rakyat ini menuntut supaya menghentikan campurtangan pihak tentera dalam politik Sudan.

Parti Komunis Sudan (SCP) menggesa untuk gencatan senjata serta-merta. SCP juga menegaskan bahawa RSF harus dibubarkan dan tidak harus diintegrasi ke dalam tentera; sementara pihak tentera harus kembali ke berek dan tidak harus memegang apa-apa kuasa politik di Sudan.

Organisasi-organisasi berhaluan kiri di rantau Afrika Utara dan Timur Tengah telah mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 18 April 2023 untuk menyatakan kebimbangan tentang perkembangan di Sudan.

“Konflik bersenjata ini ialah kemuncak kepada proses pertembungan terbuka dan tersembunyi yang disokong oleh kelas tempatan dan golongan politik paling reaksioner yang berkaitan dengan komprador dan pakatan serantau yang korup,” begitu katanya kenyataan bersama tersebut.

Organisasi-organisasi yang menyokong kenyataan bersama ini termasuk Parti Pekerja dari Tunisia, Parti Jalan Demokratik Pekerja dari Maghribi, Barisan Pembebasan Popular Palestin, Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin, Parti Komunis Lubnan, Parti Rakyat Demokratik Jordan (HASHD), Parti Perpaduan Demokratik Rakyat Jordan, Parti Komunis Jordan, Gerakan Kita Boleh dari Mauritania, Parti Perikatan Popular Sosialis dari Mesir, Gerakan Progresif Kuwait dan Forum Progresif Bahrain.

“Walaupun kebangkitan heroik rakyat Sudan dan kuasa-kuasa revolusioner mereka di lapangan, yang telah dapat menformulasi pendirian dan visi yang setia pada revolusi, kem revolusi balas telah mendominasi. Kem ini telah dipimpin oleh pihak berkuasa tentera, alat Al-Bashir dan semua rejim reaksioner yang wujud sebelumnya, dan masih menghalang revolusi daripada maju dan menyekat rakyat daripada Pembebasan, demokrasi serta membina sebuah negara sivil. Hanya sekularisme dapat menyatukan Sudan dan komponennya yang berkepelbagaian.”

Organisasi-organisasi kiri di Afrika Utara dan Timur Tengah menyatakan pendirian mereka terhadap konflik bersenjata terbaru di Sudan:

  • Mengecam peristiwa keganasan ini, di mana rakyat Sudan tidak berkaitan dengannya, dan menyeru untuk menghentikan tembak-menembak dengan segera, mengembalikan tentera ke bereknya, dan membubarkan semua militia, termasuk kumpulan samseng Janjaweed yang dikenali sebagai RSF, yang tangannya berlumuran dengan darah orang yang tidak berdaya dan tidak berdosa, khususnya di wilayah Darfur.
  • Menegaskan simpati dan sokongan berprinsip serta tanpa bersyarat kepada rakyat Sudan dalam keadaan yang sukar ini. Mempercayai bahawa rakyat Sudan berkeupayaan untuk menghalamg musuh mereka yang cuba menghukum mereka kerana revolusi gemilang mereka.
  • Memperbaharui sokongan kepada kuasa-kuasa revolusioner di Sudan, yang diterajui oleh Parti Komunis Sudan, yang kekal sebagai ekspresi tulen untuk pendirian revolusioner yang koheren.
  • Menyeru pada semua golongan progresif di rantau Afrika dan dunia untuk memperkuatkan sokongan kepada rakyat Sudan dan revolusi mereka, dan untuk menangani semua bentuk campurtangan serantau dan antarabangsa yang mengganggu proses revolusioner, seperti yang pernah berlaku pada semua revolusi Arab yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *