Negara Thailand digegarkan oleh satu gempa bumi politik yang hebat apabila parti-parti politik yang anti-tentera mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang bersejarah di negara itu pada 14 Mei 2023. Keputusan pilihan raya di Thailand yang memberangsangkan ini telah memberi pukulan hebat kepada golongan elit pemerintah tentera di negara itu yang berkuasa sejak kudeta pada tahun 2014 dengan kekuasaan mereka diteruskan melalui perlembagaan yang dirangka oleh pihak tentera.

Parti Langkah Jauh (Move Forward Party), sebuah parti progresif yang anti-tentera dan merupakan pengganti kepada Parti Maju Masa Depan (Future Forward Party) yang dibubarkan oleh mahkamah pada tahun 2020 (tetapi mencetuskan gelombang protes pro-demokrasi yang hebat), telah membawa kejutan besar kepada politik Thailand apabila memenang kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Thailand yang diadakan pada 14 Mei 2023.

39 juta orang pengundi Thailand telah mengundi pada 14 Mei 2023, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 75.2%, satu rekod yang kedua tinggi dalam sejarah pilihan raya Thailand (hanya kurang daripada peratusan keluar mengundi pada tahun 2007), dengan menyaksikan kebanyakan pengundi membuang undi untuk membuang junta tentera yang telah berkuasa selama tempoh hampir satu dekad di negara yang “kaya” dengan sejarah kudeta tentera itu.

Sebanyak 500 kerusi Dewan Perwakilan (atau Dewan Rakyat) Thailand dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini, dengan 400 kerusi dipilih daripada kawasan-kawasan pilihan raya ahli-tunggal melalui kaedah “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) dan 100 kerusi lagi ditentukan oleh undi senarai parti.

(grafik: Prachatai)

Parti Langkah Jauh yang dipimpin oleh Pita Limjaroenrat berjaya memenangi sebanyak 151 kerusi, dengan 112 kerusi daripada kawasan pilihan raya ahli-tunggal dan 39 kerusi yang lain daripada agihan undi senarai parti. Parti Pheu Thai, sebuah parti populis pro-demokrasi yang dipimpin oleh Paethongtarn Shinawatra, anak bongsu kepada Thaksin Shinawatra yang merupakan bekas Perdana Menteri Thailand yang hidup dalam buangan sejak dia dijatuhkan dalam kudeta tentera pada tahun 2006, memenangi 141 kerusi, dengan 112 kerusi daripada kawasan pilihan raya ahli-tunggal dan 29 kerusi daripada undi senarai parti. Parti Pheu Thai pada awalnya dijangka oleh ramai penganalisis politik bahawa akan muncul sebagai parti terbesar tetapi jangkaan tersebut telah dipatahkan dengan keputusan yang menyaksikan Parti Langkah Jauh mengatasi Parti Pheu Thai dari segi undi yang diraih dan kerusi yang dimenangi. Kemenangan besar Parti Langkah Jauh juga memecahkan rekod Parti Pheu Thai sebagai parti yang mempunyai paling banyak ahli parlimen sejak tahun 2001. Ini juga menunjukkan bahawa politik baharu yang diterajui golongan anak muda telah mengatasi pengaruh golongan pro-Thaksin yang merupakan kuasa politik utama di Thailand selama lebih dua dekad yang lalu.

Dengan kedua-dua buah parti pembangkang yang anti-kekuasaan tentera menguasai hampir 60% kerusi dalam Dewan Perwakilan Thailand, golongan pro-demokrasi berada dalam posisi selangkah lebih dekat lagi daripada menamatkan pemerintahan yang didominasi oleh pihak tentera sejak tahun 2014. Pita Limjaroenrat daripada Parti Langkah Jauh telah mengemukakan cadangan untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Pheu Thai. Cadangan tersebut disambut baik oleh Parti Pheu Thai yang bersedia menyokong Pita Limjaroenrat untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang baharu.

Namun begitu, di bawah Perlembagaan Thailand sekarang ini yang digubal di bawah kekuasaan junta tentera, perlantikan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan perlu mendapat sokongan majoriti daripada kesemua 750 orang Ahli Parlimen (500 orang Ahli Dewan Perwakilan yang dipilih dalam pilihan raya umum dan 250 orang Ahli Dewan Senat yang semuanya dilantik oleh junta tentera), iaitu sekurang-kurangnya 376 orang Ahli Parlimen daripada kedua-dua dewan. Dengan 292 kerusi Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh Parti Langkah Jauh dan Parti Pheu Thai selepas pilihan raya umum, walaupun merupakan majoriti yang besar dalam Dewan Perwakilan, masih tidak mencukupi untuk melantik Perdana Menteri pilihan mereka. Oleh itu, Parti Langkah Jauh dan Parti Pheu Thai perlu berunding dengan parti-parti kecil yang lain, dan mengharapkan sesetengah Ahli Dewan Senat tidak mengundi mengikut kehendak pihak tentera.

Parti Bangsa Thai Bersatu (UTN), sebuah parti berhaluan kanan baharu yang ditubuhkan pada tahun 2021 dan dipimpin oleh Prayut Chan-o-cha yang menyandang jawatan Perdana Menteri sejak kudeta tentera pada tahun 2014, hanya memperoleh 36 kerusi, menjadikannya parti yang kelima besar dalam Dewan Perwakilan Thailand. Parti Palang Pracharat, parti pemerintah berhaluan kanan yang menyokong Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri sejak penubuhannya, hanya memperoleh 40 kerusi, berkurangan sebanyak 76 kerusi berbanding pilihan raya umum pada tahun 2019.

Parti Bhumjaithai, sebuah parti konservatif yang menyertai kerajaan pimpinan Prayut Chan-o-cha sebelum ini, memperoleh 71 kerusi, menjadikannya parti ketiga besar dalam Dewan Perwakilan Thailand. Parti Demokrat, sebuah parti “liberal” yang mempunyai sejarah menindas gerakan pro-demokrasi dan menyertai kabinet pimpinan Prayut, hanya memperoleh 25 kerusi. Secara ringkasnya, semua parti yang menyokong junta tentera telah menemui kekalahan teruk!

Kemenangan Parti Langkah Jauh yang dipimpin oleh golongan anak muda progresif dan pro-demokrasi walaupun nampaknya mengejutkan, tetapi ia ialah manifestasi keingingan dan harapan rakyat Thailand, khususnya golongan anak muda, untuk membawa perubahan kepada politik Thailand selepas sekian lama berada di bawa kongkongan kekuasaan elit pemerintah tentera. Ia juga merupakan hasil daripada perjuangan gerakan pro-demokrasi yang hebat di Thailand, termasuk gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun menghadapi penindasan yang hebat daripada pihak berkuasa, termasuk penahanan dan pendakwaan di bawah undang-undang zalim, segala usaha mematahkan kebangkitan demokratik rakyat Thailand nampaknya telah menemui kegagalan akhirnya dan ia ditunjukkan dalam peti undi yang dibuka pada 14 Mei 2023.

(foto: Reuters)

Parti Langkah Jauh telah membawa platform politik yang berani untuk mereformasikan sistem monarki dan mengurangkan kuasa tentera dengan menggubal semula perlembagaan negara itu. Parti Langkah Jauh berjanji untuk mengadakan satu referendum mengenai Perlembagaan Thailand untuk mencegah kediktatoran. Parti Langkah Jauh juga mengemukakan pelbagai janji pilihan raya yang memfokus kepada memperjuangkan kebajikan golongan pekerja dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat jelata, seperti meningkatkan kadar gaji minimum dari 354 baht sehari (lebih kurang USD 10 atau RM47) kepada 450 baht sehari (lebih kurang USD 13 atau RM59), meningkatkan elaun bulanan kepada warga tua dari 600-1,000 baht (lebih kurang USD 18-29 atau RM80-133) kepada 3,000 baht (lebih kurang USD89 atau RM400), menurunkan yuran pengangkutan awam, mengurangkan beban hutang petani, mensubsidi pinjaman perumahan atau bayaran sewa rumah, dan sebagainya.

Keputusan pilihan raya umum yang memberangsangkan di Thailand, telah membuka ruang baharu untuk pembaharuan politik dan perubahan sosial yang bermakna kepada rakyat Thailand. Namun, cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi bukannya kecil. Kuasa politik berhaluan kanan yang pro-tentera dan konservatif, mungkin akan menggunakan pelbagai cara yang kotor untuk menggagalkan proses pembaharuan, seperti yang pernah berlaku dalam sejarah negara itu. Sejauh mana perubahan dapat dibawa adalah bergantung pada imbangan kuasa antara golongan progresif yang pro-demokrasi dan golongan berhaluan kanan yang hendak mengekalkan kekuasaan elit pemerintah lama di negara itu. Oleh itu, perjuangan rakyat Thailand untuk perubahan demokratik dan keadilan sosial sudah pasti tidak boleh berhenti setakat di sini…

One thought on “Pilihan Raya Umum Thailand 2023: Parti anti-tentera menang besar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *