Siri Pemanasan Global (13)

oleh Brian Khow

Pelan C: Selamat tinggal kepada Bumi!

Pada bulan Julai 2021, pengasas Virgin Group, Richard Branson, menaiki angkasa lepas VSS Unity yang dimiliki oleh Virgin Galactic untuk sampai ke pinggiran angkasa pada ketinggian 85 kilometer dari permukaan Bumi dan dianggap sebagai penjelajahan angkasa lepas komersial pertama di dunia. (foto: Virgin Galactic)
Elon Musk berkata bahawa SpaceX akan menghantar manusia ke planet Marikh dalam masa terdekat. Seperti yang disebutkan dalam rencana sebelum itu, orang ramai menganggap bahawa golongan elit merupakan “watak yang pintar dan teladan yang berwawasan”, mungkin sampai satu hari nanti, apabila pencemaran yang semakin berleluasa menjadikan Bumi tidak sesuai untuk dihuni lagi, teknologi “Marikh yang sesuai dihuni” yang dibangunkan oleh SpaceX, seperti ruang tertutup dalam gambar atas, akan diguna pakai di Bumi. Ironinya, dia digelar “teladan yang berwawasan”, kerana dia telah “menjangka” keadaan sebegini. (foto: SpaceX)

Sesetengah orang mula membayangkan untuk meninggalkan planet ini. Pada tahun 1970-an, seorang ahli fizik Universiti Princeton yang bernama Gerard O’Neil mula menyeru penubuhan koloni angkasa lepas supaya mengatasi masalah sumber Bumi yang terhad. Selepas berpuluh-puluh tahun, pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk, pada bulan Julai tahun ini, berkata bahawa penjajahan Marikh akan menjadi “insurans hayat rakyat jelata” sekiranya Bumi terhancur dalam malapetaka. Pada awal tahun ini, dia memberi isyarat bahawa SpaceX akan menghantar manusia untuk mendarat di planet Marikh pada tahun 2029.

Richard Branson yang pernah disebut dalam rencana sebelum ini juga merupakan seorang “Encik Jurujual Angkasa Lepas”. Pada tahun 2012, dia berkata dalam satu rancangan TV, “Saya telah memutus untuk membina populasi manusia di Marikh dalam hidup saya.” Dalam satu lagi temu ramah, dia mendedahkan individu yang patut dijemput ke parti koktel angkasa lepas, “Anda mahukan doktor; anda mahukan pelawak; anda mahukan orang yang ceria, orang yang cantik, orang yang hodoh, semua jenis individu di Bumi harus muncul di Marikh. Orang itu mesti seorang peramah, kerana persekitaran agak tertutup.”

Walau bagaimanapun, teknologi kejuruteraan Bumi masih belum menjadi kenyataan, apatah lagi kejuruteraan Marikh yang masih jauh dari jangkauan kemampuan manusia. Yang perlu bimbang ialah ramai individu penting yang mempromosikan kejuruteraan Bumi menunjukkan minat yang kuat dalam penghijrahan keluar secara besar-besaran dari Bumi. Apabila anda menyorok pelan C dalam poket seluar anda, maka anda akan mempunyai dorongan untuk menerima pelan B (nota 1) yang berisiko tinggi tanpa berfikir terlalu banyak. Anda akan berbisik pada dirimu sendiri, “Sekiranya menemui jalan buntu dalam usaha pemulihan, kita masih boleh beredar ke tempat lain.”

Gambar yang bertajuk “Earthrise” ini diambil oleh angkasawan Apollo 8, William Anders, pada 24 Disember 1968. Gambar ini mencetuskan gerakan alam sekitar seiring gelombang radikalisasi masyarakat Amerika Syarikat pada masa itu dengan pertanyaan tentang kerapuhan dan kedudukan manusia sendiri di alam semesta. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah orang berpendapat bahawa perspektif pemerhatian dari atas seumpama melihat sesuatu dari perspektif Tuhan dan kesan daripada “pemerhatian dari atas” kemungkinan menyebabkan orang itu tidak menghargai kehidupan Bumi dan Bumi sendiri. Kurt Vonnegut, seorang penulis Amerika Syarikat yang terkenal dengan humor pahitnya, pernah menulis: “(Foto Bumi dari NASA) kelihatan begitu anggun. Anda tidak dapat melihat makhluk Bumi yang lapar dan marah di bawahnya –  dan jerebu itu, air kumbahan itu, sampah sarap itu serta senjata yang begitu canggih sekali.” (foto: Wikipedia)

Naratif yang biasa muncul dalam kalangan masyarakat yang menyebabkan Geoengineering terus mendominasi: kemunculan watak paling bijak seperti Bill Gates akan menyelamat kita daripada krisis. Karbon yang dihasilkan oleh bahan api fosil dipisah keluar daripada udara dan dibenam dalam tanah dengan segera. Kita menggelar diri manusia sebagai The God Species yang berupaya “mengurus” cahaya matahari yang dianggap menakjubkan sejak dahulu lagi, nampaknya sinaran matahari tidak begitu menakutkan lagi. Sekiranya pelan tersebut menemui jalan buntu, naratif yang sama akan mengingatkan kita bahawa penyelamat lain pasti akan muncul pada saat genting.

Kita akan menang pada akhirnya hanya kerana menang adalah tanggungjawab kita. Jadi, kita terus menikmati semua sumber itu dengan sepuas-puasnya, seolah-olah tiada lagi generasi akan datang. Tanggapan ini merupakan ubat penenang yang menjadikan tamadun manusia menuju secara konsisten ke arah malapetaka alam sekitar.

Penentangan adalah soal geofizik!

Secara umumnya, saintis enggan terlibat dalam politik. Mereka mengukur nukleus ais, membanggun model iklim global dan mengkaji fenomena pengasidan lautan tanpa sebarang rungutan. Akhirnya mereka mendapati bahawa, seperti apa yang dikatakan oleh pakar iklim Australia, Clive Hamilton, bahawa mereka telah “menggoncang susunan sistem politik dan sosial secara tidak sengaja”.

Dalam persidangan musim luruh tahunan yang diadakan oleh Kesatuan Geofizik Amerika (American Geophysical Union) di San Francisco pada bulan Disember 2012, seorang penyelidik dalam bidang geofizik dan sistem kompleks, Brad Werner, membentangkan satu topik, “Adakah Bumi Dikacau?” (tajuk penuh dalam Bahasa Inggeris ialah “Is Earth F**kedDynamical Futility of Global Environmental Management and Possibilities for Sustainability via Direct Action Activism”) yang dikatakan paling mengundang kontroversi.

Para hadirin persidangan itu dibimbing oleh ahli geofizik dari UC San Diego yang berdiri di depan bilik persidangan semasa menjawab soalan dengan menggunakan model komputer yang canggih. Dalam penjelasannya, dia menggunakan banyak istilah yang sukar difahami oleh orang ramai. Tetapi maksudnya cukup jelas: kapitalisme global telah menyebabkan penggunaan sumber dengan begitu pantas, mudah dan tanpa halangan sehingga tindak balas sistem Bumi-Manusia menjadi semakin tidak stabil dan berbahaya. Apabila seorang wartawan bertanya, “Adakah Bumi telah dikacau?”, dia mengetepikan istilah saintifik dan membalas, “Lebih kurang begitulah.”

Tetapi terdapat satu dorongan yang ditunjukkan dalam model ini menawarkan sedikit harapan. Werner memanggilnya sebagai “penentangan”, yang merangkumi “tindakan langsung demi alam sekitar, tentangan dari luar budaya arus perdana, seperti protes, sekatan jalan raya dan sabotaj oleh masyarakat Orang Asal, kelas pekerja, anarkis dan kumpulan aktivis lain.”

Persidangan saintifik yang serius biasanya tidak menyeru rakyat untuk melawan secara politik, apatah lagi tindakan langsung dan sabotaj. Namun, kebangkitan massa sebesar ini mewakili kemungkinan besar kemunculan satu sumber “geseran” yang dapat memperlahankan mesin ekonomi yang mengamuk atau menggagalkan “hukum-hukum gerakan” pengumpulan modal.

Werner menegaskan bahawa gerakan sosial pada masa lalu mempunyai “impak yang besar terhadap perkembangan budaya arus perdana”, jadi, “jika anda mengambil kira tentang masa depan planet ini, dan masa depan kita bersama dengan persekitaran kita, adalah munasabah untuk memasukkan ‘lawan’ ke dalam dorongan itu”. Werner seterusnya menegaskan bahawa ini bukannya soal perbezaan pandangan, tetapi merupakan “soal geofizik”.

Bapa sains iklim moden, James Hansen, juga merupakan seorang aktivis yang digeruni, pernah diberkas beberapa kali kerana menentang perlombongan arang batu dan saluran paip pasir minyak. Beliau malah berhenti kerja di NASA pada tahun 2013 supaya mempunyai lebih banyak masa untuk menyumbang diri dalam gerakan sosial.

Seorang pakar glasiologi terkenal dunia, Jason Box, telah ditahan dalam satu gerakan sosial besar-besaran menentang saluran paip Keystone XL pada tahun 2011. “Susah untuk memujuk diri sendiri jika saya tidak terlibat (dalam gerakan),” kata Jason Box pada masa itu, lalu menambah, “Nampaknya pengundian memang tidak memadai dalam perkara ini. Saya perlu bertindak sebagai seorang warganegara.

James Hansen daripada Institut Pengajian Angkasa Lepas Goddard di bawah NASA memberi keterangan kepada Kongres AS pada tahun 1988 tentang pemanasan global, membuka mata orang ramai tentang bahayanya. Berhenti kemudiannya berhenti kerja yang bergaji lumayan di agensi angkasa lepas pada tahun 2013 untuk menjadi aktivis iklim sepenuh masa dan pernah ditangkap beberapa kali kerana kerjaya aktivismenya. (foto: inhabitat.com/Ben Powless)

Kumpulan saintis yang berakhlak mulia ini semakin berpengaruh. Mereka mengkaji sistem semula jadi, memberi perhatian khusus kepada ketidakstabilan sistem iklim, dan akhirnya membuat kesimpulan yang sama, iaitu menekankan kepentingan transformasi, bahkan revolusi. Ini kerana ia akan menjadi penolakan terhadap sistem yang zalim dan penggantian dengan sistem yang sudah pasti lebih sama rata bukan lagi sekadar pilihan ideologi, tetapi satu syarat yang diperlukan untuk kemandirian semua spesies.

Malangnya, peluang untuk perubahan secara beransur-ansur telah lama melesap. Pada tahun 2013, Kevin Anderson, seorang ahli klimatologi daripada Tyndall Centre menegaskan, “Mungkin dalam Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992, atau pada awal milenium, takat 2° Celsius masih boleh dicapai melalui perubahan secara beransur-ansur dalam hegemoni politik dan ekonomi. Tetapi perubahan iklim ialah isu yang semakin berkembang! Kini, pada tahun 2013, kita yang berada di negara-negara (pasca) perindustrian yang mempunyai pelepasan karbon tinggi, sedang berdepan dengan prospek yang amat berbeza. Pemborosan kolektif kita yang berterusan terhadap karbon menyebabkan ‘perubahan secara beransur-ansur’ yang mampu dicapai dalam belanjawan karbon 2°C (yang lebih besar) sebelum ini menjadi sesuatu yang tidak mungkin. Hari ini, selepas 20 tahun bercakap besar dan berbohong, baki dalam belanjawan karbon 2°C memerlukan kita melancarkan perubahan revolusioner terhadap hegemoni politik dan ekonomi untuk mencapai matlamat tersebut.

Modal dan teknologi

“Adakah Bumi dikacau?” merupakan penyelidikan Brad Werner berdasarkan kajian tentang sistem Bumi-Manusia. Sesungguhnya, kapitalisme merupakan suatu logik tentang sistem pengumpulan modal. Kita tidak harus hanya menganggap pengaruh kapitalisme ke atas politik, masyarakat dan alam semula jadi sebagai hasil daripada kemajuan teknologi, atau hanya sebagai niat busuk sekumpulan penjahat. Hasil kapitalisme yang selaras dengan pembinasaan masyarakat dan alam semula jadi dan sebagainya, sebenar datang daripada logik pengumpulan modal yang koheren dan berjaya dalam kapitalisme itu sendiri.

Sesetengah orang menyalahkan pemanasan global dan perubahan iklim atas kerakusan kapitalis, tetapi tuduhan sebegini terlalu simplistik dan tidak membantu dalam menyelesaikan isu ini. Logik pengumpulan modal selalu dijelmakan dalam pertumbuhan ekonomi yang kita sering dengar dan dalam persaingan yang penuh kemusnahan dalam kalangan kapitalis, menyebabkan mereka mencari jalan untuk mengeksploitasi pekerja dan alam sekitar, bukan sekadar sifat “jahat” atau “tamak” mereka. Mereka juga tertakluk kepada logik sistem ini, jika tidak, mereka akan kalah dalam persaingan dengan kapitalis lain. Adalah lebih sesuai untuk mengatakan bahawa kapitalis dipandu oleh logik pengumpulan modal berbanding mengatakan mereka memandu pembangunan ekonomi.

Kapitalis bukan sahaja ingin menguasai massa, tetapi mereka juga berpecah kepada pelbagai puak dan ingin menduduki kedudukan dominan dalam kalangan mereka. “Geoclique” yang pernah disebut dalam rencana sebelum ini merupakan puak kapitalis yang ingin memepertahankan kedudukan dominan ini dalam era pemanasan global. Negara bangsa atau gabungan serantau telah menjadi medium untuk puak-puak kapitalis menyempurnakan proses pengumpulan modal.

Sejak menjejak ke dalam millennium ini, pengumpulan modal secara tradisional menjadi semakin sukar. Dalam era yang dilanda pelbagai krisis, untuk memudahkan proses pengumpulan modal, negara bangsa bukan sahaja melonggarkan pengawalseliaan ekonomi, tetapi juga memainkan peranan untuk menawarkan pasaran baru atau membuka ruang ekonomi modal yang baharu kepada “inovasi” kapitalis, seperti derivatif, kredit karbon, kecerdasan buatan dan sistem pengawasan digital atau penjajahan angkasa lepas.

Malangnya, kawalan sosial oleh negara bangsa semakin menuju ke arah autoritarian dan demokrasi semakin terhakis. Sebaik sahaja sesiapa mengkritik “inovasi” yang disebut di atas atau menunjukkan sedikit keraguan tentang “inovasi” sebegitu, dia akan dituduh menghalang kemajuan tamadun. Selain itu, kelanjutan pengeluaran dan penggunaan yang digalakkan oleh ekonomi modal baharu atau bentuk pasaran baharu ini sudah pasti akan meningkatkan pelepasan karbon.

Perlu ditegaskan di sini bahawa rencana ini bukannya menyeru kita untuk membantah kemajuan teknologi atau sains. Jika kita memisahkan teknologi daripada ekonomi dan masyarakat, kita akan sedar bahawa teknologi bukan punca kepada masalah sekarang atau masa depan. Teknologi sendiri tidak mempunyai tujuan atau niat sendiri, ia hanyalah alat kepada ekonomi. Menurut pemerhatian ahli sosiologi Max Weber, teras kemajuan dan aplikasi teknologi merupakan matlamat ekonomi. “Kegiatan ekonomi” menentukan matlamat, manakala teknologi menjadi “alat yang sesuai” untuk mencapai matlamat tersebut. Dalam teori yang dikemukakan oleh Weber, beliau menganggap bahawa “salah satu fakta penting dalam sejarah sains dan teknologi, yang biasa dikenali sebagai kemajuan sains dan teknologi moden, selalu dikuasai oleh keperluan ekonomi, matlamatnya adalah untuk mendapatkan keuntungan”.

Dalam masyarakat kapitalisme moden, teknologi sentiasa didorong oleh matlamat ekonomi, maka teknologi juga boleh dilihat sebagai penjelmaan matlamat ekonomi. Pandangan sebegini terbukti tidak kira pada masa lalu, masa kini atau masa depan. Namun, dalam setiap generasi, masih ramai orang mudah diperangkap dan melupakan bahawa teknologi hanyalah paparan kepada kepentingan lain. Pada zaman moden kini, sains dan teknologi memaparkan kepentingan kapitalis. Demi menjaga kepentingan kapitalis daripada ancaman pemanasan global dan perubahan iklim, mereka akan menggunakan teknologi untuk menyelesaikan ancaman ini. Kepentingan orang awam sama ada di luar pertimbangan atau diletakkan dalam kedudukan kurang penting.

Ketidaksamarataan yang diwujudkan oleh kapitalisme meningkatkan rasa ketidakmampuan masyarakat dalam bertindak balas terhadap krisis. Emile Durkheim mengingatkan bahawa bentuk ketidaksamarataan yang paling berbahaya ialah ketidaksamarataan kuasa yang melampau. Di bawah keadaan ketidaksamarataan kuasa yang melampau, adalah “mustahil untuk mempunyai konflik” dalam masyarakat, kerana “hak untuk berjuang” satu pihak dinafikan. Kemunculan kapitalisme bermakna sumber pengeluaran berada dalam tangan sekumpulan kecil kapitalis dan mereka mempunyai kedudukan dominasi ke atas golongan orang ramai yang tidak memiliki sumber pengeluaran. Ini bermakna bahawa kuasa sosial tertakluk kepada modal dan segelintir orang persendirian. Neoliberalisme merupakan satu bentuk kapitalisme, melemahkan lagi kuasa negara yang mungkin berpihak kepada rakyat. Secara umumnya, ahli politik tidak berdaya untuk membawa perubahan yang pro-rakyat di bawah ancaman penarikan modal dan godaan derma politik. Ketidaksamarataan kuasa yang anti-demokrasi dan anti-kebebasan ini bermakna kuasa berada dalam tangan kelas kapitalis.

Bukan itu sahaja, tanggapan yang tidak tepat bahawa “teknologi merupakan penyelesaian kepada segala masalah” yang disebarkan secara meluas dalam masyarakat berpunca daripada nilai yang dicipta oleh mesin. Kebanyakan kapitalis percaya bahawa mesin (atau teknologi) boleh mencipta nilai dan tanggapan sebegini juga meresap ke dalam semua lapisan masyarakat. Namun, kapitalis bukan sekadar percaya, mereka juga cenderung untuk bertindak mengikut tanggapan ini, sama seperti banyak contoh yang disebutkan di atas, golongan mahakaya yang dianggap sebagai teladan oleh masyarakat cenderung menggunakan teknologi untuk menyelesaikan krisis iklim dan mengabaikan logik pengumpulan modal yang merupakan punca utama krisis ini!

Karl Marx mengelar tanggapan di atas sebagai fetisyisme. Fetisyisme teknologi berleluasa dalam minda orang ramai dan meninggalkan kesan yang meluas dan mendalam kepada masyarakat. Seperti yang dinyatakan di atas, kini tanggapan sebegini berfungsi sebagai ubat penenang yang mendorong tamadun untuk melangkah secara konsisten ke arah bencana alam sekitar.

Marx mengambil kira hubungan sosial baharu, pemikiran atau tanggapan baharu, hubungan semula jadi baharu dan semua transformasi lain yang diperlukan untuk membebaskan manusia daripada keadaan semasa yang huru-hara apabila meneliti penggunaan teknologi (nota 2), supaya dapat menemui satu jalan pembangunan teknik atau teknologi yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Kecenderungan fetisyisme teknologi merupakan satu rintangan yang mesti dihapuskan.

Pada bulan September tahun ini, Yvon Chouinard, pemilik syarikat pakaian aktiviti luar bilik Patagonia Inc. mengumumkan bahawa dia akan menderma semua sahamnya dalam syarikat tersebut kepada dana amanah. Amalan baik ini membenarkan keuntungan korporat masa depan digunakan untuk membiayai gerakan alam sekitar dan melawan krisis iklim. (foto: nssmag.com)

Justeru, oleh sebab ketidaksamarataan kuasa dan hak yang melampau dalam hubungan sosial dan hubungan semula jadi, kapitalis berada di kedudukan dominasi yang menguasai orang lain dan teknologi yang dimiliki oleh mereka hanya digunakan untuk bersaing antara satu sama lain untuk memaksimumkan keuntungan. Jadi, salah satu transformasi yang penting ialah pembangunan dan aplikasi sains dan teknologi harus dikembalikan kepada masyarakat untuk membebaskan diri daripada cengkaman modal dan bentuk jentera negara yang semakin totalitarian.

Sebagai contoh, tenaga solar dan angin merupakan antara bentuk tenaga yang paling mungkin dimiliki oleh komuniti dalam transformasi tenaga masa kini yang didorong oleh perubahan iklim. Masalah yang disebabkan oleh kapitalisme sendiri tidak dapat diselesaikan sekiranya transformasi sebegini dipikul oleh kapitalis atau apa yang lebih dikenali sektor swasta.

Mari kita mengambil satu contoh untuk memeriksa konsep dan kuasa modal yang disebutkan oleh tiga orang pengasas sosiologi moden, iaitu Max Weber, Emile Durkheim dan Karl Marx. Pada bulan September tahun ini, Yvon Chouinard, seorang pemilik syarikat pakaian aktiviti luar bilik Patagonia Inc., mengumumkan bahawa dia akan menderma semua sahamnya dalam syarikat tersebut kepada dana amanah. Dana itu akan menggunakan keuntungan korporat masa depan untuk membiayai gerakan alam sekitar dan menangani krisis iklim.

Tindakan ini menyebabkan kegemparan global dan dia dipuji sebagai seorang mahakaya yang menyumbangkan bahagian terbesar kekayaannya untuk memerangi perubahan iklim dalam sejarah:

1. Chouinard dan keluarganya masih memegang saham yang boleh menentukan hala tuju operasi syarikat, manakala saham yang disumbangkan kepada gerakan alam sekitar tidak dapat mempengaruhi polisi syarikat. Banyak syarikat besar telah menjalani penstrukturan semula pegangan saham sebegini, termasuk Google dan Facebook, di mana pemiliknya mempunyai hak mengundi dan boleh memutuskan polisi syarikat, termasuk memutuskan siapa pengarah dan pegawai eksekutif kanan dana itu. Saham jenis ini biasa dinamakan saham A, manakala saham B/C dan lain-lain merupakan saham tiada undi. Ini telah menunjukkan bahawa betapa pentingnya kuasa dan hak. Adakah dia dan keluarganya bersedia menggunakan kuasanya dalam syarikat untuk menyelamatkan planet ini, seperti yang dikatakannya? Atau hanya salah satu cara untuk mencipta imej kewiraan syarikat dan dirinya sendiri?

2. Naomi Klein mengemukakan banyak contoh dalam bukunya “This Changes Everything: Capitalism vs. The Climate”, untuk membuktikan bahawa sebuah syarikat yang dimiliki oleh komuniti dan bukannya individu (atau keluarganya) lebih berupaya untuk melindungi kepentingan awam, termasuk perlindungan alam sekitar, di samping dapat memperdalamkan demokrasi dengan memperkenalkan demokrasi ke dalam aktiviti ekonomi. Tetapi Chouinard mengemukakan cogan kata bahawa Bumi ialah pemilik saham dalam pelannya dan enggan menukarkan perniagaannya kepada pemilikan sosial dan diserah kepada masyarakat akar umbi. Memang sesuatu yang tidak masuk akal, adakah dia ingat Bumi yang demam akan mengundi untuk membantah keputusan korporat yang kotor itu?!

3. Banyak syarikat mengambil kesempatan daripada konsep “pemerkasaan” (empowerment) yang semakin diberi perhatian oleh orang ramai dan digunakan untuk keuntungan selanjutnya. Chouinard membenarkan keuntungannya untuk membiayai kempen alam sekitar dan menderma kepada organisasi alam sekitar yang berakar umbi, mirip kepada konsep “pemerkasaan”. Seperti konsep “perkongsian” yang begitu popular tidak lama dahulu, pada asalnya merupakan kegiatan “bukan-untung” (non-profit) yang bermanfaat kepada masyarakat, tetapi telah dijinakkan oleh kapitalisme dan berkembang menjadi ekonomi jenis platform digital yang mengaut keuntungan seperti Grab. Kita mesti berhati-hati terhadap eksploitasi lanjut terhadap manusia dan alam semula jadi dengan jenis ekonomi yang memanipulasikan konsep progresif.

4. Banyak media menggambarkan Yvonne Chouinard sebagai seorang kapitalis yang “bermurah hati”. Dalam surat Chouinard kepada pemegang saham dan orang ramai, dia tidak lari daripada keadaan serba salah tentang pertumbuhan syarikat dan perlindungan alam sekitar, akan tetapi dia tetap memilih pertumbuhan syarikat. Ini menonjolkan hakikat “dalam persaingan yang penuh kemusnahan dalam kalangan kapitalis, menyebabkan mereka mencari jalan untuk mengeksploitasi pekerja dan alam sekitar, bukan sekadar sifat ‘jahat’ atau ‘tamak’ mereka, tetapi mereka juga tertakluk kepada logik sistem ini”, jadi kita memerlukan perubahan drastik dan revolusioner kepada sistem dan struktur ekonomi untuk menyelamatkan Bumi yang hampir mati.

Kesimpulannya, ketidakadilan tidak pernah kekurangan momentum walaupun kita sedang menghadapi salah satu krisis terbesar dalam tamadun manusia. Kita hanya berpeluang untuk terus hidup dengan maruah yang sedia ada dan keluar daripada kesusahan sekiranya kita dapat mengenal pasti dan meninggalkan loji janakuasa pengumpulan modal. Hanya sampai ke peringkat ini, inovasi dan teknologi baru boleh bertukar menjadi pengganda kuasa (force multiplier) yang betul-betul bermanfaat kepada planet ini dan kehidupan di atasnya dalam gelombang transformasi yang disebabkan oleh pemanasan global dan perubahan iklim.

**********

(1) Pelan B merupakan campur tangan terancang terhadap sistem iklim untuk mengatasi kesan pemanasan global.

(2) Teknologi di sini bukan sahaja merujuk kepada perkembangan sains dan teknologi, tetapi juga merangkumi perubahan dalam organisasi dan struktur. Penstrukturan semula pegangan saham Patagonia Inc merupakan salah satu bentuk perubahan sedemikian.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanasan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanasan Global (10): Pasaran hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *