KUALA LUMPUR – 16 DISEMBER 2022: Lebih 80 orang bekas pekerja ladang di 5 buah ladang di Daerah Hulu Selangor dan Daerah Kuala Selangor, Selangor, diancam pengusiran daripada pihak pemaju sedangkan janji untuk membina rumah alternatif bagi mereka masih belum ditunaikan lagi.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity mendedahkan dalam satu sidang akhbar pada hari ini bahawa pekerja-pekerja di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar telah menerima notis daripada peguam yang mewakili syarikat Tagar Properties Sdn Bhd yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan premis rumah yang didiami mereka. Notis yang diberikan oleh pihak syarikat kepada pekerja-pekerja ladang yang berumur 60 tahun ke atas ini telah diserahkan pada 5 Disember 2022 dan mereka yang menerima notis diarahkan keluar dari rumah yang dihuni mereka dalam tempoh 2 minggu.

Sidang akhbar Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity pada hari ini turut dihadiri oleh Jalaluddin Shahul Hamid selaku Penyelaras Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan R. Karthiges selaku Pengerusi Nasional Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML).

Menurut S. Arutchelvan, setakat ini telah diketahui bahawa sebanyak 84 orang pekerja ladang telah menerima notis pengusiran daripada pihak syarikat Tagar Properties Sdn Bhd, dan angka sebenar mungkin lebih tinggi.

“Isu perumahan yang melibatkan pekerja-pekerja ladang ini telah berlarutan lama. Sebelum ini, pekerja-pekerja ladang ini telah diberi pelbagai janji daripada ahli-ahli politik bahawa mereka akan diberi tanah untuk dibina rumah,” kata Arutchelvan. “Apabila syarikat Tagar Properties membeli tanah yang diduduki oleh pekerja-pekerja ladang ini daripada syarikat Berjaya milik Vincent Tan, Vincent Tan berjanji bahawa akan memberi rumah kepada semua pekerja ladang di situ. Namun, Tagar Properties terus memberi notis pengusiran selepas mengambil alih tanah tersebut. Pada 11 Mac 2016, 57 orang pekerja yang berumur lebih 60 tahun diberi notis pengusiran oleh syarikat Tagar Properties Sdn Bhd. Pekerja-pekerja telah membuat aduan polis dan mengadakan protes di Bangunan SUK Selangor. Kemudiannya dalam satu mesyuarat di Pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, satu aku janji telah ditandatangani bahawa pekerja-pekerja ini tidak akan diusir sehingga mereka mendapat perumahan alternatif.”

“Selepas itu, syarikat Berjaya memberi tanah seluas 12 ekar untuk membina rumah. Namun, keluasan tanah tersebut tidak mencukupi untuk membina 245 buah rumah teres yang diperlukan oleh pekerja-pekerja di situ,” sambung Arutchelvan. “Pekerja-pekerja telah bermobilisasi ke ibu pejabat Berjaya untuk mengetengahkan tuntutan mereka, dan akhirnya syarikat Berjaya bersetuju untuk menambahkan keluasan tanah yang diberikan itu kepada 20 ekar. Akan tetapi, timbul satu lagi isu, iaitu siapa yang akan membina rumah itu? Pada masa itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjanji bahawa Kementerian itu akan bertanggungjawab dalam membina rumah bagi pekerja-pekerja ladang di situ. Jabatan Perumahan Negara pada asalnya mengatakan ia mempunyai peruntukan belanjawan untuk membina rumah teres bagi 245 orang pekerja. Namun, peruntukan belanjawan untuk membina rumah tersebut telah ditarik balik semasa pandemik COVID-19 melanda. Sekarang ini, pekerja-pekerja telah diberi notis pengusiran sekali lagi daripada pihak syarikat Tagar Properties.”

“Notis ini biadab dan langsung tidak menghormati pekerja-pekerja ladang kerana melabel pekerja-pekerja yang telah menaburkan titik peluh mereka bergenerasi lamanya sebagai ‘setinggan’ yang tiada hak untuk duduk di atas tanah tersebut,” ulas S. Arutchelvan.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity telah menghantar surat kepada syarikat Tagar Properties Sdn Bhd, Vincent Tan selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Nga Kor Ming selaku Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, V. Sivakumar selaku Menteri Sumber Manusia, V. Ganabatirau selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pekerja ladang dan N. Jayaselan selaku Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, dengan tuntutan menghentikan pengusiran paksa dan menunaikan janji pembinaan rumah teres bagi pekerja ladang di 5 buah ladang berkenaan.

Tuntutan utama Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity ialah:

  • Pihak syarikat Tagar Properties Sdn Bhd harus menarik balik notis pengusiran terhadap pekerja-pekerja di 5 buah ladang di Hulu Selangor dan Kuala Selangor;
  • Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan harus mengambil tindakan segera untuk mencampur tangan dalam menghentikan pengusiran ini dan meluluskan peruntukan untuk membina rumah bagi 245 orang pekerja ladang ini.

“Pekerja-pekerja ladang yang telah menaburkan titik peluh untuk beberapa generasi dalam membangunkan ekonomi negara kita masih menghadapi ancaman pengusiran paksa pada hari ini kerana negara kita belum lagi ada akta yang mewajibkan pihak majikan syarikat perladangan untuk melaksanakan skim perumahan masyarakat ladang,” kata R. Karthiges dalam sidang akhbar bersama Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity. “Tuntutan untuk skim perumahan masyarakat ladang bukannya sesuatu yang baharu. Masyarakat pekerja ladang telah membawa tuntutan untuk perumahan sendiri ini kepada perhatian pihak kerajaan sejak zaman sebelum kemerdekaan. Pada 4 Disember 2019, JSML bersama dengan masyarakat ladang di seluruh negara, termasuk 5 buah ladang ini, telah menyerahkan memorandum kepada kerajaan pada masa itu dengan tuntutan menggubal Akta Skim Perumahan Masyarakat Ladang, tetapi penggubalan akta tersebut belum dilaksanakan lagi.”

“Pendirian yang diambil oleh pekerja-pekerja ladang di 5 buah ladang di Batang Berjuntai ini ialah pekerja-pekerja yang sudah melebihi umur 60 tahun dan telah diberhentikan kerja tidak akan keluar dari rumah ladang selagi pihak kerajaan dan majikan belum melaksanakan skim perumahan masyarakat ladang,” kata Karthiges.

**********

Kronologi isu perumahan 5 buah ladang di Hulu Selangor dan Kuala Selangor

1900-an

Ladang-ladang di sekitar Kuala Selangor dan Hulu Selangor, dimiliki oleh sebuah syarikat Perancis, iaitu Syarikat Socfin.

1998

Syarikat Socfin menjual tanah perladangan seluas 11,500 ekar kepada syarikat Berjaya dengan harga RM650 juta.

1 September 1998

Syarikat Socfin memberhentikan pekerja-pekerja ladang dan diberi faedah renti kerja mengikut tahun perkhidmatan. Surat pemecatan juga menyatakan bahawa pekerja akan diberikan bayaran “ex-gratia” sebanyak RM300 orang.

14 November 1998

Satu mesyuarat yang dianjurkan oleh K. Sivalingam, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu, bersama dengan wakil daripada syarikat Socfin, syarikat Berjaya, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Jawatankuasa Kebajikan Pekerja Socfin/Berjaya, untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pekerja Ladang Bukit Tinggi dan Minyak Factory akibat penukaran pentadbiran ladang. Dalam mesyuarat tersebut, pengurus ladang Berjaya, Mugunthan, memberi jaminan dalam beberapa perkara berikut:

  1. Semua pekerja Socfin akan diambil untuk bekerja di bawah syarikat Berjaya;
  2. Pekerja-pekerja yang mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi juga akan diterima bekerja di bawah pengurusan baru;
  3. Perkhidmatan semasa seperti sekolah, tempat ibadat, kedai-kedai perniagaan dan semua pertubuhan awam akan beroperasi seperti biasa dan pengurusan baru tiada sebarang halangan bagi perkara tersebut.

12 Januari 1999

Satu mesyuarat diadakan di ibupejabat syarikat Berjaya dianjurkan oleh G. Palanivel selaku Ahli Parlimen Hulu Selangor pada masa itu, untuk membincangkan masalah perumahan. Dalam mesyuarat tersebut, syarikat Berjaya berjanji akan membina perumahan untuk pekerja-pekerja ladang jika ladang dijual untuk pembangunan. Sebelum ini, satu persetujuan juga dicapai bahawa pekerja boleh mendapat milikan sendiri untuk rumah ladang yang tinggal sekarang.

6 Julai 1999

K. Sivalingam selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu menulis satu surat kepada Pengerusi Kebajikan Pekerja Berjaya/ Socfin dan menyatakan dalam surat tersebut bahawa pihak Kerajaan Negeri telahpun mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali dengan Syarikat Berjaya dan mereka bersetuju untuk membina rumah kos rendah kepada penduduk dan keutamaan akan diberikan kepada bekas pekerja ladang. Surat ini dihantar salinan kepada Hj. Abu Hassan b Hj. Omar, Menteri Besar Negeri Selangor pada masa itu.

27 Februari 2008

Syarikat Berjaya menulis kepada Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor pada masa itu, menyatakan bahawa syarikat Berjaya setuju memperuntukkan lot tanah berkeluasan 4000 kaki persegi kepada pekerja ladang untuk membina rumah secara sendiri dengan beberapa syarat. Antaranya pekerja-pekerja ladang yang berkhidmat sekurang-kurang 10 tahun layak mendapat tanah; tanah hanya untuk membina rumah dan bukan tujuan lain; tidak boleh memindah milik kepada pihak ketiga dalam tempoh masa 10 tahun pertama.

5 Mac 2008

Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor masa itu, Norzaton Aini bt Mohd. Kassim, menghantar surat kepada Haji Sulaiman bin Haji Abd. Razak, calon ADUN Permatang untuk mengemukakan minit mesyuarat daripada tetuan Berjayacity Sdn. Bhd. bertarikh 27 Februari 2008 mengenai mesyuarat bertajuk “Alocation of 4,000 sq ft land (each lot) to Berjayacity estate workers in Sungai Tinggi, Mukim Sungai Tinggi Daerah Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan”. Surat ini dihantar salinan kepada Tetuan Berjayacity Sdn Bhd.

17 April 2009

Dr. Xavier Jayakumar, Ahli Exco Kerajaan Selenagor untuk Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin pada masa itu, menulis surat kepada Vincent Tan selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, menyatakan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor komited untuk menyediakan rumah-rumah mampu milik kepada pekerja-pekerja ladang dan menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara ini. Surat ini diberi salinan kepada Abdul Khalid bin Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor pada masa itu dan G. Sankaran selaku Setiausaha Agung NUPW.

29 April 2009

Dr. Xavier Jayakumar, Ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab pada pekerja ladang pada masa itu, membuat lawatan ke 2 lokasi, iaitu tanah milik KDEB, Batu 11 berhampiran Agro Tech, Batu 11, Jalan Raja Musa dan lokasi sekeliling Unisel, Bestari Jaya, untuk perancangan skim perumahan pekerja 5 buah ladang di Batang Berjuntai.

30 April 2009

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menulis surat kepada Dr. Xavier Jayakumar, menyatakan persetujuan tentang lokasi yang dilawat Dr. Xavier Jayakumar di Ladang Sungai Tinggi, terutamanya di belakang kuil dan merayu pada Dr. Xavier Jayakumar untuk menyatakan hasrat ini kepada Berjaya supaya dirundingkan.

Akhir tahun 2014

Pekerja-pekerja ladang mendapat tahu mengenai Berjayacity berniat untuk menjual tanah perladangan kepada pihak lain.

10 April 2015

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity berjumpa dengan Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggunjawabkan untuk isu-isu ladang pada masa itu, untuk bembincang tentang masalah perumahan.

23 April 2015

Wakil ladang dari Bukit Tagar dan Pengerusi Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Paul Sinnapan telah berjumpa dengan Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor pada masa itu, di program Asean Civil Society Conference yang diadakan di bangunan MCA. Pada masa itu, Menteri Besar mengatakan bahawa akan cuba meneliti isu ini.

11 Mac 2016

Seramai 57 orang bekas pekerja dari 5 buah ladang mendapat notis pengosongan rumah di ladang sebelum 15 April 2016. Notis tersebut juga mengatakan bahawa jika gagal mengosongkan rumah sebelum 15 April 2016, pihak majikan, iaitu Tagar Properties, akan menggunakan pihak luar atau khidmat polis untuk mengusir pekerja.

31 Mac 2016

Pekerja-pekerja membuat aduan polis terhadap Tagar Properties Sdn Bhd di IPD Kuala Selangor kerana notis yang diberikan adalah berunsur ugutan. Mereka risau akan berlaku pengusiran paksa tanpa melalui proses perundangan yang sah.

4 April 2016

Beberapa orang wakil dari Bukit Tagar hadir ke Pejabat Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco Selangor masa itu untuk membincangkan masalah perumahan pekerja ladang. Lee Kee Hiong selaku ADUN Kuala Kubu Baru turut bersama Ganabatirau dalam perjumpaan itu. Dalam perjumpaan tersebut, Ganabatirau memberitahu bahawa syarikat Berjaya sedia membina rumah seperti yang dijanjikan tetapi menghadapi masalah dalam kos untuk membina saluran paip yang dianggarkan RM6 juta.

13 April 2016

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang, iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak menghantar satu memorandum kepada Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor dan Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco yang dipertanggunjawabkan untuk isu-isu ladang di Negeri Selangor supaya mencampurtangan dan menyelesaikan masalah pekerja di 5 buah ladang tersebut yang telah berlarutan sejak dari tahun 1998.

18 April 2016

Wakil pekerja dari 5 buah ladang, wakil dari Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat dan penasihat Jawatankuasa Perumahan Pekerja S. Arutchelvan, wakil daripada syarikat Berjayacity dan Tagar Propeties hadir dalam mesyuarat bersama. Dalam mesyuarat tersebut, satu keputusan dibuat iaitu pengusiran paksa oleh Tagar Propeties akan ditangguhkan sehingga masalah perumahan pekerja ladang diselesaikan.

22 September 2016

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar satu surat kepada Vincent Tan Chee Yioun selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, untuk mohon satu temujanji bagi bincang isu perumahan 5 ladang Batang Berjuntai.

24 November 2016

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar satu surat kepada Ganabatirau Veraman selaku Exco Kerajaan Selangor, menyatakan bahawa Jawatankuasa tidak bersetuju dengan tawaran Berjayacity, iaitu RM20,000 dan membeli rumah Selangorku. Mereka menegaskan tuntutan rumah rumah teres percuma. Juga dinyatakan dalam surat tersebut bahawa tawaran ini perlu dibincang dengan semua penduduk di 5 buah ladang dan ia memerlukan masa.

7 Disember 2016

Berjayacity menghantar surat kepada Ganabatirau Veraman selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan senarai pekerja dari 5 ladang yang ditawarkan RM20,000 dan rumah Selangorku.

13 April 2017

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang di Batang Berjuntai menyerahkan memorandum kepada Berjaya. Memorandum ini diterima oleh Zurainah Binti Musa selaku Pengarah Eksekutif Berjaya.

15 Mei 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Vincent Tan Chee Yioun selaku Pengerusi Berjaya untuk meminta maklumbalas tentang masalah perumahan 5 buah ladang dan alamat untuk dihubungi Jawatankuasa pada masa depan. Surat ini dihantar salinan kepada Ganabatirau selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Prosper/Tagar Properties Sdn Bhd, dan S. Arutchelvan selaku Penasihat Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity.

20 Mei 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor dan Ganabatirau selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin untuk tangguhkan semua permohonan kebenaran pindah milik tanah ladang oleh Berjayacity sehingga masalah perumahan 5 ladang selesai.

21 September 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Noh bin Hj Omar selaku Menteri Perumahan pada masa itu dan Vincent Tan Chee Yioun, menyatakan bahawa saiz tanah yang diberi oleh Berjaya City, iaitu 12.75 ekar, tidak cukup untuk KPKT membina rumah dan memberi justifikasi untuk meningkatkan saiz tanah kepada 20 ekar supaya KPKT boleh membina rumah teres kepada 245 pekerja ladang.

13 Mac 2018

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang menghantar satu memorandum kepada Noh bin Hj Omar, menyatakan bahawa Kementerian Perumahan harus bertanggungjawab untuk membina rumah teres kepada kesemua 245 keluarga di 5 buah ladang ini.

29 Mei 2018

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan tuntutan menghentikan segala projek perumahan dan membuat kajian semula projek PPR Bestari Jaya kerana tidak dipersetujui oleh majoriti pekerja ladang. Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity satu temujanji dengan Menteri.

19 Disember 2018

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity hadir ke Berjaya Times Square untuk menghantar surat kepada Vincent Tan Chee Yioun. menyatakan bahawa saiz tanah yang diberi oleh Berjaya City, iaitu 12.75 ekar, tidak cukup untuk KPKT membina rumah dan menuntut saiz tanah 20 ekar untuk membina rumah teres kepada 245 pekerja ladang.

26 Februari 2019

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menerima surat bertarikh 11 Januari 2019 daripada Berjaya yang menyatakan bahawa Berjaya tiada halangan untuk memberi tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pembinaan rumah 245 pekerja ladang di Batang Berjuntai.

7 April 2019

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity mengadakan mesyuarat di semua 5 ladang untuk membincangkan langkah seterusnya yang berjumpa dengan Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu untuk menyelesaikan masalah perumahan mereka.

8 September 2019

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Zuraida Kamaruddin untuk menyelesaikan isu kontraktor dalam pembinaan rumah bagi pekerja-pekerja ladang.

20 Januari 2020

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Vincent Tan, menyatakan persetujuan secara hitam putih untuk pemilihan kontraktor dilakukan secara tender terbuka sepertimana syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa itu.

12 November 2021

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Reezal Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu, untuk menerangkan isu perumahan yang telah berlarutan lama dan memohon satu janji temu suoaya berjumpa dengan pihak Menteri dan berbincang tentang status projek perumahan yang telah dijanjikan oleh Kerajaan sebelum itu.

8 September 2022

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Unit Perancang Ekonomi, Menteri Kewangan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan maklum balas tentang status sama ada Bajet 2023 akan mempunyai peruntukan bagi pembinaan rumah pekerja ladang yang telah dijanjikan oleh Kerajaan sebelum itu.

27 September 2022

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mengatakan bahawa pihak Kementerian telah memohon peruntukan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya pada tahun 2018 tetapi ia tidak diluluskan. Maka, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menghantar permohonan sekali lagi kepada Unit Perancang Ekonimi untuk Bajet 2023, tetapi masih dalam pertimbangan

5 Disember 2022

Syarikat Tagar Properties Sdn Bhd, melalui peguam Krishna Dallumah & Indran, menyerahkan notis pengosongan rumah kepada lebih 80 orang bekas pekerja ladang yang sudah mencapai umur 60 tahun.

One thought on “Bekas pekerja 5 ladang di Selangor diancam pengusiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *