Lawatan Nancy Pelosi selaku Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat ke Taiwan pada 2 Ogos 2022 yang provokatif telah mencetuskan ketegangan terbaru di rantau Asia-Pasifik dan mengundang kerisauan tentang kemungkinan berlakunya peperangan di Selat Taiwan yang akan memberi impak besar kepada keamanan serantau serta dunia.

Kerajaan negara Republik Rakyat China yang mengecam lawatan Pelosi ke Taiwan sejak awal lagi, telah merespon dengan mengadakan latihan ketenteraan besar-besar di sekeliling Pulau Taiwan sehari selepas Pelosi meninggalkan Taiwan. Latihan ketenteraan oleh China itu diadakan di kawasan yang lebih dekat lagi dengan Taiwan dengan skala yang lebih besar berbanding latihan ketenteraan yang pernah diadakan semasa Krisis Selat Taiwan Ketiga pada tahun 1996. Latihan ketenteraan tersebut jelas merupakan cubaan negara China untuk mempamerkan kekuatan dan kebolehan tenteranya dalam melancarkan serangan ke atas Taiwan. Kerajaan China juga mengenakan sekatan ekonomi ke atas Taiwan dengan menghentikan pengimportan banyak produk dari Taiwan dan menggantung pengeksportan bahan seperti pasir ke Taiwan. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pula terus mengerahkan kapal perang dan pesawat tenteranya ke Selat Taiwan. Sesetengah orang menggelar pergolakan terbaru ini sebagai “Krisis Selat Taiwan Keempat”.

Peta menunjukkan kawasan di mana tentera China menjalankan latihan ketenteraan besar-besaran di sekeliling Taiwan pada 4-7 Ogos 2022. (Gambar: Xinhua)

Pergolakan rentas Selat Taiwan yang terbaru ini mengedepankan semula Persoalan Taiwan di mata dunia. Walaupun Taiwan sebuah negara yang merdeka secara de facto, tetapi Kerajaan China sentiasa mendakwa bahawa negara pulau itu ialah sebahagian daripada wilayahnya. Sementara itu, negara AS yang pernah menempatkan tentera di Taiwan dahulu telah mengambil pendirian yang kabur dalam Persoalan Taiwan untuk beberapa dekad kebelakangan ini untuk percaturan geostrategiknya. Namun, dengan persaingan kuasa geopolitik antara AS dan China semakin meningkat dalam beberapa tahun yang kebelakangan ini, Persoalan Taiwan telah dijadikan sebagai pertaruhan.

Suasana tegang merentasi Selat Taiwan turut dibimbangi oleh negara-negara yang terletak di rantau Asia Pasifik. Rata-ratanya tiada negara di rantau ini mahukan peperangan berlaku kerana pergolakan rentas Selat Taiwan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri-menteri Luar Negeri Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 4 Ogos 2022, ASEAN menyeru pada pihak-pihak yang terlibat dalam ketegangan terbaru supaya mengamalkan kesabaran maksimum, menahan diri daripada tindakan yang provokatif dan menjunjung prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC). Kenyataan tersebut mengulangi sokongan negara-negara anggota ASEAN terhadap “Dasar Satu China” masing-masing.

“Dunia ini amat memerlukan kebijaksanaan dan tanggungjawab daripada semua pemimpin untuk menegakkan multilateralisme dan perkongsian, kerjasama, kewujudan bersama secara aman dan persaingan sihat untuk matlamat bersama kita demi keamanan, kestabilan, keselamatan dan pembangunan yang inklusif serta mampan,” begitu katanya kenyataan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN. “Kita harus bertindak bersama dan ASEAN bersedia untuk memainkan peranan yang membina dalam memudahkan dialog secara aman antara semua pihak termasuk melalui penggunaan mekanisme yang diterajui ASEAN untuk meredakan ketegangan, untuk menjaga keamanan, keselamatan dan pembangunan di rantau kita.”

(foto: Kaila V Peters / US Navy)

Ancaman AS kepada keamanan serantau

Lawatan Pelosi ke Taiwan merupakan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS yang pertama ke situ dalam tempoh masa 25 tahun kebelakangan ini selepas lawatan Newt Gingrich pada tahun 1997. Pelosi berkata bahawa lawatan delegasi Kongres AS ke Taiwan itu adalah untuk menunjukkan “komitmen Amerika yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong demokrasi Taiwan yang bersemangat dan bertenaga”. Namun, tindakan Pelosi melawat Taiwan yang disedari bahawa sudah pasti mengundang reaksi hebat daripada Kerajaan China di Beijing itu, sebenarnya tidak membawa perkembangan yang bermakna selain memburukkan lagi ketegangan di Selat Taiwan sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada perkembangan demokrasi di Taiwan itu sendiri.

Lawatan Pelosi yang bersifat provokatif ke Taiwan itu barangkali hanya bertujuan untuk kepentingan politik dirinya sendiri, di mana Pelosi hendak meninggalkan warisan politiknya sebagai seorang ahli politik liberal AS yang agresif dalam pendiriannya berkaitan China sebelum dia bersara daripada jawatan Speaker Dewan Perwakilan Kongres AS. Dalam konteks politik dalaman AS yang lebih besar, tindakan Pelosi boleh dianggap sebagai cubaan untuk meraih undi bagi Parti Demokratik menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal AS yang akan berlangsung pada hujung tahun ini, dengan menunjukkan bahawa Parti Demokratik juga dapat berpendirian tegas dalam berhadapan dengan China, untuk menangkis cabaran daripada golongan pelampau kanan lain di dalam AS (seperti penyokong Donald Trump) yang kuat anti-China.

(foto: Taiwan Presidential Office via Reuters)

Tindakan provokatif Pelosi juga dapat dilihat dalam konteks geopolitik yang lebih besar sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kuasa imperialis AS untuk menyekat pengaruh China yang semakin meningkat dan berleluasa di pentas dunia. Strategi untuk melakukan pengepungan geostrategik ke atas China telah ditingkatkan dengan dasar “Berpaling ke Asia” semasa zaman Presiden Barack Obama dan perang perdagangan yang dilancarkan ke atas China semasa zaman Presiden Donald Trump. Presiden AS pada masa ini, Joe Biden, sedang membawa dasar imperialis AS ini ke tahap yang baharu dan berbahaya kepada keamanan dunia. Strategi imperialis AS adalah amat jelas selama ini, iaitu menyekat kebangkitan China sebagai sebuah kuasa besar dunia dan mengekalkan dominasi modal AS di peringkat global.

Salah satu taktik yang digunakan dalam strategi mengekalkan keunggulan kuasa imperialis AS dalam percaturan geopolitik ialah mengumpan “musuh bayangan”nya untuk terjerumus dalam konflik serantau supaya melemahkan negara yang boleh mencabar kekuasaan imperalis AS itu. Perang di Ukraine merupakan satu contoh di mana kuasa imperialis AS dan sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mempergunakan aspirasi nasionalis-chauvinis Vladimir Putin untuk mengumpan Kerajaan Rusia ke dalam konflik peperangan yang membawa kemusnahan di Ukraine dan memburukkan lagi krisis dalam ekonomi dunia yang semakin rapuh.

Dalam satu dekad yang lalu, kuasa imperialis AS telah meningkatkan usahanya untuk membendung kebangkitan kekuasaan China. Sekarang ini AS sudah mempunyai satu rangkaian pangkalan tentera di rantau Asia-Pasifik yang membentuk pengepungan geostrategik ke atas China, dan ia bercadang untuk meningkatkan lagi kapasiti ketenteraannya di rantau ini. Sebuah pakatan tentera yang dikenali sebagai AUKUS ditubuhkan oleh AS bersama dengan Britain dan Australia pada tahun 2021 dengan tujuannya yang amat jelas mensasarkan China. Kehadiran tentera AS di rantau Asia-Pasifik semakin meningkat. China juga telah merespon dengan tindakan yang dianggap agresif oleh negara-negara jirannya, termasuk membina pulau buatan dan pengerahan tentera di Laut China Selatan. Setiap tindakan oleh satu pihak dilayan dengan tindak balas daripada pihak lain. Tindakan dan tindak balas daripada kedua-dua pihak AS dan China meningkatkan lagi ketegangan serantau, ketidakstabilan geopolitik dan permusuhan antara dua kuasa besar ini, yang dianggap ramai sebagai “Perang Dingin Baharu” dalam abad ke-21.

Lawatan Pelosi ke Taiwan bagaikan umpan kuasa imperialis AS untuk mengundang reaksi melampau daripada Kerajaan China supaya AS dapat meningkatkan lagi pengerahan tenteranya ke rantau Asia-Pasifik. Nampaknya Kerajaan China telah termakan umpan ini dengan melancarkan latihan ketenteraan secara besar-besaran sehingga membolehkan Kerajaan AS mempunyai lebih banyak alasan untuk meneruskan pengerahan tentera di Asia-Pasifik. Namun begitu, setakat ini, pemimpin Kerajaan China nampaknya belum lagi kehilangan akal seperti Putin di Rusia dalam melancarkan perang dengan semberono, walaupun terdapat desakan daripada golongan ultra-nasionalis di dalam negara China untuk berbuat demikian.

Persoalan Taiwan: Produk Perang Dingin abad ke-20 yang telah berevolusi

Persoalan Taiwan sering menjadi titik nyala kepada ketegangan geopolitik di rantau Asia Timur kerana peninggalan sejarah pada abad ke-20. Persoalan Taiwan merupakan produk Perang Dingin pada abad ke-20 yang masih belum selesai, tetapi dinamik dan keadaan sekeliling persoalan ini telah banyak berubah pada abad ke-21 berbanding dahulu.

Selepas Parti Nasional China (Kuomintang) ditewaskan oleh Parti Komunis China dalam Perang Saudara China pada tahun 1949, ia berundur ke Pulau Taiwan dan memerintah Taiwan dengan kediktatoran satu-parti yang autoritarian di bawah kepimpinan Chiang Kai-shek dan kemudian anaknya Chiang Ching-kuo. Darurat Taiwan yang diperkenalkan semasa rejim pemerintahan kediktatoran Chiang Kai-shek merupakan salah satu darurat ketenteraan yang paling lama wujud di dunia, iaitu selama 38 tahun (dari tahun 1949 hingga 1987). Pemerintahan kediktatoran Kuomintang adalah serupa dengan pemerintahan kediktatoran tentera berhaluan kanan lain yang disokong oleh AS semasa Perang Dingin, seperti Suharto di Indonesia, Park Chung-hee di Korea Selatan, Anastasio Somoza Debayle di Nicaragua, Fulgencio Batista di Kuba, Alfredo Stroessner di Paraguay dan Augusto Pinochet di Chile. Rejim kediktatoran Kuomintang telah menggunakan alasan membanteras komunis untuk menindas dan menahan mana-mana pengkritik kerajaan dengan sewenang-wenangnya.

Walau bagaimanapun, Taiwan telah melalui proses pendemokrasian sejak tahun 1980-an, dengan pembatalan darurat pada tahun 1987 dan peralihan daripada pemerintahan autoritarian kepada demokrasi, hasil daripada perjuangan masyarakat Taiwan yang penuh berliku-liku. Banyak usaha yang memperjuangkan demokrasi telah dilakukan oleh masyarakat Taiwan sejak awal lagi tetapi ditindas secara kejam oleh pihak berkuasa semasa zaman Darurat selama 38 tahun. Proses pendemokrasian di Taiwan akhirnya menjadi realiti kerana keazaman dan kegigihan perjuangan demokratik yang berterusan di negara pulau itu. Proses pendemokrasian Taiwan telah menyaksikan kemunculan gerakan sosial baharu yang penuh bertenaga, merentasi pelbagai sektor masyarakat dan isu rakyat.

Walaupun Kuomintang masih kekal wujud sebagai parti politik yang utama selepas pendemokrasian di Taiwan dan terus bertanding dalam pilihan raya (malah pernah menang dalam pilihan raya untuk memerintah), tetapi ia telah “memperbaharui” imejnya untuk menjadi sebuah parti politik yang menyokong penyatuan China, dan tidak lagi bermusuhan dengan Parti Komunis China. Parti yang merupakan pencabar kepada Kuomintang selepas peralihan ke demokrasi, Parti Progresif Demokratik (DPP), ialah sebuah parti politik yang datang daripada gerakan masyarakat yang pro-kemerdekaan Taiwan. Isu yang mendominasi arena politik Taiwan dan mewujudkan polarisasi dalam masyarakat Taiwan sepanjang tempoh lebih 3 dekad selepas peralihan ke demokrasi ialah persoalan mengenai sama ada “penyatuan” atau “kemerdekaan”.

Shiyu ialah sebuah pulau kecil di Kepulauan Kinmen (juga dikenali sebagai Quemoy) di bawah kekuasaan Kerajaan Taiwan. Bangunan-bangunan tinggi di latar belakang gambar ini terletak di dalam bandaraya Xiamen (juga dikenali dahulu sebagai Amoy) yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Republik Rakyat China.

Hubungan rentas Selat Taiwan yang bergelora

Parti Komunis China walaupun berjaya menewaskan Kuomintang dalam perang saudara di Tanah Besar pada tahun 1949, tetapi ia gagal menawan Pulau Taiwan yang berada sejauh lebih kurang 180 km dari Tanah Besar China kerana kekurangan dari segi kelengkapan ketenteraan untuk melancarkan serangan dari laut. Tambahan pula, rejim Kuomintang yang berundur ke Taiwan itu mendapat sokongan kuat daripada AS, termasuk pengerahan tentera AS ke Taiwan untuk membantu dalam pertahanannya. Tentera Pembebasan Rakyat yang diterajui oleh Parti Komunis China bukan sahaja menghadapi kesukaran besar dalam melancarkan serangan merentasi Selat Taiwan untuk menawan Pulau Taiwan, malah turut gagal menawan Kepulauan Kinmen yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja dari pesisir pantai Wilayah Fujian di Tanah Besar China.

Selepas berundur ke Taiwan, rejim pemerintahan kediktatoran Kuomintang masih menggelar dirinya sebagai Kerajaan Republik China (ROC). Kerajaan Kuomintang di bawah kepimpinan Chiang Kai-shek masih menganggap dirinya sebagai kerajaan yang mewakili seluruh China walaupun secara realitinya hanya menguasai Pulau Taiwan (yang berkeluasan lebih kurang 1/7 Semenanjung Malaysia) dan pulau-pulau kecil yang tertabur di Selat Taiwan, termasuk Kinmen yang hanya terletak lebih kurang 10 km dari bandar Xiamen di Wilayah Fujian, Kepulauan Matsu dan Kepulauan Penghu yang terdiri daripada 90 buah pulau kecil.

Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2758 yang diluluskan pada 25 Oktober 1971 telah mengiktiraf Republik Rakyat China yang ditubuhkan oleh Parti Komunis China sebagai “satu-satunya perwakilan yang sah bagi China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu” dan menyingkir keluar perwakilan Kerajaan Chiang Kai-shek daripada PBB. Resolusi Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1971 yang dianggap sebagai kejayaan usaha diplomasi negara-negara Dunia Ketiga itu walaupun menyelesaikan isu perwakilan China di PBB, tetapi status Taiwan masih tergantung, kerana ia masih dikuasai oleh Kuomintang dan Parti Komunis China tidak pernah mentadbirnya.

Delegasi daripada Republik Rakyat China mendapat tempat duduk dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai wakil “China” selepas satu resolusi bersejarah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 25 Oktober 1971.

Selepas pengunduran Kuomintang ke Taiwan, pernah wujudnya 3 kali “Krisis Selat Taiwan”, di mana dua kali yang pertama berlaku pada tahun 1950-an semasa kemuncak Perang Dingin, dan kali ketiga berlaku pada zaman pasca Perang Dingin selepas Taiwan melalui proses pendemokrasian. Krisis Selat Taiwan Pertama berlaku pada tahun 1954-1955 apabila Tentera Pembebasan Rakyat China membedil Kinmen dengan ratusan meriam dan berakhir dengan Republik Rakyat China berjaya merampas Kepulauan Yijiangshan dan Kepulauan Dachen daripada ROC. Krisis Selat Taiwan Kedua berlaku pada tahun 1958 apabila Tentera Pembebasan Rakyat China melancarkan serangan meriam ke atas Kinmen dan Kepulauan Matsu, tetapi tidak membuahkan apa-apa hasil. Pembedilan meriam daripada kedua-dua pihak Republik Rakyat China dan ROC berlaku secara selang-seli dengan intensiti yang berkurangan sehingga Republik Rakyat China menormalisasi hubungannya dengan AS pada tahun 1979. Krisis Selat Taiwan Ketiga berlaku pada tahun 1996 sebagai cubaan Kerajaan Republik Rakyat China untuk menakut-takutkan rakyat Taiwan menjelang Pilihan raya Presiden yang pertama kali diadakan di Taiwan pada masa itu.

Kerajaan AS telah menjalin hubungan rapat dengan Kuomintang pada zaman Kuomintang memerintah Taiwan secara autoritarian, dengan menempatkan tentera AS di Taiwan untuk melindungi rejim kediktatoran Kuomintang. Selepas AS menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Republik Rakyat China pada tahun 1979, negara AS memutuskan hubungan diplomatik rasminya dengan ROC yang menguasai Taiwan. Namun, Kongres AS meluluskan Akta Hubungan Taiwan pada masa yang sama untuk mengekalkan hubungan de facto dengan Taiwan dalam semua aspek, dengan American Institute in Taiwan (AIT) berfungsi sebagai kedutaan AS yang de facto di Taiwan. Walaupun tentera AS yang ditempatkan di Taiwan telah berundur keluar selepas tahun 1979, tetapi Kerajaan AS masih memberi sokongan kepada pertahanan di Taiwan secara tidak langsung melalui penjualan senjata kepada Taiwan.

Dalam era globalisasi neoliberal selepas AS mewujudkan hubungan diplomatik rasmi dengan Republik Rakyat China, walaupun AS sentiasa mengekalkan hubungan erat dengan Kerajaan ROC di Taiwan, tetapi Kerajaan AS mengambil pendirian yang menganggap bahawa tindakan kemerdekaan Taiwan boleh membawa gangguan kepada kestabilan serantau yang mengancam kepentingannya. Oleh itu, Kerajaan AS telah mengambil pendekatan “kekaburan strategik” dalam persoalan bagaimana ia akan bertindak sekiranya Republik Rakyat China melancarkan serangan ke atas Taiwan, walaupun dari semasa ke semasa menyatakan bahawa AS akan “mempertahankan” Taiwan jika ia diserang oleh Republik Rakyat China. Walau bagaimanapun, Kerajaan AS hanya mahu mengekalkan Taiwan sebagai alat untuk manipulasi geostrategiknya di rantau Asia-Pasifik dalam mengekang pengaruh China.

Antara “penyatuan” dan “kemerdekaan”

Selepas Darurat ditamatkan di Taiwan, kedua-dua pihak Republik Rakyat China dan ROC di Taiwan mula mengadakan rundingan melalui perwakilan separa rasmi mereka pada awal tahun 1990-an. Ini membawa kepada pembentukan “Konsensus 1992” yang dikatakan sebagai asas kepada dialog rentas Selat Taiwan untuk mencapai penyatuan semula negara China, tetapi tafsiran mengenai “Konsensus 1992” nampaknya tidak mempunyai konsensus yang sebenar antara kedua-dua pihak Republik Rakyat China dan ROC kerana masing-masing mempunyai tafsiran sendiri yang agak berbeza dalam persoalan-persoalan seperti pengertian tentang “Satu China”.

Walau bagaimanapun, Taiwan dan Tanah Besar China mula menjalin hubungan ekonomi yang erat pada penghujung tahun 1980-an, di mana Taiwan sudah membangun kepada sebuah ekonomi maju, yang menjadikannya salah sebuah negara “Empat Harimau Asia” atau “Empat Naga Kecil” (bersama-sama dengan Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura) pada masa itu, dan Republik Rakyat China pula memulihkan ekonomi pasaran kapitalis sebagai strategi pembangunan negaranya.

Pertemuan bersejarah antara Wang Daohan (kiri) selaku Presiden Persatuan untuk Hubungan Rentas Selat Taiwan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Republik China dan Koo Chen-fu selaku Pengerusi Yayasan Pertukaran Selat yang ditubuhkan oleh Kerajaan Republik China (Taiwan) pada bulan April 1993 di Singapura. (foto: Xinhua)

Kelas kapitalis Taiwan mendapat manfaat dan keuntungan besar daripada hubungan ekonomi yang semakin erat dengan Tanah Besar China, di mana banyak dalam kalangan golongan kapitalis Taiwan melabur di Tanah Besar China dan membuka kilang-kilang peras tenaga untuk pembangunan ekonomi kapitalis di situ. Golongan kapitalis Taiwan yang merupakan pendukung “penyatuan” dengan China diwakili oleh parti berhaluan kanan seperti Kuomintang yang pernah menjalankan pemerintahan kediktatoran (di Tanah Besar China dan Taiwan). Kuomintang yang pada satu ketika dahulu menganggap Parti Komunis China sebagai musuh ketatnya, sekarang telah menjelma ke dalam sebuah parti yang lebih mesra dengan Parti Komunis China. Bagi golongan kapitalis Taiwan, ekonomi rentas Selat Taiwan telah mengalami integrasi dan menjadi pasaran kapitalis yang sama, maka tidak wujudnya keperluan yang terdesak untuk kemerdekaan Taiwan, dan penyatuan politik bukannya persoalan pula kerana penyatuan ekonomi kapitalis sudah menjadi realiti.

Bukannya semua penyokong “penyatuan” dengan China itu ialah golongan berhaluan kanan. Terdapat juga golongan pro-penyatuan yang berhaluan kiri, tetapi dalam bilangan yang kecil dan diwakili oleh parti politik yang sangat kecil seperti Parti Buruh yang hanya mempunyai dua orang ahli majlis tempatan di Daerah Hsinchu pada masa ini. Ramai dalam kalangan golongan pro-penyatuan yang berhaluan kiri juga pernah terlibat dalam perjuangan demokratik di Taiwan semasa zaman pemerintahan kediktatoran Kuomintang.

Apabila Ma Ying-jeou daripada Kuomintang dipilih menjadi Presiden Taiwan pada tahun 2008, dia telah mengajukan idea “tidak menggerakkan penyatuan, tidak mengisytihar kemerdekaan Taiwan, dan tidak melancarkan perang”. Ma Ying-jeou giat menggerakkan Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Rentas Selat (ECFA) yang merupakan perjanjian perdagangan bebas antara Taiwan dan Tanah Besar China untuk meningkatkan integrasi ekonomi kapitalis merentasi Selat Taiwan. Namun, Gerakan Mahasiswa Bunga Matahari yang tercetus di Taiwan pada tahun 2014 untuk membantah Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan Rentas Selat (CSSTA) yang merupakan susulan daripada ECFA, telah mengganggu proses integrasi ekonomi rentas Selat Taiwan yang dibawa oleh Kuomintang.

Dengan Kuomintang mengambil pendekatan yang semakin rapat dengan China beberapa tahun kebelakangan ini, Parti Progresif Demokratik (DPP) pula menjelma sebagai anak emas kepada Kerajaan AS dan golongan kapitalis Taiwan yang lebih rapat dengan modal AS.

Gerakan kemerdekaan Taiwan

DPP ialah sebuah parti politik yang muncul daripada gerakan kemerdekaan Taiwan. Gerakan kemerdekaan Taiwan bukannya sebuah gerakan yang homogenus (iaitu hanya terdiri daripada satu aliran), sebaliknya mempunyai spektrum yang luas, dari kiri ke kanan, dan mempunyai sejarah yang berpanjangan.

Gerakan kemerdekaan Taiwan yang awal berasal daripada penentangan penduduk Taiwan terhadap penjajahan Jepun di Pulau Taiwan. Kuasa imperialis Jepun merampas Pulau Taiwan dan Kepulauan Penghu daripada Kerajaan Dinasti Qing pada tahun 1895 dengan penandatanganan Perjanjian Shimonoseki selepas Jepun menewaskan Kerajaan Qing dalam Perang China-Jepun Pertama (1894-1895). Penjajahan Jepun ke atas Taiwan berterusan selama setengah abad sehingga tahun 1945.

Parti politik yang paling awal memperjuangkan kemerdekaan Taiwan ialah Parti Komunis Taiwan yang ditubuhkan di Shanghai pada tahun 1928. Program Parti Komunis Taiwan semasa ia ditubuhkan merangkumi tuntutan seperti menumpaskan pemerintahan imperialis Jepun, memperjuangkan kemerdekaan bangsa Taiwan dan menubuhkan “Republik Taiwan”. Parti Komunis Taiwan telah ditindas teruk oleh kerajaan penjajah Jepun, dengan ramai anggotanya ditahan dan organisasinya dihancurkan pada tahun 1931. Walaupun kewujudan Parti Komunis Taiwan tidak lama, tetapi ia meninggalkan warisan penting kepada perjuangan anti-kolonial di Taiwan dan menyemaikan benih nasionalisme Taiwan.

Selepas Kuomintang berundur ke Taiwan, rejim pemerintahan diktator Chiang Kai-shek membawa masuk bersamanya kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai “Waishengren” (bermaksud warga dari wilayah asing, iaitu orang beretnik Han yang datang dari Tanah Besar China selepas tahun 1945) yang membentuk kira-kira 10% penduduk Taiwan, sementara lebih kurang 88% penduduk Taiwan ialah “Benshengren” yang merupakan orang beretnik Han yang berhijrah ke Taiwan sebelum tahun 1945, dan 2% lagi penduduk ialah masyarakat orang asal. Rejim pemerintahan Kuomintang dianggap hanya mewakili kepentingan “Waishengren”, maka wujudnya sentimen menentang rejim yang datang dari Tanah Besar China dalam kalangan masyarakat “Benshengren”. Peristiwa 228 pada tahun 1947 yang menyaksikan kezaliman pemerintahan Kuomintang terhadap penduduk Taiwan telah memperkukuhkan polarisasi “WaishengrenBenshengren” dan mempengaruhi secara ketara perkembangan gerakan kemerdekaan Taiwan pasca Perang Dunia II.

Aktivis Gerakan Tangwai yang ditangkap selepas Peristiwa Kaohsiung pada tahun 1979 dibicarakan di dalam mahkamah tentera. Peristiwa Kaohsiung ialah episod sejarah yang penting dalam gerakan perjuangan demokratik di Taiwan yang akhirnya membawa kepada pendemokrasian di negara pulau itu.

Gerakan demokratik Taiwan yang dikenali sebagai “Gerakan Tangwai” (Gerakan Luar Parti) yang berkembang pesat pada tahun 1970-an dan 1980-an, disertai oleh aktivis sosial daripada pelbagai aliran politik, sama ada golongan yang pro-penyatuan ataupun pro-kemerdekaan. Selepas parti pembangkang dibenarkan untuk berdaftar hasil daripada perjuangan demokratik yang berterusan, sebahagian anggota Gerakan Tangwai yang pro-kemerdekaan menubuhkan DPP pada tahun 1986. Chen Shui-bian yang bertanding sebagai calon DPP menang dalam pilihan raya Presiden Republik China (Taiwan) pada tahun 2000, menamatkan pemerintahan Kuomintang yang berterusan selama 55 tahun di Taiwan.

Walaupun DPP membawa program politik yang memperjuangkan kemerdekaan Taiwan, tetapi selepas Chen Shui-bian dipilih sebagai Presiden Taiwan pada tahun 2000, dia mengatakan bahawa selagi Parti Komunis China tidak melakukan serangan tentera ke atas Taiwan, dia berjanji bahawa tidak akan mengisytihar kemerdekaan, tidak menukar nama negara, tidak memasukkan konsep “Dua Negara (China)” ke dalam Perlembagaan dan tidak menyokong referendum mengenai isu penyatuan-kemerdekaan Taiwan yang akan mengubah status quo. Namun begitu, dasar Chen Shui-bian mengenai Persoalan Taiwan telah berubah-ubah sepanjang kepresidenannya mengikut keadaan politik dalaman, di mana dia pernah membawa idea seperti “Satu China Satu Taiwan”, “satu negara di setiap belah” dan “Teori Empat-Peringkat mengenai Republik China”. Selepas dihantui skandal korupsi dan berdepan dengan gerakan massa hebat yang menuntut perletakan jawatannya, Chen Shui-bian mengemukakan pandangannya pada tahun 2007 bahawa “Taiwan mahu kemerdekaan; Taiwan mahu pembetulan ke atas namanya; Taiwan mahu perlembagaan baharu; Taiwan mahu pembangunan; dan tiadanya persoalan kiri dan kanan dalam politik Taiwan, hanya adanya persoalan penyatuan atau kemerdekaan”. Ahli-ahli politik arus perdana Taiwan memang sering mempergunakan persoalan penyatuan-kemerdekaan untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja dan mengalihkan perhatian masyarakat umum daripada isu-isu pokok lain yang wujud dalam masyarakat Taiwan.

Majoriti besar rakyat Taiwan mahu kekalkan status quo

Selepas Tsai Ing-wen daripada DPP dipilih sebagai Presiden Taiwan pada tahun 2016, dia berpegang pada pendirian yang mengekalkan status quo dan tidak mengiktiraf “Konsensus 1992”. Kerajaan Republik Rakyat China di bawah kepimpinan Xi Jinping pula sering memberi tekanan kepada Kerajaan Taiwan supaya menerima “Konsensus 1992”.

Identiti Taiwan sebagai konsep politik dan kebudayaan telah berkembang pesat menjadi pemikiran arus perdana dalam masyarakat Taiwan selepas negara pulau itu melalui proses pendemokrasian, kerana ruang demokratik yang lebih terbuka luas telah menggalakkan pembangunan pemikiran kepelbagaian budaya dan pertumbuhan nasionalisme Taiwan, sebagai alternatif kepada sinosentrisme (ideologi yang berpusatkan China) dan nasionalisme China yang pernah mendominasi masyarakat Taiwan semasa zaman pemerintahan kediktatoran autoritarian Kuomintang. Pada masa kini (tahun 2022), lebih 60% penduduk Taiwan menganggap diri mereka sebagai orang Taiwan, meningkat ketara berbanding 18% pada tahun 1992 (iaitu tidak lama selepas penamatan Darurat); lebih kurang 30% penduduk Taiwan menganggap diri mereka sebagai kedua-dua orang Taiwan dan orang China, menurun berbanding lebih kurang 46% pada tahun 1992; sementara itu, kurang daripada 3% penduduk Taiwan menganggap diri mereka hanya sebagai orang China, menurun berbanding lebih kurang 10% pada tahun 1992. 

Trend perubahan pendirian rakyat Taiwan dalam isu “penyatuan-kemerdekaan” dari tahun 1994 hingga 2022. (Gambar: Election Study Center, National Chengchi University)

Menurut tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Pusat Kajian Pilihan Raya Universiti Kebangsaan Chengchi di Taiwan (rujuk gambar rajah di atas), trend dari tahun 1994 hingga 2022 menunjukkan peningkatan dalam sokongan terhadap kemerdekaan Taiwan dalam kalangan rakyat Taiwan tetapi majoriti besar rakyat Taiwan (lebih 80%) masih mahu mengekalkan status quo, sama ada dalam kalangan yang pro-penyatuan ataupun pro-kemerdekaan. Mengekalkan status quo bermakna Taiwan kekal sebagai sebuah negara yang merdeka secara de facto, tetapi tidak mengisytihar kemerdekaan secara de jure (iaitu melalui perubahan ke atas Perlembagaan ROC yang sedia wujud).

Pada tahun 2022, 28.6% penduduk Taiwan yang ditanya dalam tinjauan pendapat tersebut menyokong “pengekalan status quo selama-lamanya” (meningkat ketara berbanding 9.8% pada tahun 1994); 28.3% menyokong “pengekalan status quo pada masa ini dan membuat keputusan kemudian” (menurun berbanding 38.5% pada tahun 1994); 25.2% menyokong “pengekalan status quo tetapi cenderung kepada kemerdekaan” (meningkat ketara berbanding 8.0% pada tahun 1994); 5.2% menyokong “pengekalan status quo tetapi cenderung kepada penyatuan” (menurun ketara berbanding 15.6% pada tahun 1994); hanya 5.1% menyokong “kemerdekaan secepat mungkin” (meningkat sedikit sahaja berbanding 3.1% pada tahun 1994); dan hanya 1.3% menyokong “penyatuan secepat mungkin” (menurun berbanding 4.4% pada tahun 1994). Angka tinjauan ini menunjukkan bahawa kurang daripada 7% penduduk Taiwan jelas cenderung kepada penyatuan (berbanding lebih kurang 20% pada 28 tahun dahulu), manakala penduduk Taiwan yang jelas cenderung kepada kemerdekaan adalah lebih kurang 30%.

Status Taiwan hari ini

Walaupun mendapat pengiktirafan yang terhad dalam kalangan negara-negara berdaulat di dunia, adalah tidak boleh dinafikan pada hakikatnya bahawa Taiwan, dengan nama rasminya “Republik China” (ROC), ialah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat secara de facto. Republik Rakyat China menuntut pemerintahan ke atas Taiwan sejak penubuhannya pada tahun 1949, tetapi Kerajaan Republik Rakyat China tidak pernah mentadbir Taiwan untuk sesaat pun sehingga hari ini.

Setakat tahun 2022, Taiwan hanya mempunyai hubungan diplomatik yang rasmi dengan 14 buah negara berdaulat di dunia. Negara-negara lain tidak menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan kerana mempunyai hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China yang mengenakan syarat bahawa perlu berpegang pada “Dasar Satu China”. Tiada sebuah negara yang menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan kedua-dua negara Republik Rakyat China dan Taiwan pada masa yang sama. Namun begitu, banyak negara yang tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan itu masih mengekalkan hubungan tidak rasmi (melalui aktiviti perdagangan, pertukaran kebudayaan dan sebagainya) dengan Taiwan, seperti Malaysia.

Dengan mengambil contoh Malaysia, walaupun negara Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, tetapi hubungan Malaysia-Taiwan agak rapat dari segi ekonomi dan pertukaran kebudayaan. Pada tahun 2020, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Taiwan ialah RM91.51 bilion (USD21.80 bilion), di mana Taiwan ialah rakan kongsi perdagangan Malaysia yang ke-5 besar (destinasi eksport Malaysia yang ke-8 besar dan sumber import yang ke-5 besar) sementara Malaysia ialah rakan kongsi perdagangan Taiwan yang ke-7 besar (destinasi eksport Taiwan yang ke-8 besar dan sumber import yang ke-5 besar) pada tahun itu. Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Kuala Lumpur berfungsi sebagai “Kedutaan Taiwan” secara de facto di Malaysia, sementara Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei pula merupakan pejabat perwakilan Malaysia di Taiwan. Menurut perangkaan Kementerian Pendidikan Taiwan, terdapat lebih 15,000 orang pelajar Malaysia yang belajar di Taiwan pada tahun 2021, menduduki tangga ketiga dari segi bilangan pelajar asing di Taiwan (selepas Tanah Besar China dan Vietnam).

Semasa zaman pemerintahan kediktatoran Kuomintang, Kerajaan Republik China (ROC) di Taiwan mengkehendaki negara-negara yang menjalin hubungan diplomatik dengannya mengiktiraf ROC sebagai satu-satunya kerajaan “China” yang sah, tetapi keadaan telah berubah dengan drastiknya selepas ROC disingkir keluar daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1971. Dengan semakin banyak negara memutuskan hubungan diplomatik rasmi dengan Kerajaan ROC, Taiwan telah mengubah dasarnya sejak tahun 1990-an untuk berusaha mendapatkan pengiktirafan dalam pertubuhan antarabangsa yang turut disertai oleh Republik Rakyat China. Oleh sebab tekanan daripada Republik Rakyat China yang sentiasa menegaskan prinsip “Satu China”, Kerajaan ROC di Taiwan telah menggunakan nama alternatif untuk menyertai sesetengah pertubuhan antarabangsa, misalnya “Chinese Taipei” dalam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), “Wilayah Kastam Berasingan Taiwan, Penghu, Kinmen dan Matsu” dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan sebagainya.

Tsai Ing-wen mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik China (ROC) untuk penggal keduanya pada bulan Mei 2020 di hadapan gambar potret Sun Yat-sen. (foto: Taiwan Presidential Office via AP)

Selepas Tsai Ing-wen menang dalam Pilihan Raya Presiden untuk kali kedua pada tahun 2020 dengan sokongan undi yang lebih besar berbanding tahun 2016, apabila ditanya dalam satu temuramah oleh wartawan BBC mengenai sama ada dia menyokong idea kemerdekaan Taiwan secara formal, Tsai Ing-wen menjawab, “Kami tiada keperluan untuk mengisytihar diri kami sebagai sebuah negara yang merdeka, kerana kami sudah merupakan sebuah negara yang merdeka. Kami memanggil diri kami sebagai Republik China (Taiwan). Kami memang adanya kerajaan, tentera dan pilihan raya.”

Kerajaan Republik Rakyat China mempunyai hak untuk menuntut Taiwan supaya “bersatu semula” dalam negara China, tetapi ia akan mengundang malapetaka yang memangsakan rakyat Taiwan dan mengancam keamanan dunia sekiranya Kerajaan China menggunakan kekerasan tentera untuk mencapai matlamat “penyatuan”nya. Dengan fahaman identiti Taiwan telah bertapak kukuh dalam masyarakat Taiwan, khususnya dalam kalangan generasi muda, cubaan untuk menyatukan Taiwan dengan China secara paksaan (melalui serangan ketenteraan ataupun ancaman yang bertujuan untuk menakut-takutkan rakyat Taiwan), sudah pasti akan menimbulkan lebih banyak perasaan yang tidak senang hati terhadap China dalam kalangan rakyat Taiwan, malah boleh meningkatkan sikap permusuhan mereka terhadap Tanah Besar China.

Sikap China terhadap Taiwan

Kerajaan Republik Rakyat China berpendirian bahawa Taiwan ialah “sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada China”. “Konsensus 1992” mengikut pandangan Kerajaan Republik Rakyat China ialah “kedua-dua belah Selat Taiwan sama-sama milik Satu China, dan bersama-sama berusaha mencapai penyatuan negara”. Kerajaan Republik Rakyat China menganggap Taiwan hari ini sebagai sebuah wilayah miliknya yang dikuasai oleh golongan “pemisah” dan sentiasa bercita-cita untuk mengambil semula wilayah ini.

Aspirasi untuk mencapai penyatuan China sepenuh dengan Taiwan ialah impian nasionalisme China yang diwarisi oleh Parti Komunis China daripada golongan nasionalis dalam Kuomintang. Kita perlu jelas bahawa impian nasionalisme untuk penyatuan sesebuah negara menjadi “negara bangsa moden” atau menuntut sesebuah wilayah sebagai “sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripadanya”, tidak semestinya memberi manfaat kepada pembentukan sebuah masyarakat sosialis yang bersifat pembebasan. Kita boleh menyaksikan bagaimana nasionalisme sempit yang diamalkan oleh kerajaan pusat sesebuah negara boleh membawa kezaliman dan malapetaka kepada masyarakat setempat di banyak tempat, seperti Papua Barat, Kashmir, Kurdistan dan sebagainya.

Walaupun Parti Komunis China sering mengatakan bahawa ia lebih menginginkan penyatuan China secara aman, tetapi ia tidak pernah melepaskan pilihan “penyatuan dengan menggunakan kekerasan tentera”. Posisi ini telah diulangi dari semasa ke semasa dalam kenyataan dan dokumen penting Parti Komunis China mengenai Persoalan Taiwan dalam tempoh lebih empat dekad kebelakangan ini.

Dalam “Resolusi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China mengenai Pencapaian Penting dan Pengalaman Sejarah Perjuangan Parti Selama Seratus Tahun” yang diluluskan pada 11 November 2021 dan Kertas Putih bertajuk “Persoalan Taiwan dan Usaha Penyatuan China dalam Zaman Baharu” yang diterbitkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China pada 10 Ogos 2022, kepimpinan negara China menegaskan bahawa “menyelesaikan Persoalan Taiwan, mencapai penyatuan semula tanah air sepenuhnya, ialah aspirasi bersama semua anak bangsa China, satu tuntutan yang tidak dapat dielakkan untuk mencapai pemulihan hebat bangsa China, satu misi bersejarah yang tidak berbelah bahagi untuk Parti Komunis China.” Ini jelasnya satu tangisan nasionalisme China.

Kerajaan Republik Rakyat China nampaknya mengambil pendirian yang lebih tegas lagi dalam mencapai “penyatuan China” sebagai usaha “pemulihan hebat bangsa China” di bawah kepimpinan Xi Jinping. (foto: Xie Huanchi / Xinhua)

Kertas Putih terbaru mengenai Persoalan Taiwan ini merupakan kertas putih yang ketiga selepas dokumen “Persoalan Taiwan dan Penyatuan China” dan “Prinsip Satu China dan Persoalan Taiwan” yang masing-masing diterbitkan pada tahun 1993 dan 2000. Dalam Kertas Putih terbaru ini, Kerajaan China mengulangi hujahnya bahawa “Taiwan dimiliki China sejak zaman purba lagi”. Namun, bukti arkeologi yang menunjukkan hubungan kebudayaan antara masyarakat merentasi Selat Taiwan, tidak bererti Pulau Taiwan dikuasai oleh Kerajaan China sejak zaman purba lagi. Kertas Putih ini berkata bahawa Shen Ying, seorang warga negara Wu semasa Zaman Tiga Kerajaan pada abad ke-3 Masihi, meninggalkan rekod terawal mengenai Taiwan, tetapi ia tidak bermakna bahawa kerajaan di Tanah Besar China pada masa itu memerintah pulau itu, lagipun konsep negara bangsa “China” tidak wujud pun pada masa itu. Konsep Bangsa China (Zhonghua Minzu) hanya muncul pada zaman penaklukan kuasa besar Eropah ke atas China pada abad ke-19 sebagai respon kepada ancaman kuasa imperialis Barat.

Menurut Kertas Putih yang sama lagi, Kerajaan Dinasti Sui pada awal abad ke-7 pernah menghantar tentera ke Pulau Taiwan yang dikenali sebagai Liuqiu pada masa itu sebanyak 3 jali. Ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan di Tanah Besar pernah menceroboh Pulau Taiwan sebagai sebuah kuasa asing pada masa itu. Walaupun dikatakan kerajaan dari Tanah Besar China pernah mewujudkan struktur pentadbiran di Kepulauan Penghu dan Taiwan pada zaman sebelum kedatangan kuasa penjajah Eropah, tetapi pengaruh kuasanya adalah sangat terhad. Pernah wujud juga kerajaan yang ditubuhkan oleh masyarakat orang asal di atas Pulau Taiwan, seperti Kerajaan Middaq pada abad ke-17.

Salah satu detik sejarah yang sering diangkat oleh golongan nasionalis China, yang turut ditulis dalam Kertas Putih mengenai Persoalan Taiwan, ialah “penawanan semula” Taiwan oleh Zheng Chenggong daripada tangan penjajah Belanda pada tahun 1662. Zheng Chenggong, juga dikenali sebagai Koxinga, yang diangkat sebagai “wira bangsa China” itu, merupakan musuh ketat kepada Kerajaan Dinasti Qing yang menubuhkan badan pentadbiran di Taiwan pada penghujung abad ke-17 selepas menewaskan Kerajaan Dinasti Zheng. Kerajaan Dinasti Zheng yang diwujudkan oleh Zheng Chenggong merupakan pemerintahan orang Han dari Tanah Besar China yang pertama di Taiwan dalam rekod sejarah, tetapi ditewaskan oleh Kerajaan Dinasti Qing yang berasal dari Manchuria tidak lama selepas penubuhannya. Oleh itu, dakwaan bahawa “Taiwan dimiliki China sejak zaman purba lagi” bukannya satu fakta yang terpahat di atas batu bersurat sehingga tidak boleh dipertikaikan.

Sepanjang sejarah kewujudannya, Parti Komunis China bukan sentiasa menentang “kemerdekaan Taiwan”. Semasa zaman penjajahan Jepun di Taiwan, Parti Komunis China pernah mengambil pendirian menyokong perjuangan pembebasan nasional Taiwan. Hanya selepas Parti Komunis China bersekutu semula dengan Kuomintang pada zaman “Barisan Bersatu Kedua” (1937-1945) untuk menentang pencerobohan Jepun ke atas Tanah Besar China, Parti Komunis China baru mengambil posisi nasionalis yang lebih jelas dalam menyokong tuntutan Kuomintang terhadap Taiwan, khususnya dengan Perisytiharan Kaherah pada tahun 1943 hasil daripada rundingan antara Chiang Kai-shek daripada Kuomintang dengan Franklin D. Roosevelt dari AS dan Winston Churchill dari Britain untuk “mengembalikan” Taiwan kepada Republik China (ROC) selepas tamatnya Perang Dunia II.

Selepas tamatnya Perang Dunia II, Parti Komunis China berperang semula dengan Kuomintang dan berjaya menguasai Tanah Besar China tetapi gagal “membebaskan” Taiwan daripada Kuomintang kerana kekurangan dari segi kelengkapan senjata pada masa itu. Pada tahun 1955, Zhou Enlai, salah seorang pemimpin Parti Komunis China yang terkenal dan Perdana Menteri Kerajaan Republik Rakyat China pada masa itu, mula mengemukakan idea “penyatuan secara aman” melalui rundingan dengan kerajaan di Taiwan.

Pada 1 Januari 1979, apabila Republik Rakyat China memulakan hubungan diplomatik rasmi dengan AS, Kerajaan Republik Rakyat China turut menghentikan serangan pembedilan meriam ke atas Kinmen yang sudah berlarutan selama 20 tahun pada masa itu. Pada hari yang sama juga, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China mengeluarkan “Surat kepada Rakan Senegara Taiwan” yang mengisytiharkan dasar Kerajaan Republik Rakyat China untuk menyelesaikan Persoalan Taiwan secara aman dan menyeru untuk mengadakan rundingan demi menamatkan keadaan konfrontasi ketenteraan rentas Selat Taiwan.  

Pada tahun 1980-an, Deng Xiaoping, pemimpin tertinggi de facto Republik Rakyat China pada masa itu, mengemukakan idea “Satu Negara, Dua Sistem” sebagai formula untuk menyelesaikan masalah penyatuan negara China. Sejak itu, “Penyatuan Secara Aman” dan “Satu Negara, Dua Sistem” menjadi dasar utama Parti Komunis China dan Kerajaan Republik Rakyat China untuk menyelesaikan Persoalan Taiwan. Dasar “Satu Negara, Dua Sistem” kemudiannya juga diaplikasi di Hong Kong dan Macau yang dipindahkan kuasa daripada penjajah Barat ke dalam tangan Kerajaan Republik Rakyat China pada penghujung abad ke-20, tetapi menimbulkan kemusykilan khususnya di Hong Kong yang menyaksikan pergolakan politik yang hebat pada tahun 2019 dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara mulai tahun 2020 yang menyekat ruang kebebasan demokratik dengan lebih lanjut.  

Apabila melangkah masuk ke dalam abad ke-21, dengan negara China semakin berkembang menjadi sebuah kuasa besar dari segi saiz ekonomi, pengaruh geopolitik dan kekuatan ketenteraan, idea untuk “penyatuan secara kekerasan tentera” telah diapi-apikan semula khususnya oleh golongan ultra-nasionalis di dalam negara China. Tambahan pula dengan DPP mengambilalih pemerintahan Taiwan untuk kali kedua sejak tahun 2016, Kerajaan Republik Rakyat China nampaknya telah mengurangkan penggunaan retorik yang menggalakkan dialog rentas Selat Taiwan, sebaliknya menunjukkan tingkah laku yang dianggap lebih agresif untuk menakut-takutkan Taiwan.

Xi Jinping, Setiausaha Agung Parti Komunis China dan Presiden Republik Rakyat China pada masa ini, berkata pada tahun 2019 sempena ulangtahun ke-40 penerbitan “Surat kepada Rakan Senegara Taiwan” bahawa “Persoalan Taiwan muncul kerana kelemahan dan kekacauan bangsa (China), dan pasti akan ditamatkan dengan kebangkitan semula bangsa (China)”. Ini ialah satu pernyataan yang terikat dengan sentimen nasionalis yang kuat. Walaupun Xi Jinping mengulangi hasrat negara China untuk “penyatuan secara aman”, tetapi dia juga menegaskan bahawa “kami tidak berjanji akan melepaskan penggunaan kekerasan tentera, malah mengekalkan segala pilihan pendekatan yang diperlukan, mensasarkan pada campurtangan kuasa luar dan golongan pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’ yang sedikit bilangannya dan aktiviti pemisahannya, sudah tentu bukannya mensasarkan rakan senegara Taiwan”.

(foto: Lin Jian / Xinhua)

Adakah China akan menceroboh Taiwan?

Sebelum tentera AS berundur keluar dari Taiwan pada tahun 1979, Taiwan memiliki kelebihan strategik dalam menghadapi serangan ketenteraan daripada Republik Rakyat China kerana ia mendapat sokongan langsung daripada tentera AS yang ditempatkan di situ juga. Dalam era selepas AS menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, Taiwan masih memperoleh jaminan daripada AS bahawa tentera AS akan masuk campur sekiranya Republik Rakyat China menyerangnya walaupun AS mengamalkan dasar “kekaburan strategik”. Oleh itu, kemungkinan peperangan besar merentasi Selat Taiwan adalah rendah dalam empat dekad kebelakangan ini, kerana Republik Rakyat China cuba mengelak daripada berkonfrontasi langsung secara ketenteraan dengan AS yang mempunyai teknologi perang yang jauh lebih canggih, tambahan pula Kerajaan Pusat China di Beijing hendak memfokus kepada pembangunan ekonomi negara.

Namun begitu, dengan ekonomi China semakin maju dan negara China muncul sebagai sebuah kuasa besar yang semakin hari semakin dapat bersaing dengan AS, tambahan pula dengan kemajuan dari segi pemodenan tenteranya, Republik Rakyat China semakin memiliki kelebihan strategik dalam peperangan di Selat Taiwan sekiranya tercetus. Ini mengundang kerisauan dan kegusaran bahawa China akan menyerang Taiwan pada masa akan datang, ataupun tidak lama lagi.

Adakah China akan menyerang Taiwan? Bilakah China akan menyerang Taiwan? Ini merupakan persoalan yang timbul dari semasa ke semasa, khususnya apabila suasana Selat Taiwan menjadi tegang dengan tindakan provokasi (khususnya datang daripada kuasa imperialis AS) dan tindak balas yang tidak kurang hebat tahap provokasinya.

Walaupun Kertas Putih Kerajaan Republik Rakyat China mengenai Persoalan Taiwan yang terbaru menyatakan dasar keseluruhan China terhadap Taiwan masih tidak berubah, di mana ia masih berpegang pada hasrat “penyatuan secara aman” dan dasar “Satu Negara, Dua Sistem” sebagai formula penyatuan, tetapi turut menegaskan bahawa “proses penyatuan negara China sepenuhnya tidak boleh dihalang” dan penggunaan kekerasan tentera merupakan pilihan terakhirnya untuk menghancurkan golongan “pemisah” di Taiwan. Dengan latihan ketenteraan besar-besaran oleh tentera China berikutan lawatan Pelosi yang bersifat provokatif ke Taiwan, Kerajaan China cuba mewujudkan normal baharu menjalankan operasi ketenteraan yang lebih dekat dengan Taiwan, dan kuasa imperialis AS akan meningkatkan lagi kehadiran tenteranya di rantau ini. Suasana tegang akan terus wujud dan kebimbangan tercetusnya perang sentiasa akan timbul.

Adalah tidak masuk akal untuk China melancarkan perang ke atas Taiwan pada masa ini pada ketika ia mempunyai cita-cita besar untuk membangunkan lagi ekonominya yang sudah menunjukkan pencapaian yang menakjubkan dalam tempoh empat dekad kebelakangan ini. Sebarang konflik peperangan yang berpanjangan akan membantutkan pembangunan ekonomi dan masyarakat China yang berterusan. Biasanya hanya kerajaan yang menghadapi krisis dalaman yang serius baru melancarkan perang untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada ancaman kemusnahan perang dan mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit supaya memperkukuhkan kekuasaannya. Melancarkan serangan ketenteraan ke atas Taiwan demi “penyatuan China” merupakan agenda politik yang dibawa oleh golongan ultra-nasionalis.

Jika kepimpinan kolektif Parti Komunis China mempunyai kewarasan dan kerasionalan, sudah pasti tidak akan terburu-buru atau ghairah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Taiwan atas sebab “penyatuan China”. Kewarasan dan kerasionalan juga akan membolehkan kepimpinan Parti Komunis China untuk menahan diri daripada bertindak balas dengan cara yang keterlaluan terhadap sebarang provokasi sehingga mencetuskan peperangan berskala besar. Namun, sejauh mana kewarasan dan kerasionalan ini wujud dalam minda kepimpinan Parti Komunis China ialah satu persoalan yang sukar dapat jawapannya.

Jika hendak mencapai “penyatuan China”, ia hanya boleh dilakukan dengan pendekatan yang aman dan demokratik, yang menghormati hak rakyat Taiwan untuk menentukan nasib sendiri, bukannya dengan pendekatan yang keras dan ketenteraan.

Teguran ikhlas daripada negara-negara yang berkecuali dalam pertembungan kuasa besar AS-China adalah penting untuk mengelakkan peningkatan konflik sehingga mencetuskan peperangan. Peperangan besar yang tercetus di Selat Taiwan, bukan sahaja akan mengundang malapetaka kepada penduduk di kedua-dua belah Selat Taiwan, malah juga membawa penderitaan kepada rantau Asia Pasifik.

Apakah posisi yang harus diambil oleh golongan kiri?

Golongan kiri yang berpegang pada prinsip pembebasan masyarakat, anti-imperialisme dan internasionalisme, memang perlu membantah campurtangan kuasa imperialis di rantau ini dan cubaan AS mempersenjatakan Persoalan Taiwan untuk menyekat China. Campurtangan kuasa imperialis AS dan sekutunya tidak akan memajukan demokrasi dan kesejahteraan rakyat di mana-mana negara, sebaliknya hanya mengundang kemusnahan dan penderitaan kerana konflik peperangan yang berterusan.

Namun begitu, golongan kiri juga TIDAK HARUS terikut-ikut dan terbawa dengan pendirian nasionalis Kerajaan Repulik Rakyat China, seperti menyokong “penyatuan China” dengan apa jua cara pun, termasuk pencerobohan ketenteraan ke atas Taiwan. Dinamik sekitar Persoalan Taiwan telah berevolusi sepanjang tujuh dekad yang lalu, di mana Taiwan hari ini bukan lagi negara pulau yang berada di bawah pemerintahan kediktatoran Kuomintang. Masa hadapan dan nasib rakyat Taiwan hanya boleh ditentukan secara demokratik oleh rakyat Taiwan sendiri, seperti juga masa hadapan Tanah Besar China dan nasib rakyat China hanya boleh ditentukan oleh rakyat China sendiri tanpa campurtangan kuasa besar dari luar. Pencerobohan ketenteraan oleh negara China ke atas Taiwan hanya akan membawa kepada pendudukan ketenteraan yang berterusan di Taiwan dan kezaliman terhadap rakyat Taiwan. “Penyatuan China” dengan cara kekerasan tentera ialah pendekatan yang bersifat nasionalis-chauvinis yang harus ditentang oleh mana-mana sosialis yang anti-imperialis.

Secara ringkasnya, golongan kiri di peringkat antarabangsa yang hendak menegakkan keamanan dunia yang berkekalan patut mengambil pendirian yang berprinsip seperti berikut:

  • Membantah segala campurtangan kuasa imperialis AS dalam urusan rantau Asia;
  • Menuntut penyahtenteraan di rantau Asia-Pasifik, termasuk penutupan semua pangkalan tentera AS;
  • Menggesa kerajaan negara masing-masing untuk mengambil posisi berkecuali dalam pertembungan geopolitik kuasa besar dunia dan memainkan peranan aktif untuk mengurangkan ketegangan kerana konflik geopolitik supaya mengelakkan sebarang peperangan;
  • Mendukung usaha penyelesaian Persoalan Taiwan melalui proses rundingan yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati antara semua pihak yang terlibat;
  • Menghormati dan mendukung hak rakyat Taiwan untuk menentukan nasib sendiri secara demokratik;
  • Menolak sebarang pencerobohan ketenteraan ke atas Taiwan oleh China atas tujuan “penyatuan China”.

==========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM dan Ketua Pengarang Sosialis.net.

One thought on “Persoalan Taiwan: Pertembungan kuasa besar dunia dan cabaran kepada keamanan serantau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *