2000px-Morning_Star_flag.svg
Bendera Bintang Kejora, simbol perjuangan kemerdekaan Papua Barat.

Satu gelombang protes besar-besaran tercetus di Papua Barat pada bulan Ogos 2019 berikutan serangan polis terhadap asrama pelajar Papua di Surabaya dan layanan rasis yang diterima oleh pelajar Papua. Protes dan keganasan daripada penindasan pihak berkuasa Indonesia, telah menyebabkan beberapa orang mati dan ramai cedera. Seruan untuk “Papua Merdeka” dan “referendum” sering kedengaran dalam protes rakyat Papua. Ini telah membawa satu mesej yang jelas kepada Indonesia bahawa orang asal Papua mahukan hak untuk menentukan nasib sendiri yang telah dinafikan untuk lebih setengah abad.

Di sini marilah kita tinjau kembali latar belakang sejarah di sebalik konflik di Papua Barat.

Di mana Papua Barat?

Papua Barat merupakan bahagian barat untuk Pulau New Guinea, pulau yang kedua besar di dunia selepas Greenland. Wilayah yang diduduki dan ditadbir oleh negara Indonesia ini, terletak di bahagian paling timur Indonesia, di rantau Pasifik Selatan, lebih kurang 1,800 kilometer ke tenggara dari Sabah dan 250 kilometer ke utara dari pesisir pantai utara Australia.

20190905 - chao-1.png

Papua Barat pernah dijajah oleh Belanda, dan kemudiannya ditawan oleh Indonesia yang mendudukinya sehingga hari ini. Terdapat banyak nama panggilan untuk wilayah ini dalam sejarah, termasuk New Guinea Belanda (1895-1962), New Guinea Barat (1962-1963), Irian Barat (1963-1973), Irianjaya (1973-2001) dan Papua (2002-2003).  Pada tahun 2003, wilayah ini dipecahkan oleh Kerajaan Indonesia kepada dua provinsi, iaitu Provinsi Papua Barat dan Provinsi Papua. (Istilah Papua Barat yang digunakan di sini merangkumi kedua-dua provinsi Papua Barat dan provinsi Papua.)

Keluasan Papua Barat ialah 420,540 kilometer persegi, lebih besar daripada keluasan seluruh negara Malaysia (330,803 km persegi). Terdapat lebih kurang 4.3 juta orang penduduk di Papua Barat sekarang. Penduduk di kawasan pedalaman Papua Barat kebanyakannya ialah orang Papua (yang merupakan kelompok orang asal Melanesia), sementara kawasan bandar di pesisiran pantai diduduki oleh campuran orang asal, Melanesian dan Austronesian yang berhijrah dari tempat lain di Indonesia. Terdapat lebih kurang 300 suku kaum di kalangan orang Papua, dengan sekurang-kurangnya 250 jenis bahasa pertuturan. Bahasa Papua ialah bahasa tersendiri yang berbeza dengan Bahasa Austronesia (seperti Bahasa Melayu, Bahasa Jawa atau Bahasa Tagalog) dan Bahasa Orang Asal Australia. Terdapat lebih 1,000 jenis bahasa di seluruh Pulau New Guinea, menjadikannya salah satu rantau yang paling berkepelbagaian dari segi bahasa di dunia.

Pada hari ini, Pulau New Guinea dipisahkan kepada dua bahagian oleh satu garisan hampir lulus yang sama dengan garis longtitud meridian timur ke-141. Bahagian timur New Guinea pernah dijajah oleh Australia dan mendapat kemerdekaan pada tahun 1975, iaitu negara Papua New Guinea pada hari ini. Bahagian Barat Pulau New Guinea, iaitu Papua Barat, pernah dijajah oleh Belanda, dan diduduki oleh Indonesia pada hari ini. Usaha memperjuangkan penentuan nasib sendiri oleh masyarakat orang asal Papua sering ditindas secara kejam oleh pihak berkuasa Indonesia.

Keadaan yang dialami oleh Papua Barat hari ini, ialah produk yang diwarisi daripada penjajahan imperialis Barat di rantau Pasifik Selatan.

20190905eight_col_monkey
(Foto oleh Whens Tebay)

Mangsa percaturan dan pengkhianatan kuasa imperialis

Pada tahun 1824, Belanda dan Britain telah bersetuju untuk menjadikan bahagian barat Pulau New Guinea sebagai sebahagian daripada jajahan Hindia Timur Belanda. Pada tahun 1828, penjajah Belanda mendirikan petempatan yang dipanggil Fort Du Bus di Papua Barat, tetapi terpaksa meninggalkannya pada tahun 1835 kerana berlaku jangkitan penyakit khususnya malaria dan juga serangan berterusan daripada puak orang asal di situ.

Pada tahun 1884, pihak British yang menolak tindakan Queensland untuk menduduki bahagian tenggara Pulau New Guinea, telah menjadikan wilayah itu di bawah naungan British dan mengilhakkannya pada tahun 1888. New Guinea British diberikan nama “Jajahan Papua” dan diletakkan di bawah penguasaan Komanwel Australia pada tahun 1902. Sementara itu, Jerman pula menduduki bahagian timur laut Pulau New Guinea dan menubuhkan jajahan New Guinea Jerman. Jajahan New Guinea Jerman ditawan oleh Australia semasa Perang Dunia I. Jajahan Papua dan Jajahan New Guinea digabungkan menjadi “Jajahan Papua dan New Guinea” pada tahun 1949 di bawah pentadbiran Australia. Papua New Guinea mencapai kemerdekaan pada tahun 1972.

Britain dan Jerman mengiktiraf kekuasaan Belanda terhadap bahagian barat New Guinea dalam perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1885 dan 1895. Belanda mula membina pos perdagangan di New Guinea Barat pada tahun 1895. Namun begitu, aktiviti penjajah Belanda di New Guinea Belanda agak minimum pada awal abad ke-20. Bandar Hollandia (iaitu Jayapura hari ini) ditubuhkan pada tahun 1910. Syarikat-syarikat perlombongan dari Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun mula meneroka kawasan simpanan minyak di wilayah ini pada tahun 1930-an.

Pada tahun 1942, kawasan pesisiran pantai di utara New Guinea Barat dan kepulauan berdekatannya diduduki oleh tentera Jepun. Pada tahun 1944, tentera Pihak Berikat melancarkan serangan dari Papua New Guinea untuk menguasai semula wilayah New Guinea Barat. Tentera Amerika Syarikat membina satu pangkalan ketenteraan di Hollandia untuk Jeneral Douglas MacArthur mengarahkan operasi ketenteraan Pihak Berikat bagi tujuan menawan semula Filipina daripada Jepun. Rakyat dan sumber di Papua telah dikerahkan untuk menyokong usaha perang Pihak Berikat di Pasifik. Selepas tamatnya Perang Dunia II, Belanda menguasai semula wilayah New Guinea Barat.

Selepas Perang Dunia II, gerakan pembebasan nasional telah melanda seluruh benua Asia dan Afrika pada tahun 1950-an. Walaupun tiadanya perjuangan pembebasan nasional yang hebat di wilayah New Guinea Belanda, tetapi kehilangan tanah jajahan Belanda di Indonesia telah menimbulkan kegusaran pihak penjajah Belanda. Setelah Belanda gagal merampas balik tanah jajahannya di Indonesia, pada tahun 1949, negara Belanda mengiktiraf kedaulatan negara baru Republik Indonesia terhadap tanah jajahan Hindia Timur Belanda, kecuali New Guinea Barat. Sejak awal abad ke-20, golongan nasionalis Indonesia telah mengilhamkan penubuhan sebuah negara baru yang terbentang luas dari Sumatera di barat sehinggalah Papua Barat di timur. Untuk menghalang Revolusi Nasional Indonesia daripada merebak ke wilayah New Guinea Barat, penjajah Belanda mula menaburkan dana untuk membiayai pembangunan masyarakat di situ (termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya), dan cuba memupuk golongan elit tempatan untuk mengambil tugas pentadbiran politik, supaya membolehkan Belanda terus menguasai New Guinea Barat melalui formula pemerintahan autonomi yang ditetapkan oleh pihak Belanda. Semangat nasionalisme Papua turut dibangunkan dalam proses ini.

Kerajaan Belanda mula bersiap sedia untuk kemerdekaan New Guinea Belanda pada tahun 1950-an. Namun, kemerdekaan untuk New Guinea Barat yang dijanjikan oleh Belanda, perlu mengikut syarat-syarat dan agenda yang ditetapkan oleh kuasa penjajah Belanda. Dewan New Guinea, iaitu dewan perundangan di Papua, ditubuhkan pada 5 April 1961. Dewan perundangan baru tersebut memutuskan bahawa nama negara baru ialah “West Papua” atau “Papua Barat”, dengan bendera, lagu dan lambang kebangsaan yang baru. Bendera Papua Barat, bendera Bintang Kejora, dinaikkan pada 1 Disember 1961 di luar bangunan Dewan New Guinea secara bersama dengan bendera Belanda.

Kerajaan Republik Indonesia yang ditubuhkan berikutan revolusi nasional yang hebat, tegas dengan pendiriannya untuk membebaskan Papua Barat daripada penjajahan Belanda dan menggabungkannya ke dalam Indonesia. Presiden Sukarno pada masa itu berpandangan bahawa penguasaan terhadap Papua Barat merupakan sebahagian daripada perjuangan menentang imperialis Belanda, dan juga sebahagian daripada perjuangan anti-imperialis di Dunia Ketiga. Rancangan untuk “membebaskan Irian Barat” ini mendapat sokongan daripada Parti Komunis Indonesia dan pihak tentera Indonesia pada masa itu, atas semangat menentang imperialisme Barat. Pada 19 Disember 1961, Sukarno mengarahkan persiapan untuk pencerobohan tentera ke atas wilayah New Guinea Barat. Sukarno cuba mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Kesatuan Soviet, dan ini menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat. Untuk menghalang perluasan pengaruh komunis di rantau ini, dan juga keinginan menguasai sumber mineral yang kaya di wilayah Papua Barat, Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan John F. Kennedy pada masa itu memberi tekanan kepada Belanda dan memaksa Belanda untuk melepaskan pegangannya terhadap Papua Barat. Melalui Perjanjian New York yang ditandatangani pada 15 Ogos 1962, Papua Barat diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk pentadbiran sementara pada bulan Oktober 1962. Pada 1 Mei 1963, Papua Barat diserahkan kepada Indonesia.

Semua perjanjian dan penyerahan kuasa pentadbiran di Papua Barat dilakukan di kalangan kuasa-kuasa besar tanpa pengetahuan dan penyertaan masyarakat orang Papua sendiri. Di bawah manipulasi imperialis Amerika Syarikat, kemerdekaan Papua Barat menjadi impian yang hancur berkecai. Belanda, selaku sebuah empayar yang sudah lama melepasi zaman kegemilangannya, akhirnya tunduk kepada kekuasaan Amerika Syarikat dan melepaskan rancangannya untuk membenarkan kemerdekaan Papua Barat. Kerajaan Australia yang pada awalnya menyokong kemerdekaan Papua Barat, turut mengubah pendiriannya dan menyokong bahawa Papua Barat patut digabungkan ke dalam Indonesia. Masyarakat orang Papua dikecualikan sama sekali dalam seluruh proses menentukan nasib untuk Papua Barat, dan menjadi mangsa kepada percaturan kuasa imperialis bagi tujuan kepentingan geo-politik masing-masing.

Kerajaan Amerika Syarikat kemudiannya menyokong rampasan kuasa oleh Suharto di Indonesia pada tahun 1965, yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai terhadap mereka yang dianggap menyokong Parti Komunis Indonesia, sehingga meragut nyawa sejuta orang, demi menjamin dominasi kuasa imperialis Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara.

“Penentuan Pendapat Rakyat” di bawah muncung senapang

Perjanjian New York tahun 1962 menyatakan bahawa rakyat Papua dibenarkan untuk mengundi secara bebas dan adil sama ada kekal bersama atau berpisah dengan Indonesia selewat-lewatnya pada tahun 1969. Namun, “Penentuan Pendapat Rakyat” (Act of Free Choice) yang dibuat oleh Kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Suharto yang berkuasa melalui cara rampasan kuasa secara berdarah, telah melanggar apa yang ditetapkan dalam Perjanjian New York. Kerajaan diktator Suharto telah memilih dan melantik 1,026 orang “wakil” untuk mengundi dalam satu “referendum”. Kerajaan Indonesia tidak mahu mengadakan referendum sebenar yang membolehkan semua rakyat Papua untuk mengundi, dengan alasan bersifat rasis bahawa orang Papua itu terlalu “primitif” untuk membuat pilihan secara sendiri. Mereka yang dipilih oleh Kerajaan Indonesia terpaksa mengundi di bawah muncung senapang tentera Indonesia yang menghasilkan keputusan yang menyokong penguasaan Indonesia sepenuhnya terhadap Papua Barat. “Penentuan Pendapat Rakyat” (Act of Free Choice) ini sebenarnya hanya “Pemaksaan Pendapat Rakyat” (Act of No Choice).

Kezaliman Indonesia dan eksploitasi kapitalis

Sejak tentera Indonesia menduduki Papua Barat pada tahun 1962, masyarakat orang Papua mula melakukan penentangan dan perjuangan untuk menentukan nasib sendiri. Aksi penentangan orang Papua melibatkan ketidakpatuhan sivil yang bersifat aman, seperti mengadakan upacara mengibarkan bendera Bintang Kejora, dan juga melalui pendekatan perjuangan bersenjata, seperti pemberontakan “Organisasi Papua Merdeka” (OPM).

Kerajaan Indonesia telah menggunakan kekerasan yang hebat untuk cuba mematahkan gerakan menuntut penentuan nasib sendiri orang Papua. Sejak tahun 1962, sudah lebih 500,000 orang terkorban dalam konflik di Papua Barat, dengan ramai dizalimi oleh tentera dan polis Indonesia.

Selepas Suharto berkuasa dan memulakan pemerintahan “Orde Baru” yang bersifat kuku besi, golongan kapitalis korporat Amerika Syarikat yang menjalin hubungan rapat dengan rejim Suharto telah mengagihkan sesama mereka sendiri kepentingan ekonomi di Indonesia. Papua Barat yang diduduki tentera Indonesia turut menjadi sebahagian daripada kek yang diagihkan di kalangan kapitalis besar dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1970-an, syarikat perlombongan Amerika Syarikat Freeport McMoRan membina Lombong Grasberg di Papua Barat. Lombong Grasberg merupakan lombong emas terbesar di dunia dan lombong tembaga ketiga besar di dunia. Untuk membolehkan syarikat korporat Amerika Syarikat terus menjana keuntungan lumayan melalui perlombongan di Papua Barat, ribuan orang asal Papua diusir, malah ada yang dibunuh secara kejam oleh tentera Indonesia. Lombong Grasberg telah menjadi simbol nyata penjajahan Indonesia di Papua Barat.

Semasa zaman pemerintahan Suharto, Kerajaan Indonesia melaksanakan dasar Transmigrasi yang membawa masuk ramai penduduk dari Jawa, Sumatera dan kawasan padat penduduk yang lain ke Papua Barat, sehingga mengubah struktur demografik di Papua Barat dengan nisbah penduduk orang asal Papua semakin menurun. Tindakan sebegini menimbulkan lebih banyak konflik antara kaum di Papua Barat.

20190830 - 69391399_10162265821385010_8490052443176960000_n

Perjuangan penentuan nasib sendiri yang berpanjangan

Konflik yang tercetus sejak tahun 1960-an apabila Papua Barat diilhak oleh Indonesia berterusan dengan ramai orang Papua dizalimi oleh tentera Indonesia. Pada tahun 1971, pemimpin Organisasi Papua Merdeka mengisytihar Republik Papua Barat dan bendera Bintang Kejora sebagai bendera kebangsaan Papua Barat. Pengibaran bendera Bintang Kejora telah dianggap sebagai tindakan subversif dan dilarang oleh Kerajaan Indonesia. Mereka yang mengibarkan bendera Bintang Kejora boleh ditangkap dan dipenjarakan.

Selepas rejim diktator Suharto dijatuhkan pada tahun 1998, pernah wujudnya sedikit harapan kepada orang Papua untuk menentukan nasib sendiri. Dengan referendum kemerdekaan Timor Leste yang berlangsung pada tahun 1999 dan membawa kepada pemisahan Timor Leste daripada Indonesia kemudiannya, masyarakat orang Papua turut dirangsang untuk menentukan nasib sendiri. Untuk menghadapi seruan kemerdekaan orang Papua yang semakin lantang, Kerajaan Indonesia pasca Reformasi memberi status “autonomi” kepada Papua pada tahun 2000, namun tidak bermakna besar kerana tentera Indonesia yang sama masih menduduki tanah Papua Barat dan terus menzalimi rakyat Papua.

Setelah Megawati Sukarnoputri menjadi Presiden Indonesia, Papua Barat dipecahkan kepada dua provinsi, iaitu provinsi Papua dan provinsi Papua Barat. Akibat daripada kezaliman pendudukan tentera Indonesia yang berpanjangan, kebanyakan orang Papua tidak menaruh apa-apa kepercayaan pada Kerajaan Pusat Indonesia dan menolak janji autonomi daripada Indonesia, sebaliknya mereka menuntut kemerdekaan dan referendum yang bebas untuk semua rakyat Papua mengundi bagi menentukan sama ada mereka memilih kemerdekaan atau tidak.

Penindasan tentera Indonesia terhadap aktivis pejuang kemerdekaan Papua masih berterusan. Tentera Indonesia masih bermaharajalela di Papua Barat, dan menggunakan alasan membasmi “golongan pemisah” untuk menindas orang Papua. Rasisme secara sistematik juga dipraktik oleh pihak berkuasa terhadap orang asal Papua, dengan orang Papua sentiasa diancam dengan penangkapan, penyeksaan malah dibunuh sewenang-wenang. Panggilan yang menghina seperti “monyet”, “anjing” dan sebagainya turut digunakan oleh sesetengah pihak berkuasa dan golongan nasionalis kanan untuk menjatuhkan maruah orang Papua.

Theys Eluay, Pengerusi Presidium Dewan Papua dan seorang pemimpin orang Papua yang dianggap dapat menyatukan rakyat Papua Barat dalam perjuangan kemerdekaan, dibunuh pada 10 November 2001 oleh Komando Pasukan Khusus (Kopassus) tentera Indonesia. Kelly Kwalik, seorang pemimpin kanan OPM, dibunuh pada 16 Disember 2009 oleh Detasmen Khusus 88 (Densus 88) yang dilatih oleh Amerika Syarikat dan Australia. Mereka hanyalah sebahagian daripada mangsa kekejaman penindasan pihak berkuasa Indonesia terhadap masyarakat Papua yang memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri.

Masyarakat sivil Papua menubuhkan Komite Nasional Papua Barat (KNPB) pada tahun 2009 untuk berkempen demi mengadakan referendum untuk rakyat Papua. Mako Tabuni yang merupakan Timbalan Pengerusi KNPB dibunuh oleh Densus pada 14 Jun 2012.

Sebagai usaha menyertai Melanesian Spearhead Group (MSG), sebuah organisasi antara kerajaan yang dianggotai negara-negara Melanesia, Gerakan Persatuan Pembebasan untuk Papua Barat (ULMWP) ditubuhkan pada tahun 2014 untuk menyatukan 3 gerakan utama yang memperjuangkan kemerdekaan Papua Barat, iaitu Republik Persekutuan Papua Barat (NRFPB), Gabungan Pembebasan Nasional Papua Barat (WPNCL) dan Parlimen Nasional Papua Barat (NPWP). ULMWP dipimpin oleh Benny Wenda.

Pada tahun 2017, masyarakat orang Papua mengutip tandatangan untuk satu petisyen yang menyeru pada PBB supaya memasukkan kembali Papua Barat ke dalam agenda Jawatankuasa Khas mengenai Penyahjajahan (C24) dan memastikan hak rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri yang dinafikan pada tahun 1969 itu dihormati dengan mengadakan pengundian yang diselia secara antarabangsa. Sebanyak 1.8 juta tandatangan berjaya dikutip dan diseludup keluar dari Papua Barat, walaupun kutipan tandatangan petisyen tersebut diharamkan oleh Kerajaan Indonesia. Namun demikian, petisyen tersebut ditolak oleh PBB setelah mendapat bantahan daripada Indonesia.

20190830 - 5d666cef9d776

Perkahwinan tanpa hak bercerai bukannya perkahwinan sempurna

Kita patut menyokong usaha perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib mereka sendiri. Menyokong penentuan nasib sendiri, bukan semestinya menyokong pemisahan satu wilayah yang dihuni oleh bangsa tertentu daripada sesebuah negara yang lebih besar, tetapi penentuan nasib sendiri itu semestinya merangkumi hak untuk memerdekaan sesebuah bangsa yang tertindas daripada sebuah negara yang lebih besar. Ini bagaikan satu perkahwinan, sekiranya kedua-dua pihak yang berkahwin tiada hak untuk bercerai, perkahwinan itu bukannya perkahwinan yang sempurna, malah mengundang pelbagai tragedi.

Jika pembentukan Negara Kesatuan Republik Indonesia itu satu perkahwinan, maka Papua Barat disatukan ke dalam Indonesia dalam satu perkahwinan paksa, satu perkahwinan paksa di bawah muncung senapang. Jika ia satu perkahwinan secara sukarela pun, perkahwinan yang tiada hak bercerai sudah bermasalah, apatah lagi ia adalah perkahwinan paksa.

Pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia dan pendudukan tentera Indonesia di situ, merupakan produk percaturan kuasa imperialis zaman Perang Dingin. Rakyat Papua dinafikan hak untuk menentukan nasib sendiri sejak awal lagi. Di bawah kezaliman pendudukan tentera Indonesia dan eksploitasi sumber Papua Barat oleh korporat besar antarabangsa melalui penindasan terhadap rakyat tempatan, rakyat Papua memang adanya justifikasi yang munasabah untuk menuntut kemerdekaan.

Walaupun Papua Barat pernah merupakan tanah jajahan Belanda, tetapi rakyat Papua tidak pernah terlibat dalam gerakan revolusi nasional yang membentuk Indonesia. Golongan nasionalis Indonesia menganggap Papua sebagai sebahagian daripada negara Indonesia yang tidak boleh dipisahkan, adalah berasaskan anggapan bahawa Papua juga tanah jajahan Hindia Timur Belanda yang sepatutnya termasuk secara “semula jadi” dalam sebuah negara baru yang dipanggil “Indonesia”. Indonesia “membebaskan” Papua Barat daripada penjajah Belanda, tetapi menjadikan tempat ini sebagai tanah jajahan baru yang dikuasai oleh kerajaan yang berpusat di Jakarta, dengan sokongan daripada kuasa imperialis seperti Amerika Syarikat dan Australia. Masyarakat orang asal Papua belum lagi bebas daripada penjajahan!

Selagi penindasan oleh tentera Indonesia dan eksploitasi sumber oleh kapitalis antarabangsa masih berterusan di Papua Barat, rakyat Papua akan terus bangkit untuk menentukan nasib sendiri.

3 thoughts on “Papua Barat: Jalan berliku-liku menuju penentuan nasib sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *