20190819-kash.jpgTindakan Kerajaan India membatalkan status khas negeri Jammu dan Kashmir baru-baru ini, telah mencetuskan krisis terbaru untuk wilayah Kashmir, dan memperhebatkan ketegangan politik di rantau Asia Selatan, di samping penyekatan ruang politik yang serius untuk rakyat Kashmir.

Di mana Kashmir?

Kashmir ialah wilayah geografi yang paling utara dalam benua kecil India. Kashmir ialah sebuah wilayah yang menjadi perebutan oleh negara-negara yang berjiranan (India, Pakistan dan China).

20190820-20190302_WOM996_2

Sehingga pertengahan abad ke-19, Kashmir merujuk hanya pada Lembah Kashmir yang terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal. Pada hari ini, Kashmir biasanya merujuk pada kawasan yang lebih besar, termasuk negeri Jammu dan Kashmir yang dikuasai oleh India, kawasan Azad Kashmir dan Gilgit-Baltistan yang dikuasai oleh Pakistan, dan wilayah Aksai Chin dan kawasan Trans-Karakoram yang dikuasai oleh China. Aksai Chin yang dikuasai oleh negara China ialah kawasan tandus, dengan kepentingannya hanyalah untuk sebatang jalan yang menghubungkan Tibet dengan Xinjiang.

Kashmir meliputi kawasan seluas 222,200 kilometer persegi. Lebih kurang 17 juta orang tinggal di kawasan yang luas ini, dengan kebanyakan mereka berada di wilayah yang dikuasai oleh India dan Pakistan. Jumlah penduduk di wilayah Kashmir yang dikuasai oleh India ialah 12.5 juta orang.

20190820Jammu-Kashmir-map

Apakah masalah yang dihadapi Kashmir selama ini?

Persoalan Kashmir ialah sebahagian daripada urusan yang belum diselesai dalam proses Pembahagian Asia Selatan pada tahun 1947. Sehingga tahun 1947, wilayah Kashmir diperintah oleh sebuah kerajaan monarki Hindu yang berada di bawah naungan penjajah British. Ketika Pembahagian Asia Selatan yang dikenali sebagai Raj British pada tahun 1947, Raja Negeri Jammu dan Kashmir, Maharaja Hari Singh, enggan menyertai India. Selepas penyerang bersenjata dari Pakistan memasuki Lembah Kashmir, Maharaja Hari Singh bersetuju untuk menandatangan dokumen untuk menyertai India. Gerakan politik yang paling popular di wilayah Kashmir pada masa itu, “Persidangan Nasional Jammu & Kashmir” yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah, telah bersetuju untuk menyertai Kesatuan India selagi autonomi Kashmir dihormati. Namun, selepas Jammu dan Kashmir menyertai Kesatuan India, autonomi yang dijanjikan ini dihakis secara berterusan oleh Kerajaan Pusat India.

Pada 27 Oktober 1947, apabila tentera India memasuki Kashmir, Perdana Menteri India pada masa itu, Jawaharlal Nehru, menghantar satu telegram kepada Perdana Menteri Pakistan pada masa itu, Liaquat Ali Khan. Nehru menyatakan bahawa masa depan Kashmir “perlu diputuskan mengikut kehendak rakyat”. Kebuntuan dalam menyelesaikan persoalan Kashmir telah membawa pertikaian ini kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mencadangkan untuk mengadakan plebisit (pungutan suara) atau referendum (dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB No. 38 dan 47).

Kashmir kemudiannya dibahagikan dalam perang antara India dan Pakistan. India dan Pakistan telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 4 peperangan (pada tahun 1947, 1965, 1971 dan 1999) kerana konflik mengenai Kashmir. Petembungan ketenteraan antara India dan Pakistan telah mewujudkan pemberontakan bersenjata dan militarisasi yang berterusan di wilayah ini. Dianggarkan bahawa Kerajaan India telah menempatkan sebanyak 600,000 tentera di dalam wilayah Kashmir. Kedua-dua negara India dan Pakistan yang terlibat dalam konflik Kashmir ini memiliki senjata nuklear yang amat berbahaya sehingga mengundang kehancuran hebat sekiranya salah satu daripada pemimpin negara ini tiba-tiba hilang akal dan menggunakannya.

Keadaan di wilayah Kashmir yang dikuasai oleh India adalah amat mengerikan dalam beberapa dekad sebelum ini. Pencabulan hak asasi manusia sering berlaku, termasuk penahanan, penghukuman secara kolektif dan penyeksaan terhadap orang awam. Laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia pada tahun 2018 dan 2019 menunjukkan bahawa Kerajaan India di Kashmir langsung tidak peduli pada hak asasi manusia di Kashmir. Pencabulan hak asasi manusia dan maruah rakyat tempatan oleh Kerajaan India diteruskan dengan tuduhan liar bahawa rakyat Kashmir ialah pengganas.

20190820 - kashmir

Apa sebenarnya berlaku di Kashmir baru-baru ini?

Dalam Perlembagaan India yang berkuatkuasa sejak tahun 1950, terdapat dua peruntukan yang menawarkan jaminan terhadap autonomi negeri Jammu dan Kashmir. Perkara 370 dalam Perlembagaan India memberikan status khas kepada negeri Jammu dan Kashmir, membenarkan negeri tersebut menikmati autonomi dalam beberapa aspek penting pentadbirannya. Perkara 35A menghalang pemastautin tetap yang bukan orang Kashmir daripada menikmati sesetengah hak, misalnya pemilikan tanah di Kashmir.

Pada 5 Ogos 2019, Kerajaan India pimpinan Narendra Modi dan Parti Bharatiya Janata (BJP), iaitu sebuah parti berhaluan kanan yang berfahaman chauvinis Hindu, telah membatalkan Perkara 370 dan 35A Perlembagaan India.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri India Amit Shah membentangkan rang undang-undang untuk Akta Penyusunan Semula Jammu dan Kashmir di Rajya Sabha (iaitu Dewan Atas Parlimen India) pada 5 Ogos 2019 dan diluluskan pada hari yang sama. Selepas itu, rang undang-undang itu diluluskan oleh Lok Sabha (Dewan Rendah Parlimen India) pada hari keesokannya 6 Ogos 2019. Undang-undang yang diluluskan itu memecahkan negeri Jammu dan Kashmir kepada dua wilayah kesatuan (yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Pusat).

Kerajaan India pimpinan Modi mengatakan bahawa pembatalan status khas Kashmir adalah sesuatu yang perlu untuk memastikan integrasi sepenuhnya ke dalam negara India dan mempercepatkan pembangunan di situ. Ini sebenarnya hanyalah alasan untuk merealisasikan hasrat nasionalis sempit yang dibawa oleh BJP.

Narendra Modi dan BJP menggunakan kesempatan kemenangan besarnya dalam pilihanraya umum pada bulan Mei 2019 untuk melakukan sesuatu yang diingini oleh golongan pelampau kanan di India sejak tahun 1948, iaitu penghapusan status khas Kashmir dan menjadikannya wilayah yang diperintah secara langsung oleh Kerajaan Pusat di New Delhi.

Namun, Mahkamah Agung India pernah mengatakan pada 3 April 2018, bahawa Perkara 370 Perlembagaan India telah memperoleh status kekal. Sementara itu, Perkara 35A tidak boleh dimansuhkan kerana Perhimpunan Perlembagaan telah dibubarkan pada tahun 1957. Oleh itu, asas undang-undang untuk menghapuskan kedua-dua Perkara dalam Perlembagaan India ini sebenarnya tidak wujud. Keputusan ini akan dicabar dalam mahkamah India.

Sebelum kerajaan pimpinan Modi mengumumkan keputusannya untuk membatalkan Perkara 370 dan 35A dalam Parlimen, Kerajaan India telah menghantar sebanyak 35,000 orang tentera tambahan ke dalam wilayah Kashmir. Pada masa yang sama, pihak berkuasa India telah menangkap semua pemimpin politik utama dalam negeri Jammu dan Kashmir. Dewan Perundangan Negeri Jammu dan Kashmir telah pun dibubarkan pada bulan November 2018. Kebebasan akhbar di dalam Kashmir telah disekat, sementara perkhidmatan internet dan telefon diputuskan.

Keputusan Kerajaan India menghapuskan status khas negeri Jammu dan Kashmir, dan memecahkannya secara unilateral kepada dua buah Wilayah Kesatuan yang akan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat di New Delhi, bukannya lagi dari ibu negeri Jammu dan Kashmir di Srinagar, merupakan satu tindakan yang melanggar Perlembagaan India itu sendiri.

Parti Komunis India (Marxis) telah menyifatkan tindakan Kerajaan India pimpinan Modi ini sebagai “pembunuhan terhadap demokrasi dan fahaman persekutuan”.

Apakan impak geopolitik krisis Kashmir ini?

Tindak tanduk Kerajaan India berkenaan dengan negeri Jammu dan Kashmir tidak patut dianggap sekadar masalah dalaman India sahaja. Ia berkait rapat dengan suasana geopolitik di sekitar rantau Asia Selatan.

Sempadan negara China, India dan Pakistan bertembung di Kashmir. Ketiga-tiga buah negara ini pernah berperang untuk menguasai sebahagian daripada wilayah Kashmir. India dan Pakistan pernah berperang 4 kali kerana Kashmir, sementara China dan India pernah berperang pada tahun 1962. Konflik utama sejak tahun 1940-an, adalah antara India dan Pakistan, dua kuasa besar yang cuba mendominasi di rantau Asia Selatan.

Yang terselindung di sebalik konflik India-Pakistan pula adalah perlawanan yang lebih besar antara Amerika Syarikat (AS) dengan China. Negara China di bawah pimpinan Xi Jinping telah membuka Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), satu strategi pembangunan global yang diterajui Kerajaan China yang melibatkan pembangunan infrastruktur dan pelaburan (khususnya untuk menangani kelebihan kapasiti sektor perindustriannya) kepada mana-mana negara yang berminat untuk menyertainya. India menolak untuk menyertai BRI, sebahagian sebabnya adalah sejarah permusuhannya dengan China yang agak lama, dan sebahagian sebab pula adalah pengaruh kekuasaan AS terhadapnya. Negara AS menentang BRI sejak awal lagi, malah ia mengambil strategi pengepungan terhadap China untuk membendung perluasan pengaruh kuasa negara China.

Projek-projek BRI yang diterajui oleh China telah dibangunkan di Pakistan dan Nepal. Koridor Ekonomi China Pakistan (CPEC) yang bernilai sebanyak USD 46 bilion, melalui wilayah Kashmir yang dikuasai oleh Pakistan sepanjang Lebuhraya Karakoram sehingga ke Pelabukan Gwadar di Balochistan. Pada tahun 2017, China dan Nepal bersetuju untuk membina Koridor Ekonomi Himalaya. Sementara itu, Organisasi Jalan Sempadan (BRO) yang berada di bawah Kementerian Pertahanan India pula sibuk membina jalan di sempadannya dengan China, dari Kashmir ke Nagaland dan Bhutan.

Pada tahun 2017, suasana menjadi tegang di wilayah Doklam yang terletak di sempadan antara Bhutan, China dan India, apabila tentera India memasuki kawasan itu untuk menghalang kerja perluasan jalan oleh China. Kerajaan Bhutan secara terbukanya berkata ia tidak mahu terlibat dalam konflik antara China dan India. Bhutan mahu menyelesaikan pertikaian sempadannya dengan China tetapi dihalang oleh India untuk melakukan sedemikian. Penglibatan negara China dalam konflik di Doklam pula mengapi-apikan sentimen nasionalis di kalangan rakyat China.

Perkembangan di Kashmir dengan penempatan tentera India yang semakin banyak, sedang meningkatkan ketegangan hubungan antara India, Pakistan dan China, sehingga berisiko menjadi pencetus kepada konflik bersenjata terbaru.

201908202019-08-08t143555z_207882266_rc1667a6c4f0_rtrmadp_3_india-kashmir-e1565275261106

Kashmir bagaikan penjara

Dalam satu misi mencari fakta yang disertai oleh aktivis-aktivis politik kiri India, mereka kembali dengan cerita-cerita yang mengerikan di Kashmir. Misi mencari fakta pada 9 hingga 13 Ogos 2019 di Kashmir tersebut disertai oleh Jean Drèze (ahli ekonomi), Kavita Krishnan (aktivis Parti Komunis India – Marxis-Leninis, merangkap Setiausaha Persatuan Wanita Progresif Seluruh India – AIPWA), Maimoona Mollah (Persatuan Wanita Demokratik Seluruh India – AIDWA) dan Vimal Bhai (Perikatan Gerakan Rakyat Nasional – NAPM). Dalam laporan misi mencari fakta tersebut, mereka menulis, “Seluruh Kashmir pada masa kini adalah sebuah penjara, di bawah pengawasan tentera”.

Sekurang-kurangnya 600 orang pemimpin politik dan aktivis masyarakat sivil telah ditangkap baru-baru ini. Perintah kurung dikenakan di wilayah Kashmir, dengan perkhidmatan internet dan telefon disekat. Ramai orang, termasuk anak muda dalam belasan tahun, telah ditangkap dalam serbuan pada waktu tengah malam, satu taktik yang digunakan oleh Kerajaan India untuk mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat. Pada 9 Ogos 2019, protes rakyat di Srinagar, ibu negeri Kashmir, telah dipukul secara ganas oleh pasukan keselamatan yang menggunakan tembakan senapang penabur ke atas demonstran.

Tindakan Kerajaan India mempertingkatkan kawalan keselamatan di Kashmir dengan penempatan lebih banyak tentera dan sekatan terhadap kebebasan politik rakyat tempatan, tidak akan membawa kepada keamanan yang berkekalan, sebaliknya hanya akan memaksa sebahagian rakyat Kashmir untuk mengambil tindakan yang lebih ekstrim untuk melawan kezaliman pemerintahan Kerajaan India. Permainan politik elit pemerintah di India dan Pakistan yang mempergunakan agama untuk memperkukuhkan kuasa, hanya akan membawa kepada lebih banyak politik yang bersifat kebencian.

Tambahan pula, militarisasi di wilayah Kashmir pastinya akan diperhebatkan lagi, dengan peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan, di samping keinginan negara China untuk menjaga kepentingan di rantau tersebut. Kerajaan India pimpinan Modi nampaknya sedang membikin sebuah bom hebat yang boleh meletup bila-bila masa.

Kerajaan India perlu menghentikan tindakannya yang mencabul Perlembagaan India, dan memulihkan Perkara 370 dan 35A. Sebarang keputusan mengenai status atau masa depan negeri Jammu dan Kashmir, perlu diambil dengan melibatkan penyertaan rakyat Kashmir secara demokratik dan menurut kehendak rakyat tempatan, bukannya arahan dari New Delhi. Untuk membolehkan penyertaan demokratik yang sebenar daripada seluruh rakyat Kashmir, ruang demokrasi untuk kebebasan politik perlu diwujudkan dan dijamin supaya segala isu yang berkaitan dapat dibincangkan secara demokratik tanpa kebimbangan ditindas oleh mana-mana pihak.

One thought on “Ada apa dengan krisis Kashmir?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *