(Rencana khas bersempena ulangtahun ke-10 Revolusi Rojava)

Pada awal tahun 2011, tercetusnya pemberontakan rakyat di Syria yang bertujuan untuk menumbangkan rejim pemerintahan Bashar al-Assad. Namun, pergolakan politik yang hebat di Syria pada masa itu berkembang menjadi perang proksi antara kuasa-kuasa besar di dunia. Kuasa-kuasa besar (sama ada kuasa imperialis global ataupun kuasa serantau) seperti Amerika Syarikat, Rusia, Turki dan Iran, telah menjadikan Syria medan pertempuran untuk pelbagai puak bersenjata yang disokong oleh kuasa-kuasa besar yang mempunyai kepentingan masing-masing. Di bawah keadaan kemusnahan peperangan yang berterusan inilah, pada bulan Julai 2012, penduduk-penduduk di kawasan bermajoriti masyarakat Kurdi yang terletak di Utara Syria melancarkan revolusi mereka. Rakyat di situ turun ke jalanan untuk beraksi. Tentera kerajaan Syria, yang telah dilemahkan dan sedang bertempur hebat di bahagian yang lain di dalam negara Syria pada masa itu, berundur dari kawasan Utara Syria. Pada 19 Julai 2012, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), sayap tentera yang ditubuhkan oleh masyarakat Kurdi untuk mempertahankan diri semasa Perang Saudara Syria, telah menawan bandar Kobanî. YPG kemudiannya menawan bandar Amuda dan Afrin pada 20 Julai 2012. Ini menandakan bermulanya Revolusi Rojava, satu usaha pembebasan masyarakat yang menegakkan kesamarataan sejagat dan merentasi batasan negara bangsa dalam abad ke-21.

Walaupun pada asalnya merupakan usaha perjuangan yang diterajui oleh golongan kaum Kurdi yang merupakan majoriti di situ, gerakan revolusioner di Rojava yang semakin disertai oleh pelbagai kaum ini membangunkan model pembebasan yang membawa paradigma baharu.

Pemberontakan rakyat di Kobanî pada 19 Julai 2012 melahirkan satu projek pembebasan masyarakat yang menjadi obor harapan bukan sahaya untuk Syria dan rantau Timur Tengah, tetapi juga untuk seluruh dunia dalam abad ke-21. Rakyat di wilayah Rojava yang demokratik, bukan sahaja berjaya menewaskan ancaman pelampau ISIS, malah membangunkan prospek baharu untuk sebuah dunia yang lebih adil, aman, mampan dan bebas.

Perjuangan pembebasan nasional masyarakat Kurdi yang berliku-liku

“Rojava” bermaksud “barat” dalam Bahasa Kurdi, di mana ia merujuk kepada wilayah Kurdistan Barat yang terletak di Utara Syria.

Kurdistan ialah sebuah wilayah yang diduduki oleh majoriti masyarakat Kurdi di rantau Asia Barat. Pentadbiran wilayah Kurdistan dibahagikan antara Empayar Turki Uthmaniyah dan Empayar Iran Safawiyah pada abad ke-16 selepas peperangan yang berpanjangan antara dua buah kuasa besar itu. Semasa zaman pemerintahan Empayar Uthmaniyah di rantau Asia Barat, wilayah Kurdistan menikmati autonomi yang agak besar. Fahaman nasionalis Kurdi hanya mula berkembang pada penghujung abad ke-19.

Selepas Empayar Utmaniyah ditewaskan dalam Perang Dunia I, kuasa-kuasa imperialis Eropah memecahkan wilayah Kurdistan ke dalam negara-negara baharu yang berbeza, dengan masyarakat Kurdi menjadi kaum minoriti di dalam negara-negara itu. Kurdistan Utara (yang terletak di bahagian Tenggara Turki) dikuasai oleh negara Turki baharu yang mencapai kemerdekaan di bawah kepimpinan Mustafa Kemal Atatürk; Kurdistan Selatan dimasukkan ke dalam Iraq (menjadi sebahagian Utara Iraq); Kurdistan Barat dimasukkan ke dalam Syria (membentuk bahagian Utara Syria); Kurdistan Timur yang terletak di Barat Laut Iran kekal di bawah kekuasaan Dinasti Qajar dan kemudiannya Dinasti Pahlavi (1925-1979).

Pernah wujudnya banyak usaha perjuangan nasionalis Kurdi untuk menuntut pembentukan negara Kurdistan yang merdeka, antaranya pemberontakan Mahmud Barzanji yang mendirikan Kerajaan Kurdistan (1922-1924), pemberontakan Ahmed Barzani pada tahun 1931, pemberontakan suku Barzani pada tahun 1943, Perang Iraq-Kurdi Pertama pada tahun 1961-1970 dan Perang Iraq-Kurdi Kedua pada tahun 1974-75 yang berlaku di Kurdistan Selatan; pemberontakan Simko Shikak pada tahun 1918, pemberontakan Jafar Sultan pada tahun 1929, pemberontakan Hama Rashid pada tahun 1941, usaha penubuhan Republik Mahabad yang disokong oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1946, pemberontakan pada tahun 1967, pemberontakan pada tahun 1979 dan pemberontakan oleh Parti Demokratik Kurdistan Iran (PDKI) pada tahun 1989 di Kurdistan Timur; pemberontakan Bitlis pada tahun 1914, pemberontakan Koçgiri pada tahun 1921, pemberontakan Sheikh Said pada tahun 1925, pemberontakan yang menubuhkan Republik Ararat (1927-1931), pemberontakan Dersim pada tahun 1937 dan pemberontakan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) pada tahun 1984 di Kurdistan Utara. Kebanyakan usaha menentukan nasib sendiri oleh masyarakat Kurdi ini dipatahkan sama ada oleh kuasa imperialis Barat pada awalnya ataupun oleh golongan nasionalis Arab, Turki dan Iran kemudiannya.

Abdullah Öcalan

Öcalan dan PKK: Dari Nasionalisme Kurdi dan Marxisme-Leninisme ke Konfederalisme Demokratik

Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang ditubuhkan pada tahun 1978 oleh sekumpulan pelajar Kurdi yang dipimpin oleh Abdullah Öcalan, merupakan manifestasi kesinambungan usaha perjuangan pembebasan yang dilakukan oleh masyarakat Kurdi untuk menentang kerajaan Turki yang cuba menafikan kewujudan kumpulan etnik Kurdi di situ.

Pembentukan PKK mendapat pengaruh daripada gelombang perjuangan pembebasan nasional di Dunia Ketiga yang amat hebat pada tahun 1950-an hingga 1970-an, yang menyaksikan kejayaan perjuangan rakyat Vietnam dalam menewaskan kekuasaan imperialis Barat (Perancis dan Amerika Syarikat), Revolusi Kuba 1959, Perang Kemerdekaan Algeria (1954-1962) dan sebagainya. Oleh yang demikian, PKK pada asalnya berpegang pada fahaman Marxis-Leninis sebagai prinsip organisasinya dalam usaha memperjuangkan pembebasan nasional Kurdi. 

Untuk menghadapi ancaman serangan yang berterusan daripada kerajaan Turki, kumpulan berhaluan kanan di Turki dan golongan tuan tanah, PKK melengkapkan anggotanya dengan senjata untuk mempertahankan diri, dan semakin terlibat dalam pertembungan ganas antara kumpulan pembangkang berhaluan kiri dengan kumpulan berhaluan kanan yang ultra-nasionalis pada penghujung tahun 1970-an. Rampasan kuasa pada tahun 1980 oleh pihak tentera di bawah kepimpinan Jeneral Kenan Evren, telah mewujudkan pemerintahan yang lebih represif terhadap semua organisasi politik yang tidak sehaluan dengan kepentingan kelas pemerintah Turki, dan Bahasa Kurdi turut diharamkan oleh rejim pemerintahan tentera yang mengapi-apikan sentimen nasionalis Turki.

PKK melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1984 dan menggunakan strategi perang gerila untuk melawan pemerintahan Turki. PKK telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Turki dan juga kuasa imperialis Barat seperti Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.

Abdullah Öcalan, pemimpin utama PKK, diculik di lapangan terbang antarabangsa di Nairobi pada tahun 1999, oleh ejen badan perisikan Turki dengan bantuan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat. Öcalan sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan Nelson Mandela pada waktu beliau diculik. Öcalan dibawa ke Turki dan ditahan di dalam penjara İmralı. Öcalan pada awalnya dijatuh hukuman mati oleh pihak berkuasa Turki, tetapi hukuman tersebut diringankan kepada pemenjaraan seumur hidup apabila Turki memansuhkan hukuman mati pada tahun 2002.

Öcalan telah mula mengubah pegangan ideologinya apabila beliau terdedah kepada tulisan-tulisan yang bukannya datang daripada aliran Stalinis. Salah satu pengaruh besar terhadap Öcalan ialah tulisan oleh Murray Bookchin, seorang ahli teori sosial yang berhaluan kiri dari Amerika Syarikat yang membangunkan teori ekologi sosial dan perancangan bandar dengan berlandaskan fahaman anarkisme, sosialisme libertarian dan ekologi. Dengan perubahan dalam pemikiran ini, Öcalan mula membangunkan ideanya mengenai “Konfederalisme Demokratik”, sebagai alternatif kiri yang bersifat pembebasan kepada fahaman dogmatik Stalinisme dan nasionalisme Kurdi. Peralihan ideologi Öcalan ini telah mempengaruhi hala tuju perjuangan politik PKK dan kemudiannya perjuangan revolusioner di Rojava.

Parti Kesatuan Demokratik

Masyarakat Kurdi dan kumpulan minoriti etnik lain di Syria telah menghadapi pelbagai penindasan sejak pembentukan Mandat Perancis untuk Syria dan Lubnan yang merupakan produk perjanjian rahsia antara Britain dan Perancis semasa Perang Dunia I. Selepas Syria mencapai kemerdekaan pada tahun 1946, masyarakat Kurdi masih tidak dapat menikmati layanan yang sama rata daripada pihak berkuasa yang berpegang pada fahaman nasionalis Arab. Kerajaan Syria tidak pernah mengaku kewujudan masyarakat Kurdi secara rasminya. Pada tahun 1962 sahaja, sebanyak 120,000 orang penduduk Kurdi di Syria dilucutkan kewarganegaraan mereka dan dibiarkan dalam keadaan tanpa kewarganegaraan.

Semasa pemerintahan Presiden Hafez al-Assad, kerajaan Syria pernah menyokong kumpulan Kurdi di negara jiranya (Iraq dan Turki) untuk memberi tekanan kepada musuh persaingannya di rantau Timur Tengah dalam konteks Perang Dingin. Pada tahun 1980-an hingga 1990-an, kerajaan Assad pernah membenarkan PKK untuk menggunakan wilayah Kurdistan di Syria sebagai tapak operasinya. Namun begitu, kerajaan Syria mula mengharamkan semua parti dan organisasi politik Kurdi, termasuk PKK, pada penghujung tahun 1990-an, dan memaksa PKK untuk meninggalkan Syria. Öcalan cuba menubuhkan sebuah parti baharu dalam satu mesyuarat di Kobanî pada tahun 1998, tetapi diganggu oleh polis rahsia Syria. Cubaan kedua dilakukan oleh PKK untuk menubuhkan cabangnya di Syria membawa kepada pembentukan Parti Kesatuan Demokratik (PYD) pada tahun 2003.

Sejak penubuhannya, PYD menjadi sasaran penindasan daripada kerajaan Syria, khususnya selepas peristiwa pemberontakan masyarakat Kurdi di bandar Qamishli yang dipatahkan secara kejam oleh pihak berkuasa Syria pada tahun 2004.

Krisis di Syria

Pada bulan Mac 2011, tercetusnya gelombang protes besar-besaran di seluruh negara Syria yang menentang rejim pemerintahan Presiden Bashar al-Assad. Gelombang protes tersebut menjelma ke dalam perang saudara tidak lama kemudian. Perang Saudara Syria telah berkembang menjadi perang proksi apabila pelbagai kuasa besar mencampurtangan dengan menyokong proksi mereka yang bertempur di Syria.

PYD mengambil pendirian yang kritikal terhadap kedua-dua pihak kerajaan Syria dan golongan pembangkang Syria, termasuk Dewan Kebangsaan Syria (SNC) yang dituduh berpihak kepada kepentingan kerajaan Turki yang anti-Kurdi. SNC yang anti-Assad tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan organisasi politik Kurdi kerana keengganannya untuk menyokong autonomi masyarakat Kurdi. Masyarakat Kurdi di Utara Syria mula menubuhkan jawatankuasa pertahanan diri pada bulan Julai dan Ogos 2011 di beberapa tempat, untuk melindungi diri daripada ancaman kedua-dua kerajaan Syria dan kumpulan anti-kerajaan Syria yang bersenjata.

Pada pertengahan tahun 2012, PYD mencapai persetujuan dengan Majlis Kebangsaan Kurdi (ENKS), sebuah parti politik yang mendapat sokongan daripada kerajaan Wilayah Kurdistan di Iraq, untuk bekerjasama dalam menjaga keselamatan di kawasan-kawasan Kurdi dan membentuk Jawatankuasa Tertinggi Kurdi (DBK). ENKS kemudiannya meninggalkan DBK pada bulan November 2013 kerana semakin kehilangan pengaruhnya di wilayah Utara Syria berbanding PYD, dan peranan DBK diambil alih oleh Gerakan untuk Masyarakat Demokratik (TEV-DEM), sebuah gabungan parti berhaluan kiri yang diterajui oleh PYD.

Unit Perlindungan Rakyat (YPG) ditubuhkan sebagai sayap bersenjata DBK untuk mempertahankan wilayah masyarakat Kurdi. Kumpulan bersenjata yang terdiri sepenuhnya daripada golongan wanita, Unit Perlindungan Wanita (YPJ), turut ditubuhkan. YPG dan YPJ kemudiannya telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan Revolusi Rojava daripada pelbagai ancaman keganasan.

Revolusi bermula

Penduduk di wilayah majoriti Kurdi di Utara Syria melakukan aksi jalanan pada bulan Julai 2012 untuk menuntut autonomi. YPG berjaya menguasai bandar Kobanî pada 19 Julai 2012, menandakan permulaan Revolusi Rojava. Bandar Amuda dan Afrin turut ditawan YPG pada 20 Julai 2012. Bandar-bandar ini dikuasai oleh YPG tanpa pertempuran yang besar, kerana tentera Syria berundur tanpa melakukan penentangan yang kuat. Sejak itu, PYD mengambil peranan membentuk kerajaan yang mentadbir bandar-bandar yang ditawan ini, pada awalnya melalui gabungan DBK, kemudiannya melalui TEV-DEM. PYD dan sekutunya mengisytihar pembentukan pentadbiran berautonomi yang bebas daripada kekuasaan kerajaan Syria.

Selepas autonomi diisytihar, aktivis-aktivis PYD dan sekutunya yang mendapat inspirasi daripada pemikiran Öcalan memulakan usaha untuk membawa perubahan politik dan sosial kepada wilayah Rojava. “Piagam Kontrak Sosial Katon-kanton Rojava” ataupun Perlembagaan Rojava digubal dan diterima pada 29 Januari 2014, sebagai dokumen asas untuk pembentukan “Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur” (AANES).

Dalam mukadimahnya, Perlembagaan Rojava tertulis,

“Dalam usaha mengejar kebebasan, keadilan, maruah dan demokrasi serta dipimpin oleh prinsip-prinsip kesamarataan dan kemampanan alam sekitar, Piagam ini mengisytiharkan kontrak sosial baharu, beasaskan kewujudan yang saling bersama dan aman serta persefahaman antara semua lapisan masyarakat. Ia melindungi hak asasi manusia dan kebebasan serta menegaskan semula hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri.

Di bawah piagam ini, kita, rakyat Wilayah-wilayah Autonomi, bersatu dalam semangat pendamaian, pluralisme dan penyertaan demokratik supaya semua orang dapat mengekspresi diri mereka secara bebas dalam kehidupan awam. Dalam membina sebuah masyarakat yang bebas daripada autoritarianisme, militarisme, sentralisme dan campurtangan pihak berkuasa keagamaan dalam urusan awam, Piagam ini mengiktiraf keutuhan wilayah dan bercita-cita untuk mengekalkan keamanan dalam negara dan antarabangsa.

Dengan pengwujudan Piagam ini, kita mengisytihar sebuah sistem politik dan pentadbiran sivil yang berdasarkan kontrak sosial yang mendamaikan mozek Syria yang kaya melalui fasa transisi daripada kediktatoran, perang saudara dan kemusnahan, menuju ke sebuah masyarakat demokratik yang baharu di mana kehidupan sivil dan keadilan sosial terpelihara.”

Perlembagaan Rojava memaktubkan dengan jelasnya jaminan kebebasan politik, budaya dan agama untuk semua rakyat di Utara dan Timur Syria, tanpa mengira bangsa. Berbeza dengan gerakan nasionalis Kurdi sebelum ini, Revolusi Rojava tidak lagi memperjuangkan pembentukan sebuah negara bangsa Kurdistan, tetapi bercita-cita untuk mentrasformasi Syria ke dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa yang baharu berasaskan prinsip-prinsip pluralisme, ekologi, feminisme dan demokrasi.

Perlembagaan Rojava juga menyatakan dengan jelas kebebasan dan hak sama rata wanita, di samping mewajibkan institusi-institusi awam untuk menghapuskan diskriminasi gender.

Konfederalisme Demokratik

Revolusi Rojava mengangkat idea Konfederalisme Demokratik yang dibangunkan oleh Abdullah Öcalan. Konfederalisme Demokratik ialah sistem organisasi kendiri yang berasaskan prinsip-prinsip autonomi, demokrasi langsung, perlindungan alam sekitar, feminisme, kepelbagaian budaya, kebebasan beragama, pertahanan kendiri dan ekonomi perkongsian (koperasi). Visinya melangkaui nasionalisme Kurdi yang semata-mata menubuhkan sebuah negara bangsa Kurdi.

Model ini adalah berasaskan sebuah matriks yang terdiri daripada perhimpunan-perhimpunan kejiranan (ataupun komun-komun), organisasi-organisasi masyarakat sivil, parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, koperasi-koperasi dan sebagainya yang berautonomi tetapi bertanggungjawab. Ia berfungsi dari bawah ke atas, melalui sistem perwakilan secara bergilir, dengan kuota mengikut gender dan kumpulan etnik berbeza yang membentuk sesebuah komuniti. Demokrasi langsung, pembebasan wanita dan ekologi, menjadi tunjang utama kepada paradigma Konfederalisme Demokratik.

Golongan revolusioner di Rojava juga cuba membangunkan ekonomi koperatif sebagai usaha untuk transisi menuju ekonomi sara diri yang berasaskan koperasi pekerja dan pengeluar. Matlamat mereka ialah koperasi membentuk 80% daripada ekonomi di Rojava. Namun, proses mewujudkan ekonomi sara diri memang merupakan cabaran yang besar di Rojava kerana krisis peperangan dan embargo yang dikenakan oleh kuasa serantau yang bersebelahan dengannya, termasuk Turki, Iraq dan Iran.

Demokrasi di Rojava

Demokrasi merupakan tunjang utama dalam Revolusi Rojava dan model pentadbiran di Rojava. Demokrasi di Rojava adalah berbeza dengan model demokrasi berperwakilan yang wujud di negara-negara kapitalis yang kononnya “demokratik”. Demokrasi di sini mengambil bentuk yang lebih radikal, yang bermatlamat untuk mendemokrasikan seluruh masyarakat dengan setiap orang berpeluang untuk melibatkan diri dalam segala proses membuat keputusan mengenai isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka. Demokrasi di Rojava ialah demokrasi keterlibatan yang berorganisasi dari bawah, mengutamakan prinsip feminisme dan perwakilan daripada pelbagai kumpulan etnik yang berbeza.

Unit demokratik yang paling asas di Rojava ialah komun, ataupun perhimpunan kejiranan, yang bersidang secara kerap untuk berbincang tentang isu-isu yang melibatkan komuniti setempat. Setiap komun biasanya terdiri daripada 300 orang dan memilih dua orang presiden bersama (di mana harus adanya seorang lelaki dan seorang wanita). Presiden bersama daripada komun dan wakil-wakil yang dipilih secara langsung oleh penduduk setempat membentuk majlis rakyat di peringkat daerah. Sistem presiden bersama ini diamalkan di semua peringkat pentadbiran, dari komun ke kanton (daerah), sehinggalah ke Majlis Demokratik Syria.

Setiap komun akan menubuhkan beberapa jawatankuasa yang berfungsi sebagai kumpulan kerja yang memfokus pada isu yang tertentu, seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan penyelesaian konflik. Jawatankuasa-jawatankuasa ini akan menyelesaikan masalah harian di komuniti dengan lebih cepat, maka mengurangkan birokrasi dalam sistem pentadbiran.

Selain itu, majlis wanita juga dibentuk secara selari dengan setiap peringkat struktur demokratik di Rojava. Majlis wanita ini ditubuhkan untuk mengendalikan segala isu yang berkaitan dengan wanita (seperti keganasan rumah tangga) dan mempunyai kuasa veto terhadap keputusan majlis rakyat yang berkaitan dengan wanita.

Revolusi Rojava mewujudkan langkah yang penting untuk mengatasi struktur negara yang memusatkan kuasa dan menuju ke arah pemerintahan rakyat yang sebenar.

Kuasa progresif tewaskan pengganas ISIS

Oleh sebab Revolusi Rojava berlaku di tengah-tengah perang proksi antara kuasa-kuasa besar di rantau Timur Tengah, maka revolusi ini sentiasa menghadapi ancaman ganas sejak awal lagi. Namun, kegigihan, keberanian dan kesungguhan golongan revolusioner di Rojava dalam mempertahankan revolusi bersifat pembebasan ini, berjaya menangkis pelbagai ancaman yang berbahaya.

Salah satu ancaman besar yang dihadapi oleh Revolusi Rojava sejak awal lagi ialah ancaman daripada kumpulan pengganas ISIS yang wujud sebagai produk sampingan campurtangan kuasa imperialis Amerika Syarikat di rantau Asia Barat dan Asia Tengah.

Pada bulan September 2014, ISIS melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kobanî, iaitu tempat paling awal tercetusnya Revolusi Rojava. Dalam tempoh beberapa minggu, pasukan bersenjata pengganas ISIS menawan 350 buah perkampungan dan pekan di sekeliling Kobanî, menyebabkan ratusan ribu orang Kurdi menjadi pelarian. Kobanî menghadapi pengepungan daripada ISIS dan berada di ambang kejatuhan sepenuhnya. Namun, oleh sebab kegigihan YPG dan sekutunya dalam menangkis serangan ISIS, tambahan pula dengan bantuan daripada serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas ISIS, pada bulan Januari 2015, YPG mula mengambil alih semula kawasan Kobanî yang jatuh dalam tangan ISIS sebelum itu. Pada bulan April 2015, YPG dan sekutunya berjaya menawan semula semua perkampungan di kanton Kobanî. Pertempuran di Kobanî pada tahun 2014-2015 ini merupakan titik perubahan penting dalam perang melawan ISIS.

YPG bersama dengan sekutunya menubuhkan Angkatan Demokratik Syria (HSD) pada bulan Oktober 2015, sebagai pasukan tentera berbilang bangsa yang mempertahankan Rojava. HSD berazam untuk memperjuangkan Syria yang sekular, demokratik dan berpersekutuan. Majlis Demokratik Syria (MSD) ditubuhkan sebagai sayap politik untuk HSD yang memainkan peranan dalam melaksanakan cita-cita membina sebuah sistem yang pluralistik, demokratik dan dinyahpusatkan untuk semua rakyat di Syria.

Pada bulan Mac 2019, HSD yang diterajui oleh YPG berjaya menawan Al-Baghuz Fawqani, kubu ISIS yang terakhir di Syria, sekali gus menewaskan kumpulan pengganas ISIS di Syria. Golongan revolusioner Rojava yang membawa visi pembebasan masyarakat yang jelas, telah membuktikan bahawa mereka ialah kuasa yang paling efisien dan efektif dalam menewaskan ancaman pelampuau kanan seperti ISIS.

Ancaman berterusan daripada Turki

Walaupun berjaya menewaskan ISIS, Revolusi Rojava masih menghadapi satu lagi ancaman ketenteraan yang lebih besar, iaitu tentera Turki. Tentera Turki melancarkan serangan ke atas Utara Syria pada bulan Oktober 2019, iaitu beberapa bulan selepas HSD menewaskan ISIS di Syria, dengan alasan mewujudkan “zon selamat” tetapi sebenarnya berniat untuk mengusir HSD dan menghancurkan usaha Revolusi Rojava.

Pada ketika Rojava di ambang menyambut sedekad revolusinya, kerajaan Turki sedang mempertingkatkan usaha serangannya ke atas Rojava.

Inspirasi pembebasan masyarakat sedunia

Revolusi Rojava ialah usaha perjuangan revolusioner yang mengilhamkan sebuah masa hadapan di mana semua rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup aman bersama dan membentuk semula dunia kita, dengan mengatasi kapitalisme, kolonialisme dan imperialisme. Revolusi Rojava menunjukkan bahawa sebuah dunia yang berlandaskan prinsip keadilan sosial, pembebasan wanita, ekonomi koperatif, ekologi dan demokrasi akar umbi adalah berkemungkinan.

Pengalaman Revolusi Rojava selama 10 tahun yang lalu, membuktikan bahawa walaupun betapa mencabar dan sukarnya keadaan, perubahan yang bersifat pembebasan masih boleh direalisasikan, selagi kita mempunyai idea, keinginan, keberanian dan kesungguhan untuk membawa perubahan itu.

Kita sedang hidup dalam zaman yang dilanda krisis demi krisis. Hampir setiap hari, pasti adanya ancaman baharu yang membahayakan umat manusia. Kita memang berada di ambang zaman perubahan yang hebat. Inilah sebabnya kenapa begitu penting untuk kita terus meneroka model masyarakat yang alternatif, yang bersifat pembebasan, demokratik dan menegakkan keadilan sosial. Revolusi Rojava merupakan salah satu revolusi yang paling hebat dan paling bermakna dalam abad ke-21.

Revolusi Rojava merupakan contoh alternatif yang menyerlah pada zaman ini yang boleh dijadikan inspirasi kepada kita semua yang mendahagakan perubahan masyarakat yang bersifat pembebasan. Revolusi Rojava ialah revolusi bersama kita semua!

Hidup Revolusi Rojava! Bijî Şoreşa Rojava!

3 thoughts on “Revolusi Rojava: Pembebasan masyarakat yang melangkaui imaginasi negara bangsa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *