(foto: BERNAMA)

Najib Razak mencipta “sejarah” dengan menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama di Malaysia yang dimasukkan ke dalam penjara atas pertuduhan rasuah selepas dia gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah tertinggi di negara kita, Mahkamah Persekutuan. Peguam yang mewakili Najib cuba menggunakan pelbagai taktik untuk menangguhkan perbicaraan tetapi semuanya menemui kegagalan.

Walaupun pemenjaraan Najib Razak ini tidak bermakna bahawa negara Malaysia sudah bebas daripada rasuah ataupun kebebasan kehakiman telah ditegakkan, tetapi ia masih merupakan satu perkembangan yang baik bagi negara kita dan memberi peringatan kepada sesiapa yang berkuasa bahawa tiada sesiapa pun yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana menyeleweng atau menyalahgunakan kuasanya.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan daripada Najib dan mengekalkan hukuman ke atas Najib. Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh panel 5-orang hakim yang terdiri daripada Tengku Maimun binti Tuan Mat (Ketua Hakim Negara Malaysia), Abang Iskandar bin Abang Hashim (Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sawarak), Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan), Mary Lim Thiam Suan (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Mohamad Zabidin bin Mohd Diah (Hakim Mahkamah Persekutuan). Najib terus dimasukkan ke Penjara Kajang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Najib ditangkap pada 3 Julai 2018 oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan dengan siasatan tentang dana RM42 juta yang mengalir dari SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank Najib. Penangkapan Najib ini berlaku tidak lama selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya ditumbangkan untuk kali pertama dalam sejarah tanah air semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Najib didakwa buat pertama kalinya pada 4 Julai 2018 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkenaan dengan kes penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, dan kemudiannya dipindah pendakwaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2018. Selepas lebih 86 hari perbicaraan (berlarutan dari bulan April 2019 hingga Mac 2020) dan mendengar keterangan daripada 76 orang saksi daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 28 Julai 2020 bahawa Najib didapati bersalah untuk 7 tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib. Najib bebas dengan ikat jamin RM2 juta sementara merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Rayuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman ke atas Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan pada 5 April 2021. Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib pada 8 Disember 2021, maka mengekalkan sabitan kesalahannya dan hukuman ke atasnya. Pelbagai taktik digunakan oleh pasukan peguam yang mewakili Najib untuk menangguhkan perjalanan kes di Mahkamah Persekutuan, termasuk mengemukakan permohonan untuk Ketua Hakim Negara Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan terakhirnya, tetapi semuanya gagal. Akhirnya, Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 18 Ogos 2022 untuk menolak rayuan Najib.

Walaupun Najib telah dipenjarakan atas kesalahan jenayahnya dalam menyeleweng dana kerajaan, tetapi dia berkemungkinan besar akan kembali ke arena politik, khususnya jika UMNO-BN mendapat kemenangan besar dalam PRU-15 yang akan datang, dan mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong seperti apa yang pernah dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Lebih-lebih lagi, Najib pernah menunjukkan bagaimana dapat mempermainkan politik populis untuk meraih semula sokongan selepas gabungan politik yang dipimpinnya ditewaskan dalam pilihan raya, maka adalah tidak mustahil untuk geng politikus UMNO-BN kembali berkuasa secara sendiri melalui cara memanipulasi pandangan rakyat dengan politik populis dan perkauman mereka.

Ancaman daripada politik populis berhaluan kanan tidak akan dapat disekat dengan sekadar mencari jalan untuk membentuk gabungan antara parti-parti politik pembangkang yang bukan sahaja berbeza pendirian politik malah mempunyai kepentingan sendiri untuk merebut kuasa sehingga sanggup tikam dari belakang sesama sendiri. Sebaliknya, hanya melalui pembinaan kuasa rakyat dari bawah, iaitu mengorganisasi dan memobilisasi rakyat marhaen daripada pelbagai sektor sosio-ekonomi yang merentasi batasan kaum dalam isu-isu masyarakat akar umbi (seperti perlindungan sosial, gaji yang bermaruah, penanganan krisis iklim dan sebagainya), barulah kita dapat mewujudkan alternatif yang mampu membebaskan rakyat jelata daripada cengkaman politikus elit yang sentiasa bersandiwara dan memperdayakan rakyat.

One thought on “Akhirnya Najib masuk penjara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *