oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kalah dalam pertandingan julung kalinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di mana PSM bertanding di kawasan DUN N49 Kota Iskandar yang sangat besar. Calon PSM, Arangkannal Rajoo (Ara), menerima hampir seribu undi, walaupun beliau tidak dapat mempertahankan depositnya. Kami mengucapkan tahniah kepada pemenang pilihan raya dan mengaku kekalahan.

PSM mengambil maklum bahawa semua parti yang memenangi kerusi ialah parti komponen dalam gabungan parti utama – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), manakala semua parti politik yang bukan sebahagian daripada mana-mana gabungan besar, seperti PEJUANG, WARISAN, Parti Bangsa Malaysia, PUTRA dan PSM, telah kalah di semua kawasan dan hilang deposit.

Keputusan pilihan raya ini tidak mengejutkan memandangkan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah. PSM berpandangan bahawa rakyat tidak salah jika tidak menunjukkan keghairahan terhadap pilihan raya ini kerana pilihan raya ini dipaksakan ke atas mereka pada ketika negara kita masih belum pulih daripada pandemik. Ramai pengundi yang berada di Singapura juga tidak hadir mengundi. Sekiranya peratusan keluar mengundi adalah lebih tinggi, sudah pasti keputusannya akan berbeza.  

Sebaliknya, PSM agak terangsang dengan keputusan di Kota Iskandar. Kami menganggap penampilan pertama kali kami ini agak berjaya dan memuaskan. PSM berjaya membangkitkan banyak isu berkaitan dengan kepentingan masyarakat awam, dari isu perumahan, pekerjaan, alam sekitar, sehinggalah kemudahan asas tempatan. Kami berjaya mengedarkan semua risalah kami dan parti juga menerima sumbangan kewangan yang menggalakkan daripada orang awam yang mengimbangi deposit kami dan membantu kami dalam menjalankan satu kempen yang baik. Kami juga berbangga kerana telah menjalankan kempen yang bersih dan penuh bersemangat tanpa sebarang unsur perkauman dan agama.

Keputusan penyertaan kami dalam PRN Johor ini juga mendorong kami untuk menjalin kerjasama sebenar dengan pihak-pihak lain pada masa hadapan di samping mengembangkan lagi sokongan kami di Johor. Kami berterima kasih kepada semua orang yang telah membantu dalam jentera pilihan raya kami, sama ada ahli parti, penyokong, penyumbang dana, NGO dan parti politik yang lain. Kerja keras mereka ini dilakukan tanpa sebarang habuan kewangan; semangat dan keberanian mereka memberi kami harapan bahawa kami akan terus berusaha.

Sebagai satu-satunya parti politik yang menawarkan alternatif sosialis dan politik berasaskan kelas, kami percaya bahawa kehadiran kami dalam pilihan raya adalah penting dan ia akan mengambil masa untuk inisiatif kami membuahkan hasil. Perjuangan diteruskan.

Berjuang kita sedia, kemenangan pasti menyusul!

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengarah Pilihan Raya Nasional PSM.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “PSM tidak kecewa dengan keputusan pilihan raya di Kota Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *