oleh S. Arutchelvan

(Ucapan ini disampaikan pada 15 Julai 2022 semasa sesi pembukaan Kongres PSM yang ke-24 di Klang.)

Selamat datang kepada semua tetamu, delegasi ke Kongres PSM ke-24 yang diadakan buat pertama kalinya di Bandar Klang. Terima kasih kepada Cawangan Klang yang menjadi tuan rumah kepada Kongres PSM ke-24.

Terima kasih kepada Urus Setia Kongres PSM ke-24 dibawah naungan Setiausah Agung, Saudara Siva, dan kepada semua yang menjayakan Kongres tahun ini. Juga terima kasih kepada Mantan Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim, dan Mantan Timbalan Pengerusi Saudari M. Saraswathy.

Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Klang dan juga IPD Klang Utara, PDRM, yang begitu aktif dan teruja dengan Kongres di Klang.

Saya juga difahamkan bahawa kita telah mendapat mesej solidariti daripada parti-parti politik daripada 14 buah negara.

Adalah menjadi tradisi parti PSM untuk Timbalan Pengerusi PSM memberikan ucapan pembuka tirai dalam setiap Kongres Parti diikuti dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi Nasional Parti.

Namun, setelah Dr. Kumar dan saya dilantik pada tahun 2019 (masing-masing sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PSM), tidak sempat sekali pun kita adanya satu Kongres secara terbuka seperti tahun ini. Tahun 2020 dan 2021, Kongres hanya diadakan sehari sahaja secara online, manakala segala usul, debat dan pilihan raya parti ditangguhkan. Maka pada tahun ini, kita amat bertuah kerana dapat bersemuka selama 3 hari untuk berbincang, berdebat dan bersama semasa Kongres.

Kita juga amat berbesar hati kerana Florentino Batista González, Duta Besar Kuba ke Malaysia, dapat hadir bersama dalam Kongres kita yang serba sederhana ini. Negara Kuba dan Venezuela sedang berdepan dengan sekatan daripada negara-negara kaya, hanya kerana mereka tidak mahu menari mengikut rentak imperialisme Amerika Syarikat dan sekutunya. Oleh sebab dedikasi Kuba dan Venezuela kepada rakyat miskin di seluruh dunia, anda mempunyai kawan-kawan dalam kalangan masyarakat miskin di seluruh dunia. Viva Cuba! Viva Venezuela!

Ini ialah Kongres Parti pertama yang diadakan dalam suasana pandemik COVID-19, Kongres pertama setelah Langkah Sheraton – dua peralihan kuasa di Putrajaya tanpa adanya pilihan raya. Kita sudah lihat 3 kerajaan – Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Rakyat sudah muak dengan politik lompat parti, rasuah dan salah guna kuasa.

Terdapat juga banjir besar melanda negara di mana bukan sahaja timbunan lumpur dan air, tetapi ratusan timbunan balak, baru-baru ini pula di Baling, Kedah, banjir besar yang berkaitan dengan perladangan durian Musang King. Kita tidak perlukan saintis roket untuk kaitkan banjir dengan balak dan darurat iklim.

Namun demikian, di sebalik pandemik dan banjir besar, kita juga dapat melihat harapan dan solidariti rakyat marhaen. Rakyat biasa daripada pelbagai kaum dan agama bersatu hati, saling bantu-membantu, membuka food bank, mengedar makanam dan melakukan pelbagai perkara yang luar biasa yang tidak dilakukan oleh kerajaan mahupun korporat-korporat yang kaya.

Seperti kata Che Guevara, “Revolusioner yang sebenar didorong oleh kasih sayang (true revolutionaries are motivated by love)”. Saya juga berpendapat bahawa semasa krisis, rakyat biasa boleh mengetepikan sentimen kaum dan agama, dan dapat bersatu hati. Belia India bersihkan masjid, belia Melayu bersihkan kuil.

Begitu juga, semasa penularan COVID-19, kita melihat bagaimana hospital awam begitu penting dan menjadi frontliner. Itulah sebabnya dari dahulu lagi, PSM sentiasa mempertahankan hospital awam. Inilah Malaysia yang kita mahukan. Inilah Malaysia yang PSM idamkan.

Dalam masa pandemik, krisis kesihatan, krisis politik, darurat pandemik dan darurat cuaca, walaupun gerakan rakyat nampaknya lesu tetapi tidak berdiam sepenuhnya kerana adanya PSM. Kita melihat 6 orang penunggang motosikal daripada Kesatuan Pekerja Hospital menunggang motosikal dari Bukit Mertajam ke Putrajaya, bertemu dengan Menteri Kesihatan, dan akhirnya menyebabkan CEO Edgenta berjuma dengan pemimpin kesatuan pekerja.

Kita lihat bagaimana apabila 4 bulan gaji tidak dibayar, pekerja pembersihan B40 dari Sabak Bernam berkampung di Putrajaya sehingga tunggakan gaji 4 bulan itu dijelaskan.

Kita lihat bagaimana seorang pengawal keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat berjuang 10 tahun sehingga menewaskan Kerajaan Amerika Syarikat, sebuah kuasa besar dunia, di Mahkamah Persekutuan, dan kesnya harus didengar di Mahkamah Perusahaan.

Inilah yang berlaku apabila kumpulan-kumpulan rakyat biasa ini mempunyai dukungan daripada kawan-kawan dan parti-parti yang memperjuangkan isu mereka, seperti PSM. Matlamat PSM ialah membina kuasa rakyat dari bawah, bukannya dari Hotel Sheraton atau apa-apa tempat di atas. Kuasa rakyat itu haruslah wujud dari bawah, bukan dari atas.

Tahniah kepada fron-fron dan aktivis-aktivis PSM dan MARHAEN atas kerja-kerja memperkasakan dan membina kuasa rakyat yang sangat penting ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Parti, termasuk Setiausaha Agung, Bendahari Kehormat dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat, bagi penggal tahun 2019-22, dan juga kepimpinan negeri pada tempoh yang sama.

Kongres tahun ini juga akan diadakan pilihan raya untuk parti. Kesemua jawatan ditandingi, dan ini disebabkan PSM mempunyai satu polisi ketat yang tidak membenarkan ahli menarik diri sewenang-wenangnya daripada bertanding, di mana kita mahu memupuk pertandingan dan demokrasi yang sihat.

Pada tahun ini, 49 orang calon akan bertanding untuk 9 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat. Selain itu, PSM sahajalah satu-satu parti di negara kita di mana Jawatankuasa Tatatertib atau juruaudit juga dipilih melalui pilihan raya. Pada tahun ini, seramai 42 orang dicalonkan untuk mengambil 5 jawatan Jawatankuasa Tatatertib, sementara 16 orang dicalonkan untuk 2 jawatan juruaudit.

Terdapat sebanyak 14 usul akan dibahaskan oleh ahli-ahli dalam Kongres tahun ini.

Sekali lagi selamat datang kepada semua delegasi dan pemerhati. Selamat berkongres.

Biar saya akhiri ucapan saya dengan serangkap “pantun”:

Bandar Klang, bandar bersejarah,

Burung gagak, burung kesayangan;

Ahli PSM, semuanya gagah,

Berilah kami, perintah sepenggal.

Hidup rakyat! Hidup perjuangan! Hidup PSM!

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Ucapan Timbalan Pengerusi PSM sempena Kongres PSM ke-24

Leave a Reply

Your email address will not be published.