PUTRAJAYA – 23 FEBRUARI 2022: Wakil daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyerahkan satu memorandum di Pejabat Perdana Menteri pada hari ini dengan tuntutan kepada kerajaan supaya melaksanakan peningkatan gaji minimum ke RM1,500 sebulan selewat-lewatnya apabila sesi Parlimen yang dijadualkan bermula pada 28 Februari 2022.

38 buah organisasi, termasuk UNI-MLC yang disertai 104 buah kesatuan sekerja, telah menyokong memorandum yang diserahkan kepada kerajaan pada hari ini. Organisasi-organisasi yang menyokong memorandum ini menyatakan bahawa mereka menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia yang mengatakan bahawa gaji minimum akan ditetapkan sekitar RM1,500, maka menggesa pihak Menteri Sumber Manusia untuk membentangkan pindaan untuk Perintah Gaji Minimum di Parlimen dengan segera.Turut hadir semasa penyerahan memorandum ini ialah M. Sivaranjani daripada JPKK, S. Arutchelvan daripada PSM dan Ismail Bin Ali daripada UNI-MLC.

M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK, berkata, “Kajian semula gaji minimum sepatutnya telah dilakukan pada tahun lepas dan pelaksanaan amaun gaji minimum baharu sepatutnya bermula pada bulan Januari 2022, dan bukannya pada akhir tahun ini seperti kenyataan Menteri Sumber Manusia.”

“Kami berharap pengumuman Menteri Sumber Manusia mengenai kenaikan gaji minimum itu tidak menjadi satu lagak ngeri politik sahaja. Jika kerajaan memandang isu ini secara serius, ia perlu dibentang dalam Parlimen dengan serta-merta,” tegas kata Sivaranjani.

JPKK, PSM dan organisasi-organisasi yang menyokong memorandum ini juga membidas alasan yang diberikan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang mengatakan bahawa kenaikan gaji minimum akan memberi kesan negatif kepada ekonomi. “Kamin ingin menegaskan bahawa kenaikan gaji minimum adalah wajib untuk menangani kenaikan kos hidup dan harga barangan yang semakin meningkat, yang sedang menekan kaum pekerja. Kenaikan gaji minimum akan merancakkan ekonomi negara,” kata memorandum yang diserahkan kepada kerajaan.

“Kerajaan telah menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 sebulan pada tahun lepas, tetapi tidak mahu meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 sekarang pun, adalah tidak masuk akal. Ini menunjukkan tindakan kerajaan tidak selaras dengan statistik yang diumumkannya,” ulas Sivaranjani. “Pendapatan RM1,500 sebulan hanya satu jumlah yang sedikit dengan kesusahan yang sedang dihadapi pekerja pada masa sekarang.”

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, berkata, “Jurang pendapatan negara Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara. Namun, setiap kali hendak menaikkan gaji minimum, majikan akan membawa cerita yang sama bahawa syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan muflis, tetapi statistik menunjukkan sebaliknya. Yang kita patut pertikaikan adalah kenapa sesetengah CEO syarikat boleh mendapat gaji RM500,000-800,000 sebulan seorang, sedangkan tidak mahu naikkan gaji minimum pekerja bawahan.”

Pekerja-pekerja bergaji rendah di negara kita telah membuat pengorbanan dengan tiada peningkatan gaji selama dua tahun kebelakangan ini. Jika kerajaan betul-betul mengamalkan semangat “Keluarga Malaysia” seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri sekarang, maka peningkatan gaji minimum ke RM1,500 adalah sesuatu yang wajar dan munasabah serta harus dilaksanakan segera.

3 thoughts on “Kerajaan digesa naikkan gaji minimum ke RM1,500 pada bulan Mac 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *