Berikut ialah memorandum yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 5 April 2022, dengan saranan 8 langkah untuk menangani krisis makanan yang timbul kepada peperangan di Ukraine. Memorandum ini ialah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan disokong oleh organisasi-organisasi masyarakat yang lain.

Kami, daripada organisasi masyarakat dan NGO yang mengendors memorandum ini amat bimbang tentang kesan peperangan di Ukraine terhadap bekalan dan kos makanan di Malaysia. Negara Rusia dan Ukraine merupakan pembekal lebih kurang 30% daripada jumlah eksport gandum di pasaran antarabangsa dan 19% jumlah eksport jagung. Jika pengeluaran bijirin ini terjejas oleh peperangan dan sekatan ekonomi (sanctions) terhadap Rusia, maka kekurangan dalam bekalan bijirin akan menyebabkan peningkatan harga makanan secara mendadak.

Penggunaan gandum di Malaysia adalah sekitar 1.6 juta tan setahun (2021), manakala penggunaan beras oleh penduduk Malaysia adalah 2.7 juta tan setahun. Beras dan gandum merupakan sumber utama bahan karbohidrat dalam makanan penduduk Malaysia. 30% daripada beras yang dimakan di Malaysia (0.9 juta tan setahun), adalah diimport, manakala hampir semua gandum adalah diimport (dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada). Kita juga mengimport 3.8 juta tan jagung setahun untuk makanan penternakan. Jumlah kos import bahan makanan ke Malaysia telah melebihi RM56 bilion setiap tahun.

Pengurangan dalam eksport gandum dan jagung dari Rusia dan Ukraine akan meningkatkan harga bukan sahaja kedua-dua bijirin tersebut tetapi harga beras juga. Besar kemungkinannya rakyat di merata tempat akan beralih dari gandum ke beras apabila harga gandum melambung naik. 

Selain itu, Rusia juga mengeluarkan 11.5 juta tong minyak petroleum setiap hari, iaitu 12% daripada jumlah pengeluaran petroleum dunia. Pengecutan dalam eksport minyak dari Rusia akan meningkatkan harga minyak dan sekaligus menyebabkan kos pengangkutan dan kos baja meningkat secara serius.

Kesemua perkara yang digariskan di atas mewujudkan risiko bahawa makanan asas akan berkurangan di Malaysia tidak lama lagi, dan kos gandum, beras dan daging akan melambung naik. Adalah amat penting untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara mengambil berat tentang risiko ini yang berpotensi amat menyusahkan golongan berpendapatan rendah. MKN harus mengadakan konsultasi dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk mengenalpasti mana antara lapan langkah yang digariskan di bawah harus dilaksanakan segera.

1. Menambahkan bekalan pelbagai jenis ubi yang dapat ditanam di Malaysia, termasuk ubi kentang, ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, labu dan lain-lain. Ubi-ubi ini boleh menggantikan bijirin sebagai sumber bahan karbohidrat jika harga bijirin naik terlalu banyak. Penanaman ubi akan mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk berhasil dan akan merupakan alternatif yang baik kepada bijirin yang berkurangan bekalannya.

  • Petani kecil dan pekebun getah kecil harus digalakkan untuk menanam ubi-ubi di antara pokok getah (inter-cropping) dengan jaminan bahawa FAMA akan membeli keluaran ubi dengan harga yang munasabah – ditetapkan melalui kontrak formal.
  • Syarikat perladangan dengan keluasan tanah lebih daripada 10,000 ekar harus diberi kuota ubi untuk dibekalkan oleh mereka setiap tempoh masa.
  • Saluran media nasional harus digunakan untuk popularkan resipi makanan yang berasaskan pada ubi supaya rakyat dididik mengenai bagaimana sumber yang “luar biasa” ini dapat memenuhi keperluan kabohidrat keluarga mereka.

2. Satu kajian harus dijalankan dengan kadar segera untuk mengenalpasti semua pengeluar makanan yang mengusahakan tanah / laut di Malaysia pada takat ini, termasuk pesawah padi, pengeluar sayur dan buah, nelayan, pembela ikan dan penternak. Langkah-langkah tegas harus diambil untuk memastikan mereka semua dapat meneruskan kegiatan mereka dalam menghasilkan bahan makanan untuk rakyat kita tanpa sebarang gangguan. Pengusiran terhadap sesiapa pengeluar makanan harus dihentikan sama sekali sehingga krisis dalam bekalan makanan dapat diatasi. Aktiviti “pembangunan” ekonomi yang ada kesan negatif terhadap pengeluaran makanan harus dikenalpasti dan dihentikan.

3. Penanaman jagung harus ditingkatkan. Jagung merupakan sumber penting dalam makanan haiwan ternakan dan pada masa ini hampir semua jagung untuk tujuan ini diimport (90% dari Brazil dan Argentina). Jabatan Pertanian harus buat kajian sama ada jagung dapat ditanam di antara pokok getah di kebun-kebun kecil getah. Jika ini boleh dilaksanakan, ia juga akan merupakan satu punca pendapatan tambahan pada pekebun kecil.

4. Pelan induk kebangsaan berkaitan penggunaan tanah negara harus diteliti dan diubahsuai. Pada takat ini, daripada jumlah keluasan 32,865,000 hektar tanah Malaysia:

  • 55% diwartakan sebagai tanah berhutan [walaupun sebahagian besar daripada jumlah ini (2/3) telahpun dibalak]. Kawasan hutan harus dikekalkan sebagai hutan dan bahagiannya yang telah dibalak harus dipulihkan sebagai hutan dengan penanaman pokok hutan.
  • 23% daripada tanah Malaysia, ataupun 7.6 juta hektar sedang digunakan untuk pertanian. Daripada jumlah ini, hanya 1.5 juta hektar sedang digunakan untuk menghasilkan makanan bagi rakyat kita – termasuk 0.7 juta hektar untuk penanaman padi. 5 juta hektar dikhaskan untuk kelapa sawit dan 1.1 juta hektar untuk pengeluaran getah.   

Nisbah penggunaan tanah pertanian harus dikaji semula memandangkan bekalan makanan untuk rakyat kita diancam bukan sahaja kerana berlakunya krisis di Ukraine, tetapi juga oleh kerana perubahan iklim. Syor kami adalah kawasan yang diwartakan sebagai hutan harus dikekalkan seperti yang asalnya. Tetapi sebahagian tanah yang dikhaskan untuk kelapa sawit dan getah harus ditukar guna tanahnya kepada penanaman padi, jagung, kacang soya dan sumber makanan yang lain. Satu akta harus digubal untuk mewajibkan syarikat perladangan mematuhi pelan induk berkaitan perkara ini.   

5. Penanaman sayur-sayuran, ubi-ubi dan jagung harus digalakkan di halaman rumah di bandar dan juga di kawasan kampung.

6. Tanah kosong kerajaan dan juga tanah kosong yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) and pihak swasta harus dipajak kepada petani dan pembela ikan supaya bekalan makanan dapat dijamin untuk rakyat kita.

7. Memandangkan kos makanan ternakan dan baja sedang meningkat, langkah-langkah harus diambil dengan segera untuk memastikan sisa buangan makanan dari pasar, restoran dan rumah dapat dikitar semula sebagai sumber makanan ternakan ataupun baja organik. Tahi ayam dari fasiliti ternakan ayam dan sisa buangan kilang kelapa sawit juga boleh digunakan sebagai baja selepas diproses. Ahli sains di universiti tempatan harus diminta untuk membantu dalam usaha ini.

8. MKN harus memantau situasi bekalan dan kos makanan dengan rapi. Jika kos makanan meningkat walaupun langkah-langkah di atas dilaksanakan, program-program tambahan seperti berikut harus dilaksanakan –

a/ Bantuan kewangan sebanyak RM200 sebulan harus dimasukkan ke akaun bank semua keluarga B40 dalam masyarakat kita. (3.2 juta keluarga B40 = RM640 juta sebulan ataupun RM7.6 bilion setahun).

b/ Berkerjasama dengan NGO-NGO dan kumpulan-kumpulan agama untuk membuka dapur makanan yang menyediakan makanan masak (cooked meals) kepada sesiapa yang memerlukannya di setiap bandar.

Kami berharap pihak MKN akan mengambil berat terhadap syor-syor yang terkandung dalam memorandum ini dan bertindak secara berkesan untuk mengelakkan satu masalah pemakanan yang serius. Kami juga berharap dapat peluang untuk berjumpa dengan wakil MKN ataupun Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk membincangkan isu-isu yang terkandung dalam memorandum ini.

**********

Memorandum ini disokong oleh organisasi-organisasi berikut:

  1. Agora Society Malaysia
  2. Aliran
  3. Belatani
  4. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  5. CARAM Asia
  6. Childline Foundation
  7. Family Frontiers
  8. Federation of Malaysian Consumer Associations (FOMCA)
  9. Gabungan Petani Perak
  10. Health Equity Initiatives
  11. The International Movement for a Just World
  12. Jaringan Penternak Nasional, MARHAEN
  13. Justice for Sisters
  14. KL Selangor Chinese Assembly Hall
  15. Komuniti Pondok Sukun (Kompos) 
  16. Malaysia Consumer Movement
  17. Malaysian Insititute of Sustainable Agriculture (MISA)
  18. Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG+)
  19. North South Initiatives
  20. Our Journey
  21. Parti Murba
  22. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
  23. Parti Sosialis Malaysia
  24. Penang Tolak Tambak
  25. Persatuan Agroekologi Malaysia
  26. Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-Pengguna Pahang
  27. Persatuan Petani Moden Kanthan
  28. Persatuan Sahabat Wanita
  29. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia
  30. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  31. Pusat Komas
  32. Sahabat Alam Malaysia
  33. Saya Anak Bangsa Malaysia
  34. Sustainable Development Network Malaysia
  35. Tenaganita
  36. Third World Network
  37. TrEES (Treat Every Environment Special)
  38. Women’s Aid Organisation 

4 thoughts on “8 langkah untuk tangani krisis makanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *