(Kenyataan Akhbar sempena pelancaran Kempen Pemulihan Nasional pada 22 Mei 2022)

oleh Sivarajan Arumugam

Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan pada tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 menyerang dan memberikan tamparan yang terdahsyat sejak merdeka kepada sosioekonomi dan politik negara. Sistem ekonomi neoliberal yang dianuti sejak lebih 40 tahun lalu oleh kedua-dua blok pemerintahan, gagal melindungi kebajikan rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang.

Pemerintahan ala kapitalisme yang pro-korporat, telah melemahkan asas jaringan perlindungan sosial rakyat dan mendedahkan mereka kepada pelbagai tekanan sosioekonomi. Kegagalan tersebut perlu diatasi segera, agar kita dapat pulih daripada pandemik dan sekaligus mengukuhkan asas jaringan perlindungan sosial supaya bersedia menangani cabaran pada masa akan datang.

Apa yang kita pelajari daripada era pandemik COVID-19?

Selain daripada penderitaan harian yang dilalui rakyat, pandemik mengajar kita:

(a) Rakyat termiskin B40 lah yang menerima kesan yang terdahsyat, walaupun krisis pandemik seperti COVID-19 tidak mengenal kaya mahupun miskin. Pengalaman menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah, perumahan, jaminan kerja dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan daya tahan sesebuah keluarga apabila krisis menyerang.

(b) Pekerjaan dan sumber rezeki kita yang dahulu dianggap berkekalan boleh hilang sekelip mata. Tanpa jaringan perlindungan sosial yang baik, kita akan terus terhumban dalam kemiskinan. Ramai keluarga M40 kini ditolak ke dalam situasi B40 juga apabila mereka diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan dengan mengejut.

(c) Walaupun industri swasta dan korporat diagung-agungkan sebagai entiti yang paling penting memacu pembangunan negara selama ini, apabila negara diserang krisis, pihak yang berjaya mendukung rakyat dalam pandemik adalah perkhidmatan hospital kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Perkembangan sektor hospital swasta dan pembangunan pelancongan kesihatan gagal memberikan sumbangan yang signifikan kepada rawatan pesakit COVID-19.

(d) Sektor ekonomi bekalan kemudahan asas terbukti amat penting (essential) kepada rakyat pada masa krisis. Peniaga kecil, petani, pekerja penyelenggaraan, pekerja pembersihan, pemungut sampah, pemandu lori, penghantar barangan, merekalah yang memainkan peranan paling penting. Jika petani tempatan diabaikan dan produk pertanian import tergendala, maka bekalan makanan kepada rakyat akan terputus.

(e) Langkah pencegahan sesebuah jangkitan seperti COVID-19, hanya boleh dilaksanakan jika kita mempunyai rumah yang memadai dan persekitaran yang baik. Kuarantin dan penjarakan sosial sukar dilaksanakan oleh golongan marhaen yang tinggal di dalam sebuah rumah PPR berkeluasan 650 kaki persegi sahaja. Jauh berbeza dengan keluarga yang duduk dalam banglo mewah di Damansara. Oleh itu, perumahan selesa penting bagi rakyat yang dilanda krisis.

(f) Jika rakyat tiada daya tahan untuk melawan krisis kesihatan COVID-19, bagaimana pula rakyat akan menghadapi krisis iklim yang impaknya berlipat kali ganda lebih teruk? Jadi, isu pembalakan tanpa kawalan, pencemaran sungai, perlombongan mineral perlu ditangani dengan segera.

Selaras dengan pengajaran penting itu, maka PSM melancarkan Kempen Pemulihan Nasional: Peka Nasib Kami, Rakyat Minta Lima!

Kempen Pemulihan Nasional ini berasaskan kepada 5 TERAS utama, iaitu:

  • TERAS 1 – MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL
  • TERAS 2 – SKIM JAMINAN KERJA
  • TERAS 3 – PERUMAHAN HAK RAKYAT
  • TERAS 4 – TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM
  • TERAS 5 – TANGANI KRISIS IKLIM SEGERA

Ringkasan setiap Teras adalah seperti berikut:

TERAS 1: MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL

  • Skim Jaminan Pendapatan Asas
  • Hapuskan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan, hapuskan sistem kontrak
  • Pindaan Undang-undang Buruh dan PERKESO
  • Reformasi Skim Insurans Pekerjaan
  • Pencen bulanan untuk warga emas

TERAS 2: SKIM JAMINAN KERJA

  • Penyediaan kerja industri hijau
  • Tambahkan peluang pekerjaan dalam pertanian
  • Peluang kerja dalam infrastruktur kesihatan
  • Pemulihan infrastruktur dan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Pekerja sosial ditambahkan
  • Agensi pemantauan pelaksanaan
  • Pengasuh dan pendidik pra-sekolah
  • Sosialisasikan kerja rumah
  • Pengubahsuaian waktu kerja
  • Peranan GLC
  • Akta Anti-Diskriminisasi Pekerja

TERAS 3: PERUMAHAN HAK RAKYAT

  • Bina PPR sewa untuk B20
  • Keluarkan perumahan rakyat daripada pasaran
  • Hentikan pengusiran paksa – Tawaran rumah dan lot ganti
  • Tubuh sebuah amanah (tanpa motif untung) untuk bina perumahan rakyat
  • Kerajaan ambil alih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah

TERAS 4: TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM

  • Perkasakan perkhidmatan kesihatan awam
  • Libatkan doktor pengamal am (GP) untuk mencegah penyakit kronik
  • Guna wang levi untuk bayar kos perubatan pekerja migran
  • Peralatan pembedahan dibiayai oleh Kerajaan
  • Kekang penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke hospital swasta
  • Tambah peruntukan Kementerian Kesihatan
  • Penyediaan khidmat kesihatan berkualiti merupakan gaji sosial untuk rakyat

TERAS 5: TANGANI KRISIS IKLIM SEGERA

  • Pengunaan 100% tenaga boleh dibaharui semula
  • Kawal pencemaran daripada industri petroleum
  • Pengangkutan awam ditingkatkan dengan serius
  • Moratorium terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer

Sehubungan dengan ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan Kempen Pemulihan Nasional secara serentak pada hari ini di Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

PSM akan menjelajah ke seluruh negara untuk membawa mesej kempen ini dengan tujuan menggembleng sokongan dan fokus perjuangan rakyat ke arah isu-isu asas kehidupan dan bukan isu-isu perkauman yang sering memecahbelahkan rakyat. Antara aksi-aksi yang akan dijalankan ialah:

  • Konvoi dari bandar ke bandar
  • Penyebaran maklumat kepada masyarakat umum
  • Menggembleng sokongan – Pengendorsan 5 Teras oleh penduduk kawasan perjuangan
  • Sepanduk di lokasi awam
  • Ceramah kelompok
  • Lawatan ke kawasan perjuangan
  • Perjumpaan dengan NGO tempatan

Nantikan pemberitahuan tentang jelajah Kempen Pemulihan Nasional Rakyat Minta Lima nanti.

Baca dokumen lengkap Kempen Pemulihan Nasional di sini.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “Peka nasib kami! Rakyat minta lima!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s