KUALA LUMPUR – 31 MEI 2022: 5 orang lagi aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dipanggil untuk siasatan polis berkenaan dengan sidang akhbar PSM untuk melancarkan Kempen Pemulihan Negara di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2022. Mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk diambil keterangan oleh pihak polis.

PSM telah mengadakan aktiviti serentak di 7 lokasi pada 22 Mei 2022 untuk melancarkan Kempen Pemulihan Negara yang mengetengahkan tuntutan rakyat mengenai perlindungan sosial, jaminan kerja, perumahan, kesihatan dan penanganan krisis iklim. Sidang akhbar yang diadakan di hadapan Pasaraya SOGO, Kuala Lumpur, hanya disertai oleh lebih kurang 10 orang ahli PSM, tetapi pihak polis telah mengerahkan anggota yang jauh lebih banyak daripada peserta, sehingga sidang akhbar tersebut seolah-olah dikepung oleh polis pada masa itu.

Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM) dan Nalini Elumalai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Penyelaras Gabungan Marhaen), selaku penganjur sidang akhbar di Kuala Lumpur telah dipanggil untuk siasatan polis pada 25 Mei 2022. Namun, beberapa hari selepas itu, 5 orang aktivis PSM yang menyertai sidang akhbar pada 22 Mei 2022 turut dipanggil untuk siasatan polis yang sama. Mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Turut hadir bersolidariti dengan 5 orang aktivis yang dipanggil untuk siasatan polis pada hari ini ialah S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), Y. Kohila (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM) dan peguam-peguam yang membantu secara sukarela.

“Kami memang kecewa kerana pihak polis membazirkan masa untuk teruskan siasatan ke atas satu sidang akhbar yang bercakap pasal isu-isu rakyat,” kata Sivarajan, Setiausaha Agung PSM. “Selepas dua orang dipanggil pada hari itu, sekarang 5 orang lagi dipanggil untuk siasatan. Ini harus dihentikan, kerana ia hanya merupakan intimidasi yang membuang masa dan sumber rakyat.”

“Soalan-soalan yang ditanya oleh polis kepada 5 orang pada hari ini telah pun ditanya kepada Sivarajan dan Nalini sebelum ini,” kata Kohila yang juga merupakan salah seorang peguam yang menemani aktivis PSM semasa disoal siasat. “Jadi, soal siasat hari ini seolah-olah membazir masa sahaja.”

“Siasatan ini dibuat hanya kerana satu sidang akhbar. Sidang akhbar tidak tergolong sebagai perhimpunan, tetapi pihak polis masih mahu menyiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman. Ini merupakan kerja-kerja tidak penting (non-essential), kerja-kerja yang membuang masa, kerja-kerja yang membebankan polis.” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM yang hadir bersolidariti pada hari ini. “Sebagai sebuah parti politik yang berdaftar, PSM memang mempunyai hak untuk menjalankan aktiviti-aktiviti politik. Ini sebahagian daripada demokrasi dan hak ini memang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Siasatan ini memang satu perkara yang tidak masuk akal!”

Kempen Pemulihan Negara yang dilancarkan oleh PSM baru-baru ini mengemukakan 5 tuntutan teras yang bertujuan untuk memulihkan kehidupan dan perlindungan sosial bagi golongan rakyat marhaen selepas ditekan dalam keadaan yang susah selama lebih 2 tahun di bawah pandemik COVID-19. 5 tuntutan teras kempen ini ialah memperkasakan perlindungan sosial, Skim Jaminan Kerja, perumahan hak rakyat, tingkatkan perkhidmatan kesihatan awam dan tangani krisis iklim segera. Dapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang Kempen Pemulihan Negara PSM di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *