Nalini Elumalai (tengah) dan Sivarajan Arumugam (kanan) hadir ke IPD Dang Wangi untuk siasatan polis. (foto: Soh Sook Hwa)

KUALA LUMPUR – 25 MEI 2022: Dua orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dipanggil untuk siasatan polis berkenaan dengan aksi pelancaran Kempen Pemulihan Negara yang diadakan di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2022. Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM) dan Nalini Elumalai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Penyelaras Gabungan Marhaen) telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk diambil rakaman percakapan oleh pihak polis.

PSM telah mengadakan pelancaran Kempen Pemulihan Negara secara serentak di 7 lokasi pada 22 Mei 2022. Aksi pelancaran di Kuala Lumpur hanyalah satu sidang akhbar yang disertai oleh lebih kurang 10 orang ahli PSM. Namun, pihak polis telah mengerahkan jumlah anggota yang jauh lebih banyak daripada peserta sidang akhbar pada hari itu. Sidang akhbar tersebut seolah-olah dikepung oleh polis pada masa itu. Walaupun menghadapi intimidasi dari segi kehadiran anggota polis yang ramai pada masa itu, sidang akhbar yang diadakan di hadapan Pasaraya SOGO itu telah berjalan dengan lancarnya. Akan tetapi, selepas program itu selesai, pihak polis terus menghubungi penganjur untuk tujuan penyiasatan.

Kehadiran anggota polis dalam jumlah yang besar dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Pemulihan Negara di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2022. (foto: Sosialis.net)

Kedua-dua orang aktivis PSM yang dipanggil, Sivarajan dan Nalini, disiasat oleh polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sivarajan Arumugam berkata selepas diambil keterangannya oleh polis, “Siasatan hari ini ialah satu tindakan yang membuang masa. Sepanjang sidang akhbar pelancaran Kempen Pemulihan Nasional PSM pada hari itu, polis telah menyaksikannya sendiri dan merekodkannya.”

“Ada apa-apa yang bersifat jenayah dalam sidang akhbar tersebut?” Sivarajan mengulas, “Sebaliknya, kehadiran lebih 40 orang anggota polis beruniform yang mengepung sidang akhbar kami itu jelas menjejaskan hak asasi kami di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Tindakan tersebut jelas menyekat hak kami, sebagai sebuah parti politik yang sah, daripada mendekati rakyat untuk membawa program politik kami yang bermanfaat kepada rakyat.”

Pelancaran Kempen Pemulihan Negara di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2022. (foto: Sosialis.net)

Kempen Pemulihan Negara yang dilancarkan oleh PSM baru-baru ini mengemukakan 5 tuntutan teras yang bertujuan untuk memulihkan kehidupan dan perlindungan sosial bagi golongan rakyat marhaen selepas ditekan dalam keadaan yang susah selama lebih 2 tahun di bawah pandemik COVID-19. 5 tuntutan teras tersebut ialah:

  1. Memperkasakan perlindungan sosial (skim jaminan pendapatan asas bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan kerana pandemik, penghapusan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan, pindaan undang-undang buruh dan PERKESO supaya memperbaiki perlindungan yang diberikan, reformasi terhadap skim insurans pekerjaa, pencen bulanan untuk warga emas, dan sebagainya);
  2. Skim Jaminan Kerja (penyediaan kerja industri hijau, disamping tambah peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, infrastruktur kesihatan, pemulihan infrastruktur dan warisan negara, kajian perubatan dan farmakologi, pekerjaan sosial, pengasuhan dan pendidikan pra-sekolah, sosialisasi kerja rumah, dan sebagainya);
  3. Perumahan hak rakyat (pembinaan rumah PPR sewa untuk golongan B20, mengeluarkan perumahan rakyat daripada pasaran, menghentikan pengusiran paksa, penubuhan amanah bukan bermotifkan keuntungan untuk membina perumahan rakyat, pengambilalihan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah oleh kerajaan, dan sebagainya);
  4. TIngkatkan perkhidmatan kesihatan awam (penambahan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, penglibatan doktor pengamal am dalam pencegahan penyakit kronik, pembiayaan peralatan pembedahan oleh kerajaan, pembendungan penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke hospital swasta, dan sebagainya);
  5. Tangani krisis iklim segera (penggunaan 100% tenaga boleh diperbaharui, pengawalan pencemaran daripada industri petroleum, peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam, dan moratorium terhadap pembalakan dan perlombongan di kawasan hutan primer).

Dapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang Kempen Pemulihan Negara PSM di sini.

One thought on ““Buang masa dan sekat hak kebebasan berhimpun”: Aktivis PSM disiasat polis kerana aksi tuntut dasar pro-marhaen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *