oleh Bawani KS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) di negeri Perak sudah begitu lama memperjuangkan hak rakyat biasa di negeri ini. Namun segala usaha PSM tidak diambil berat oleh Kerajaan Negeri Perak. Sebagai parti politik alternatif berjiwa rakyat yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, PSM Perak baru-baru ini telah membuat keputusan untuk berjumpa rakyat secara konsisten di Pejabat Negeri Perak bagi mendesak perubahan polisi dalam isu asas seperti tanah, kesihatan, perumahan, jaminan kerja dan alam sekitar. Ia juga berlandaskan kepada Kempen Pemulihan Nasional Parti Sosialis Malaysia yang bertemakan #RakyatMintaLima:

1) Tanah – Kini krisis makanan negara berada di ambang bahaya dan lebih 1,000 orang pengeluar makanan tempatan di negeri Perak dari sekitar 15 buah kawasan di Daerah Kampar, Kinta, Batu Gajah dan Batang Padang sedang dihalau keluar dari tanah pertanian mereka. Menteri Besar selaku ketua pentadbir tanah negeri telah gagal melindungi para petani dan penternak tempatan. PSM Perak mendesak pindaan dalam undang-undang tanah negara dan kembalikan polisi Buku Hijau Tun Razak demi mendaulatkan jaminan sekuriti makanan negara.

2) Rumah – Harga rumah melambung tinggi, dan sangat kurang rumah kos rendah dan PPR di negeri Perak. Dalam tempoh 20 tahun ini, tidak ada rumah kos rendah di bawah harga RM50 ribu sedangkan peratusan rakyat Perak yang berupah gaji minimum setiap bulan adalah lebih tinggi. Terlalu banyak rumah berharga RM200-400 ribu di pasaran yang tidak mampu dimiliki oleh golongan muda dan B40. Malah, peneroka bandar dan pekerja ladang juga tidak tertinggal daripada pengusiran paksa. Kerajaan negeri harus mengkaji semula polisi perumahan dengan membina lebih banyak rumah kos rendah mampu milik untuk golongan B40.

3) Kesihatan – Pandemik COVID-19 telah memberi kesedaran kepada seluruh rakyat di dunia tentang pentingnya perkhidmatan kesihatan awam. Di negeri Perak, hospital kerajaan masih menghadapi kekurangan kemudahan, peralatan perubatan dan doktor pakar. Ini menyukarkan rakyat Perak untuk mendapat perkidmatan yang baik di Hospital kerajaan. PSM Perak mahu kerajaan memperkasakan perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan di negeri Perak.

4) Alam Sekitar – Di Perak, pembalakan hutan yang tidak terkawal menyebabkan pemusnahan bukit-bukit dan perkambungan orang asal. Isu panas sekarang juga ialah perlombongan nadir bumi yang dikhabarkan akan dihidupkan semula di Hulu Perak bermula bulan Ogos 2022. Ini merupakan satu ancaman besar kepada ribuan rakyat dan alam sekitar di negeri Perak. Kita tidak mahu peristiwa Bukit Merah kembali lagi. PSM Perak akan mendesak kerajaan negeri supaya mengambil serius isu krisis iklim dengan menghentikan pembalakan dan pemusnahan alam di negeri Perak.

5) Jaminan kerja – Walaupun gaji minimum RM1,500 telah dilaksanakan di seluruh negara, tetapi ramai pekerja, termasuk pekerja pembersihan dan keselamatan di sekolah dan hospital kerajaan di negeri Perak, masih tidak dibayar gaji minimum RM1,500. Lebih parah lagi adalah banyak majikan masih menindas pekerja dengan sistem kerja kontrak untuk mengelak daripada tanggungjawab. Tambahan pula, ramai anak muda dari Perak kini bekerja di Singapura, Johor, Selangor, Kuala Lumpur and Pulau Pinang kerana kurang jaminan kerja dan gaji yang masih rendah di Perak. Kerajaan negeri harus meningkatkan peluang pekerjaan dengan jaminan kerja yang stabil kepada golongan pekerja di Perak.

Kepimpinan PSM Perak juga memandang serius isu kestabilan politik negeri dan juga negara. Sejak beberapa tahun lalu, keadaan politik negeri Perak yang tidak stabil juga menjadi satu faktor utama ketidaksabilan politik negara. Keadaan ini mengetepikan dan memadamkan demokrasi rakyat Perak serta mengecewakan harapan rakyat.

PSM Perak bertekad bersama rakyat untuk membawa suara rakyat Perak supaya didengar di Dewan Undangan Negeri. Pusat Khidmat PSM Perak “JUMPA RAKYAT” akan beroperasi setiap ISNIN dan JUMAAT pukul 7.00 malam hingga 9.00 malam di alamat 1A, Medan Istana 3, Bandar Ipoh Raya 30000 Ipoh, Perak.

Rakyat Perak boleh berjumpa terus dengan kepimpinan Pusat dan Negeri PSM di Pusat Khidmat “JUMPA RAKYAT”. PSM berharap rakyat Perak akan memberi mandat kepada PSM Negeri Perak untuk menjadi parti politik yang membawa suara rakyat Perak untuk satu perubahan yang tulen di negeri Perak.

Sekian, PSM bersama rakyat Perak.

==========

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *