(foto: Alexander Ermochenko / Reuters)

Rusia melancarkan serangan ketenteraan ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022, berikutan peningkatan konflik yang gagal diselesaikan oleh kuasa-kuasa besar yang berdegil untuk melindungi kepentingan geopolitik masing-masing. Negara Ukraine yang sudah pun berpecah kerana persaingan kuasa imperialis, sekarang ini terus terjerumus dalam krisis kemusnahan perang.

Vladimir Putin, Presiden Rusia, telah mengumumkan bahawa Rusia sedang melancarkan satu operasi ketenteraan dengan alasan untuk “mempertahankan” rakyat yang tinggal di Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk yang baru diiktiraf secara rasmi oleh Rusia beberapa hari yang lalu.

Serangan ketenteraan oleh Rusia ke atas Ukraine ini berlaku selepas suasana tegang di rantau Eropah Timur yang sudah berlarutan berbulan-bulan lamanya, yang disebabkan oleh pengerahan tentera Rusia ke sempadan Ukraine, penambahan penempatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah Timur, dan insiden pertempuran yang semakin sengit di wilayah Donbas yang terletak di Bahagian Timur Ukraine.

Pada 21 Februari 2022, kerajaan Rusia mengiktiraf secara rasminya Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk, dua buah entiti politik di wilayah Donbas yang dikuasai oleh kumpulan pemisah yang pro-Rusia. Rusia telah menyokong kumpulan pemisah di wilayah Donbas sejak tahun 2014 tetapi tidak mengiktiraf dua republik yang ditubuhkan oleh kumpulan pemisah di situ sehingga baru-baru ini. Rusia juga menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan dengan kedua-dua republik ini. Pada hari yang sama dengan pengiktirafan dua buah republik di Donbas, Putin mengarahkan tentera Rusia untuk dikerahkan ke dalam wilayah Donbas untuk “misi menjaga keamanan”. Tindakan pengiktirafan dua buah republik di Donbas yang berpisah dari Ukraine dan pengerahan tentera Rusia ke dalam wilayah Ukraine, berlaku pada ketika konflik bersenjata di wilayah tersebut semakin meningkat pada bulan Februari 2022.

Putin mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin kedua-dua Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk telah meminta pada Rusia untuk membantu dalam “menangkis serangan” daripada tentera Ukraine, maka dia mengarahkan satu operasi ketenteraan khas. Putin juga mengatakan bahawa kerajaan Rusia hendak “menyahtenterakan” dan “menyah-Nazi-kan” Ukraine. Walau apapun alasan yang diberikan, serangan ketenteraan ke dalam wilayah yang dikuasai oleh kerajaan Ukraine, sudah pastinya merupakan satu tindakan mencetuskan perang yang bakal meragut lebih banyak lagi nyawa.

Putin sedang berjudi besar

Serangan “mengejut” oleh Rusia ke atas Ukraine dalam suasana ketegangan yang telah diwujudkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, merupakan sesuatu yang tidak masuk akal untuk kebanyakan orang. Memang kerajaan Rusia pimpinan Vladimir Putin yang semakin autokratik itu sudah menyatakan tuntutannya bahawa NATO harus memberi jaminan untuk tidak membenarkan Ukraine menyertai pakatan ketenteraan yang ditubuhkan dengan tujuan menyekat Rusia (sebelum ini Kesatuan Soviet) itu dan mengurangkan penempatan tentera NATO di rantau Eropah Timur. Namun, NATO yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS), bukan sahaja menolak sepenuhnya tuntutan tersebut, malah telah bertindak balas dengan lebih banyak provokasi lagi untuk mengundang krisis perang.

Tindakan kerajaan Rusia untuk melancarkan serangan ke atas Ukraine ini merupakan satu perjudian yang besar dan berbahaya untuk rejim Putin yang semakin autokratik itu. Pengerahan tentera Rusia ke dalam wilayah yang dikuasai oleh Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk mungkin boleh dijustifikasi, kerana Rusia telah mengiktiraf status mereka secara rasminya (walaupun Rusia tidak berbuat demikian untuk selama 8 tahun yang lalu). Dari segi undang-undang antarabangsa, wilayah yang diduduki oleh kedua-dua buah republik rakyat di Donbas itu adalah di bawah bidang kuasa Ukraine; tetapi secara de factonya, wilayah berkenaan telah dikuasai oleh kumpulan pemisah yang pro-Rusia. Walaupun pengerahan tentera Rusia ke dalam wilayah Donbas adalah berdasarkan alasan untuk “mempertahankan” rakyat di situ adalah sesuatu yang masih masuk akal, tetapi serangan ketenteraan ke atas Ukraine, jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan satu tindakan pencerobohan ke atas sebuah negara yang berdaulat.

Kemungkinan besar strategi Rusia ialah menggunakan tindakan ofensif untuk “meneutralkan” ancaman terhadap dua buah republik rakyat di Donbas dalam masa yang singkat dan menunjukkan kesungguhan Rusia untuk mempertahankan kepentingan geopolitiknya; tetapi dengan melancarkan operasi ketenteraan yang besar-besaran ini, sudah pasti akan mengundang kemusnahan yang hebat, termasuk kehilangan nyawa orang awam. Walaupun Putin berkata bahawa Rusia “tiada rancangan untuk menduduki Ukraine”, tetapi satu-satu caranya yang berkesan untuk Rusia “meneutralkan ancaman” daripada Ukraine, adalah perubahan rejim di Kyiv, sesuatu yang jelas mencabuli hak rakyat Ukraine untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Perang hanya api-apikan sentimen pelampau kanan

Peperangan bukan sahaja membawa kemusnahan dan kehilangan nyawa manusia yang dahsyat, malah ia akan memperkukuhkan fahaman nasionalisme autoritarian yang diamalkan di Rusia dan Ukraine. Walaupun Putin berkata bahawa dia hendak “menyah-Nazi-kan” Ukraine (di mana golongan pelampau kanan, termasuk yang berfahaman neo-Nazi, memang semakin berpengaruh di Ukraine), tetapi tindakan pencerobohan ke atas Ukraine sudah pasti akan membekalkan lebih banyak bahan api kepada penyemarakan sentimen nasionalis Ukraine yang hanya akan menguatkan lagi pengaruh golongan pelampau kanan di situ.

Ruang demokrasi di kedua-dua negara Rusia dan Ukraine sudah pun mengecut dengan hebatnya beberapa tahun kebelakangan ini. Konflik peperangan hanya akan menyekat lebih lanjut lagi ruang demokrasi rakyat di kedua-dua negara ini, malah di negara-negara Eropah yang lain, untuk melindugi kepentingan golongan oligarki kapitalis di negara masing-masing.

NATO juga pencetus perang

Dengan operasi pencerobohan tentera ke atas Ukraine telah dimulakan, kerajaan Rusia harus dipertanggungjawabkan terhadap segala kemusnahan dan kehilangan nyawa akibat daripada konflik perang terbaru yang dicetusnya. Namun, AS dan sekutunya dalam NATO itu juga bukannya malaikat yang suci pada ketika berlakunya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. AS dan NATO turut memainkan peranan penting dalam mengapi-apikan konflik ini.

NATO yang sepatutnya dibubarkan selepas pembubaran Pakatan Warsaw pada penghujung Perang Dingin pada abad ke-20, telah memungkiri janjinya untuk tidak memperluaskan pengaruhnya ke Eropah Timur, dengan terus mengembangkan keanggotaannya dan memperluaskan capaiannya ke Eropah Timur. Ini sesuatu yang menimbulkan kegusaran pemerintah Rusia yang duduk di Kremlin, Moscow. Ini juga merupakan latar belakang yang penting kepada konflik di Ukraine hari ini. Selain membekalkan persenjataan yang berbilion dolar untuk memburukkan konflik bersenjata di Ukraine selama beberapa tahun yang lalu, AS juga memberi latihan ketenteraan, termasuk kepada Pasukan Operasi Khas Azov yang ditubuhkan oleh golongan pelampau kanan neo-Nazi Ukraine.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga mungkin akan menyebabkan rakyat Eropah Timur khususnya semakin cenderung menganggap NATO sebagai penjamin keselamatan mereka, sesuatu yang akan memperkuatkan lagi otot imperialis AS di rantau Eropah Timur. Ini bukan sahaya tidak akan menjamin apa-apa keselamatan dan kedamaian di Eropah Timur untuk jangka masa panjang, sebaliknya memburukkan lagi konflik-konflik yang sudah atau bakal berlaku di situ.

Kita tidak perlukan satu lagi perang

Perkembangan konflik di Ukraine terbaru ini akan membawa implikasi yang besar bukan sahaja kepada rantau Eropah, malah kepada pergolakan dunia. Ia merupakan kemuncak baharu persaingan antara kuasa imperialis untuk kepentingan geopolitik masing-masing. Konflik perang hanya akan mengalihkan perhatian masyarakat dunia daripada permasalahan asas yang sedang membelenggu rakyat bawahan dan ketidakadilan sosial yang semakin teruk.

Pada ketika dunia sedang diancam krisis iklim dan krisis sosio-ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat biasa, perkara yang paling tidak diperlukan oleh umat manusia pada masa kini adalah nyawa manusia dan sumber dunia kita dibazirkan begitu sahaja dalam satu lagi peperangan!

Konflik di Eropah Timur hanya boleh diselesaikan melalui rundingan bersama yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati, bukannya melalui ancaman serang-menyerang menggunakan keganasan perang. Oleh itu, kita harus menolak perang di Ukraine. Kita harus membantah serangan tentera Rusia ke atas Ukraine. Kita harus membantah campurtangan kuasa imperialis AS yang memburukkan lagi konflik serantau. Rakyat Ukraine berhak menikmati hak kebebasan mereka untuk menentukan nasib sendiri, begitu juga dengan rakyat di wilayah Donbas.

8 thoughts on “Rusia serang Ukraine: Persaingan kuasa imperialis memuncak di Eropah Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *