PUTRAJAYA – 5 APRIL 2022: Wakil daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan organisasi-organisasi masyarakat yang bimbang tentang kesan peperangan di Ukraine terhadap bekalan dan kos makanan di Malaysia, telah mengunjungi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada hari ini untuk menyerahkan satu memorandum yang mengandungi cadangan-cadangan kepada Kerajaan Malaysia untuk menangani krisis makanan yang bakal mengancam rakyat Malaysia.

Memorandum yang ditujukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ini, merupakan inisiatif PSM, dan telah mendapat sokongan daripada 37 buah organisasi yang lain, termasuk Aliran, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Gabungan Petani Perak, Health Equity Initiatives, Parti Murba, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan sebagainya.

Antara wakil organisasi yang hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari PSM, Gandipan Nantha Gopalan selaku Setiausaha Pemuda Sosialis PSM, Benz Ali daripada Parti Murba, Anizan Isahak daripada Persatuan Agroekologi Malaysia untuk Peningkatan Sumber Daya Lestari (SRI-MAS) dan Muhammad Sha’ani Abdullah daripada Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia).

Kerisauan tentang krisis makanan global timbul berikutan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine sejak bulan Februari 2022, kerana negara Rusia dan Ukraine mengeluarkan lebih kurang 30% daripada jumlah gandum di dunia, lebih kurang 19% daripada jumlah jagung di dunia, 32% daripada barli (satu sumber penting kepada makanan ternakan haiwan) dan 75% minyak bunga matahari (sejenis minyak masak yang penting di banyak negara). Selain itu, Rusia merupakan pembekal baja dan gas asli (salah satu komponen penting dalam pengeluaran baja) yang terbesar di dunia, menyumbangkan kepada 15% perdagangan baja nitrogen, 17% baja potash dan 20% gas asli di dunia.

Peperangan yang sedang berlaku di Ukraine kini turut mewujudkan ancaman kekurangan makanan di peringkat global. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganggarkan bahawa sebanyak 30% tanah pertanian di Ukraine boleh menjadi zon perang. Sementara itu, sekatan ekonomi yang dikenakan oleh banyak negara ke atas Rusia, telah menghalang dengan teruknya pengeksportan makanan, baja dan bahan api dari negara itu. Ini menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan asas tersebut di peringkat dunia. Sejak peperangan tercetus di Ukraine, harga gandum telah meningkat sebanyak 21%, manakala harga barli meningkat sebanyak 33%, dan harga sesetengah baja meningkat sebanyak 40%.

Walaupun Malaysia bukannya mengimport gandum, baja dan bahan api secara langsung dari Rusia, tetapi akan tetap terjejas kerana kenaikan harga makanan, baja dan bahan api ini merupakan kesan rantaian daripada peperangan di Ukraine yang melanda seluruh dunia. “Pengurangan dalam eksport gandum dan jagung dari Rusia dan Ukraine akan meningkatkan harga bukan sahaja kedua-dua bijirin tersebut tetapi harga beras juga. Besar kemungkinannya rakyat di merata tempat akan beralih dari gandum ke beras apabila harga gandum melambung naik,” begitu katanya memorandum daripada organisasi-organisasi yang prihatin dengan krisis makanan ini.

Memorandum yang disokong oleh 38 buah organisasi ini mengemukakan 8 cadangan untuk menangani krisis makanan yang bakal melanda negara kita. Cadangan-cadangan tersebut termasuk: peningkatan penanaman pelbagai jenis ubi oleh petani kecil untuk menggantikan bijirin sebagai sumber bahan karbohidrat; peningkatan penanaman jagung; menghentikan pengusiran terhadap petani yang sedang menanam makanan; menukarkan guna tanah daripada penanaman kelapa sawit dan getah kepada penanaman sumber makanan; memajak tanah kosong milikan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau pihak swasta kepada petani-petani yang mengusahakan pengeluaran makanan; dan sebagainya. (Baca memorandum penuh yang mengandungi syor 8 langkah untuk mengatasi krisis makanan di sini.)

Anizan Isahak daripada SRI-MAS berkata, “Kami daripada SRI-MAS telah mengetengahkan tiga perkara, iaitu pertanian bersepadu untuk petani kecil, peranan wanita dalam pertanian harus ditingkatkan, dan meminta Kementerian Pertanian untuk memberi perhatian kepada usaha mengurangkan penggunaan kimia dalam pertanian.”

Muhammad Sha’ani Abdullah daripada SUSDEN Malaysia berkata, “Kami berharap dasar-dasar yang menyokong petani-petani kecil dirangka supaya keperluan petani-petani untuk meningkatkan daya pengeluaran makanan negara dapat ditingkatkan. Kita harus ambil panduan dari negara-negara lain yang berjaya menjadi pengeluar makanan melalui pengeluaran petani kecil seperti China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.”

Dr. Jeyakumar Devaraj berkata semasa penyerahan memorandum, “Kami telah meminta kepada Sekretariat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk menganjurkan satu diskusi antara kumpulan-kumpulan yang menyokong memorandum ini dengan pihak Kementerian Pertanian bagi membincangkan kesemua 8 idea yang dikemukakan dalam memorandum ini. Ini ialah satu usaha yang akan berterusan. Kami berpandangan bahawa ini merupakan sesuatu yang penting. Harga makanan akan naik. Kerajaan harus melakukan sesuatu sebelum itu berlaku.”

3 thoughts on “38 organisasi gesa kerajaan ambil tindakan hadapi krisis makanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *