KUALA LUMPUR: Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan satu aksi protes di hadapan Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur pada 2 Mac 2022 untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan kerajaan Rusia yang melancarkan serangan ketenteraan ke atas Ukraine baru-baru ini. Peserta aksi protes ini telah menyalakan lilin dan berkabung untuk mangsa perang yang terkorban.

PSM mengecam tindakan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine, kerana ia tidak boleh diterima sekali walaupun wujudnya provokasi daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang berdegil untuk terus mengembangkan pengaruhnya. Perang di Ukraine ini sedang membawa kemusnahan kepada nyawa, ekonomi dan alam sekitar di Eropah Timur, malah turut mengancam keamanan di peringkat dunia.

Oleh itu, PSM telah mengemukakan seruan berikut:

  • Pengunduran segera semua tentera Rusia dari Ukraine;
  • Kembali kepada diplomasi untuk menyelesaikan konflik ini dengan cara yang aman dan saling hormat-menghormati;
  • Hormati hak rakyat Ukraine untuk menentukan nasib sendiri secara demokratik, begitu juga bagi rakyat yang tinggal di wilayah Donbas;
  • NATO harus menghentikan pengembangannya ke timur.

Kerajaan Rusia di bawah kepimpinan Presiden Vladimir Putin telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Ukraine sejak 24 Februari 2022. Pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine berlaku berikutan suasana ketegangan yang semakin memuncak di rantau Eropah Timur beberapa bulan kebelakangan ini, berkisar pada persoalan konflik di wilayah Donbas yang belum selesai dan perluasan NATO ke rantau Eropah Timur. Setakat ini, sekurang-kurangnya ratusan orang telah terbunuh dalam konflik terbaru ini, dan ratusan ribu orang menjadi pelarian yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. Dalam sesi khas kecemasan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, sebanyak 141 buah negara anggota PBB (termasuk Malaysia) mengundi untuk menyokong Resolusi Perhimpunan Agung PBB ES-11/1 yang mengecam tindakan pencerobohan ke atas Ukraine; 5 buah negara anggota PBB sahaja (iaitu Rusia, Belarus, Eritrea, Korea Utara dan Syria) mengundi untuk menolak usul tersebut; sementara 34 buah lagi negara anggota PBB mengundi untuk berkecuali.

Organisasi-organisasi kiri di seluruh dunia turut menyatakan bantahan mereka terhadap perang di Ukraine, termasuk parti-parti kiri di rantau Asia. Gelombang protes anti-perang juga tercetus di negara Rusia. Satu gabungan yang terdiri daripada golongan sosialis di Rusia telah dibentuk. Dalam Manifesto Gabungan Sosialis Menentang Perang, golongan sosialis Rusia menyatakan bahawa perang ini akan menukarkan Ukraine menjadi runtuhan batu dan Rusia menjadi penjara. “Perang menghasilkan pemerintahan diktator yang tidak pernah dilihat dalam generasi yang masih hidup.” Manifesto tersebut juga menyatakan bahawa perang ini melipatgandakan semua risiko dan ancaman kepada negara Rusia. “Dengan pencerobohannya, Putin telah membatalkan semua jenayah golongan nasionalis Ukraine, semua tipu helah golongan agresif Amerika Syarikat dan NATO. Putin telah memberikan mereka justifikasi untuk meletakkan peluru berpandu dan pangkalan tentera baharu di sepanjang sempadan negara Rusia.”

Manifesto Gabungan Sosialis Menentang Perang dari Rusia ini juga menyatakan bahawa “berjuang untuk keamanan ialah tugasan patriotik untuk setiap warga Rusia”. “Bukan hanya kerana kita (warga Rusia) merupakan penjaga memori perang yang paling teruk dalam sejarah, tetapi juga kerana perang ini mengancam integriti dan kewujudan Rusia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *