ISKANDAR PUTERI, JOHOR – 26 FEBRUARI 2022: Calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Arangkannal Rajoo (atau lebih dikenali sebagai Ara), akan berdepan dengan pertandingan 5-penjuru di kawasan N49 Kota Iskandar. Ini merupakan kali pertama PSM bertanding di Johor.

Hari ini ialah hari penamaan calon PRN Johor. Selepas tamatnya tempoh penamaan calon, disahkan bahawa sebanyak 239 orang calon bertanding untuk 56 kerusi DUN. Semua kerusi menyaksikan pertandingan yang sekurang-kurangnya melibatkan 3-penjuru, dengan 35 kerusi menyaksikan pertandingan 4-penjuru, manakala 2 kerusi (N40 Tiram dan N47 Kempas) menyaksikan pertandingan 7-penjuru.

PRN Johor yang diadakan untuk pertama kali secara berasingan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ini, akan memperlihatkan pertembungan sengit antara tiga gabungan politik utama selepas pertembungan 3-penjuru yang lebih kurang sama dalam PRN Melaka pada bulan November 2021. Tiga gabungan politik utama ini ialah:

  • Barisan Nasional (BN) bertanding untuk kesemua 56 kerusi;
  • Perikatan Nasional (PN) bertanding untuk kesemua 56 kerusi;
  • Pakatan Harapan (PH), di mana DAP dan AMANAH bertanding dengan logo PH untuk 30 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding dengan logo sendiri untuk 20 kerusi, di samping wujudnya kerjasama antara PH dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding untuk 7 kerusi tetapi bertindih satu kerusi (N44 Larkin) dengan PKR.

Selain itu, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir Mohamad bertanding untuk 42 kerusi. Parti politik lain yang bertanding dalam PRN Johor ialah Parti Warisan yang bertanding 6 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang bertanding 4 kerusi, dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing bertanding 1 kerusi. Terdapat 16 orang calon bertanding sebagai calon bebas.

PSM telah meletakkan Arangkannal Rajoo sebagai calon tunggalnya dalam PRN Johor di kawasan DUN N49 Kota Iskandar. Ara akan berdepan dengan calon-calon daripada BN, PN, PH dan PEJUANG. 5 orang calon bagi kawasan DUN Kota Iskandar ialah:

  1. Pandak bin Ahmad (BN-UMNO)
  2. Samsudin bin Ismail (PN-BERSATU)
  3. Dr. Hj. Zaini bin Hj. Abu Bakar (PEJUANG)
  4. Hj Dzulkefly bin Ahmad (PH-AMANAH) – penyandang kerusi
  5. Ara (PSM)

Calon PSM, Ara, ialah calon yang bernombor 5 di atas kertas undi untuk kerusi DUN Kota Iskandar. Ara ialah calon pertama dalam PRN Johor yang mengisytiharkan hartanya kepada pengetahuan umum, semasa sidang akhbar pengumuman calon PSM pada 21 Februari 2022. Ara juga berikrar bahawa beliau tidak akan memainkan politik perkauman semasa berkempen untuk meraih undi dalam PRN Johor.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 116,415 orang pengundi berdaftar yang layak mengundi di kawasan DUN N49 Kota Iskandar.

PRN Johor 2022 diadakan selepas DUN Johor dibubarkan secara mengejut pada 22 Januari 2022. Hari mengundi PRN Johor jatuh pada 12 Mac 2022. Sebanyak 2,597,742 orang pengundi berdaftar layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini.

One thought on “PSM lawan 5-penjuru di Kota Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published.