(foto: Kay Nietfeld / Getty Images)

Suasana di Eropah Timur menjadi semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, seolah-olah peperangan besar boleh tercetus bila-bila masa antara kuasa besar seperti Rusia dan Amerika Syarikat (AS). Rusia telah mengerahkan tenteranya dalam jumlah yang besar di kawasan berhampiran dengan Ukraine sejak bulan Mac dan April 2021, begitu juga dengan Ukraine yang meningkatkan mobilisasi tenteranya ke wilayah Donbas untuk berkonfrontasi dengan kumpulan pemisah bersenjata yang pro-Rusia di situ. Situasi menjadi genting lagi pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022, apabila Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diterajui oleh AS menempatkan tentera di Estonia, Lithuania, Latvia dan Poland dengan alasan merespon kepada peningkatan pengerahan tentera Rusia di sempadan Ukraine.

Pada bulan Disember 2021, kerajaan Rusia telah mengemukakan tuntutan bahawa NATO harus memberi jaminan yang termasuk tidak membenarkan Ukraine untuk menyertai NATO dan mengurangkan penempatan tentera serta peralatan ketenteraan NATO di rantau Eropah Timur, sebagai syarat untuk mengundurkan tentera Rusia dari kawasan berhampiran sempadan Ukraine. Namun, tuntutan Rusia tersebut ditolak oleh AS dan negara anggota NATO yang lain. Kerajaan AS cuba memanipulasi pendapat umum bahawa Rusia akan menceroboh Ukraine dalam masa terdekat untuk menjustifikasi peningkatan pengerahan tentera NATO ke Eropah Timur. Ini merupakan satu permainan geopolitik yang berbahaya.

Pemungkiran janji AS cetuskan krisis di Eropah Timur

Krisis keselamatan serantau di Eropah Timur pada masa kini berpunca daripada kegagalan kerajaan AS dalam berpegang pada janjinya kepada Mikhail Gorbachev (Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet pada tahun 1985-1991) ketika pembubaran Kesatuan Soviet pada awal tahun 1990-an, yang menyatakan bahawa NATO tidak akan memperluaskan pengaruhnya ke timur lagi. James Baker, Setiausaha Negara AS pada masa itu, berkata bahawa NATO tidak akan bergerak satu inci pun ke timur. Namun, selepas Kesatuan Soviet yang terdiri daripada 15 buah republik dibubarkan dan pemerintahan Parti Komunis ditamatkan di Rusia, NATO telah mengembangkan keanggotaannya dengan memasukkan negara-negara Eropah Timur dan Eropah Tenggara yang merupakan bekas negara anggota Kesatuan Soviet (seperti Estonia, Latvia dan Lithuania) dan bekas negara satelit Kesatuan Soviet (Hungary, Poland, Republik Czech, Romania dan Bulgaria) ke dalam pakatan ketenteraan kuasa imperialis Barat itu.

NATO ialah sebuah pakatan ketenteraan yang ditubuhkan pada tahun 1949 apabila timbulnya Perang Dingin yang melibatkan pertembungan kuasa antara AS dengan Kesatuan Soviet. Sejak penubuhannya, NATO telah diterajui oleh AS sebagai alat untuk mengekang perluasan pengaruh kuasa Kesatuan Soviet yang merupakan pesaing utama kepada kekuasaan imperialis AS pasca Perang Dunia II. Namun, NATO yang diwujudkan untuk menghadapi “ancaman Kesatuan Soviet” itu tidak dibubarkan berikutan pembubaran Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw, sebaliknya terus digunakan untuk meneruskan fungsinya yang melindungi kepentingan imperialis AS, termasuk penglibatan dalam Perang Bosnia, Perang Kosovo, Perang Afghanistan, Perang Saudara Libya, Perang Saudara Syria dan sebagainya. NATO terus dijadikan platform kerjasama ketenteraan yang diterajui oleh AS untuk menentang Rusia.

AS sudah pun menempatkan secara tetap 70,000 orang anggota tentera di Eropah, dan sekarang ini sedang merancang untuk menggunakan krisis perang di Ukraine untuk mengerahkan ribuan orang anggota tentera tambahan ke negara-negara Eropah Timur dengan lebih lebih banyak kelengkapan persenjataan untuk melancarkan peperangan. NATO sekarang ini sedang meningkatkan pengerahan tentera di negara-negara yang berhampiran dengan Rusia, seperti Poland dan Romania; sementara AS pula berdegil untuk menegaskan pendiriannya untuk memasukkan Ukraine ke dalam NATO. Dengan seluruh sempadan barat Rusia dipenuhi dengan tentera dan kelengkapan perang yang anti-Rusia, sudah pastinya kerajaan Rusia melihat ini sebagai ancaman kepada kewujudannya.

Hubungan kompleks antara Rusia dan Ukraine

Negara Ukraine mempunyai hubungan sejarah yang berpanjangan dengan Rusia. Negara “Rus Kiev” yang beribu kota di Kyiv (iaitu ibu negara Ukraine pada hari ini) pada kurun ke-9 hingga kurun ke-13, merupakan tempat kelahiran kebudayaan kebangsaan Slav Timur dan asas kebudayaan kepada tiga buah negara bangsa moden yang dibentuk oleh masyarakat Slav Timur – Rusia, Ukraine dan Belarus.

Selepas pembentukan Komanwel Poland-Lithuania pada tahun 1659, Ukraine diletakkan di bawah pemerintahan kerajaan Poland. Semasa Pembahagian Poland oleh kuasa besar Eropah pada abad ke-18, wilayah timur Ukraine dikuasai oleh Empayar Rusia, sementara wilayah barat Ukraine dikuasai oleh Austria. Republik Sosialis Soviet Ukraine yang ditubuhkan berikutan Bolshevik menewaskan Republik Rakyat Ukraine dalam Perang Soviet-Ukraine (1917-1921), merupakan salah satu daripada empat buah republik soviet yang mengasaskan Kesatuan Soviet pada tahun 1922. Peristiwa kebuluran hebat pada tahun 1932-1933 yang dikenali sebagai “Holodomor” di Ukraine semasa pemerintahan Joseph Stalin, telah meninggalkan bayangan yang negatif terhadap pemerintahan Kesatuan Soviet dalam minda masyarakat Ukraine. Ukraine merupakan pusat perindustrian senjata dan penyelidikan teknologi canggih di Kesatuan Soviet selepas Perang Dunia II.

Apabila Ukraine mencapai kemerdekaan kerana pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991, tidak wujudnya permusuhan antara kerajaan Ukraine dengan kerajaan Rusia pada masa itu. Sebaliknya, kerajaan Ukraine bersetuju untuk memajak pangkalan tentera laut di Sevastopol, Krimea, kepada Rusia untuk terus menempatkan Armada Laut Hitam Tentera Laut Rusia. Pangkalan tentera laut tersebut membolehkan Rusia mengakses kawasan perairan di rantau Laut Mediterranean di selatan Eropah bagi mengekalkan kepentingan geopolitiknya. Krimea pada asalnya merupakan sebahagian daripada Republik Sosialis Soviet Rusia semasa pembentukan Kesatuan Soviet pada tahun 1922, tetapi dipindahkan pentadbirannya kepada Ukraine pada tahun 1954 semasa Nikita Khrushchev menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet.

Pada ketika pembubaran Kesatuan Soviet, negara Ukraine yang merdeka diduduki oleh lebih kurang 50% penduduk beretnik Ukraine dan 50% lagi penduduk beretnik Rusia. Kedua-dua Bahasa Ukraine dan Bahasa Rusia merupakan bahasa rasmi negara Ukraine pada masa itu. Warga beretnik Ukraine mendominasi bahagian barat Ukraine, sementara warga beretnik Rusia kebanyakannya tinggal di bahagian timur Ukraine.

Selepas pembubaran Kesatuan Soviet, kedua-dua negara Rusia dan Ukraine telah memulihkan ekonomi kapitalisme pasaran bebas. Akibatnya adalah ekonomi dan politik di dalam kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet ini semakin dikuasai oleh golongan oligarki yang merupakan kapitalis sangat kaya. Politik Ukraine menjadi huru-hara dengan sering timbulnya dakwaan penipuan dalam pilihanraya umum yang menentukan oligarki yang mana satu patut jadi Presiden.

(foto: Alexander Avilov / Moskva News Agency)

Konflik Rusia-Ukraine yang terbaru

Viktor Yanukovych, seorang ahli politik yang berbahasa Rusia dari bahagian timur Ukraine, telah dipilih sebagai Presiden Ukraine pada tahun 2010 dalam satu pilihanraya yang keputusannya dicabar oleh pihak yang kalah. Pada tahun 2013, Yanukovych yang pada awalnya hendak menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi memulihkan ekonominya yang berada dalam krisis pada masa itu, tetapi membatalkan rancangan tersebut selepas Rusia menawarkan perjanjian bantuan kewangan yang lebih menarik dan pengurangan harga gas asli yang dibekalkan kepada Ukraine. Pembatalan rancangan menandatangani perjanjian kerjasama dengan EU itu telah mencetuskan bantahan hebat daripada golongan nasionalis Ukraine yang pro-Barat. Golongan pro-Barat menganjurkan aksi protes di Maidan Nezalezhnosti (Dataran Merdeka) di pusat bandar Kyiv, dengan tuntutan menjatuhkan kerajaan Yanukovych. Rakyat Ukraine daripada pelbagai latar belakang telah turun untuk berprotes, tetapi dipukul secara kejam oleh pasukan keselamatan. Walaupun demonstrasi besar-besaran yang menentang kerajaan Yanukovych mencerminkan kemarahan rakyat Ukraine pada masa itu terhadap kegagalan golongan oligarki seperti Yanukovych dalam menangani masalah masyarakat yang mendalam (seperti kemiskinan, beban kehidupan yang semakin meningkat, penyelewengan kuasa dan keganasan polis), tetapi gelombang protes itu telah didominasi oleh golongan nasionalis yang anti-Rusia. Ini termasuklah golongan nasionalis yang fasis, iaitu mereka yang mengagung-agungkan rakan kerjasama Nazi semasa Perang Dunia II.

Viktor Yanukovych dijatuhkan dalam gelombang protes pada bulan Feruari 2014 dan melarikan diri ke Rusia. Kerajaan baharu Ukraine yang didominasi oleh golongan nasionalis mengumumkan hasratnya untuk menyertai NATO, sesuatu yang menimbulkan kebimbangan Rusia kerana pangkalan tentera lautnya di Laut Hitam akan diambilalih oleh NATO. Ini menyebabkan Rusia bertindak cepat untuk mengilhak Krimea pada bulan Februari-Mac 2014, dan tegas membantah penyertaan Ukraine dalam NATO.

Kerajaan Ukraine yang mengambilalih kuasa selepas kejatuhan Yanukovych juga menggugurkan Bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi dan menyekat hak golongan masyarakat beretnik Rusia. Ini menyebabkan pemberontakan di bahagian timur Ukraine yang dihuni oleh majoriti warga beretnik Rusia. Kumpulan pemisah di bahagian timur Ukraine yang pro-Rusia menubuhkan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Luhansk, di samping melancarkan perang ke atas kerajaan Ukraine. Perang di bahagian timur Ukraine telah meragut nyawa lebih 13,000 orang, termasuk 298 orang yang mati dalam peristiwa penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH-17 yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Dalam konflik antara Ukraine dan Rusia, AS dan sekutunya dalam NATO telah menyokong kerajaan Ukraine dengan membekalkan persenjataan kepada tentera Ukraine, sementara Rusia telah memberi sokongan kepada kumpulan beretnik Rusia. Kumpulan nasionalis pelampau kanan merupakan peneraju tentera Ukraine dalam perang dengan kumpulan pemisah yang pro-Rusia. Konflik bersenjata di wilayah Donbas di bahagian timur Ukraine masih berterusan, tetapi berada dalam keadaan buntu untuk beberapa tahun yang lalu ini.

Volodymyr Zelensky yang dipilih sebagai Presiden Ukraine pada tahun 2019, walaupun mengekalkan pendirian untuk Ukraine menyertai NATO, tetapi dia cuba mengambil langkah yang lebih pragmatik untuk mengekalkan kedamaian dengan Rusia dengan tidak terlalu tergesa-gesa untuk menyertai NATO.

Walaupun kumpulan nasionalis pelampau kanan tidak mendapat banyak sokongan dalam pilihanraya umum Ukraine, tetapi masih mengekalkan kekuatan mobilisasi di jalanan dan memberi tekanan kepada kerajaan untuk terikut-ikut dengan politik nasionalis sempitnya. Negara Ukraine bersama-sama dengan AS, merupakan dua buah negara sahaja yang mengundi “tidak” untuk resolusi mengenai “melawan pengagungan Nazisme, neo-Nazisme dan amalan-amalan lain yang menyumbang kepada penyemarakan bentuk kontemporari rasisme, diskriminasi kaum, xenofobia dan sikap tidak bertolerasi yang berkaitan” dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Disember 2021.

AS semakin agresif

Selepas Joe Biden menjadi Presiden AS pada tahun 2021, dia berkata bahawa “Amerika sudah kembali” (America is back) dan akan memimpin semula dunia. Sejak itu, selain meneruskan pendekatan Perang Dingin Baharu terhadap China, kerajaan AS telah meningkatkan usahanya untuk menyekat Rusia secara ketenteraan, sesuatu yang tidak disenangi oleh pemerintahan Vladimir Putin di Rusia.

Putin pernah mencadangkan pembentukan struktur persekutuan di Ukraine sebagai penyelesaian kepada konflik di bahagian timur Ukraine, sejajar dengan Perjanjian Minsk yang dirundingkan sejak tahun 2014. Di bawah cadangan ini, dua buah Republik Rakyat di wilayah Donbas akan mempunyai kerajaan sendiri dalam kerangka negara Ukraine yang masih bersatu. Namun, cadangan tersebut telah ditolak sepenuhnya oleh golongan nasionalis Ukraine yang berhaluan kanan dan kerajaan AS, kerana mereka mahu menghancurkan sepenuhnya kerajaan yang pro-Rusia di wilayah Donbas.

Pada ketika kerajaan AS sedang mewujudkan Perang Dingin Baharu dengan China di rantau Asia Pasifk dengan pendirian yang semakin agresif, di rantau Eropah pula ia sedang meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Rusia. Kerajaan AS menuduh Rusia bersikap agresif dalam tindakannya mengancam untuk menceroboh Ukraine, tetapi tingkah laku AS terhadap Rusia di Eropah Timur juga tidak kurang tahap keagresifannya.

Presiden Ukraine pun khuatir dengan tindak-tanduk AS

Baru-baru ini, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengeluarkan kenyataan yang menyeru pada kuasa Barat supaya jangan mewujudkan suasana “panik” di negara Ukraine berkenaan ancaman pencerobohan oleh Rusia, kerana amaran demi amaran mengenai ancaman pencerobohan yang “akan berlaku tidak lama lagi” sedang menjejaskan ekonomi Ukraine. “Terdapat isyarat malah daripada pemimpin-pemimpin negara yang dihormati, mereka cuma berkata bahawa akan berlakunya peperangan esok. Ini ialah panik – betapa besar akibatnya untuk negara kita?” kata Zelensky. Ini jelas menunjukkan bukan sahaja kerajaan Rusia tidak senang dengan tindak-tanduk AS, malah kerajaan Ukraine yang disokong AS juga terasa terancam dengan postur yang agresif daripada AS.

NATO bukannya hendak mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah Ukraine, tetapi hanya untuk melindungi kepentingan imperialis AS di rantau Eropah Timur dan menyekat pengaruh geopolitik Rusia.

Memang wujudnya konflik bersenjata di wilayah timur Ukraine di mana salah satu pihak mendapat sokongan daripada Rusia. Namun, tiada sebab yang baik untuk Rusia menceroboh Ukraine dengan operasi ketenteraan besar-besaran pada masa kini, kecuali Ukraine menyertai NATO atau kerajaan Ukraine melancarkan serangan besar-besaran ke atas wilayah Donbas. Kerajaan Putin di Rusia tidak memerlukan satu peperangan di Ukraine selagi kontradiksi masyarakat Rusia tidak menjelma ke dalam krisis politik yang cukup serius dalam menggugat pemerintahan Putin yang semakin autokratik itu. Peperangan ialah pilihan terakhir untuk Rusia mengalihkan perhatian rakyatnya daripada krisis dalam negara. Pemimpin kerajaan Ukraine juga sedar tentang hakikat ini. Kerajaan Ukraine tidak menganggotai NATO lagi walaupun sering kali menyatakan hasratnya untuk menyertai NATO, kerana ia tidak mahu terjerumus dalam peperangan yang lebih teruk lagi. Rakyat Ukraine, sama ada warga beretnik Rusia atau warga beretnik Ukraine, rata-rata juga tidak mahukan perang, kecuali golongan nasionalis pelampau kanan yang hendak menggunakan krisis perang untuk mengembangkan pengaruh politik mereka.

Kerajaan AS yang memperbaharui ancaman perang di Ukraine dengan terus membangkitkan isu Ukraine menyertai NATO dan semakin agresif terhadap Rusia. Kerajaan AS pimpinan Biden tidak mempedulikan keinginan kerajaan Ukraine sekarang untuk mengekalkan kedamaian, dengan meningkatkan usaha menghasut perang di Eropah Timur, kononnya “mempertahankan Ukraine daripada ancaman Rusia”. Oleh itu, siapa ancaman yang lebih serius kepada Ukraine dan Eropah Timur? AS atau Rusia?

Sekutu AS juga tidak senada dengannya

Bukan sahaja negara yang hendak dipertahankan oleh AS itu tidak senang hati dengan AS, malah bukan semua negara anggota NATO yang terikut-ikut dengan rentak AS sepenuhnya. Negara Jerman khususnya tidak menyertai usaha kerajaan AS yang meningkatkan pengerahan tentera ke Poland dan negara-negara Eropah Timur lain yang bersempadan dengan Rusia. Kerajaan Perancis pula cuba mengambil pendekatan talam dua muka, dan menyeru untuk Eropah yang lebih bebas (daripada pengaruh AS). Perdana Menteri Itali, Mario Draghi, mengeluarkan kenyataan pada 1 Februari 2022 selepas mencapai persetujuan dengan Putin, yang mengatakan bahawa harus mencari penyelesaian yang “mampan dan tahan lama” kepada krisis Ukraine dan membina semula “suasana keyakinan bersama”.

Sekarang ini, hanya AS yang giat mengerahkan tentera ke Eropah Timur atas nama NATO dengan sokongan daripada negara-negara Baltik. Kerajaan AS pimpinan Biden nampaknya cuba mempergunakan NATO dan mengapi-apikan krisis Ukraine untuk memaksa sekutunya dalam EU untuk kembali tunduk di bawah arahan AS. Kerajaan AS cuba memaksa Jerman untuk membatalkan projek talian paip gas asli Nord Stream 2 yang menyalurkan gas asli secara langsung dari Rusia ke Jerman, tetapi Jerman enggan berbuat demikian. Salah satu cadangan AS untuk melakukan sekatan terhadap Rusia ialah menghentikan projek Nord Stream 2. Negara Jerman sebagai kuasa besar yang mendominasi Eropah sekarang ini, memang tidak berhasrat menjadi budak suruhan AS dalam permainan perangnya, seperti yang sedang dilakukan oleh kerajaan Britain pimpinan Boris Johnson. Bagi kepentingan kapitalis Jerman, bekalan gas yang murah, eksport kereta ke China dan mengelakkan daripada terjerumus dalam peperangan yang merugikan dengan Rusia adalah lebih penting daripada menjadi pengikut setia AS.  

Dalam krisis Ukraine terkini, AS sedang bermain dengan api dengan terus menghasut perang. Peperangan dengan Rusia di Eropah Timur berkemungkinan akan merebak ke bahagian yang lain di dunia. Satu lagi perang sudah pasti akan menyebabkan kehilangan nyawa manusia yang lebih banyak. Namun, nyawa manusia dan keamanan dunia bukannya keutamaan kuasa imperialis AS.

Kita tidak perlu satu lagi perang imperialis

Ukraine tidak akan menjadi lebih selamat dengan menyertai NATO, sebaliknya mengundang lebih ancaman peperangan. Jadi, kenapa AS begitu ghairah mahu memasukkan Ukraine ke dalam NATO sehingga sanggup mencetuskan perang dengan Rusia? Kita perlu tahu satu fakta penting: Finland, sebuah negara maju Eropah yang bersempadan dengan Rusia dan pernah merupakan jajahan kepada Empayar Rusia pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20, telah memilih untuk tidak menyertai NATO sejak dahulu lagi, tetapi tidak pernah diceroboh oleh Rusia sejak tamatnya Perang Dunia II.

Pada masa kini, sudah mula wujudnya suara yang membantah perang yang cuba dibawa oleh AS ini di dalam negara AS sendiri, begitu juga di negara-negara Eropah seperti Jerman dan Perancis, walaupun masih belum cukup kuat. Rakyat dunia sudah cukup susah berdepan dengan pelbagai krisis yang disebabkan oleh kapitalisme global. Kita tidak perlu lagi satu perang yang dicetuskan oleh kuasa imperialis untuk kepentingan geopolitik mereka.

Kita harus menentang sekeras-kerasnya tindakan AS yang menghasut perang!

One thought on “Penghasut perang No. 1 nak cari gaduh dengan Rusia di Eropah Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *