oleh Rani Rasiah

Hanifa, seorang pemandu lori yang tidak diberi kerja dan gaji untuk 3 bulan telah membuat aduan “dibuang kerja secara terancang” (constructive dismissal) di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di Ipoh, dan berjaya mendapat pembelaan. Satu memorandum persetujuan ditandatangani selepas perundingan damai dengan majikan menawarkan pemulihan kerja, tetapi Hanifa memilih untuk menerima bayaran RM9,000. Hanifa telah diwakili oleh L. Danaletchumi yang merupakan aktivis PSM Kampar semasa rundingan damai di JPP.

Hanifa telah bekerja selama 4 tahun di syarikat pengangkutan TKSC Earthworks di Kawasan Perindustrian IGB Chemor, Perak. Pada bulan Ogos 2020. Hanifa terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia mengalami kecederaan pada tangan kanan dan memerlukan pembedahan dua kali. Dia telah mengambil cuti sakit, kemudian diberi sijil “kerja ringan” (light duty), dan akhirnya disahkan “sihat untuk bekerja” (fit to work) mulai bulan September 2021.

Namun, majikan enggan memberi kerja kepada Hanifa dan telah memberi pelbagai alasan, seperti tidak ada lori jenis 26-tayar yang biasa dibawa oleh Hanifa. Kemudian majikan menawarkan lori kecil 8-tayar yang akan mengakibatkan pendapatannya menurun. Tetapi majikan menipu Hanifa dengan tidak membekalkan lori tersebut. Selepas itu, walaupun ada lori yang sesuai untuk dibawa oleh Hanifa, majikan masih enggan memberi kerja kepadanya. Tidak ada kerja, maka tidak ada gaji, dan Hanifa mengalami kesusahan dalam menanggung kos hidup. Dia rasa tertekan.

Jelaslah bahawa majikan berniat jahat kerana mahukan Hanifa sendiri berhenti kerja atas sebab tidak boleh tahan keadaan tanpa gaji. Mengapa? Ini adalah sebab Hanifa mempersoalkan majikannya sekiranya berlaku ketidakadilan terhadapnya atau pekerja lain. Pada bulan Jun 2020, Hanifa telah mengetuai lebih kurang 45 orang pemandu lori untuk membuat tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja tentang “potongan gaji” yang tidak sah oleh majikan. Selain itu, Hanifa juga telah membuat aduan di PERKESO kerana subsidi Program Subsidi Upah (PSU) diluluskan kepada majikan tetapi tidak dibayar kepada pemandu. Majikan melihat Hanifa sebagai “pembuat kacau” (troublemaker).

Ini keadaan biasa dalam kalangan sebilangan besar syarikat pengangkutan. Ramai pemandu lori yang didendam oleh majikan dengan dinafikan kerja untuk berbulan-bulan. Biasanya lori yang rosak tidak dibaiki untuk tempoh yang lama sehingga pemandu lori yang berkenaan tidak dapat tahan lagi keadaan tanpa sebarang pendapatan. Tetapi kebanyakan mereka dalam keadaan ini tidak sedar bahawa mereka sebenarnya telah dibuang kerja secara terancang, dan berhak untuk menuntut pemulihan kerja.  

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). 

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *