(foto: Chesnot / Getty Images)

Penyandang jawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, bakal bertembung dengan calon pelampau kanan, Marine Le Pen, dalam pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis 2022. Ini seolah-olah ulang tayang pertandingan dalam pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis 2017, tetapi kali ini Macron bukan lagi “muka baharu” yang menawarkan harapan palsu yang segar berikutan 5 tahun pemerintahannya yang penuh dengan pelaksanaan dasar yang ditentang hebat oleh rakyat dan menjadikan peluang untuk Le Pen menang semakin besar. Pengundi Perancis sekali lagi terpaksa berdepan dengan pilihan yang sukar dan sebenarnya tiada pilihan, sama ada terus memilih untuk mengekalkan seorang Presiden yang mengamalkan dasar neoliberal yang membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa, ataupun mengundi seorang politikus pelampau kanan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan hendak memerintah dengan cara yang lebih autoritarian.

Pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Presiden Perancis telah diadakan pada 10 April 2022. Sebanyak 12 orang calon daripada pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam Pilihanraya Presiden Perancis kali ini. Peratusan keluar mengundi ialah 73.69%, lebih rendah berbanding 77.77% pada tahun 2017. Sebanyak 12,824,135 orang pengundi berdaftar tidak keluar mengundi, satu angka yang lebih tinggi daripada jumlah undi yang diperoleh oleh mana-mana calon Presiden.

Emmanuel Macron daripada La République En Marche! (LREM), sebuah parti berhaluan tengah yang berfahaman politik liberal, muncul sebagai calon yang memperolehi undi terbanyak selepas meraih 9,785,578 undi (bersamaan 27.84% undi yang sah); sementara Marine Le Pen daripada parti pelampau kanan, Rassemblement National (RN), menduduki tangga kedua dengan 23.15% undi. Dengan tiada calon memperoleh majoriti undi, iaitu lebih 50% daripada jumlah undi, dalam pengundian pusingan pertama, Macron dan Le Pen akan bertembung dalam pengundian pusingan kedua yang dijadualkan pada 24 April 2022.

Pemerintahan Presiden Macron selama 5 tahun yang lalu ini telah dicabar oleh banyak aksi protes rakyat yang hebat, termasuk gerakan “Jaket Kuning” (Gilets jaunes) yang tercetus pada tahun 2018, mogok pekerja yang tercetus pada penghujung tahun 2019 untuk membantah rancangan “pembaharuan” pencen yang menghakis perlindungan hari tua pekerja, protes menentang rancangan pindaan undang-undang yang menambahkan kuasa polis dan siri mogok pekerja pada tahun 2021. Sokongan masyarakat umum kepada Macron merosot dengan teruknya dan berada pada paras paling rendah semasa kemuncak gerakan Jaket Kuning. Golongan pelampau kanan juga menggunakan kesempatan kegagalan Macron dalam membawa pembaharuan yang mampu memperbaiki kehidupan rakyat biasa itu untuk terus menyebarkan fahaman xenofobia, anti-Islam dan rasis mereka. Boleh dikatakan bahawa salah satu “pencapaian” utama Macron dalam 5 tahun yang lalu sebagai Presiden Perancis ialah mengekalkan golongan pelampau kanan sebagai pembangkang utama di negara itu!

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang bermula pada 24 Februari 2022 pula boleh dikatakan sebagai pelampung penyelamat kepada Macron, kerana pencabar terdekatnya, ahli politik pelampau kanan Le Pen telah diserang bertubu-tubi oleh pelbagai pihak kerana sejarahnya yang pernah memuji Presiden Rusia Vladimir Putin (walaupun sekarang ini Le Pen mengkritik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine) dalam suasana anti-Rusia di benua Eropah pada ketika krisis perang yang berterusan di Ukraine. Kadar sokongan yang diperolehi Macron dalam tinjauan pendapat selepas tercetusnya perang di Ukraine telah meningkat berbanding sebelum ini. Namun begitu, persaingan antara Macron dan Le Pen dijangka akan lebih sengit berbanding tahun 2017. Macron tidak lagi akan mendapat kemenangan mudah dalam pusingan kedua seperti 5 tahun dahulu kerana dasar neoliberal yang diamalkannya sepanjang 5 tahun lalu ini memang tidak disenangi pelbagai sektor masyarakat bawahan, dan kehampaan masyarakat yang meluas terhadap kegagalan kerajaan Macron dalam menangani masalah rakyat telah dipergunakan oleh golongan pelampau kanan seperti Le Pen untuk memainkan politik nasionalis sempit demi menjana sokongan massa.

Seorang lagi calon pelampau kanan yang amat rasis, Éric Zemmour daripada Reconquête, memperoleh 7.07% undi dan menduduki tangga keempat dalam kalangan 12 orang calon yang bertanding. Zemmour merupakan seorang penyokong kuat kepada teori konspirasi “penggantian besar” yang mengatakan bahawa penduduk berkulit putih di Perancis akan digantikan sepenuhnya oleh penduduk bukan dari Eropah. Sokongan undi kepada Le Pen dan Zemmour yang melebihi 30% dalam pengundian pusingan pertama itu memberi satu amaran yang hebat bahawa ancaman politik perkauman yang rasis, anti-migran, anti-Islam dan anti-LGBT di Perancis adalah amat ketara.

Kuasa kiri gagal layakkan diri ke pusingan kedua sekali lagi

Calon daripada La France Insoumise (LFI) (namanya bermaksud “Perancis Tidak Tunduk”), Jean-Luc Mélenchon, hampir layak ke pengundian pusingan kedua. Mélenchon menduduki tangga ketiga dalam persaingan pusingan pertama dengan meraih sebanyak 7,714,949 undi (bersamaan 21.95%), hanya berbeza 1.2 titik peratusan berbanding Le Pen di tangga kedua. Jumlah dan peratusan undi yang diperolehi Mélenchon kali ini adalah lebih tinggi berbanding tahun 2017 (7,059,951 undi; 19.58%; berada di tangga keempat dalam kalangan 11 orang calon yang bertanding pada masa itu), tetapi malangnya masih gagal mengatasi undi yang diperolehi calon pelampau kanan. Ini menyebabkan pengundi Perancis sekali lagi dinafikan pilihan berhaluan kiri dalam pengundian pusingan penentu.

Salah satu faktor calon berhaluan kiri gagal melayakkan diri ke pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis ialah perpecahan ketara yang wujud dalam gerakan politik kiri di Perancis. Terdapat 6 orang daripada 12 calon Presiden Perancis dalam pilihanraya ini boleh digolongkan dalam spektrum politik kiri. Selain Mélenchon daripada LFI, calon-calon yang datang daripada parti berhaluan kiri atau kiri-tengah ialah:

  • Yannick Jadot daripada Europe Écologie Les Verts (EELV) (Ekologi Eropah – Parti Hijau), meraih sebanyak 1,628,337 undi (4.63%), menduduki tangga ke-5;
  • Fabien Roussel daripada Parti Komunis Perancis (PCF), meraih sebanyak 802,615 undi (2.28%), menduduki tangga ke-8;
  • Anne Hidalgo daripada Parti Sosialis (PS), meraih sebanyak 616,651 undi (1.75%), menduduki tangga ke-10;
  • Philippe Poutou daripada Nouveau Parti Anticapitaliste (NPA) (Parti Anti-Kapitalis Baharu), meraih sebanyak 268,984 undi (0.77%), menduduki tangga ke-11 (Poutou meraih 1.09% undi dan menduduki tangga ke-8 dalam pusingan pertama Pilihanraya Presiden 2017);
  • Nathalie Arthaud daripada Lutte Ouvrière (LO) (Perjuangan Pekerja), meraih sebanyak 197,184 undi (0.56%), menduduki tangga ke-12 iaitu yang terakhir (Arthaud menduduki tangga kedua terakhir dengan 0.64% undi dalam pusingan pertama Pilihanraya Presiden 2017).

Parti Komunis Perancis (PCF) yang pernah menyokong Jean-Luc Mélenchon dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2012 dan 2017, tidak lagi meneruskan sokongannya kepada Mélenchon, malah meletakkan calon sendiri. Sekiranya PCF masih menyokong Mélenchon kali ini, agak pasti ia akan membolehkan Mélenchon melayakkan diri ke dalam pengundian pusingan kedua, kerana jumlah peratusan undi yang diperoleh PCF dan LFI, iaitu 24.23%, sudah melebihi peratusan undi yang diperoleh Le Pen daripada parti pelampau kanan RN.

NPA dan LO, dua buah parti kiri radikal, telah mencatatkan keputusan perolehan undi yang paling rendah dalam sejarah penglibatan mereka dalam Pilihanraya Presiden Perancis. LO bersama dengan pendahulu kepada NPA, Liga Komunis Revolusioner (LCR), pernah meraih undian sebanyak 9.97% (LO 5.72%; LCR 4.25%) dalam Pilihanraya Presiden Perancis 2002 (di mana calon PCF yang hanya meraih 3.37% undi telah diatasi oleh dua orang calon parti kiri radikal lain untuk pertama kalinya pada masa itu); namun kali ini kedua-dua NPA dan LO masing-masing memperoleh undi kurang daripada 1%.

Parti Sosialis (PS) yang pernah merupakan salah satu daripada dua buah parti utama dalam arena politik Perancis dan pernah menang dalam Pilihanraya Presiden sebanyak 3 kali sebelum ini (di mana kali terakhirnya pada tahun 2012 dengan François Hollande dipilih sebagai Presiden Perancis), telah mencatatkan pencapaian pilihanraya yang paling teruk dalam sejarahnya. Parti berhaluan kiri-tengah ini pernah meraih lebih 11 juta undi dalam pengundian pusingan pertama pada tahun 1974, dan undi yang diperolehinya pada tahun 2012 masih mencecah lebih 10 juta, tetapi sekarang hanya memperoleh undi lebih kurang 600 ribu (tidak sampai 6% sokongan berbanding 10 tahun dahulu). Kemerosotan sokongan undi yang begitu hebat ini berkaitan dengan kegagalan PS melaksanakan dasar yang mampu mempertahankan kesejahteraan rakyat biasa, sebaliknya masih mengamalkan dasar neoliberal seperti parti pro-kapitalis yang lain semasa pemerintahannya.

Selepas keputusan pengundian pusingan pertama diumumkan, Mélenchon berkata bahawa Perancis sekarang perlu “pilih antara dua kejahatan”, dan menyeru pada pengundi untuk “jangan memberi satu undi pun kepada Le Pen”. Mungkin memang salah satu daripada dua kejahatan ini akan lebih jahat daripada yang satu lagi, namun pilihan itu sudah pastinya menyakitkan untuk golongan kiri di Perancis, kerana pilihan kiri itu telah disingkirkan daripada pusingan penentu kerana kelemahan dalam gerakan politik kiri Perancis sendiri.

Perpecahan dalam gerakan kiri Perancis telah melemahkan usaha membina alternatif kiri yang mampu menjatuhkan kekuasaan neoliberal dan menangkis ancaman kuasa pelampau kanan. Terdapat terlalu banyak kesangsian antara kumpulan-kumpulan kiri daripada aliran yang berbeza kerana sejarah politik yang memedihkan. Lebih-lebih lagi, juga tiadanya usaha yang serius untuk mengatasi perbezaan ini untuk mewujudkan kuasa kiri yang lebih berwibawa dalam melawan susunan politik-ekonomi neoliberal. Pandemik dan pencetusan perang di Ukraine pula memberikan kesempatan kepada golongan elit politik seperti Macron untuk mengekalkan kekuasaan mereka dengan alasan memastikan kestabilan masyarakat. Oleh yang demikian, tidak kira apa keputusan dalam pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis nanti, sudah pastinya rakyat pekerja di Perancis akan terus menghadapi serangan daripada dasar ekonomi neoliberal dan ancaman politik pelampau kanan yang memangsakan warga bukan berkulit putih.

2 thoughts on “Pilihanraya Presiden Perancis 2022: Macron dan Le Pen mara ke pusingan penentu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *