Gelombang protes petani yang hebat meletus dan menular di seluruh Eropah sejak kebelakangan ini. Demonstrasi yang paling dramatik telah berlaku di Perancis dengan petani-petani menyekat jalan raya dengan traktor. Aksi protes yang serupa turut merebak di negara-negara seperti Sepanyol, Itali, Romania, Poland, Greece, Jerman, Portugal dan Belanda. Belgium yang dianggap sebagai tempat terletaknya ibu negara Kesatuan Eropah (EU) juga tidak dapat terlepas daripada aksi protes dan sekatan jalan yang merebak di seluruh negara itu. Petani-petani Eropah yang berprotes menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan dalam EU yang menjejaskan rezeki mereka.
Pada 1 Februari 2024, Brussels, ibu negara Belgium di mana terletaknya ibu pejabat institusi-institusi penting EU, telah dikunjungi petani-petani yang datang dari seluruh Belgium, Belanda dan negara-negara lain di rantau Eropah, dengan jalan raya di sekitar Parlimen Eropah disekat oleh traktor-traktor dan bangunan Parlimen Eropah “diserang” oleh telur-telur yang dilontarkan petani. Petani-petani yang berprotes untuk menuntut harga yang lebih baik bagi hasil mereka dan perlindungan daripada import yang murah ini telah melumpuhkan sebahagian bandar Brussels.
“Adalah tidak wajar bahawa petani-petani tidak dapat mencari rezeki daripada kerja mereka,” kata Raoul Hedebouw, Presiden Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA), ketika menyatakan sokongannya kepada aksi protes petani Eropah. “Sudah tiba masanya untuk sebuah dasar pertanian yang memberi tumpuan kepada petani-petani, bukannya kepada keuntungan perniagaan tani.”
“Membiarkan pasaran bebas untuk mengendalikan sistem makanan mewujudkan satu situasi yang sangat tidak stabil bagi petani-petani dan pengguna-pengguna,” ulas Raoul Hedebouw. “Kesatuan Eropah harus berhenti hanya mendengar pada perniagaan besar dan syarikat multi-nasional.”
Walaupun pertanian yang menyumbang 1.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) EU pada tahun 2022, dengan mencipta anggaran nilai tambah kasar €220.7 bilion pada tahun 2022, sebanyak 157 bilion hektar tanah (bersamaan 38% daripada jumlah keluasan tanah di EU) digunakan untuk pengeluaran pertanian. Terdapat sebanyak 9.1 juta pegangan pertanian di Eropah pada tahun 2020, dengan hampir dua pertiga daripada kebun-kebun di EU bersaiz kurang daripada 5 hektar. Majoriti besar (94.8%) daripada kebun-kebun di EU diklasifikasikan sebagai kebun keluarga di mana 50% atau lebih daripada tenaga kerja pertanian biasa dibekalkan oleh anggota-anggota keluarga pekebun itu sendiri. Aksi protes yang tercetus pada tahun lalu di Eropah Timur untuk membantah kemasukan import dari Ukraine yang murah, telah menyaksikan sekatan yang berpanjangan di lintasan sempadan, dan ia menunjukkan bahawa petani-petani sebagai sebuah kumpulan mampu menimbulkan gangguan besar sekiranya kehidupan mereka terjejas.
Kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani-petani di Eropah (terutamanya tenaga, baja dan pengangkutan) telah meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya sejak pencerobohan Rusia terhadap Ukraine pada bulan Feburari 2022, begitu juga dengan harga yang dibayar oleh pengguna-pengguna. Namun, petani-petani yang mengeluarkan hasil itu tidak menjual hasil mereka kepada pengedar dengan harga yang lebih tinggi. Ini bermakna bahawa pendapatan petani-petani telah merosot. Sebaliknya, pemain-pemain besar dalam perusahaan pertanian dan pemborongan yang mengaut keuntungan daripada peningkatan dalam kedua-dua kos yang ditanggung oleh petani dan harga pasaran yang lebih tinggi. Petani-petani yang berprotes menuntut tindakan konkrit untuk melarang pembelian hasil pertanian di bawah harga kosnya dan mengkehendakkan ketelusan daripada pengilang-pengilang dan pasar-pasar raya mengenai margin untung mereka.
Lambakan import juga menimbulkan kebimbangan dan masalah kepada petani-petani, terutamanya di Eropah Tengah dan Eropah Timur, di mana kemasukan hasil pertanian murah yang berlebihan dari Ukraine – di mana EU mengecualikan kuota dan duti terhadap hasil pertanian Ukraine berikutan pencerobohan Rusa – telah menurunkan harga dan menimbulkan ketidakpuasan hati petani-petani lain di Eropah tentang persaingan yang tidak adil. Petani-petani Poland mula melakukan sekatan terhadap jalan-jalan dari Ukraine pada musim bunga tahun lalu untuk membantah kemasukan hasil pertanian murah dari Ukraine. Walaupun EU mengenakan sekatan sementara terhadap eksport bijiran dan bahan-bahan makanan lain dari Ukraine ke negara-negara jirannya tidak lama kemudian, sebaik sahaja tamat tempoh sekatan itu, kerajaan-kerajaan di Hungary, Poland dan Slovakia mengumumkan langkah-langkah sekatan mereka masing-masing untuk menangani kegusaran petani-petani di negara masing-masing.
Petani-petani kecil di Eropah juga tidak berpuas hati dengan Dasar Pertanian Bersama (CAP) yang diamalkan oleh EU. CAP yang menelan belanjawan puluhan bilion euro setiap tahun dikatakan bertujuan untuk menyokong sektor pertanian dan menjamin kedaulatan makanan, tetapi pada hakikatnya ia telah digunakan sebagai alat untuk mendorong agenda neoliberal dalam pertanian yang melindungi kepentingan pemain-pemain perniagaan tani terbesar dalam perusahaan pertanian. Bantuan daripada CAP diagihkan secara utamanya mengikut hektar tanah, maka memihak pada pemilik tanah yang besar. 80% daripada subsidi di bawah CAP pergi kepada 20% syarikat pertanian yang terbesar tanpa mengambil kira aktiviti pertanian yang sebenar. Malah adanya syarikat yang hanya merupakan pemilik tanah tetapi tidak mengeluarkan apa-apa hasil pertanian turut menerima subsidi. Adalah tidak masul akal bahawa golongan bilionair dan syarikat besar yang sudah mengaut keuntungan lumayan juga boleh memperoleh subsidi daripada EU hanya kerana mereka membeli tanah pertanian dengan kekayaan mereka yang bertimbunan. Sementara itu, petani-petani kecil yang sebenarnya memerlukan subsidi pula perlu berhadapan dengan pelbagai karenah birokrasi untuk memohon bantuan, seperti mengisi borang-borang yang tidak kehabis-habisan dan dikenakan denda sekiranya tidak mengisi borang dengan betul.
Sektor pertanian Eropah turut menjadi mangsa kepada perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani oleh EU dengan negara-negara di mana kos pengeluaran yang jauh lebih rendah atau dengan piawaian kesihatan, alam sekitar dan sosial yang lebih rendah, seperti Perjanjian Ekonomi dan Perdagangan Komprehensif (CETA) dengan Kanada, dan perjanjian perdagangan bebas dengan Pasaran Bersama Selatan (Mercosur).
Tawaran Hijau Eropah yang dikemukakan untuk menjadikan EU iklim neutral pada tahun 2050, walaupun dianggap sebagai satu langkah positif ke arah menangani krisis iklim global yang semakin teruk, pelaksanaannya yang boleh menjejaskan rezeki petani kecil turut mengundang kemarahan ramai. Banyak petani di Eropah sudah amat tidak berpuas hati dengan peraturan EU sekarang yang ditafsir terlalu ketat tanpa mengambil kira kekangan mereka. Oleh itu, mereka berpandangan bahawa dasar hijau yang bakal dilaksanakan itu juga tidak adil, tidak realistik, tidak berdaya maju secara ekonomi dan akhirnya merugikan diri sendiri sahaja.
Kerajaan-kerajaan di Eropah cuba mengambil beberapa langkah untuk meredakan ketidakpuasan hati petani di negara masing-masing. Kerajaan Jerman telah melonggarkan rancangannya untuk mengurangkan subsidi diesel; kerajaan Perancis telah membatalkan rancangan kenaikan cukai diesel, menangguhkan langkah-langkah lain dan menjanjikan bantuan €150 juta kepada petani-petani, sehingga mendorong kesatuan-kesatuan petani untuk menyeru pada ahli-ahli mereka supaya menggantungkan aksi protes. Di peringkat EU, Suruhanjaya Eropah telah mencadangkan pengehadan import pertanian dari Ukraine melalui satu “brek kecemasan”.
Dengan parti-parti pelampau kanan di Eropah yang dijangka akan menang lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah pada bulan Jun 2024 turut mempergunakan malah cuba menculik gelombang protes petani Eropah terkini untuk agenda politik mereka, kerajaan-kerajaan negara Eropah mungkin akan berkompromi lebih lanjut dengan tuntutan protes petani, namun masih tidak akan menyelesaikan masalah sistemik yang dihadapi oleh petani-petani kecil.
Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA) mengemukakan beberapa cadangan konkrit untuk menangani masalah yang dibangkitkan oleh petani-petani yang berprotes di jalanan:
- Menetapkan harga lantai mandatori di peringkat Eropah untuk produk-produk pertanian supaya memastikan imbuhan yang adil bagi pengeluar-pengeluar yang perlu dapat menyara hidup daripada kerja mereka/
- Mengehadkan margin pengedar supaya pengguna-pengguna bukannya orang yang membayar melalui kenaikan harga (dan menjadikan kadar cukai tambah nilai VAT pada 0% supaya harga turun).
- Mencukai keuntungan berlebihan daripada perniagaan tani dan menggunakan wang itu untuk menyokong peralihan kepada pertanian yang mampan.
- Menyemak semula CAP dan sistem bantuan supaya menuju ke arah yang lebih adil dan sistem yang kurang birokratik.
- Mencabar perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang berkaitan dengan produk-produk pertanian dan makanan, seperti perjanjian EU-Mercosur, CETA dan perjanjian dengan New Zealand: semua produk harus tertakluk pada piawaian kesihatan dan alam sekitar yang sama, serta mempertahankan prinsip kedaulatan makanan.
- Menghentikan perampasan tanah pertanian. Melainkan jika ada pengecualian dalam kepentingan awam, tiada lagi tanah pertanian harus dikorbankan. Pembelian tanah harus dikhaskan untuk petani-petani yang sebenar.
- Memperkukuhkan sokongan untuk pemupukan petani-petani yang muda dan baharu. Mewujudkan sebuah bank pelaburan awam untuk menyokong petani-petani, khususnya orang muda, dalam jangka masa panjang supaya mereka tidak bergantung pada bank-bank swasta yang hanya mementingkan keuntungan. Inilah tujuannya Crédit Agricole ditubuhkan pada asalnya, tetapi malangnya diswastakan oleh parti-parti tradisional pada tahun 1995.