Kenyataan bersama oleh organisasi-organisasi Kiri di Asia Tenggara mengenai “Triad Keagresifan” – AUKUS-IPEF-Quad – yang diketuai Amerika Syarikat (AS)
Presiden Joe Biden baru menamatkan lawatan rasminya yang pertama ke Asia dengan hasrat mendapatkan dan memajukan kepentingan strategik teras Amerika Syarikat (AS) di rantau yang penting di dunia ini. Lawatan pemimpin tertinggi AS baru-baru ini ke Korea Selatan dan Jepun merupakan bahagian penting daripada misi terdesak untuk memulihkan hegemoni global imperialisme AS yang semakin merosot. Matlamat utama dasar luar AS untuk rantau ini adalah untuk mendapatkan semula imbangan strategik Washington melalui persaingan langsung dengan Pakatan Eurasia antara China dan Rusia. Lebih-lebih lagi, perkara ini dirangkakan secara berpusat pada rancangan serantau yang direka semula dengan merangkumi perjanjian-perjanjian ekonomi dan struktur-struktur serta proses-proses berorientasikan keselamatan yang mengaspirasikan pengaruh hegemoni di rantau Asia-Pasifik.
Rancangan serantau ini datang di tengah-tengah pelbagai krisis besar sistem dunia imperialis. Krisis-krisis modal antarabangsa yang serentak sedang mendorong AS beralih ke arah jalan yang lebih agresif di pentas dunia. Imperialisme AS sedang melakukan peralihan baharu dalam pembahagian kerja di peringkat global untuk melindungi dan mengekalkan objektif ekonominya sendiri serta melawan paksi Beijing-Moscow secara langsung melalui rangka kerja ekonomi-keselamatan baharu yang merentangi rantau Asia-Pasifik.
Pada ketika massa kelas pekerja hari ini terus menderita akibat impak-impak sistemik tergabung daripada pandemik COVID-19, krisis modal menyeluruh, darurat perubahan iklim, dan persaingan antara kuasa imperialis/besar yang semakin meningkat, imperialisme AS sedang menggiatkan semula serangan geostrategik dengan inisiatif-inisiatif berasaskan ekonomi dan pertahanan yang komprehensif untuk menjamin kedudukan AS yang menyerlah dalam susunan dunia kapitalis apabila melangkah ke dalam separuh kedua abad ke-21.
Agenda dasar luar imperialisme AS pada asasnya ditujukan untuk menafikan kerjasama strategik China-Rusia. Ini boleh dilihat dalam siri usaha hubungan luar negeri yang diketuai AS yang semua secara amnya diaktifkan dalam bulan Mei 2022 yang sama. Projek-projek ekonomi dan keselamatan terbaru ini meliputi bahagian-bahagian timur laut dan tenggara di Asia Timur, Asia Selatan dan Pasifik. Mereka pada dasarnya ditujukan untuk menghubungkan dan menyatukan negara-negara tertentu dari rantau ini yang sudi berada di bawah kepimpinan dan kawalan berpusat AS.
Hanya seminggu sebelum melawat Asia, Biden telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kemuncak Khas AS-ASEAN di Washington (pada 12-13 Mei 2022) untuk memikat dan mempengaruhi negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya memperkukuhkan hubungan ekonomi-diplomatik-keselamatan masing-masing dengan AS. Biden kemudiannya bertemu dengan pemimpin-pemimpin Korea Selatan (20-22 Mei 2022) dan Jepun (22-23 Mei) untuk mengeluarkan arahan terbaru yang diluluskan AS kepada mereka. Pada 23 Mei 2022, Biden meneruskan dengan pelancaran Rangka Kerja Ekonomi untuk Kemakmuran Indo-Pasifik (IPEF) di Tokyo; dengan sedozen negara menyertai projek neoliberal AS berjenama baharu yang mensasarkan pasaran Asia untuk keuntungan luar biasa. IPEF dijangka untuk melemahkan dan mengatasi lingkungan pengaruh ekonomi China yang sedang mengembang di rantau ini.
Pada masa yang sama, Biden menganjurkan sidang kemuncak Dialog Keselamatan Kuadrilateral (Quad) – juga di Tokyo – pada 24 Mei 2022. Sidang Kemuncak Quad, yang turut dihadiri Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia yang baharu dipilih Anthony Albanese, telah mengeluarkan satu kenyataan tegas yang jelas mensasarkan China pada penghujung persidangan mereka. Quad berjanji untuk “menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan paksaan, provokatif atau unilateral yang cuba mengubah status quo” di rantau Asia-Pasifik. Malah sebelum penerbangannya pulang ke Washington, Presiden AS memprovokasi Beijing dengan menyatakan secara terbuka bahawa dia akan mengerahkan tentera AS untuk melawan China sekiranya China mengerahkan tentera berkenaan Taiwan – bukannya menegaskan semula “Dasar Satu China” yang telah mengekalkan keamanan beberapa dekad dan diiktiraf antarabangsa.
Pemimpin imperialis AS juga bertemu dengan Anthony Albanese, Perdana Menteri Australia yang baharu, di luar Sidang Kemuncak Quad. Albanese menyakinkan Biden tentang komitmen teguh dan setia daripada Canberra untuk kekal sebagai negara anggota yang aktif dalam “kerjasama keselamatan tiga hala” Australia-United Kingdom-Amerika Syarikat (AUKUS) di bawah perintah AS. Mereka bersetuju untuk memperkukuhkan lebih lanjut lagi aturan keselamatan kolektif mereka dengan penyelarasan langsung bersama UK. Ini membuktikan selanjutnya keinginan bersama mereka untuk membina kuasa balas antarabangsa yang kuat terhadap pengaruh China yang semakin meningkat di seluruh Asia.
Dalam tempoh masa singkat hanya kurang daripada dua minggu, kepimpinan teratas imperialisme AS telah menunjukkan sekali lagi kapasiti unilateral dan kesediaannya untuk mewujudkan agenda geostrategik yang akan memulakan penjajaran semula negara-negara barisan hadapan di seluruh rantau Asia-Pasifik untuk mencabar China secara agresif – walaupun pada ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai AS sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dalam konteks situasi dunia semasa, dan di bawah bayangan pelbagai krisis sistem kapitalis global, imperialisme AS sekarang sedang mengenakan “Triad Keagresifan” ke atas negara-negara rantau Asia-Pasifik dan massa pekerjanya. Triad Keagresifan ini, yang menyelaraskan dan mengharmonikan inisiatif-inisiatif AUKUS-IPEF-Quad yang nampaknya berasingan, harus difahami dari sudut pandangan rancangan Washington yang disengajakan.
Fungsi dan peranan dasar luar tergabung Triad Keagresifan AUKUS-IPEF-Quad ini adalah bersedia untuk melancarkan serangan geostrategik terhadap mana-mana pesaing kuasa besar Eurasia. Ia bertujuan untuk mencegah kuasa pesaing daripada memperoleh dominasi hegemoni hampir menyeluruh ke atas Hemisfrera Timur dalam jangka masa panjang. Dalam minda perancang dasar luar negeri/keselamatan imperialisme AS, senario yang diharapkan ini akhirnya boleh membawa kepada lingkungan pengaruh dan dominasi AS yang lebih menyeluruh di rantau Asia-Pasifik. Ini akan memaksimumkan kuasa global AS dari segi pasaran eksport yang lebih meluas untuk modal dan barangan, surplus yang lebih besar melalui tenaga kerja yang diperluaskan dan dieksploitasi, lebih banyak rejim boneka yang sejajar dengan objektif dasar luar AS, sumber mineral mentah yang meluas untuk mengekalkan kelebihan AS dalam keunggulan ekokonomi-teknologi-ketenteraan, dan peningkatan dalam pangkalan tentera luar negara untuk melakukan perang pencerobohan pada masa hadapan di bawah bimbingan dan perintah Washington.
Oleh itu, kami, organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan ini, menyeru untuk langkah-langkah berikut supaya membantu dalam memupuk persekitaran kerjasama global yang aman:
1. Semua tentera imperialis keluar dari Asia sekarang. Semua tentera AS dan British, bersama-sama dengan tentera negara asing yang lain, harus berundur keluar dari Asia serta-merta! Begitu juga, semua pangkalan dan faksiliti tentera AS di seluruh rantau Asia-Pasifik harus ditutup serta-merta!
2. Tutup pangkalan FPDA. Semua pangkalan tentera asing yang lain di rantau ini, termasuk pangkalan yang diwujudkan oleh Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang diketuai British, harus ditutup serta-merta!
3. Hapuskan semua infrastruktur perisikan imperialis. Semua pasukan fizikal dan infrastruktur pemintasan perisikan yang dikuasai oleh pakatan perisikan Five Eyes yang bertapak di Asia-Pasifik, dan rangkaian perisikan Eselon, harus dimansuhkan segera!
4. SEANWFZ. Berpegang teguh pada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) untuk menyahtenterakan rantau ini dengan segera; dan pada masa yang sama, menyokong dan berkempen untuk perjanjian dan rejim zon bebas senjata nuklear yang lebih meluas di seluruh Asia-Pasifik!
5. Majukan dasar keselamatan bersama. Mempromosikan dan memajukan inisiatif keamanan serantau yang progresif secara berterusan sebagai blok pembinaan menuju ke arah dasar keselamatan bersama untuk memupuk susunan global yang lebih aman dan bekerjasama, terutamanya di rantau Asia-Pasifik.
6. Dasar berkecuali. Sokong langkah-langkah seluruh dunia yang sedang berkembang untuk merangsang Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), khususnya prinsip-prinsip progresif bersejarahnya untuk mengurangkan dan meredakan perbalahan kuasa besar.
7. SRAEC. Mempopularkan untuk menginstitusikan konsep “Perkongsian Sumber Bersama Penting di Kawasan Serantau” (Shared Regional Area of Essential Commons, SRAEC) dengan tatakelakuan yang semakin menyatukan untuk Laut Asia Tenggara.
8. Menyingkirkan rejim-rejim yang autoritarian, ultra-kanan dan fasis. Perhebatkan perjuangan yang begitu banyak untuk menjatuhkan rejim-rejim berasaskan negara ini di rantau Asia-Pasifik yang berfungsi sebagai pangkalan sokongan nasional untuk imperialisme AS, dan menggantikan mereka dengan negara kelas pekerja yang akan memajukan dan membina sosialisme.
9. Tolak Triad Keagresifan AS. Menggesa dengan tegasnya ASEAN, negara-negara anggotanya, dan negara-negara bukan ASEAN di rantau Asia-Pasifik untuk mengamalkan pendirian yang neutral dan berkecuali secara aktif berhubung dengan persaingan antara imperialis, sementara menolak sebarang usaha untuk mereka menyertai Triad Keagresifan imperialisme AS (AUKUS-IPEF-Quad).
10. Tingkatkan solidariti kelas pekerja dan internasionalisme. Perluaskan dan perkukuhkan hubungan solidariti kelas pekerja dan internasionalisme kita untuk berjaya dalam melawan dan menewaskan tindakan global imperialisme AS, dan memperbaharui semua usaha untuk meningkatkan barisan bersatu anti-imperialis/anti-fasis bagi perjuangan massa yang militan di peringkat nasional-serantau-antarabangsa.
Kenyataan bersama ini disokong oleh:
- Partido Lakas ng Masa (PLM), Philippines
- Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia
- Partai Rakyat Pekerja (PRP), Indonesia
(Diterjemah daripada kenyataan asal dalam Bahasa Inggeris)