20190920 - lembu01

PUTRAJAYA: Penternak-penternak yang menjalankan aktiviti penternakan di ladang-ladang Sime Darby, telah menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 September 2019, untuk menyuarakan bantahan terhadap “Notis Larangan Ternakan” yang dikeluarkan oleh Sime Darby. Para penternak menyeru pada Salahuddin Ayub selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mencampurtangan dalam isu ini demi melindungi rezeki penternak dan jaminan bekalan makan.

Turut bersama dengan penternak-penternak semasa penyerahan memorandum ialah S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM) dan A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM).

Baru baru ini syarikat Sime Darby Plantation mengeluarkan “Notis Larangan Ternakan Memasuki Kawasan Ladang Milik Sime Darby Untuk Meragut”. Notis ini menyebabkan kebimbangan para penternak tentang rezeki mereka akan tergugat dan nasib mereka menjadi satu tanda soal.

Kebanyakan penternak yang menjalankan aktiviti penternakan di kawasan ladang Sime Darby merupakan, anak masyarakat pekerja ladang yang telah bekerja di ladang. Sememangnya selama ini penduduk-penduduk ladang diberi dorongan untuk melibatkan diri dalam aktiviti pertanian di samping kerja ladang memandangkan gaji yang begitu rendah di sektor ladang. Ada juga di kalangan penternak ini merupakan anak kepada bekas pekerja ladang yang menyambung kegiatan penternakan yang dimulakan oleh keluarga mereka lebih dua generasi yang lalu.

Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak telah menggalakkan pertanian di kawasan ladang selaras dengan agenda membasmi kemiskinan dalam Dasar Ekonomi Baru. Pihak pengurusan ladang juga membenarkan dan menggalakkan aktiviti perternakan sebegini. Aktiviti penternakan yang berlanjutan untuk tiga generasi ini tidak pernah menjejaskan kerja-kerja perladangan yang dijalankan oleh syarikat ladang selama ini.

Oleh yang demikian, penternak-penternak kini amat keliru dan kecewa atas tindakan drastik yang diambil oleh syarikat Sime Darby terhadap mereka. Selama ini, kawasan syarikat Sime Darby yang amat luas itu menjadi kawasan untuk meragut rumput bagi ternakan mereka, dan para penternak juga tidak mempunyai sebarang isu dengan pentadbir atau pihak pengurusan ladang Sime Darby sebelum ini. Pengeluaran notis yang melarang aktiviti penternakan yang sedia ada ini amat mengecewakan para penternak.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing menyeru pada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mencampurtangan dalam isu ini. “Menteri yang bertanggunghawab dalam hal ehwal pertanian semestinya akan memahami nasib kaum petani dan penternak seperti kami,” begitu kata Jawatankuasa Penternak dalam memorandum tersebut. “Notis sebegini tidak patut dikeluarkan memandangkan syarikat Sime Darby merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya menjaga kepentingan awam. Tindakan Sime Darby ini bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk menambahkan makanan tempatan dan meningkatkan jaminan makanan.”

Tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing adalah:

  • Meminta campurtangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam isu yang dihadapi penternak-penternak ini untuk mencari satu jalan penyelesaian secepat mungkin.
  • Mengesa pihak Sime Darby Tarik supaya membatalkan notis “larangan” dengan serta-merta.
  • Kekalkan keadaan seperti sedia kala. Benarkan ternakan meragut rumput di kawasan ladang Sime Darby dan ladang-ladang lain.
  • Mengesa pihak polis, Pejabat Tanah, Jabatan Vetenari dan agensi-agensi kerajaan yang lain supaya mengambil polisi bertolak ansur dan berdialog dengan penternak-penternak, bukannya bertindak secara berkeras, dalam mencari penyelesaian untuk sebarang isu berkaitan dengan penternak.
  • Kebajikan asas penternak harus diberi jaminan oleh Kementerian supaya isu seperti larangan daripada Sime Darby ini tidak berulang lagi.

3 thoughts on “Menteri Pertanian digesa campurtangan untuk selamatkan rezeki penternak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *