17 orang bekas pekerja Hotel Mandarin Court di Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada peningkatan kadar pengangguran yang mencecah 4.5% pada tahun 2020. Pandemik global kerana penularan COVID-19 ialah punca utama kepada peningkatan ini, seperti yang berlaku pada pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court yang diberhentikan kerja selepas mereka telah bekerja dengan hotel tersebut untuk lebih satu dekad.

Pemberhentian kerja bagi pekerja-pekerja ini bermula selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, apabila pihak pengurusan hotel memaksa semua pekerja mengambil cuti tidak berbayar untuk tempoh selama 2 bulan dengan janji kembali bekerja pada bulan Jun 2020. Mereka “dipaksa” berbuat demikian kerana pekerja-pekerja tidak diberi pilihan yang lain selain diberhentikan terus sekiranya tidak mengambil cuti tidak berbayar.

Pada bulan 2020, pekerjaan mereka dengan Hotel Mandarin Court ditamatkan apabila surat pemberhentian kerja dikeluarkan dengan tarikh berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020 dan satu bulan gaji untuk bulan 2020 sebagai gaji ganti notis. Dari situlah bermulanya perjuangan yang penuh cabaran untuk pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court, memerangi pengangguran pada ketika pandemik global tanpa sebarang langkah kawalan kerosakan yang diambil oleh syarikat mereka untuk membantu mereka. Namun begitu, untuk memperjuangkan pampasan mereka yang sah, pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court telah memfailkan aduan mereka di Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur terhadap bekas majikan mereka, Hotel Mandarin Court.

Dalam kes ini, pihak syarikat telah gagal membayar faedah pemberhentian kerja yang kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja seperti yang termaktub dalam Peraturan 3(1), 4(1) dan 4(2) Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980 di bawah Akta Kerja 1955. Para pekerja hanya dibayar gaji ganti notis bersamaan gaji sebulan dan tiada apa-apa lagi pampasan selanjutnya. Pemberhentian kerja terhadap pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court ini juga merupakan satu contoh kes kegagalan pihak majikan dalam mematuhi garis panduan Kementerian Sumber Manusia berkenaan dengan pemberhentian kerja atau pengurangan pekerja, iaitu “Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja” ataupun “Tatacara untuk Keharmonian Perusahaan” yang menyatakan dengan jelas bahawa pemberhentian kerja harus dilakukan dalam keadaan yang benar dengan memberi keutamaan kepada mengelakkan atau meminimumkan pemberhentian pekerja seperti berikut:

“Pertama, alasan perniagaan majikan terjejas akibat COVID-19 hendaklah genuine dan bukan sengaja diada-adakan. Kedua, majikan dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan pemberhentian kerja terlebih dahulu seperti mengurangkan waktu kerja, menghadkan atau membekukan pengambilan pekerja baru, menghadkan kerja lebih masa, menghadkan kerja pada hari mingguan atau cuti am, mengurangkan gaji pekerja, melaksanakan pemberhentian bekerja sementara (lay-off). Ketiga, sekiranya pemberhentian kerja tidak dapat dielakkan, pekerja-pekerja asing perlu ditamatkan terlebih dahulu. Sekiranya pemberhentian melibatkan pekerja tempatan, Prinsip LIFO (Last In First Out) hendaklah dipatuhi. Walau bagaimanapun prinsip ini boleh diketepikan sekiranya majikan mempunyai justifikasi kukuh.”

Dalam kes pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court ini, tiadanya perbincangan diadakan dengan pekerja-pekerja untuk membincangkan usaha-usaha yang boleh diambil supaya meminimumkan kerugian sementara mengekalkan tenaga kerja. Sebaliknya, pekerja-pekerja dipaksa untuk mengambil cuti tidak berbayar untuk tempoh 2 bulan dan kemudiannya diberhentikan daripada pekerjaan. Pihak syarikat Hotel Mandarin Court tidak mengambil apa-apa langkah seperti kerja secara bergilir-gilir, pengurangan jam kerja ataupun mengurangkan gaji sebagai pendekatan untuk mengelakkan pemberhentian kerja yang sepatutnya merupakan jalan terakhir. Lebih-lebih lagi, perusahaan hotel telah disenaraikan sebagai sektor perkhidmatan penting walaupun hanya untuk tujuan kuarantin sepanjang tempoh kawalan pergerakan pada tahun 2020. Namun, pihak syarikat Hotel Mandarin Court memilih untuk menggantungkan operasinya. Dengan berbuat demikian, mereka telah memutuskan secara satu pihak untuk memberhentikan tenaga kerja mereka.

Kes ini telah dikendalikan oleh Kohila Yanasekaran, peguam daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan dibantu oleh Nivetha Sri Shanker daripada Pemuda Sosialis PSM. Mereka telah berusaha untuk mencabar syarikat berkenaan untuk mendapatkan pampasan yang sewajar bagi pekerja-pekerja yang terkesan.

Pada 30 September 2021, Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur memutuskan bahawa pemberhentian kerja terhadap pekerja-pekerja Hotel Mandarin Court adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak berasas. Dengan ini, pekerja-pekerja yang berkenaan bukan sahaja diberi pampasan gaji 2 bulan seperti yang dituntut oleh mereka pada awalnya daripada pihak pengurusan, malah pihak syarikat juga diarahkan untuk membayar pampasan mengikut tahun perkhidmatan mereka sebagai faedah pemberhentian kerja mereka yang sah.

Keputusan ini merupakan satu kemenangan kepada para pekerja dan satu mesej yang jelas untuk menegakkan kebajikan pekerja walaupun pada ketika kita sedang berdepan dengan pandemik global. Ini merupakan satu perjuangan yang sukar untuk ditempuh pekerja tetapi ia telah berjaya.

Semoga semangat perjuangan 17 orang pekerja Hotel Mandarin Court yang berjaya menang kes di Mahkamah Buruh ini menjadi harapan kepada semua pekerja untuk meneruskan perjuangan.

(Laporan oleh Nivetha Sri Shanker)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s