20191204-JSML78169175_2789138487792461_6022704662040281088_n (2)

KUALA LUMPUR – 4 DISEMBER 2019: Lebih 500 orang berprotes di hadapan bangunan Parlimen pada hari ini untuk menuntut pada Kerajaan Persekutuan supaya menggubal undang-undang yang menjamin hak perumahan masyarakat ladang di seluruh Malaysia.

Aksi yang disertai oleh pekerja, bekas pekerja dan penduduk di lebih 30 buah ladang di seluruh Malaysia ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML). Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil kerajaan, JSML menggesa Kerajaan untuk menggubal Akta Perumahan Pekerja Ladang yang memastikan semua pekerja ladang yang menyumbangkan tenaga mereka kepada pembangunan negara dapat memilili rumah sendiri, sesuatu yang menjadi impian masyarakat ladang sejak hampir 5 dekad yang lalu apabila Tun Abdul Razak melancarkan skim perumahan sendiri untuk pekerja ladang. Pekerja-pekerja ladang menegaskan perlu adanya undang-undang yang mengikat untuk jaminan hak perumahan masyarakat ladang, bukannya sekadar dasar yang boleh berubah-ubah ataupun program yang bersifat ad hoc. Selain itu, JSML juga menuntut supaya gaji minimum untuk pekerja ladang ditetapkan pada RM1,800 sebulan, selaras dengan saranan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

R. Karthiges, penyelaras JSML, berkata, “Kami percayabahawa tuntutan untuk Akta Perumahan Pekerja Ladang ini boleh dilaksanakan, kerana memang ada beberapa contoh projek kerjasama antara kerajaan dan majikan ladang, seperti Sime Darby, di Ladang Siliau dan Ladang Tanah Merah di Negeri Sembilan. Projek perumahan untuk pekerja ladang tersebut adalah bukti bahawa tuntutan pekerja ladang selama ini memang sesuatu yang boleh menjadi realiti.”

“Kami sedia bekerjasama dengan pihak Kerajaan untuk membantu dalam menggubal akta perumahan ladang ini,” kata Karthiges.

20191204-JSML-01 (2)

Wakil-wakil masyarakat ladang telah menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Sumber Manusia. Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran sendiri menerima memoramdum tersebut dan menyatakan pihaknya akan mengambil usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan masyarakat ladang.

20191204-JSML02 (2)

Tulang belakang ekonomi negara yang dipinggirkan

Pekerja ladang ialah tulang belakang kepada ekonomi negara kita sejak sebelum kemerdekaan. Syarikat perladangan gergasi telah mengaut keuntungan lumayan selama ini hasil daripada sumbangan pekerja ladang. Setelah 62 tahun merdeka, masyarakat pekerja ladang ini masih hidup dalam kemiskinan dan terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Pada masa kini, syarikat perladangan terbesar di Malaysia ialah Sime Darby yang merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di mana pihak Kerajaan ialah pemegang utama syarikat ini. Kerajaan tiada alasan untuk syarikat perladangan yang di bawah penguasaannya tidak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah pekerja ladang yang telah berlarutan untuk generasi.

20191204-JSML78949328_2851819858169676_8455617225053700096_n

Perjuangan JSML lebih 3 dekad

Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) telah dibentuk pada tahun 1993 untuk memperjuangkan tuntutan masyarakat ladang di Malaysia yang tidak diambil berat oleh kaum majikan mahupun kerajaan. JSML pada masa penubuhannya merupakan gabungan 6 buah kumpulan masyarakat, iaitu Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Alaigal, Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM), Tholilayin Tholar (TT), Suara Warga Pertiwi(SWP) dan People Service Organisation (PSO). Antara kempen utama yang pernah digerakkan oleh JSML ialah kempen “Sertakan Pekerja Ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar” pada tahun 1993 dan “Gaji Bulanan untuk Pekerja Ladang” pada tahun 1996. JSML telah terlibat dalam perjuangan masyarakat ladang yang melawan pengusiran paksa di banyak tempat sejak tahun 1990-an, dan berjaya mendapatkan perumahan teres untuk pekerja ladang di kawasan yang gigih memperjuangkan hak perumahan mereka, namun adanya perjuangan hak perumahan yang masih berterusan kerana masih belum adanya kerangka undang-undang yang melindungi hak perumahan masyarakat ladang.

Pada masa kini, komuniti ladang yang terlibat dalam perjuangan JSML terdari daripada tiga kumpulan besar:

  1. Ladang yang masih beroperasi dengan masih adanya ramai pekerja menetap di situ;
  2. Ladang yang sudah berhenti operasi tetapi isu perumahan untuk bekas pekerja masih belum selesai;
  3. Ladang di mana pekerja untuk mendapat perumahan sendiri dan masih menetap di situ serta membentuk satu komuniti.

20191204-JSML79276732_1447132602107358_8689858913106919424_n (2)

Tuntutan masyarakat ladang

3 tuntutan utama telah dikemukakan oleh JSML dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak Kerajaan, iaitu:

  1. Gubal Akta Perumahan Ladang
  • Kerajaan Persekutan harus menggubal dan melaksanakan Akta Perumahan untuk Pekerja Ladang.
  • Akta ini harus digubal dengan memastikan semua majikan ladang di negara ini melaksanakan Skim Perumahan untuk pekerja atau bekas pekerjanya, supaya mereka mendapat rumah milik sendiri.
  • Skim perumahanuntuk masyarakat ladang boleh dilaksanakan dengan kerjasama dan subsidi sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutan atau Kerajaan Negeri dengan penglibatan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Kerajaan Negeri yang berkenaan.
  • Kemudahan-kemudahan yang sedia dinikmati oleh masyarakat ladang seperti sekolah, tadika, padang permainan, tempat beribadat, dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan harus dikekalkan atau dipindahkan ke kawasan baru di mana skim perumahan bakal didirikan.
  1. Gaji minimumRM1,800
  • JSML menyokong saranan daripada MTUC untuk menaikkan gaji minimum ke RM1,800 sebulan, iaitu satu paras gaji minimum yang lebih munasabah dan bermaruah untuk pekerja ladang.
  1. Sertakan masyarakat ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar
  • Kerajaan harus memastikan pekerja ladang menikmati kemudahan asas seperti masyarakat luar bandar yang lain, dan harus menyertakan masyarakat ladang dalam rancangan pembangunan luar bandar.
  • Kerajaan juga harus menjadikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di ladang yang berada dalam keadaan serba kekurangan sekarang ini sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya Pakatan Harapan semasa Pilihanraya Umum ke-14 (Janji nombor 4, Iltizam Khusus untuk Masyarakat India, Buku Harapan).

20191204-JSML78959771_3235400449864531_3606279297360199680_n.jpg

6 thoughts on “Masyarakat ladang tuntut penggubalan akta perumahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *