KUALA LUMPUR – 8 OKTOBER 2019: Bersempena dengan Hari Habitat Sedunia 2019, Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan mengadakan aksi protes di hadapan Bangunan Parlimen pada hari ini untuk menggesa Kerajaan supaya menghormati hak peneroka bandar dan menghentikan pengusiran paksa.
Aksi ini diadakan bersempena dengan Hari Habitat Sedunia 2019. Hari Habitat Sedunia disambut pada hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1986. Di Malaysia, Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahaan telah menyambut Hari Habitat Sedunia sejak tahun 2003 bersama-sama dengan golongan miskin dan peneroka bandar yang menghadapi masalah seperti kesusahan untuk mendapatkan perumahan dan ancaman pengusiran paksa.
Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan, di bawah Jaringan Marhaen yang baru pada masa kini, merupakan satu inisiatif untuk membawa bersama masyarakat peneroka bandar dan penduduk miskin yang diancam pengusiran paksa. Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan pada masa kini merangkumi 19 buah kampung di beberapa negeri di Malaysia. Masyarakat kampung peneroka bandar ini bergabung untuk mengemukakan tuntutan mereka supaya mendapat penyelesaian yang menyeluruh kepada masalah mereka.
Peneroka bandar bukannya penceroboh sesebuah bidang tanah kosong seperti yang biasa didakwa oleh pihak berkuasa. Mereka merupakan warga miskin kota yang dibenarkan dan diterima masuk untuk menduduki tanah yang berhampiran dengan bandar-bandar utama di negara kita, untuk menjadi menjadi tenaga kerja yang amat diperlukan di bandar sejak tahun 1970-an. Kebanyakan kawasan peneroka bandar telah dibenarkan untuk disambungkan bekalan elekrik, air, kemudahan infrastruktur (seperti jalan bertutap, dewan orang ramai dan sebagainya). Peneroka bandar juga didaftarkan dalam banci nasional dan diiktiraf dalam Senarai Pengundi Pilihanraya. Jika mereka duduk di atas tanah milik persendirian, ada juga yang membayar sewa dengan tuan tanah asal.
Dengan wujudnya Kanun Tanah Negara 1965 yang mengamalkan sistem Torrens seperti di Australia, iaitu penentuan hakmilik tanah secara pendaftaraan rasmi, maka para peneroka bandar yang pada awalnya dibenarkan untuk membangunkan dan menduduki tanah tersebut kini dipertikaikan status mereka oleh pihak yang mendaftarkan namanya atas geran tanah tersebut. Tanah tersebut tidak pernah dilupuskan kepada peneroka asal walaupun ada antara mereka pernah memohon, tetapi ianya dengan mudahnya bertukar tangan kepada pemilik baru kerana kebolehannya membeli tanah tersebut dengan harga pasaran.
Tanah yang diduduki oleh peneroka bandar itu menjadi bernilai kerana usaha para peneroka menebang semak-samun dan membina infrastruktur di atasnya. Namun, usaha mereka membangunkan tanah yang diduduki mereka itu tidak diiktiraf dan biasanya tidak menerima ganti rugi yang setimpal daripada pihak kerajaan ataupun pemaju swasta yang hendak mendapatkan tanah berkenaan. Kerajaan dengan mudahnya melabelkan mereka sebagai setinggan haram. Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menyeru pada Kerajaan supaya membuat pindaan undang-undang dan dasar yang berkaitan untuk mengiktiraf dan memelihara hak peneroka bandar.
Dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak Kerajaan pada hari ini di Parlimen, Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan mengemukakan tuntutan berikut:
1. Hentikan pengusiran paksa
Masih terdapatnya kampung-kampung peneroka bandar yang diancam pengusiran paksa pada masa kini. Kebanyakan kampung peneroka yang berada di ambang pengusiran ini sudah wujud lebih 50 tahun dan penduduk yang tinggal di situ merupakan generasi ketiga atau keempat. Kebanyakan penduduk kampung peneroka ini ialah orang kampung di kawasan luar bandar atau pekerja-pekerja ladang datang ke bandar untuk mencari rezeki. Kampung-kampung ini berdepan dengan ancaman pengusiran paksa pada hari ini sama ada daripada pihak pemilik tanah swasta untuk tanah milik persendirian ataupun pihak kerajaan untuk tanah kerajaan. Adanya kampung peneroka yang diancam perobohan rumah sebelum rumah alternatif dibina untuk mereka.
Dalam kes Kampung Jinjang Selatan, penduduk bersetuju untuk menerima tawaran pemaju, tetapi penduduk juga meminta pihak pemaju untuk membina rumah yang dijanjikan terlebih dahulu sebelum mereka berpindah keluar dari situ. Ini kerana penduduk takut bahawa pemaju akan mungkir janji sepertimana yang pernah berlaku kepada penduduk Kampung Jinjang Selatan Fasa 1, di mana sudah 3 tahun rumah mereka diroboh tetapi rumah ganti masih belum dibina.
Ada juga kampung peneroka dirobohkan sebelum rundingan menyeluruh dibuat. Seperti yang berlaku di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor, di mana rumah penduduk telah dirobohkan pada 18 September 2019 sebelum mencapai penyelesaian dalam rundingan dan tiada lagi rumah alternatif dibina.
Terdapat juga kes di mana kampung peneroka yang terletak di atas tanah milik persendirian diancam pengusiran di bawah notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. Dalam kes Kampung Baru India Pulau Carey di Banting, Selangor, notis di bawah Seksyen 425 dikeluarkan Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat, dan ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa.
Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menyeru pada kerajaan:
- Untuk mengambil langkah-langkah segera di semua tahap dan seharusnya bermatlamat untuk menghapuskan amalan pengusiran secara paksa.
- Untuk memberikan segera sebarang pemulangan, pampasan, rumah atau tanah yang mencukupi dan bersesuaian yang seiring dengan keperluan dan kehendak penduduk ataupun komuniti yang telah diusir secara paksa. Kesemua ini harus berdasarkan pada perundingan yang memuaskan antara golongan yang terlibat dalam pengusiran secara paksa dan juga pihak kerajaan.
2. Iktiraf kampung peneroka
Penduduk di kampung peneroka sudah hidup sebagai satu komuniti untuk satu jangka masa yang panjang. Mereka merupakan penduduk-penduduk lama yang masih hidup di bandar yang pesat membangun sekarang. Sumbangan golongan peneroka bandar kepada pembangunan sesebuah bandar adalah amat bernilai, tetapi segala jasa mereka telah dipandang rendah sekrang ini, malah diusir keluar dari kampung ini sewenang-wenangnya.
Sementara itu, kampung-kampung peneroka yang terletak di pinggiran bandar yang mengusahakan tanaman dan penternakan telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka telah menyumbang kepada jaminan makanan untuk masyarakat tempatan.
Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menuntut supaya kampung-kampung peneroka yang sedia ada diiktiraf sebagai Kampung Tradisi dan diberikan geran tanah.
3.Rumah ganti rumah
Para peneroka bandar sememangnya tidak mahu menjadi penghalang kepada sebarang pembangunan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum, tetapi mereka juga tidak mahu ditindas dan diusir sewenang-wenangnya tanpa sebarang jaminan kehidupan atas nama “pembangunan”. Para peneroka bandar hanya mahukan sebuah tempat tinggal untuk keluarga mereka.
Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menuntut supaya komuniti yang dikenalpasti untuk dipindahkan harus mendapatkan penempatan alternatif sebelum melakukan apa-apa pengusiran dan perobohan rumah. Komuniti yang terkesan kerana pengusiran harus diberikan penempatan sementera dengan sewa yang berpatutan sekiranya rumah alternatif yang tetap belum siap dibina. Rumah alternatif yang ditawarkan harus berdekatan dengan kampung asal supaya kerja, kehidupan dan aktiviti sosial para peneroka dapat diteruskan seperti biasa.
4. Gubal Akta Anti-Pengusiran Paksa
Kerajaan sekarang dan sebelum ini memang ada menawarkan tanah alternatif kepada beberapa kawasan peneroka bandar yang menghadapi pengusiran, tetapi ini hanya dilakukan secara ad hoc atau secara “kes mengikut kes”, maka bukannya sesuatu yang bersifat konsisten. Ini bukannya solusi berkekalan untuk masalah yang dihadapi oleh golongan peneroka bandar.
Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan mencadangkan supaya menggubal Akta Anti-Pengusiran Paksa, yang memberi ketetapan bahawa mana-mana petempatan peneroka bandar yang menghadapi pengusiran paksa harus disediakan sekurang-kurangnya tanah alternatif atau perumahan gantian sebelum dikehendaki keluar dari tempat yang diduduki mereka.
2 thoughts on “Lindungi hak peneroka bandar, hentikan pengusiran paksa”