20200225_011336

oleh S. Arutchelvan

Ketika rakyat menanti dengan gelisah, ketika kakitangan hospital bertungkus lumus untuk berperang dengan COVID-19, ketika wartawan berlari ke sana ke sini mencari berita, dan masa inilah, adanya segelintir ahli politik merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan cara putar belit, fitnah dan manipulasi.

Mereka datang dengan kereta mewah, mereka bincang di hotel mewah, membicarakan soal bagaimana berkuasa, bagaimana mencuri sokongan Ahli Parlimen dan sebagainya. Mereka mencetuskan krisis ekonomi, ketidaktentuan politik dan meningkatkan lagi kegusaran dan kegelisahan rakyat.

Mereka ialah Ahli Parlimen bukannya seperti rakyat biasa. Mereka tidak perlu pergi kerja keesokan hari kerana gaji mereka dan ganjaran mereka sebagai Ahli Parlimen sudah memadai. Keselesaan hidup mereka terjamin.

Rakyat berasa marah. Marah kepada politik dan ahli politik. Bagi mereka, semua ahli politik adalah kaki tipu, dan politik itu kotor dan tercemar. Bukan salah mereka, jika itulah yang berlaku dalam politik dan itulah yang mereka dapat lihat.

Masalahnya, politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita. Dari hari kita dilahirkan sehingga hari kita meninggal dunia, politik menguasai kehidupan kita. Persoalannya adalah sama ada kita sebagai rakyat hendak menguasai politik atau membiarkan politik dikuasai dalam tangan segelintir kecil elit politik.

Dari dulu lagi, kami telah menyarankan bahawa rakyat perlu dipolitikkan dan memainkan peranan penting dalam pengurusan masyarakat. Rakyat harus menentang politik kotor dan politik pintu belakang. Rakyat kena menjadi kuasa perubahan dan bukan sekadar kuli kepada wakil rakyat. Ramai antara kita menjunjung ahli politik kita di atas kepala dengan gelaran YB, Tan Sri, Dato’ dan sebagainya. Kita membodek mereka hanya untuk sekadar mendapat sedikit sesuatu. Inilah jiwa hamba yang ada dalam hati kita dan kita melahirkan kelas wakil rakyat dan ahli politik yang angkuh dan berjiwa penjajah.

Dr. Burhanuddin al-Helmy, tokoh hebat dalam politik negara kita, pernah berkata, ” di atas runtuhan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka“. Maka di bawah runtuhan Langkah Sheraton, jom kita membina jiwa merdeka. Biar kita mula peduli tentang hak dan kepentingan rakyat terbanyak, dan bukannya memenuhi ketagihan kuasa segelintir elit yang mahu kita sentiasa berpecah dan bergaduh.

Biar kita cemburu pada kuasa politik. Biar kita rampas kuasa politik dari ahli politik yang oportunis dan tamak haloba. Jom kita membina politik bawahan untuk melawan elit di atas. Inilah masa untuk merenung dan inilah masa untuk berubah. Politik bukan milik mereka sahaja.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s