oleh Sivaranjani Manickam
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) amat kecewa dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyatakan dalam garis panduannya berkaitan PKP bahawa pengoperasian kerja pembersihan di sekolah harus dikurangkan kapasiti kepada 60% dan semua kontraktor hanya dibayar untuk pelaksanaan tugas 60% sahaja. Ini memberi ruang kepada kontraktor memotong gaji pekerja sebanyak 40%.
Tahukah berapa gaji pekerja pembersihan ini? Hanya RM1100 atau RM1200, iaitu di paras gaji minimum bagi sebulan. Kini dengan garis panduan KPM ini, gaji mereka dikurangkan kepada RM600 hingga RM700 sahaja mulai bulan Jun 2021. Adakah ini adil? Semasa PKP, siapakah yang harus dilindungi oleh Kerajaan? Pekerja-pekerja pembersihan daripada golongan B40 ini dibebankan dengan potongan gaji sekarang.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) pula mengatakan dalam garis panduan PKP mereka bahawa majikan tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja semasa PKP, tetapi KPM pula telah melanggar polisi KSM. Kedua-duanya Kementerian Kerajaan bercanggah satu sama lain. Tetapi yang akhirnya menjadi mangsa adalah pekerja yang miskin.
Sejak dua minggu lalu, JPKK menerima banyak aduan di talian hotline kami mengenai pengumuman pemotongan gaji dan baru-baru ini semasa menerima gaji, memang gaji pekerja telah dipotong. Walaupun kami telah melaporkan isu ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), jawapan mereka pula meminta pekerja untuk memfailkan kes tuntutan di JTK. Semua perkara ini meningkatkan tekanan kepada pekerja semasa pandamik ini.
Baru-baru ini, pihak JPKK juga telah mendapat maklumat dari Persatuan Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan bahawa tindakan mereka memotong gaji 40% adalah berdasarkan arahan KPM yang memotong peruntukan sebanyak 40%. Kami berasa cukup kecewa kerana dari satu sudut lain, pihak kerajaan cuba menonjolkan dirinya sebagai pembela kaum pekerja dan golongan B40, tetapi dalam realiti sebenar, mereka memotong peruntukan kepada kontraktor dan gaji pekerja B40.
Alasan KPM memotong peruntukan 40% gaji juga adalah tidak adil. Mematuhi SOP adalah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jika hanya 20% kakitangan kerajaan yang bekerja di pejabat, maka adakah ini bererti semua kakitangan kerjaan hanya dibayar gaji 20%? Tindakan KPM yang tidak berhati perut pada zaman pandemik ini amat tidak adil, malah zalim.
Pekerja-pekerja mengemukakan pelbagai persoalan dalam keadaan ini – Kenapa Kerajaan tidak melindungi kami yang merupakan pekerja miskin? Kenapa KPM tidak potong gaji pekerja kerajaan di jabatan mereka sedangkan mereka semua duduk rumah semasa PKP ini? Kenapa Kerajaan bertindak dwistandard (double standard)?
Justeru, JPKK menuntut pada KPM, KSM dan MKN sepaya dengan serta mertanya:
- Memulihkan gaji pekerja B40 kepada tahap 100% – bukan itu sahaja, malah menaikkan gaji minimum pekerja.
- Memastikan pekerja kopntrak pembersihan dan pengawal sekolah di premis kerajaan tidak dianaktirikan. Mereka harus turut diutamakan dalam mendapat vaksin seperti guru sekolah dan petugas lain memandangkan mereka juga ialah petugas barisan hadapan (frontliner).
- Memastikan semua kementerian seperti KSM dan KPM dan lain-lain tidak bercanggah dalam arahan yang dikeluarkan supaya kekeliruan dapat dikurangkan.
Akhir kata, ramai pekerja B40 amat tertekan kehidupan mereka dalam zaman ini. Kami mempertanggungjawabkan KPM untuk memulihkan gaji asas mereka supaya mereka tidak terjerumus dalam keadaan ini yang sememangnya mengancam kehidupan dan kesihatan mereka.
==========
Sivaranjani Manickam ialah Penyelaras Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).