BANGI LAMA, SELANGOR – 6 APRIL 2021: 12 daripada 14 buah kedai yang terletak di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Manickam, Pekan Bangi Lama, Selangor, dirobohkan oleh pihak penguatkuasa Kerajaan Negeri Selangor tanpa penyelesaian pemindahan ke tapak alternatif pada ketika rakyat hidup susah di bawah ancaman pandemik dan krisis ekonomi.

Pasukan penguatkuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang dan Polis Diraja Malaysia telah dikerahkan pada hari ini untuk melakukan operasi perobohan terhadap kedai-kedai yang berada di atas tanah rizab kerajaan. Tindakan ini mengejutkan pengusaha-pengusaha kedai di situ kerana mereka diberitahu kelmarin oleh ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar, bahawa operasi perobohan tidak akan dijalankan pada hari ini dan mereka akan ditawarkan tapak alternatif. Pasukan penguatkuasa yang datang merobohkan kedai mengatakan bahawa mereka mendapat arahan daripada Pegawai Daerah Hulu Langat, sementara Pengawai Daerah Hulu Langat pula mengatakan bahawa dia hanya bertindak mengikut arahan Menteri Besar Selangor.

Perobohan terhadap dua buah kedai ditangguhkan pada hari ini kerana terdapat kes mahkamah yang bersangkut dengan tapak tanah kedai itu, tetapi pihak penguatkuasa mengatakan akan meneruskan perobohan terhadap kedai-kedai yang lain.

Kedai-kedai di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Manickam telah mula beroperasi sejak tahun 1998-1999 apabila penduduk-penduduk tempatan menyewa kedai-kedai di situ daripada pemilik tanah Lot 2118 yang bersebelahan dengan tanah rizab tetapi mengatakan tapak kedai itu juga miliknya. Kedai-kedai yang beroperasi di situ termasuk kedai tukang jahit baju, bengkel kereta dan kedai makanan. Mulai tahun 2014, pengusaha-pengusaha kedai menghadapi masalah pertikaian tanah daripada pemilik tanah baru untuk Lot 2118, termasuk pemotongan bekalan elektrik dan air tanpa perintah mahkamah sedangkan tapak kedai itu tidak terletak dalam Lot 2118 tetapi di atas tanah rizab kerajaan.

Pengusaha-pengusaha kedai di atas tanah rizab Kampung Manickam menerima notis pengusiran daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang pada bulan Ogos 2020. ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar, pernah berjumpa dengan pengusaha-pengusaha kedai bersama dengan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 18 pada masa itu, di mana Mazwan berjanji akan membincangkan perkara ini dengan pihak Pejabat Daerah dan Tanah supaya menyelesaikannya dengan cara yang baik. Pengusaha-pengusaha kedai juga menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, untuk meminta campurtangan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk menghentikan perobohan kedai dan menawarkan tapak perniagaan yang alternatif kepada mereka sekiranya perlu mengosongkan tanah. Namun, pengusaha-pengusaha kedai ini bukan sahaja tidak mendapat jawapan daripada pihak Kerajaan Negeri mengenai permintaan mereka, sebaliknya terus dilayan dengan pengusiran paksa dan perobohan kedai secara zalim.

Pengusaha-pengusaha kedai di Kampung Manickam ini pernah membuat aduan polis dan aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kerana mereka mengesyaki bahawa pihak Pejabat Tanah dan Majlis Perbandaran bersubahat dengan pemilik tanah lot yang bersebelahan untuk mengusir mereka. Mereka juga membangkitkan persoalan kenapa pihak Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan bertindak tergesa-gesa untuk mengusir keluar mereka sekarang ini, walaupun pihak kerajaan tiada apa-apa perancangan ke atas tanah rizab tersebut dan lebih-lebih lagi pada ketika masyarakat kita masih dibelenggu oleh ancaman pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan punca pendapatan banyak orang khususnya rakyat miskin. Kenapa pihak kerajaan berdegil untuk memusnahkan rezeki rakyat miskin pada ketika pandemik dan krisis ekonomi?

“Jelas terbukti pada hari ini bahawa ADUN dan Kerajaan Negeri Selangor gagal menyelamatkan rakyat miskin,” begitu katanya S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), ketika memberi komen mengenai perobohan kedai-kedai di Kampung Manickam. “ADUN dan Ahli Parlimen parti pemerintah menjanjikan akan menyelesaikan masalah tetapi akhirnya tidak selesai juga. Rakyat miskin tiada tempat untuk berniaga. Masa COVID-19 pun rakyat miskin ditindas. Masa COVID-19 pun rakyat miskin tiada pembelaan daripada wakil rakyat parti pemerintah.”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Kedai Kampung Manickam diroboh, rakyat miskin terus dimangsakan pada ketika pandemik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *