IPOH, PERAK: Petani-petani di Kanthan dan penduduk-penduduk di Taman Lim, Ipoh, Perak, menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan pindaan gunatanah sebidang tanah seluas 470 ekar di kawasan Kanthan, yang ditukar daripada tanah pertanian kepada tanah perindustrian.

Bantahan tersebut telah disuarakan dalam satu sesi pendengaran awam mengenai Draf Rancangan Tempatan Ipoh (Pengubahan 10) 2020 yang diadakan pada 1 April 2021.

Seramai 180 orang petani yang mengusahakan tanah di Kanthan dan 115 orang penduduk Taman Lim yang merupakan mangsa banjir telah menyerahkan borang bantahan terhadap cadangan pindaan status gunatanah Lot PT 253395, 253396 dan 253397 di Zon Kanthan yang dikatakan bertujuan untuk membina sebuah kawasan perindustrian baharu yang dikenali sebagai “Silver Valley Technology Park”.

Turut hadir bersama dengan petani-petani Kanthan dan penduduk-penduduk Taman Lim semasa sesi pendengaran awam ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Jawatankuasa siasatan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Ipoh (Pengubahan 10) 2020 dipengerusikan oleh Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang mempengerusikan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan.

Cadangaan pindaan gunatanah pertanian kepada perindustrian untuk tapak tanah seluas 470 ekar di kawasan Kanthan bakal menjejaskan rezeki petani-petani yang sedang mengusahakan aktiviti pertanian di situ. Petani-petani ini telah menjalankan aktiviti pertanian di situ untuk lebih 60 tahun, dengan menanam sayur dan menternak ikan serta unggas. Selama ini, mereka pernah cuba banyak kali untuk memohon geran tanah tetapi langsung tidak mendapat jawapan daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah, sebaliknya sekarang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) hendak menukar status tanah yang diusahakan petani-petani ini kepada tanah perindustrian. Mereka mungkin menghadapi ancaman pengusiran sekiranya tanah tersebut ditukar status gunatanah dan dibangunkan oleh pemaju yang mengutamakan keuntungan.

Selain petani-petani Kanthan, penduduk-penduduk dari Taman Lim, Ipoh, juga membantah pindaan gunatanah tersebut, kerana kebimbangan mereka tentang masalah banjir yang telah membelenggu mereka selama sedekad yang lalu akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya projek pembangunan tersebut diluluskan. Kekhuatiran mereka adalah berasas kerana anak-anak sungai dari kawasan Lot PT 253395, 253396 dan 253397 mengalir ke Sungai Pari yang melalui taman perumahan tersebut. Pembangunan di kawasan Klebang, Tasek dan Meru telah meningkatkan kekerapan banjir di Taman Lim dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Banjir yang terkini di Taman Lim berlaku pada 18 November 2020, dengan lebih daripada 80 buah rumah di Taman Lim dimasuki air kotor.

Dr. Jeyakumar berkata, “Penduduk-penduduk di Taman Lim masih menggunakan tangki pembentungan individu. Ini bererti bahawa air banjir yang memasuki rumah penduduk akan bercampur dengan kandungan tangki pembentungan, dan ini merupakan ancaman kepada kesihatan penduduk-penduduk taman perumahan ini.”

Penduduk-penduduk Taman Lim juga khuatir bahawa pindaan gunatanah pertanian kepada perindustrian akan menambahkan larian permukaan (surface runoff) bagi air hujan daripada lebih kurang 15% pada masa sekarang kepada 90% dan sekali gus meningkatkan lagi kekerapan serta keseriusan banjir di kawasan itu.

“Sekarang ini, semasa musim hujan, kadang kala paras air di Sungai Pari boleh mencapai 2 kaki dari permukaan permatang. Ini bermakna strategi menggunakan pam untuk mengepam air longkang di taman perumahan ke dalam sungai apabila pintu kawalan air (flap gate) ditutupi air yang tinggi di sungai tidak dapat ditingkatkan lagi. Peningkatan larian permukaan di Kanthan dan kawasan lain, akan menyebabkan air sungai melimpah keluar dari permatang dan menyebabkan banjir yang jauh lebih teruk lagi berbahaya. Permatang yang ada sekarang merupakan permatang tanah. Jika ia ditembusi air yang melimpah, aliran air limpahan akan menghakis tanah dan memecahkan permatang di lokasi itu. Permatang yang sedia ada juga tidak dapat dijadikan lebih tinggi memandangkan ia sudah sampai ke paras jambatan-jambatan yang melintas Sungai Pari,” ulas Dr. Jeyakumar.

Penduduk-penduduk Taman Lim menyeru pada Majlis Bandaraya Ipoh untuk mengemukakan laporan kajian impak alam sekitar (EIA) untuk projek pembangunan “Silver Valley Technology Park” sekiranya ada. Persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Taman Lim termasuk:

  • Adakah masalah banjir diambil kira dan dikaji sebelum cadangan meminda gunatanah di Zon Kanthan itu dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Ipoh?
  • Adakah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjalankan kajian impak alam sekitar (EIA) berkenaan dengan pelaksanaan projek pembangunan kawasan perindustrian itu, dan adakah EIA itu mengkaji isu banjir?
  • Jika EIA telahpun dilakukan, apakah langkah-langkah spesifik yang disyorkan untuk menangani isu banjir di kawasan-kawasan yang bersebelahan dengan Sungai Pari?
  • Bolehkah orang awam mendapat satu salinan laporan EIA jika ia telahpun diljalankan?

Penduduk-penduduk Taman Lim memohon pada Majlis Bandaraya Ipoh untuk menangguhkan proses penukaran status gunatanah di Zon Kanthan sehingga semua pihak yang bakal terkesan diberi peluang untuk meneliti laporan EIA dan memberi maklum balas terhadapnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

Dr. Jeyakumar mengatakan bahawa projek pembangunan “Silver Valley Technology Park” yang dicadangkan itu adalah tidak diperlukan, kerana kawasan perindustrian lain yang sedia wujud di kawasan yang berdekatan tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan dengan masih banyak premis perindustrian yang dikosongkan. Dr. Jeyakumar juga berpandangan bahawa projek pembangunan tersebut boleh menjejaskan lebih lanjut lagi rezeki golongan petani yang sudah lama mengusahakan aktiviti pertanian di situ. “Petani-petani mengeluarkan makanan untuk negara kita. Adalah tidak masuk akal untuk mengusir mereka keluar dari tempat yang sudah diusahakan mereka berdekad-dekad lamanya untuk memberi laluan kepada pembangunan taman perindustrian,” kata Dr. Jeyakumar.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Mangsa banjir dan petani bantah pindaan gunatanah pertanian ke perindustrian di Zon Kanthan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *